Showing posts with label Dubrovnik. Show all posts
Showing posts with label Dubrovnik. Show all posts

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG V) - DuBRoVNiK II

>> Sunday, October 11, 2009



Aku kemudiannya berjalan ke Sponza’s Palace yang terletak berdekatan dengan menara jam tadi. Ianya antara senibina yang paling menarik di kota Dubrovnik ini. Sponza’s Palace adalah antara bangunan yang terselamat sewaktu kejadian gempa bumi pada tahun 1667. Pada masa kini, Sponza’s Palace merupakan sebuah muzium yang menyimpan dokumen-dokumen bersejarah Dubrovnik. Aku tidak masuk ke dalam muzium tersebut kerana kesuntukan masa. Aku hanya bergambar di hadapannya sahaja. Sejurus selepas itu, aku ke Rector’s Palace pula yang terletak tidak jauh dari Sponza’s Palace. Rector’s Palace ini adalah sebuah bekas istana yang dibina pada kurun ke-15. Aku tidak pasti apa fungsinya sekarang.


Sponza’s Palace, Dubrovnik, Croatia


Rector’s Palace, Dubrovnik, Croatia


Rector’s Palace, Dubrovnik, Croatia

Seterusnya, aku berjalan ke sebuah gereja Roman Katolik yang diberi nama Cathedral of the Assumption of the Virgin. Gereja ini dibina di atas tapak beberapa buah gereja lama yang telah termusnah akibat kejadian gempa bumi pada tahun 1667. Gereja yang dapat dilihat pada hari ini adalah gereja yang dibina pada tahun 1713. Senibinanya direka oleh seorang arkitek Itali. Gereja ini menyimpan beberapa khazanah agama Kristian yang berharga seperti tengkorak St Blaise & juga kayu salib yang asal.


Cathedral of the Assumption of the Virgin, Dubrovnik, Croatia

Aku seterusnya menuju ke kawasan pelabuhan di mana terdapat banyak bot-bot persendirian di situ. Ianya seolah-olah seperti sebuah marina. Cantik pemandangan di sini. Terdapat juga restoran-restoran yang dipenuhi oleh pelancong-pelancong di sekeliling kawasan pelabuhan ini. Aku menghabiskan masa yang agak lama di sini kerana panoramanya yang begitu cantik. Selepas puas menikmati keindahan di kawasan pelabuhan Dubrovnik, aku meneruskan langkah aku ke Gundulic Square pula, yang merupakan sebuah dataran yang terletak di tengah-tengah kota ini. Di tengah-tengah dataran ini terdapat sebuah monumen yang didedikasikan kepada Ivan Gundulica, seorang sasterawan yang masyhur di sini suatu ketika dahulu. Monumen ini dibina pada tahun 1892.


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Kawasan Pelabuhan, Dubrovnik, Croatia


Gundulic Square, Dubrovnik, Croatia

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Jesuit Monastery, sebuah lagi gereja yang terdapat di Dubrovnik. Aku tidak pasti apa sejarahnya, tetapi senibinanya agak mengagumkan. Jesuit Monastery adalah lokasi terakhir yang aku jejaki di kota ini. Selepas bergambar di hadapan gereja tersebut, aku kembali semula ke Pile Gate untuk menunggu bas untuk kembali semula ke stesen bas. Tidak berapa lama selepas menunggu, bas yang dinantikan pun tiba. Aku lantas menaikinya & tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di stesen bas tersebut. Sesampainya aku di situ, aku terus mengambil semula beg yang aku simpan di tempat penyimpanan beg. Selepas itu, aku menunggu pula ketibaan bas untuk ke Mostar, Bosnia & Herzegovina yang merupakan destinasi aku seterusnya di rantau Balkan ini.


Jesuit Monastery, Dubrovnik, Croatia

Hampir 20 minit aku menunggu. Akhirnya bas yang dinantikan pun tiba. Lebih kurang pukul 5.15 petang, ianya pun bertolak meninggalkan Dubrovnik. Perjalanan ke Mostar mengambil masa lebih kurang 3 jam. Pemandangan luar yang aku nikmati sepanjang perjalanan menaiki bas dari Dubrovnik ke Mostar adalah pemandangan yang paling indah yang pernah aku nikmati seumur hidup aku. Subhanallah. Indah sungguh alam ciptaan Allah SWT di bumi Balkan. Bukit-bukau yang hijau berserta air sungai yang jernih kehijauan benar-benar menyejukkan penglihatan mata sesiapa sahaja yang memandang. Walaupun penat, aku rasa bersalah untuk melelapkan mata kerana takut akan terlepas pemandangan yang cantik.

Lebih kurang pukul 8.15 malam, aku pun tiba di stesen bas Mostar. Sebaik sahaja aku & penumpang-penumpang lain menapak keluar dari bas tersebut, beberapa orang tempatan datang berkerumun di sekeliling kami. Mereka menawarkan hostel-hostel milik masing-masing. Disebabkan terlampau penat, aku menerima sahaja tawaran yang diberi oleh seorang wanita berusia 30-an. Tetapi, sebelum itu aku bertanya dulu tentang harga yang dia ingin tawarkan. Mujurlah tidak mahal. Dia kemudiannya membawa aku berjalan kaki ke hostel miliknya. Sepanjang perjalanan ke hostel tersebut yang tidak jauh dari bas stesen itu, kami berbual-bual. Bermacam-macam soalan ditanya olehnya, seperti dari negara mana aku berasal, aku sudah bekerja atau masih belajar & macam-macam lagi.

Lebih kurang selepas 5 minit berjalan, akhirnya kami tiba di hostel yang dimaksudkan. Rupa-rupanya hostel tersebut adalah rumahnya sendiri. Dia telah membuat tambahan di belakang rumahnya untuk disewakan kepada para pelancong luar yang datang berkunjung ke Mostar. Itu adalah bisnes yang amat biasa di sini, menurut kata wanita pemilik hostel itu. Selepas mendaftar masuk, aku pun dibawa ke bilik tumpangan aku. Setelah berbual-bual sedikit, dia pun meninggalkan aku berseorangan. Aku kemudian mandi, solat & bersiap-siap untuk keluar. Setelah selesai bersiap-siap, aku pun keluar untuk mencari makan. Lapar sangat rasanya.

Aku makan pizza makanan laut di sebuah restoran yang terletak di tengah-tengah kota Mostar. Harganya amatlah murah. Selepas selesai makan, aku berjalan-jalan di sekitar kota Mostar untuk menghirup udara malam di sini. Aku sempat bergambar dengan sebuah masjid lama, iaitu Karadzozgegova Mosque & juga jambatan yang terkenal & bersejarah di kota ini, iaitu Stari Most. Aku menghabiskan masa yang agak lama bergambar dengan jambatan ini. Selepas puas bergambar, aku pun berjalan kembali semula ke bilik tumpangan aku. Aku kemudiannya terus melelapkan mata kepenatan.


Karadzozgegova Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG IV) - CRoaTia II & DuBRoVNiK I

>> Friday, October 09, 2009



Croatia seterusnya berada di bawah jajahan Empayar Austria-Hungary sehinggalah empayar tersebut kalah dalam Perang Dunia Pertama. Penduduk-penduduk etnik Croat, Serb & Slovene kemudiannya bersatu membentuk sebuah kerajaan baru yang diberi nama Yugoslavia yang diketuai oleh seorang raja. Walau bagaimanapun, kerajaan tersebut telah diceroboh & ditawan oleh tentera Nazi Jerman pada tahun 1941 sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua. Pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi, Serb & kaum-kaum etnik selain daripada Croat telah dilakukan sewaktu pemerintahan Nazi Jerman di bumi Croatia. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, kerajaan Yugoslavia dibentuk semula. Akan tetapi pada kali ini ianya adalah sebuah kerajaan Republik berfahaman sosialis yang diperintah oleh seorang Diktator.

Sentimen nasionalisma kemudiannya tersebar meluas di seluruh Yugoslavia pada tahun 1980-an & 1990-an. Sentimen ini seterusnya telah mencetuskan Perang Pembebasan Croatia pada awal tahun 1990-an. Croatia akhirnya mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Yugoslavia pada awal tahun 1992 & telah mendapat pengiktirafan dunia.

Dubrovnik pula adalah salah sebuah bandar pelancongan yang terpenting di negara Croatia. Bandar ini terletak di penghujung kawasan persisiran pantai Dalmatia yang menghadap Laut Adriatik. Ianya adalah antara kawasan pelancongan yang paling popular di kawasan Dalmatia sehingga digelar sebagai ‘Pearl of the Adriatic’. Dubrovnik turut tersenarai dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Penduduknya berjumlah 40,000 orang. Apa yang menarik tentang Dubrovnik adalah kejernihan air lautnya & juga keunikan bandar ini di mana hampir kesemua bangunan yang terdapat di sini berbumbung merah. Bangunan-bangunannya juga mempunyai senibina yang mengagumkan. Individu yang paling penting dalam sejarah Dubrovnik ialah Saint Blaise. Patung-patungnya terdapat di mana-mana sahaja di dalam bandar ini.


Peta kedudukan Dubrovnik dalam Croatia


Peta Pantai Dalmatia, Croatia


Dubrovnik, Croatia

Dubrovnik atau nama asalnya, Ragusa diasaskan pada kurun ke-7. Ia kemudiannya dijadikan tanah jajahan Empayar Byzantine. Pada tahun 1205, bandar ini jatuh ke tangan kuasa kerajaan Republik Venice sehinggalah ke tahun 1358 apabila ia kemudiannya membentuk kerajaan sendiri yang berbentuk Republik. Republik Ragusa ini mencapai zaman kegemilangannya pada kurun ke-15 & ke-16 sehingga ia berjaya memberi saingan hebat kepada Republik Venice & republik-republik maritim yang lain di kawasan Laut Adriatik. Bahasa rasmi yang digunakan di republik ini adalah Bahasa Itali.

Republik Ragusa semakin lama semakin merosot sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1808. Bandar ini seterusnya dijadikan tanah jajahan Empayar Austria mulai tahun 1815. Selepas kejatuhan empayar tersebut akibat kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama, Ragusa menjadi sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia yang baru dibentuk. Pada waktu inilah nama Ragusa ditukar menjadi Dubrovnik. Bandar ini seterusnya menerima nasib yang sama seperti bandar-bandar lain di Croatia sehinggalah Croatia mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Yugoslavia pada tahun 1991.

Tempat pertama di Dubrovnik yang aku jejaki ialah Pile Gate, di mana bas yang aku naiki dari stesen bas tadi berhenti. Pile Gate adalah pintu masuk utama ke Old Town, tempat yang menjadi tumpuan utama para pelancong di Dubrovnik kerana kesemua tarikan yang terdapat di bandar ini terletak di dalam Old Town. Kawasan Old Town ini pula dikelilingi oleh tembok batu. Keseluruhan kawasan Pile Gate ini dibina sekitar tahun 1471.


Pile Gate, Dubrovnik, Croatia

Selepas bergambar di hadapan Pile Gate, aku pun masuk menyusurinya untuk melihat suasana di dalam Old Town yang sememangnya menakjubkan. Aku kagum melihat senibina bangunan-bangunan yang terdapat di sini. Struktur pertama yang aku dapat lihat sebaik sahaja aku masuk ke dalam kawasan Old Town ini ialah Big Onofrio Fountain yang dibina pada tahun 1438 oleh seorang arkitek yang bernama Onofrio della Cava. Ianya dibina sebagai sumber air kepada penduduk tempatan pada zaman dahulu & masih lagi digunakan sehingga sekarang. Pada masa kini, tempat ini menjadi tumpuan para pelancong untuk mengisi air. Ia juga menjadi tempat tumpuan burung-burung merpati yang mencari rezeki di sini.


Big Onofrio Fountain, Dubrovnik, Croatia

Aku seterusnya berjalan menyusuri Placa, yang merupakan jalan utama di dalam Old Town Dubrovnik ini yang sentiasa dipenuhi oleh manusia. Jalan ini dibina selepas kejadian gempa bumi yang menimpa Dubrovnik pada tahun 1667. Kedai-kedai yang terdapat di kiri-kanan jalan ini mempunyai senibina yang lebih kurang sama & juga dibina mengikut ketinggian yang sama. Antara senibina terpenting yang terdapat di Placa adalah Franciscan Monastery yang dibina pada kurun ke-15. Di penghujung jalan ini pula terdapat sebuah menara loceng. Menara loceng setinggi 31 meter ini pertama kali dibina pada tahun 1444 & mengalami beberapa pengubahsuaian sehingga pengubahsuaian yang terakhir pada tahun 1929.


Placa, Dubrovnik, Croatia


Placa, Dubrovnik, Croatia


Franciscan Monastery, Dubrovnik, Croatia


Menara loceng, Dubrovnik, Croatia

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG III) - CRoaTia I

>> Thursday, October 08, 2009



Hari 1: 11 MEI 2008

Aku memulakan pengembaraan aku di rantau Balkan pada hari ini. Penerbangan Aer Lingus dari Dublin ke Dubrovnik, Croatia dijadualkan berlepas pada pukul 7.30 pagi. Aku terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Dublin malam tadi kerana ingin menjimatkan wang. Bas paling awal dari kawasan rumah aku ke lapangan terbang tersebut pada hari ini, iaitu hari Ahad adalah pukul 8.00 pagi. Tambang teksi pula berlipat kali ganda mahalnya. Oleh itu, aku terpaksa memilih untuk bermalam sahaja di lapangan terbang malam sebelum penerbangan aku ke Dubrovnik. Lebih kurang pukul 10.30 malam tadi, aku menaiki bas terakhir ke Lapangan Terbang Dublin.

Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku mengisi kelapangan masa yang ada dengan membaca buku panduan ‘Eastern Europe’ yang aku bawa untuk menambah pengetahuan tentang negara-negara yang bakal aku jejaki nanti. Setelah penat membaca, aku pun cuba melelapkan mata sementara menunggu jam pukul 5.30 pagi. Aku berjaya melelapkan mata untuk beberapa jam.

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku pun mulai bergerak menuju ke kaunter pendaftaran masuk. Selepas menyelesaikan segala urusan pendaftaran masuk, sekuriti dan sebagainya, aku pun menunggu di pintu perlepasan sehingga dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama selepas menunggu, pada penumpang pun dijemput masuk. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, pesawat Aer Lingus yang kami naiki pun berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Dubrovnik. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3¼ jam lamanya.

Lebih kurang pukul 11.45 pagi waktu tempatan Croatia, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dubrovnik. Setibanya aku di situ, aku menyelesaikan semua urusan imigresen & kemudian, aku keluar untuk mencari pengangkutan awam untuk ke pusat bandar Dubrovnik. Terdapat sebuah syarikat bas yang menawarkan kemudahan pengangkutan ke pusat bandar. Aku menaiki bas tersebut. Bas tersebut rupa-rupanya tidak berhenti di pusat bandar Dubrovnik, tetapi di stesen bas yang terletak beberapa kilometer dari pusat bandar tersebut.

Setibanya sahaja aku di stesen bas yang dimaksudkan, aku pun menyimpan beg besar aku di dalam bilik penyimpanan beg yang disediakan di situ. Kemudian, aku membeli tiket untuk ke Mostar pada waktu petang nanti. Aku hanya akan menghabiskan masa separuh hari sahaja di Dubrovnik. Selesai sahaja membeli tiket, aku terus menaiki bas yang lain untuk ke pusat bandar.

Apabila tiba di pusat bandarnya, aku pun memulakan pengembaraan aku di bandar Dubrovnik, Croatia ini. Croatia adalah negara pertama yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Slovenia & Hungary di bahagian utara, Serbia di bahagian timur laut, Bosnia & Herzegovina di bahagian timur & Montenegro di bahagian tenggara. Bahagian barat dayanya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Adriatik. Penduduk negara ini yang berjumlah 4,400,000 menggunakan Bahasa Croat sebagai bahasa rasmi mereka. Croatia adalah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Republik dengan diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan ialah Kuna. 1.00 Euro bersamaan dengan 7.30 Kuna & 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 1.45 Kuna.

Croatia adalah sebuah negara yang mempunyai bentuk geografi yang pelbagai iaitu tanah rata, tasik, bukit-bukau, hutan rimba & pantai berpasir. Persisiran pantainya yang dipanggil dengan nama Dalmatia merupakan antara persisiran pantai yang tercantik di dunia. Negara ini dihuni oleh pelbagai kaum etnik. Majoritinya, iaitu 89% adalah kaum etnik Croat. Selebihnya adalah kaum etnik Serb, Bosniak, Hungary, Itali, Slovene, Jerman, Czech & Romani (Gypsy). 88% daripada penduduknya adalah penganut agama Kristian Katholik. Yang selebihnya adalah penganut agama Kristian Orthodox & agama Islam.


Peta kedudukan negara Croatia dalam benua Eropah


Peta negara Croatia


Bendera negara Croatia

Bumi Croatia ini telah dihuni oleh manusia sejak zaman pra-sejarah lagi. Pada tahun 9 Masihi, ia dijadikan sebahagian daripada Empayar Rom. Orang-orang kaum etnik Croat sebenarnya hanya tiba di muka bumi Croatia ini pada kurun ke-7, iaitu sewaktu era kenabian Rasulullah SAW. Pada pertengahan kurun tersebut, Maharaja Byzantine yang memerintah pada waktu itu, iaitu Heraclius telah mengarahkan Pope John IV untuk menghantar mubaligh-mubaligh Kristian Katolik kepada orang-orang Croat. Orang-orang Croat ini akhirnya menerima ajaran Kristian Katolik yang diajarkan kepada mereka.

Pada tahun 925, seorang bangsawan berbangsa Croat yang bernama Tomislav telah menyatukan kesemua orang-orang Croat & membentuk sebuah kerajaan yang bernama Croatia. Di bawah pemerintahannya, Croatia merupakan antara kuasa yang terkuat di zaman Medieval Eropah. Kegemilannnya berada di kemuncak sewaktu pemerintahan Petar Kresimir dari tahun 1058 hingga tahun 1074. Disebabkan tiada pewaris, pemerintahan kerajaan Croatia ini diambil alih oleh kerajaan Hungary yang mempunyai talian persaudaraan dengan pemerintah kerajaan Croatia. Walau bagaimanapun, penyatuan Hungary & Croatia ini telah mencetuskan peperangan selama 10 tahun. Akhirnya, kerajaan Hungary bersetuju memberi kuasa autonomi kepada Croatia dalam perjanjian pada tahun 1102.

Penyatuan Croatia-Hungary akhirnya tamat pada tahun 1526 apabila tentera Hungary kalah kepada tentera Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Mohacs. Penduduk Croatia kemudiannya memilih keluarga Habsburg sebagai pemerintah kerajaan mereka. Empayar Turki Uthmaniyah kemudiannya telah melakukan pelbagai percubaan untuk menakluki bumi Croatia. Peperangan antara Croatia & Empayar Turki Uthmaniyah berlarutan selama hampir 200 tahun. Peperangan ini telah menyebabkan ramai penduduk Croatia melarikan diri ke Austria.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP