MaLTa: PeRMaTa MeDiTeRRaNeaN (BHG I) - PRoLoG

>> Tuesday, July 13, 2010



Aku sebenarnya tidak pernah terlintas langsung untuk memijakkan kaki ke Malta. Kerana bagi aku, negara ini tidak begitu signifikan kerana saiznya yang teramat kecil. Walau bagaimanapun, disebabkan aku perlu melepaskan tekanan aku selepas tamat peperiksaan ulangan yang berlangsung pada bulan November, aku akhirnya mengambil keputusan untuk ke negara tersebut kerana Malta adalah antara beberapa buah sahaja lagi negara di benua Eropah yang belum aku jejaki. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Aku ke Malta seorang diri kerana tujuan aku ke sana pun sebenarnya untuk bersendirian melepaskan tekanan peperiksaan. Aku bertolak ke sana pada tarikh 4 Disember 2008 & pulang semula ke Dublin pada tarikh 6 Disember 2008. Lebih kurang 3 hari sahaja di sana. Aku bermalam di sebuah hostel yang harganya amat berpatutan. Aku membawa bersama buku ‘Europe On A Shoestring’ terbitan Lonely Planet untuk dijadikan panduan sewaktu berada di sana. Bandar-bandar di negara Malta yang aku kunjungi ialah Valletta, Victoria, Xaghra & Sliema.

Malta adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean. Ia terdiri daripada 3 buah pulau utama yang berpenghuni, iaitu Malta, Gozo & Comino & beberapa buah lagi pulau kecil yang tidak berpenghuni. 2 buah negara jiran yang terletak berhampirannya ialah Itali di benua Eropah & Tunisia di benua Afrika. Negara yang mempunyai keluasan seluas 300 km persegi ini mempunyai jumlah penduduk seramai 400,000 orang. 98% daripada mereka adalah penganut setia agama Kristian Roman Katolik.


Peta kedudukan negara Malta


Peta negara Malta


Bendera Malta

Bahasa Itali merupakan bahasa rasmi Malta sehingga tahun 1934. Kemudian, ianya digantikan dengan Bahasa Malta & Bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa tersebut dijadikan bahasa rasmi negara ini mulai tahun 1934 sehingga sekarang. Disebabkan itu, penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan penduduknya tersangatlah meluas. Aku tidak menghadapi apa-apa masalah pun untuk berkomunikasi dengan mereka kerana kesemuanya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Disebabkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean, Malta mengalami iklim Mediterranean. Ia adalah anggota Kesatuan Eropah & mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan adalah Euro. Waktu tempatannya pula sejam lebih awal berbanding waktu GMT. Mengikut beberapa teori sejarah, Malta dikatakan antara sebahagian daripada kerajaan Atlantis di Laut Mediterranean yang telah lenyap beratus-ratus tahun dahulu.

Kepulauan Malta dikatakan telah dihuni oleh manusia sejak tahun 5200 SM lagi. Kemudian, pada tahun 700 SM, ia didatangi oleh orang-orang Greek yang kemudiannya membuat penempatan di sini. Begitu juga dengan orang-orang Phoenician yang berhijrah ke sini seratus tahun kemudian. Seterusnya, Malta mula berada di bawah jajahan Empayar Carthage pada tahun 400 SM. Kemudian, ia ditawan pula oleh Empayar Rom sekitar tahun 218 SM & dijadikan kawasan jajahan yang istimewa oleh empayar tersebut. Menurut beberapa sumber, pada tahun 60 Masihi, penyebar ajaran Kristian yang masyhur bernama St Paul telah tersadai di kepulauan tersebut akibat kapal yang dinaikinya karam di tengah laut. Dia seterusnya tinggal di situ untuk 3 bulan & dikatakan telah menyebarkan ajaran Kristian di kepulauan tersebut dalam tempoh itu.

Apabila Empayar Rom berpecah kepada Empayar Rom Barat & Empayar Rom Timur pada akhir kurun ke-4, Malta diletakkan di bawah kekuasaan Empayar Rom Timur yang kemudiannya dikenali sebagai Empayar Byzantine. Ia kekal di bawah pemerintahan empayar tersebut sehingga tahun 870 M. Dalam tempoh tersebut, Malta pernah ditawan beberapa kali oleh orang-orang Goth & Vandal. Namun, Malta berjaya dirampas semula oleh empayar tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, Malta berjaya ditawan oleh kerajaan Bani Abbasiyah bersama-sama dengan pulau Sicily dalam siri peperangan Arab-Byzantine yang berlangsung dari tahun 780 hingga 1180. Sewaktu di bawah pentadbiran orang-orang Arablah pelbagai pembaharuan diperkenalkan di kepulauan Malta. Antaranya ialah sistem pertanian & penggunaan Bahasa Arab sehingga terlahirnya Bahasa Malta yang banyak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan Bahasa Arab. Dikategorikan dalam famili Bahasa Semitik, Bahasa Malta adalah satu-satunya Bahasa Semitik yang menggunakan sistem tulisan Rumi.

Malta kemudian ditawan pula oleh kerajaan Sicily pada tahun 1091. Seterusnya, Empayar Holy Rom pula mengambil alih pemerintahannya. Dan pada tahun 1224, sewaktu pemerintahan Maharaja Holy Rom yang bernama Frederick II, kesemua penduduk yang beragama Islam telah dihalau dari Malta. Tidak berapa lama selepas itu, Malta jatuh ke tangan kerajaan Sepanyol. Raja Sepanyol kemudiannya menyerahkan pentadbiran Malta kepada sebuah organisasi Kristian yang bernama Knights of St. John of Jerusalem pada tahun 1530. Empayar Turki Uthmaniyah pernah cuba menawan Malta pada tahun 1565, namun usahanya gagal.

Kemudiannya, pada tahun 1798, Napoleon Bonaparte yang merupakan Maharaja Perancis pada waktu itu berjaya menawan Malta sewaktu dia belayar ke Mesir. Penjajahan Perancis ke atas Malta tidak disukai oleh penduduknya. Mereka kemudian dibantu oleh Empayar British untuk menghalau penjajah-penjajah Perancis dari kepulauan itu. Dan kemudian, pada tahun 1814, Malta secara rasmi menjadi sebahagian daripada Empayar British. Malta kemudiannya menjadi rebutan antara Empayar British & Empayar Perancis sewaktu Perang Dunia Kedua. Serangan yang dilakukan oleh tentera Nazi Jerman & Fascisma Itali banyak membuat kerosakan di kepulauan tersebut sewaktu perang itu berlangsung.

Malta mencapai kemerdekaannya daripada United Kingdom pada bulan September 1964. Pada mulanya, ia mengekalkan Ratu England sebagai ketua negara. Namun, pada bulan Disember 1974, Malta diisytiharkan sebagai sebuah republik yang diketuai oleh seorang Presiden.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

Chit Ana Tuesday, July 13, 2010 at 8:40:00 PM GMT+8  

salam doktor..oh agak menarik negara malta ni.ana tunggu next entri ;)

Mulan Wednesday, July 14, 2010 at 4:32:00 PM GMT+8  

woowww.. malta pon jhaz dah pi ya.. bravo..!!

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP