Showing posts with label Nicosia. Show all posts
Showing posts with label Nicosia. Show all posts

CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG VII) - LaRNaKa II

>> Friday, July 23, 2010



Hari 5: 10 MEI 2009

Pada pagi hari ini, barulah aku memulakan ekspedisi menjelajahi kota Larnaka. Larnaka adalah sebuah bandar yang terletak di tenggara pulau Cyprus. Ia terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Di sini jugalah letaknya sebuah lagi lapangan terbang di Cyprus yang merupakan lapangan terbang yang terbesar di negara ini. Dengan jumlah penduduk seramai 72,000 orang, Larnaka adalah bandar kedua terbesar & kedua terpenting di Cyprus. Ia juga adalah pusat pelancongan yang utama di negara ini. Pantai pasirnya sepanjang 25 km menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam, mahupun dari luar. Menurut sejarah, Larnaka telah diasaskan oleh orang-orang Phoenician & dinamakan sebagai Kition. Sejarahnya selari dengan sejarah Cyprus.


Kedudukan Larnaka dalam Peta Cyprus

Lokasi pertama yang aku kunjungi di kota Larnaka ialah sebuah gereja Cypriot Orthodox yang bernama Church of Ayios Lazaros yang dibina pada kurun ke-9, sewaktu pemerintahan Maharaja Byzantine yang bernama Leo VI. Ianya adalah antara senibina Byzantine yang terbaik di pulau Cyprus. Gereja ini didedikasikan kepada Lazarus, iaitu manusia yang dihidupkan semula oleh Nabi Isa a.s dengan menggunakan mukjizatnya. Dia dikatakan telah melarikan diri ke Larnaka selepas dihalau oleh orang-orang Yahudi di Jerusalem selepas dihidupkan semula & terus menetap di Larnaka sehingga mati buat kali kedua. Church of Ayios Lazaros ini dibina di atas tapak di mana mayatnya ditemui, iaitu pada tahun 890 M. Mayatnya kemudian dipindahkan ke Constantinople/Istanbul oleh Maharaja Leo VI pada tahun 901 M.


Church of Ayios Lazaros, Larnaka, Republic of Cyprus


Ruang dalam Church of Ayios Lazaros, Larnaka, Republic of Cyprus


Ruang dalam Church of Ayios Lazaros, Larnaka, Republic of Cyprus


Ruang dalam Church of Ayios Lazaros, Larnaka, Republic of Cyprus

Selepas bergambar di luar & di dalam gereja tadi, aku menuju pula ke sebuah masjid yang terdapat di kota Larnaka ini. Masjid tersebut diberi nama Grand Mosque. Bangunan masjid ini dahulunya adalah sebuah gereja yang bernama Latin Holy Cross Church. Ia ditukar fungsi menjadi masjid selepas perluasan kuasa Empayar Turki Uthmaniyah ke sini pada kurun ke-16. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1974, penggunaan masjid ini semakin pudar.


Grand Mosque, Larnaka, Republic of Cyprus


Grand Mosque, Larnaka, Republic of Cyprus

Selepas singgah di masjid tadi, aku ke Larnaka Fort & Medieval Museum yang terletak di pinggir laut. Larnaka Fort asalnya merupakan istana kerajaan Cyprus Dinasti Lusigneon. Seterusnya, apabila berada di bawah Empayar Turki Uthmaniyah, bangunan ini diubaisuai pada tahun 1605, menjadi seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Berhampiran dengannya, terletak Medieval Museum, muzium yang agak terkenal di sini. Aku kemudiannya menghabiskan masa di persisiran pantai sahaja, sambil bergambar.


Larnaka Fort & Medieval Museum, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus

Kemudian, apabila matahari sudah tegak di atas kepala, aku singgah di restoran MacDonald’s untuk menyantap Fillet O’Fish. Selepas makan, aku kembali ke hostel untuk bersiap-siap. Apabila semuanya sudah dimasukkan ke dalam beg, aku terus berjalan menuju ke stesen ‘service taxi’. Aku akan kembali ke Pafos pada hari ini, iaitu kota pertama yang aku jejaki sewaktu aku tiba di bumi Cyprus beberapa hari lalu.

Apabila aku tiba di hadapan stesen ‘service taxi’ tersebut, aku perhatikan stesen itu ditutup & tiada orang menjaganya. Aku bertanya kepada orang-orang yang lalu-lalang adakah stesen itu ditutup pada hari ini, namun semuanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Aku menjadi resah. Bagaimana aku hendak ke Pafos? Setelah memerah otak, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menaiki teksi biasa sahaja. Walaupun mahal berlipat kali ganda daripada ‘service taxi’, namun, itu sahaja pilihan yang aku ada. Perkhidmatan bas ke Pafos juga secara kebetulannya tiada pada hari ini. Malang sungguh nasib aku.

Aku pun terus berjalan menuju ke stesen teksi untuk bertanya tentang tambang. Apabila aku tiba di stesen teksi tersebut, pemandu teksi di situ terkejut apabila aku bertanya tentang tambang teksi ke Pafos. Aku yakin, tidak ada orang yang pernah menaiki teksi dari Larnaka ke Pafos yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer. Lalu, dia meminta aku menelefon sahaja syarikat ‘service taxi’. Aku lantas memberitahunya yang stesen ‘service taxi’ ditutup pada hari ini. Dia berasa pelik. Lalu dia menelefon syarikat ‘service taxi’ itu sendiri dengan menggunakan telefon bimbitnya. Ada pula orang menjawab panggilannya. Dia lalu berbual-bual dengan orang yang menjawab panggilannya itu.

Setelah selesai berbual, pemandu teksi itu mengarahkan aku supaya menunggu di tepi jalan Foinikoudes yang terletak di tepi pantai, tidak jauh dari situ. Menurutnya, sebuah ‘service taxi’ akan datang menjemput aku dalam masa beberapa minit sahaja lagi untuk membawa aku ke Pafos. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemandu teksi itu. Jikalau tidak kerana dia, aku sudah mati akal bagaimana hendak ke Pafos dari Larnaka. Syukur kepada Allah SWT kerana memudahkan perjalanan aku.

Selepas menunggu beberapa ketika di tepi jalan Foinikoudes seperti yang diarahkan oleh pemandu teksi tadi, akhirnya, ‘service taxi’ yang dinantikan pun tiba & aku dijemput masuk. Untuk ke Pafos, aku perlu menukar ‘service taxi’ di Lemessos. Perjalanan dari Larnaka ke Lemessos memakan masa selama sejam. Begitu juga dengan perjalanan dari Lemessos ke Pafos.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG VI) - NiCoSia IV & LaRNaKa I

>> Thursday, July 22, 2010



Seterusnya, aku meneruskan perjalanan aku ke Hadyar Pasa Mosque, sebuah lagi gereja yang ditukar fungsinya menjadi masjid. Gereja asalnya bernama St Catherine yang dibina pada kurun ke-14 yang merupakan gereja kedua terbesar di Nicosia pada waktu itu. Masjid ini adalah antara 2 buah masjid yang mempunyai senibina gothik yang mengagumkan di Nicosia. Sebuah lagi ialah Selimiye Mosque. Walau bagaimanapun, bangunan ini tidak lagi berfungsi sebagai masjid pada masa kini. Ianya telah dijadikan galeri & dinamakan Hadyar Pasa Gallery.


Hadyar Pasa Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Kemudian, aku ke Ali Ruhi Fountain yang dibina oleh Gabenor Turki Uthmaniyah di Cyprus, iaitu Ali Ruhi Efendi pada tahun 1829. Ia digunakan sebagai sumber bekalan air oleh Kucuk Medersa, sebuah madrasah yang pernah berada di sini dahulu. Setelah Selimiye Square berhampiran Selimiye Mosque dibina pada tahun 1930, Ali Ruhi Fountain sudah tidak digunakan lagi.


Ali Ruhi Fountain, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Tidak jauh dari situ, terletak Covered Bazaar, sebuah bazaar yang mula dibuka pada tahun 1932. Terdapat pelbagai jenis barang dijual di sini, terutamanya makanan-makanan mentah seperti daging, ikan & sayur. Selepas puas melihat ragam manusia membeli-belah di dalam bazaar ini, aku meneruskan perjalanan ke Buyuk Han, sebuah lagi bangunan yang berasaskan senibina Turki Uthmaniyah yang terpenting di Nicosia. Bangunan 2 tingkat ini dibina antara tahun 1570 & 1572. Ia pada zaman dahulunya merupakan bangunan hotel, di mana terdapatnya 68 buah bilik & 10 buah kedai di dalamnya. Ia memberi kemudahan penginapan kepada pedagang-pedagang luar yang berdagang di sini & juga para pelancong. Bangunan ini walau bagaimanapun hilang kepentingannya selepas pembinaan hotel-hotel di sekitar kota ini. Sewaktu pemerintahan British, bangunan ini dijadikan kawasan penjara. Pada masa kini, terdapat kedai-kedai yang menjual barang-barang kraftangan tempatan & juga restoran-restoran di dalamnya. Di tengah-tengahnya pula terdapat sebuah masjid kecil.


Covered Bazaar, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Ruang dalam Covered Bazaar, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Buyuk Han, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Buyuk Han, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Lokasi terakhir aku di Nicosia Utara ialah Selimiye Mosque, bangunan yang dahulunya merupakan sebuah gereja Roman Katolik yang bernama St Sophia Cathedral. Ia adalah bangunan yang tertua & antara yang terulung di Nicosia & juga di pulau Cyprus. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1209 sewaktu pemerintahan Raja Cyprus dari Dinasi Lusignan yang bernama Henry I. Ia siap dibina pada tahun 1326. Di sinilah putera-putera Dinasti Lusignan ditabalkan menjadi Raja Cyprus. Di sekitar bangunan ini terdapat makam-makam keluarga diraja Cyprus. Pada tahun 1571 sewaktu Cyprus berjaya ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah, St Sophia Cathedral ditukar fungsinya menjadi masjid & banyak penambahan & pembaharuan dibuat seperti pembinaan menara azan & sebagainya. Masjid itu diberi nama Aya Sofia Mosque yang kemudiannya ditukar menjadi Selimiye Mosque pada tahun 1954. Ia kini adalah masjid yang terbesar & tercantik di Nicosia.


Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Ruang dalam Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Ruang dalam Selimiye Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Aku menunaikan solat di dalam Selimiye Mosque. Selepas selesai solat, aku duduk-duduk sambil menghilangkan penat. Sedang aku duduk berehat, tiba-tiba datang 2 orang pemuda bangsa Turki menghampiri aku & mengajak aku berbual. Mereka adalah pelajar di sebuah universiti di situ. Mereka bangga dapat berkenalan dengan orang Malaysia & mereka berharap suatu hari nanti mereka dapat belajar di Universiti Islam Antarabangsa. Hahaha. Aku berasa amat bangga mendengar hasrat mereka itu. Agak lama juga kami berbual. Menurut kata salah seorang daripada mereka, mereka ingin berbual dengan aku kerana mereka hendak mempraktikkan penggunaan Bahasa Inggeris mereka. Hahaha. Aku ketawa lagi. Mereka berdua amat peramah sekali. Selepas berbual, mereka meminta alamat email aku. Aku lantas menulisnya di atas sehelai kertas & memberikan kepada salah seorang daripada mereka. Mereka kemudiannya mengucapkan selamat tinggal kepada aku. Aku kemudiannya tersenyum sendirian.

Selepas menghilangkan penat, aku pun berjalan kembali semula ke kawasan imigresen untuk kembali semula ke Nicosia Selatan. Selepas melepasi kawasan imigresen itu, aku terus kembali ke hostel untuk berkemas-kemas. Aku akan ke Larnaka pula pada petang ini. Selepas selesai mengemaskan barang & mendaftar keluar dari hostel, aku terus berjalan menuju ke stesen ‘service taxi’. ‘Service Taxi’ yang aku naiki mulai bergerak dari Nicosia menuju ke Larnaka lebih kurang pada pukul 5.30 petang. Perjalanan ke Larnaka dari Nicosia mengambil masa selama sejam. Lebih kurang pukul 6.30 petang, aku pun tiba di Larnaka. Aku meminta pemandu ‘service taxi’ itu menurunkan aku di hostel yang telah aku rujuk di dalam buku panduan aku.

Apabila aku tiba di hostel yang dimaksudkan, aku membayar tambang 'service taxi' yang agak murah harganya & kemudiannya, aku terus mendaftar masuk di hostel tersebut. Bilik dorm di mana aku ditempatkan agak teruk keadaannya. Aku terpaksa bersabar. Lagipun, aku cuma akan menginap di situ untuk satu malam sahaja. Selepas mendaftar masuk & meletakkan beg aku di dalam bilik dorm, aku pun keluar untuk menghabiskan sisa hari yang tinggal di Larnaka. Aku cuma berjalan-jalan di persisiran pantainya sahaja yang sememangnya cantik & bersih. Terasa seperti hendak mandi sahaja, namun aku tiada baju lebih. Agak lama juga aku mengambil angin di tepi pantai itu. Aku turut makan malam di salah satu daripada berpuluh-puluh buah restoran yang ada di tepi pantai di sepanjang jalan raya yang diberi nama Foinikoudes itu. Harga-harga makanan yang dijual agak mahal. Namun, kerana lapar, aku makan sahaja.


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus

Selepas selesai makan, aku mengambil angin lagi di persisiran pandai sambil menghirup udara malam. Apabila sudah penat, aku pun kembali ke bilik hostel. Selepas mandi & solat, aku pun terus melelapkan mata.


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Larnaka, Republic of Cyprus

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG V) - NiCoSia III

>> Wednesday, July 21, 2010



Hari 4: 9 MEI 2009

Hari ini adalah hari kedua aku di Nicosia. Pada hari ini, aku akan menghabiskan masa di bahagian Nicosia Utara, milik Turkish Republic of Northern Cyprus. Untuk masuk ke bahagian Nicosia Utara, aku melalui sebuah kawasan ‘checkpoint’ yang terletak di sempadan kedua-dua bahagian Nicosia. Kawasan ini dijaga oleh pegawai-pegawai imigresen kedua-dua belah pihak. Fotografi tidak dibenarkan sama sekali.


Bendera Northern Cyprus


Kawasan ‘Checkpoint’ di Sempadan Nicosia Utara & Nicosia Selatan

Untuk masuk ke dalam kawasan Nicosia Utara, aku cuma perlu menunjukkan passport kepada pegawai imigresen yang bertugas di bahagian Nicosia Utara sahaja. Pegawai tersebut kemudiannya mengeluarkan pass untuk disimpan. Ia perlu ditunjukkan semula apabila hendak keluar dari Nicosia Utara nanti. Apabila masuk sahaja ke dalam kawasan Nicosia Utara, suasananya berbeza sungguh berbanding Nicosia Selatan. Di Nicosia Selatan, bendera negara Greece dikibarkan di sana-sini. Di Nicosia Utara, bendera negara Turki pula yang dikibarkan. Bahasa yang digunakan antara kedua-duanya juga berbeza. Di Nicosia Selatan, aku mendengar orang-orangnya bertutur dalam Bahasa Greek & tulisan pada semua papan tanda ditulis dalam tulisan Greek. Di Nicosia Utara pula, orang-orangnya bertutur dalam Bahasa Turki & kesemua papan tanda ditulis dalam Bahasa Turki. Ketara sungguh perbezaan yang aku rasai, walaupun kota Nicosia ini bukanlah sebesar mana.


Sekitar kawasan Nicosia Utara, Northern Cyprus

Lokasi pertama di Nicosia Utara yang aku jejaki ialah Dervish Pasha Mansion, sebuah rumah lama yang dibina sekitar awal kurun ke-19 oleh seorang pedagang yang terkenal di sini, iaitu Dervis Efendi. Ianya kemudian dijadikan milik kerajaan Northern Cyprus pada tahun 1978 & kemudiannya dijadikan muzium ethnografik pada tahun 1988.


Dervish Pasha Mansion, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Selepas itu, aku menuju ke Armenian Church, gereja yang dibina sewaktu pemerintahan Raja Cyprus dari Dinasti Lusagnon, iaitu Henry II. Gereja ini kemudiannya dihadiahkan kepada orang-orang Armenia oleh Empayar Turki Uthmaniyah atas jasa mereka membantu menawan pulau Cyprus. Mereka walau bagaimanapun dihalau oleh orang-orang Turki pada tahun 1963 kerana telah membantu orang-orang Greek sewaktu konflik antara orang-orang Greek & Turki sedang berlaku.


Armenian Church, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Aku kemudiannya bergerak menuju ke Arabahmet Mosque, masjid yang dibina pada kurun ke-16 di atas tapak bekas sebuah gereja lama. Masjid ini dinamakan bersempena dengan nama seorang jeneral Turki Uthmaniyah yang bernama Arab Ahmet Pasha. Di kawasan masjid ini terdapat kubur-kubur orang-orang yang ternama di sini seperti Kamil Pasha, Ishak Pasha & Hafiz Hasan.


Arabahmet Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Arabahmet Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Setelah itu, aku meneruskan perjalanan ke Attaturk Square, dataran yang menjadi tumpuan utama penduduk tempatan sejak zaman Turki Uthmaniyah lagi. Di tengah-tengah dataran tersebut, terdapat sebuah monumen yang bernama Venetian Column. Monumen tersebut dipindahkan ke sini dari Salamis pada tahun 1489 bagi menandakan kekuasaan Republik Venice di Cyprus. Selepas Empayar Turki Uthmaniyah berjaya menawan Cyprus, Venetian Column ini dialihkan dari tempatnya. Ia hanya diletakkan kembali ke sini pada tahun 1915 oleh British sewaktu pemerintahannya di pulau ini. Di sekeliling monumen tersebut terdapat air pancut yang dibina sewaktu zaman Empayar Turki Uthmaniyah.


Attaturk Square, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Attaturk Square, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Kemudian, aku berjalan kaki pula ke Mevlevi Tekke Museum of Whirling Dervishes yang merupakan pusat kebudayaan yang penting sewaktu era pemerintahan Turki Uthmaniyah di Cyprus. Bangunan ini dibina pada kurun ke-17 atas sumbangan hartawan wanita bernama Emine Hatun. Bangunan ini pada zaman dahulunya merupakan pusat kepada tarian sufi yang diberi nama Whirling Dervishes yang diasaskan oleh pengikut Jalaluddin Rumi dari Konya, Turki. Bangunan ini kemudiannya ditutup pada tahun 1954 & hanya dibuka semula pada tahun 2000 sebagai sebuah muzium. Terdapat 16 buah makam di kawasan muzium ini.


Mevlevi Tekke Museum of Whirling Dervishes, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Berhampiran dengan Mevlevi Tekke Museum of Whirling Dervishes tadi terletak sebuah lagi pintu masuk utama ke kota Nicosia melalui Venetian City Wall, iaitu Kyrenia Gate. Pintu masuk itu diperbaiki oleh Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1821 & binaan baru berbentuk segiempat sama yang mempunyai kubah di atasnya dibina seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Ia berfungsi sebagai bilik pengawal. Pintu masuk ini pada zaman dahulu hanya dibuka sebelum solat Subuh & ditutup selepas solat Isyak. Pada masa kini, terdapat jalan raya di kiri kanan pintu masuk ini yang dibina oleh British pada tahun 1931. Kemudiannya, pada tahun 1994, bangunan pintu masuk ini diperbaiki lagi & dijadikan pejabat pelancong.


Kyrenia Gate, Nicosia Utara, Northern Cyprus


Kyrenia Gate, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Selepas bergambar di Kyrenia Gate, aku makan tengah hari di sebuah restoran kebab. Makanan-makanan di sini sudah tentunya dijamin halal kerana majoriti penduduk di sini adalah orang Turki yang beragama Islam. Selepas makan, aku ke lokasi yang seterusnya, iaitu New Mosque. Bangunan masjid ini dahulunya merupakan sebuah gereja yang dibina pada kurun ke-14. Ia ditukar fungsinya menjadi masjid pada tahun 1571. Masjid ini kemudiannya diruntuhkan pada tahun 1740-an & masjid baru dibina bersebelahan dengan runtuhan masjid yang diruntuhkan itu. Menara masjid ini pernah diruntuhkan kerana berada dalam keadaan bahaya & dibina semula pada tahun 1971.


New Mosque, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Selepas itu, aku menuju ke Tandi’s Hamam yang diperbuat daripada batu-batu yang dipotong. Ia dibina sekitar tahun 1900-an oleh Gosti Giryagu Tandi untuk dijadikan rumah mandi awam. Pada tahun 1953, ia dikhaskan untuk golongan wanita sahaja. Sebahagian daripadanya telah termusnah sewaktu kekacauan yang berlaku pada tahun 1958 & terus tidak digunakan sehingga kini.


Tandi’s Hamam, Nicosia Utara, Northern Cyprus

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP