Showing posts with label Syria. Show all posts
Showing posts with label Syria. Show all posts

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXIII) - iNTeRMiSSioN II

>> Tuesday, September 07, 2010



Selepas menjejakkan kaki di Hamra Street, aku pun berjalan pulang kembali ke hostel. Perjalanan ke hostel juga turut memakan masa selama lebih kurang sejam. Setelah penat berjalan, aku akhirnya tiba juga di hostel. Selepas mendapatkan kembali beg yang aku letak di tepi kaunter, aku terus berjalan menuju ke stesen bas untuk mendapatkan bas ke Damsyik, Syria. Namun, nasib aku agak malang. Pada waktu itu, iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang, bas ke Damsyik sudah tiada. Bas terakhir bertolak pada waktu tengah hari tadi. Aku mula menjadi panik. Aku sudah tiada jalan lain melainkan menaiki teksi.

Mujurlah ada seorang pemandu teksi datang menghampiri aku bertanyakan destinasi aku. Bahasa Inggerisnya agak baik, sama seperti penduduk-penduduk Lubnan yang lain. Aku lantas memberitahunya yang aku hendak ke Damsyik. Dia kemudian menyatakan yang dia perlu menunggu 2-3 orang lagi penumpang ke Damsyik sebelum dia boleh bertolak supaya tambang ke sana boleh dikurangkan setelah dibahagikan sama rata. Aku mengangguk tanda bersetuju. Dia kemudian memasukkan beg aku ke dalam boot keretanya. Setelah agak lama menunggu, masih belum ada penumpang yang mahu ke Damsyik dengan teksi kepunyaan pemandu itu.

Akhirnya, pemandu teksi itu bertanya kepada aku sama ada aku hendak terus bertolak sahaja ke Damsyik seorang diri. Harga tambang agak mahal, namun aku masih mampu. Aku lantas terus meminta pemandu teksi itu untuk terus sahaja bertolak ke Damsyik tanpa perlu menunggu penumpang lain. Pemandu teksi itu mengikut sahaja permintaan aku & terus menggerakkan teksinya. Walau bagaimanapun, di suatu tempat, terdapat seorang lelaki menahan teksi itu. Kebetulan dia juga mahu ke Damsyik. Alhamdulillah. Lelaki itu kemudiannya masuk & duduk di sebelah aku. Kami tidak berbual apa-apa kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Perjalanan ke Damsyik dengan teksi itu memakan masa lebih daripada 2 jam.

Apabila tiba di sempadan Lubnan-Syria, aku terpaksa menguruskan hal imigresen & visa pula. Aku tidak perlu membayar apa-apa untuk keluar dari Lubnan & untuk masuk semula ke Syria. Namun, sewaktu di pusat imigresen Syria, aku perlu mengisi borang perakuan kesihatan kerana pada waktu itu, wabak H1N1 sedang hangat melanda dunia. Aku perlu meminta pengesahan daripada seorang doktor yang bertugas di situ. Bilangan orang yang hendak meminta pengesahan berpuluh-puluh jumlahnya. Namun, doktor yang bertugas cuma seorang sahaja. Sangatlah tidak bersistem. Aku terpaksa berebut-rebut dengan mereka yang ada di situ kerana mereka tidak tahu beratur. Huhuhuh. Setelah bersungguh-sungguh berebut, aku akhirnya berjaya mendapatkan pengesahan daripada doktor itu & aku lantas terus menyerahkan borang tersebut kepada pegawai imigresen yang bertugas. Setelah itu, pemandu teksi yang turut membantu aku berebut-rebut tadi membawa aku semula ke teksinya untuk meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Peta perjalanan dari Beirut ke Damsyik

Di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya, yang terletak di pinggir sebatang lebuhraya, pemandu teksi itu menurunkan aku & penumpang lelaki tadi. Penumpang lelaki itu kemudiannya memarahi pemandu teksi itu. Aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Kemudian, aku bertanya kepada pemandu teksi itu mengapa dia menurunkan kami di situ. Dia menjawab yang dia hanya dapat menurunkan aku di pinggir kota Damsyik sahaja. Dia tidak dapat membawa aku masuk ke dalam kota itu. Dia meminta aku menahan teksi lain untuk masuk ke sana. Aku menjadi bingung & marah. Aku lalu mendesaknya supaya membawa juga aku ke dalam kota Damsyik. Dia akhirnya bersetuju dengan syarat aku perlu membayar tambang lebih sedikit. Aku tanpa berfikir panjang bersetuju sahaja. Aku lebih rela membayar lebih daripada ditinggalkan terkontang-kanting di pinggir lebuhraya. Beginilah perangai kebanyakan orang Arab yang aku temui. Kalau cakap, bukan main pandai putar belit. Awal-awal tadi, dia seolah-olah begitu yakin akan membawa aku terus ke destinasi tujuan aku di Damsyik. Alih-alih, bila sudah tiba di pinggir kota itu, dia hendak tinggalkan aku begitu sahaja di pinggir sebatang lebuhraya. Aku berasa sangat-sangat bengang.

Apabila sudah tiba di dalam kota Damsyik, aku memintanya menurunkan aku di Masjid Zaid bin Thabit yang terletak berdekatan dengan rumah Ikhwan. Itu sahaja landmark terdekat yang aku tahu. Aku pun terus dibawanya ke lokasi berhampiran dengan masjid tersebut. Selepas membayar tambang, aku keluar dari teksi itu & terus berjalan menuju ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Mujurlah dia ada di rumah. Selepas mandi & solat Maghrib & Isyak, aku berbual-bual dengan Ikhwan. Ini adalah malam terakhir aku menumpang di rumahnya. Aku akan pulang semula ke Irbid, Jordan tengah hari esok. Aku bercerita tentang pengalaman aku di Beirut. Dia tekun mendengar. Apabila sudah mengantuk, kami berdua pun terus melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXVIII) - BoSRa II

>> Wednesday, September 01, 2010



Selepas melawat Buheira Cathedral yang pernah dijejaki oleh Rasulullah SAW itu, kami kemudiannya berjalan keluar dari kawasan Bosra Citadel. Kami seterusnya singgah di restoran yang berhampiran dengannya untuk makan tengah hari. Bekalan makanan tengah hari telah pun disediakan oleh Syazwan & ketiga-tiga pelajar UIA itu. Disebabkan pemilik kedai pada mulanya enggan menerima kedatangan kami yang membawa bekalan sendiri, akhirnya, kami terpaksa membayar upah kepadanya. Kami juga terpaksa memesan air teh sekadar untuk menjaga hatinya.

Selesai sahaja makan, kami ke destinasi kami yang seterusnya dengan menaiki van. Destinasi seterusnya ialah Makam Nabi Ayub a.s yang terletak di dalam sebuah masjid. Nabi Ayub a.s adalah antara nama-nama Nabi yang disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, baginda juga adalah antara 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam. Nabi Ayub a.s pada mulanya hidup dalam keadaan yang penuh kesenangan dengan kekayaannya & dengan jumlah anaknya yang ramai. Namun, baginda kemudiannya diuji oleh Allah SWT dengan penyakit yang pelik, dengan kegagalan perniagaannya & dengan kematian anak-anaknya selama beberapa tahun. Walau diuji dengan hebat oleh Allah SWT, baginda tetap bersabar & tidak pernah mengeluh. Allah SWT akhirnya mengembalikan kesihatannya & juga kekayaannya berkat daripada kesabarannya menerima ujian Allah dengan tenang & tidak pernah berhenti mengingati Allah SWT.


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami menunaikan solat di masjid tersebut sebelum bergerak menuju ke tempat yang seterusnya, iaitu telaga Nabi Ayub. Di telaga inilah Nabi Ayub dikatakan menyapu kepalanya untuk menyembuhkan penyakitnya. Wallahu ‘alam. Kami semua pada mulanya bercadang untuk mengambil air telaga tersebut untuk dibuat minuman. Mana tahu, mungkin air telaga itu berkhasiat. Tetapi, setibanya kami di telaga itu, kelihatan kanak-kanak tempatan sedang bermandi-manda dengan rakus sekali. Air yang terkandung dalam telaga itu pun agak kotor. Kawasan di sekitarnya juga agak terbiar & tidak terjaga. Sedih kami melihatnya. Kami serta-merta terpaksa membatalkan niat kami untuk mengambil air telaga tersebut. Kanak-kanak yang ada di situ agak ramai. Kami menjadi tumpuan mereka kerana mungkin tidak ramai pengunjung luar datang menziarahi telaga tersebut. Kanak-kanak itu mengikut kami sehingga ke van. Agak nakal juga mereka ini. Mujurlah mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh mencederakan kami.


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Bersama Asyraf di Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami seterusnya menuju ke sebuah bandar kecil yang bernama Nawa. Di sini, terdapat sebuah masjid di mana terdapatnya Makam Imam Nawawi. Imam Nawawi adalah antara perawi hadis yang terkenal. Dia juga adalah antara skolar yang penting dalam Mazhab Syafi’e. Dia dilahirkan pada tahun 1234 di Nawa & meninggal dunia pada tahun 1278 di tempat yang sama ketika usianya 44 tahun. Sepanjang hidupnya, dia telah banyak menulis buku berkenaan dengan ajaran Islam yang kebanyakannya menjadi sumber utama pelajar-pelajar pengajian Islam di seluruh dunia. Di kawasan makamnya terdapat sepohon pokok yang dikatakan satu-satunya spesis yang ada di muka bumi ini. Wallahu ‘alam.


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria

Selepas selesai sahaja menziarahi Makam Imam Nawawi, kami semua pun menuju jalan pulang semula ke Damsyik. Lebih kurang 1½ jam kemudian, kami pun tiba semula di hadapan Abu Nour University. Pasangan suami isteri & 3 orang anaknya itu mengucapkan selamat tinggal kepada kami & pulang semula ke rumah mereka. Aku, Syazwan, Ridhuan, Asyraf & Shahrul kemudiannya menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Mereka berempat meninggalkan aku berhampiran kawasan rumah Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi membawa & menemani aku ke Bosra. InsyaAllah jika tiada apa-apa halangan, esok aku akan mengikut trip Syazwan ke Aleppo pula. Dia akan menghubungi Ikhwan malam ini untuk memberitahu perkembangan tentang trip tersebut.

Selepas itu, aku pun berjalan pulang ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu tiada di rumah. Mujurlah seorang rakan serumahnya ada untuk membuka pintu rumah. Dan mujurlah biliknya tidak berkunci. Aku lalu masuk ke dalam biliknya untuk tidur sementara menunggu waktu Maghrib. Penat sungguh rasanya. Beberapa jam selepas aku tidur, tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu bilik Ikhwan. Dia lalu membuka pintu & bertanyakan tentang Ikhwan. Aku pun lalu memberitahunya yang Ikhwan tiada di bilik & aku tidak tahu dia di mana. Orang itu lalu masuk ke dalam bilik & mula mengajak aku berbual-bual. Dia memang seorang yang peramah. Namanya Burhanuddin. Aku dalam keadaan yang masih mamai terpaksa juga melayannya. Heheh.

Dia menceritakan tentang masalah yang sedang dialaminya, iaitu tentang pengajiannya di bumi Damsyik. Terlalu banyak masalah yang timbul akibat tekanan daripada kerajaan Syria yang banyak menghalang aktiviti-aktiviti & pengajian-pengajian agama. Ini memaksa dia untuk memikirkan akan kemungkinan untuk bertukar ke Jordan pula yang lebih bersifat terbuka. Sedih pula aku mendengar ceritanya. Bumi Damsyik sememangnya amat terkenal sebagai pusat pengajian ilmu Islam sejak berkurun-kurun lamanya. Namun, kerajaan Syria & pemimpinnya yang bersifat sekular telah banyak membawa kerosakan. Diharapkan suatu hari nanti akan lahir kerajaan & pemimpin yang lebih adil & mampu membangkitkan semula syiar Islam di kota Damsyik ini.

Agak lama juga aku & Burhanuddin berbual sambil menunggu kepulangan Ikhwan. Namun, Ikhwan masih belum pulang-pulang lagi. Dia kemudian akhirnya meminta diri dahulu kerana sudah terlalu lama menunggu. Aku kemudiannya keseorangan semula. Ikhwan pulang ke rumah agak lewat. Kemudian, Syazwan menelefonnya & memberitahu bahawa trip ke Aleppo esok terpaksa dibatalkan. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk ke Beirut, Lubnan pada keesokan hari.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXVII) - BoSRa I

>> Tuesday, August 31, 2010



Hari 13: 29 MEI 2009

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun. Selepas selesai mandi & bersiap, Ikhwan membawa aku ke Abu Nour University untuk bertemu dengan Syazwan & 8 orang lagi peserta trip ke Bosra. Kami ke universiti itu dengan menaiki bas mini. Setibanya kami di hadapan universiti itu, kami menunggu ketibaan mereka semua. Tidak berapa lama kemudian, mereka pun muncul. Syazwan adalah selaku ketua trip. 3 orang lagi adalah pelajar-pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Asyraf, Shahrul & Ridhuan yang aku jumpa 2 hari lalu. Sementara 5 orang lagi pula adalah sepasang suami isteri dari Malaysia bersama seorang anak lelaki & 2 orang anak perempuan mereka.

Kami sepuluh orang ke Bosra dengan menaiki van yang telah pun ditempah. Tidak berapa lama selepas menunggu, van yang dinantikan pun tiba. Pemandunya adalah orang Arab tempatan. Aku kemudiannya bersalaman dengan Ikhwan. Aku akan kembali semula ke rumahnya selepas pulang dari Bosra petang nanti. Apabila van kami mulai bergerak meninggalkan Damsyik menuju ke Bosra, Ikhwan pun pulang semula ke rumahnya. Perjalanan kami 10 orang ke Bosra dari Damsyik memakan masa lebih daripada sejam lamanya.

Bosra adalah salah sebuah bandar yang bersejarah di negara Syria & telah tersenarai sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’. Kota ini pernah diduduki oleh orang-orang Nabatean pada kurun ke-2 SM. Seterusnya, ia ditawan oleh Empayar Rom pada tahun 106 M. Sejak itu, Bosra mula menjadi antara kota Rom yang terpenting & antara pusat perdagangan yang utama di bumi Syam. Rasulullah SAW sendiri pernah menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk berniaga. Baginda pernah ke sini mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib sewaktu baginda masih kecil. Kemudian, ketika umurnya lebih kurang 25 tahun, baginda sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk membantu perniagaan Khadijah binti Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda.


Kedudukan Bosra dalam peta Syria

Pada kurun ke-7 ketika era dakwah Rasulullah SAW sedang giat dijalankan, kota Bosra telah jatuh ke tangan Empayar Parsi selepas kekalahan Empayar Rom Timur (Byzantine) dalam satu siri peperangan antara kedua-dua empayar besar itu. Walau bagaimanapun, kurang daripada 10 tahun kemudian, Bosra telah berjaya ditawan semula oleh Empayar Rom Timur (Byzantine). Kejayaan Empayar Rom Timur (Byzantine) menawan semula tanah jajahannya yang dirampas oleh Empayar Parsi telah diramalkan oleh Allah SWT dalam beberapa potongan ayat Al-Quran. Ayat-ayat ini diwahyukan kepada Rasulullah SAW sewaktu Empayar Rom Timur (Byzantine) baru sahaja dikalahkan oleh Empayar Parsi:

Orang-orang Rom telah dikalahkan; di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya; dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ar-Rum: ayat 2-5)


Peta Empayar Rom Timur (Byzantine) & Empayar Parsi

Tidak berapa lama selepas Empayar Rom Timur (Byzantine) berjaya menawan semula Bosra, kota tersebut ditawan pula oleh kerajaan Islam pada tahun 634 yang pada waktu itu di bawah pimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Tentera Islam yang berjaya menawan kota tersebut adalah dibawah pimpinan Khalid al-Walid. Empayar Rom Timur (Byzantine) pada waktu itu diperintah oleh Maharajanya yang bernama Heraclius. Sejak dari hari itu, Bosra kekal berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam sehinggalah ke hari ini. Walau bagaimanapun, kegemilangan yang dimilikinya sebagai pusat perdagangan yang utama di bumi Syam sudah pun tamat. Pada masa kini, kota ini seolah-olah seperti sebuah bandar mati. Yang ada cuma kesan-kesan tinggalan Empayar Rom, Byzantine & Islam yang kebanyakannya masih kukuh berdiri hingga ke hari ini.

Setibanya kami sepuluh orang di Bosra, lokasi pertama yang kami jejaki ialah sebuah masjid yang dikatakan terdapatnya bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW sewaktu baginda & untanya itu datang berdagang di sini. Aku sendiri kurang pasti akan kesahihan perkara ini. Wallahu ‘alam. Nama masjid tersebut ialah Masjid Mabrak Annaqah. Seterusnya, kami ke kawasan arkeologi yang terpenting sekali di kota ini, iaitu Bosra Citadel. Ia pada mulanya merupakan sebuah kota besar yang dibina oleh Empayar Rom. Kemudian, ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan Islam, kubu pertahanan telah didirikan di sekelilingnya. Antara tinggalan Empayar Rom yang terdapat di dalam kawasan Bosra Citadel ini ialah Roman Theatre yang besar saiznya. Ianya dibina pada kurun ke-2 M sewaktu era kegemilangan Bosra sebagai salah sebuah kota Rom yang terpenting di bumi Syam. Roman Theatre ini boleh menampung seramai 15,000 orang penonton dalam suatu masa.


Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bersama Asyraf & Shahrul di Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW dalam Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria

Selepas menghabiskan masa yang agak lama bergambar di dalam Roman Theatre itu, kami ke sebuah kawasan di mana kami dapat melihat runtuhan-runtuhan kota yang pada suatu masa dahulu merupakan antara kota Rom yang teragung sekali di bumi Syam. Yang tinggal kini hanyalah tiang-tiang batu yang masih tegak berdiri. Kemudian, kami ke Al-Umari Mosque yang juga terletak di kawasan Bosra Citadel ini. Ianya adalah antara masjid-masjid yang tertua dalam sejarah Islam. Masjid ini mula dibina sewaktu kerajaan Islam di bawah pimpinan Umar al-Khattab. Walau bagaimanapun, masjid ini hanya siap dibina sepenuhnya pada tahun 721, sewaktu era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Yazid bin Abdul Malik. Masjid tersebut kemudiannya diubahsuai & diperbesarkan lagi pada kurun ke-12 & ke-13 sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiah.


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Al-Umari Mosque di dalam runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria

Kami sepuluh orang kemudiannya berjalan ke sebuah runtuhan gereja yang bernama Buheira Cathedral. Di gereja inilah Rasulullah SAW telah bertemu dengan paderi Kristian bernama Buheira sewaktu baginda berusia 10 tahun. Pada waktu itu, baginda bersama-sama dengan bapa saudaranya, Abu Talib & juga pedagang-pedagang Quraisy lain dari Mekah berkunjung ke bumi Bosra untuk urusan perniagaan. Mereka seterusnya dijemput oleh paderi Buheira kerana dia ingin sekali bertemu dengan bakal pesuruh Allah yang dikatakan akan muncul dari bumi Mekah. Apabila dia bersua muka dengan Rasulullah SAW, dia dapat melihat tanda-tanda kerasulan baginda seperti yang telah dikatakan dalam kitab Injil yang asli. Paderi itu kemudiannya menceritakan hal itu kepada Abu Talib & menyuruhnya melindungi Rasulullah SAW daripada orang-orang Yahudi yang berkemungkinan akan membunuh baginda jika diketahui akan kerasulan baginda.


Buheira Cathedral, Bosra, Syria


Bersama Pakcik & Shahrul di Buheira Cathedral, Bosra, Syria

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXVI) - DaMSYiK V

>> Monday, August 30, 2010



Hari 12: 28 MEI 2009

Pada pagi hari ini, aku sekali lagi mengembara bersendirian di kota Damsyik kerana aku tidak mahu menyusahkan Ikhwan yang sedang sibuk dengan urusan peperiksaannya. Tempat pertama yang aku jejaki hari ini ialah Citadel of Damascus, yang terletak bersebelahan Souq al-Hamidiyya. Kubu pertahanan ini dibina oleh saudara kandung Salahuddin al-Ayyubi, iaitu al-Malik al-Adil pada kurun ke-13 untuk mempertahankan kota Damsyik daripada serangan tentera Salib & juga tentera Mongol. Walau bagaimanapun, ia telah berjaya dimusnahkan ketika serangan tentera Mongol pada tahun 1260. Kubu ini seterusnya dibina semula oleh Sultan Mamluk yang bernama Baybars. Walau bagaimanapun, ia sekali lagi dimusnahkan oleh serangan tentera Mongol kedua yang dipimpin oleh Timurlane pada tahun 1400.

Sewaktu Damsyik berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, Citadel of Damascus ini tidak lagi memainkan apa-apa peranan. Maka, ianya dibiarkan begitu sahaja. Kawasan dalaman Citadel of Damascus buat masa sekarang ditutup untuk proses pembaikan. Di hadapannya pula terdapat tugu patung berkuda Salahuddin al-Ayyubi yang diperbuat daripada gangsa. Ianya dirasmikan pada tahun 1993 oleh Presiden Syria yang terdahulu, iaitu Hafez al-Assad bagi menandakan ulangtahun ke-800 kematian pahlawan terkenal, Salahuddin al-Ayyubi. Selain watak Salahuddin al-Ayyubi, terdapat beberapa lagi watak yang terdapat pada tugu tersebut, iaitu 2 orang askarnya, seorang ahli Sufi & 2 orang pemimpin tentera Salib yang terkenal, iaitu Guy of Lusignan & Raynald of Chatillon.


Tugu berkuda Salahuddin al-Ayyubi di hadapan Citadel of Damascus, Damsyik, Syria

Selepas bergambar dengan ukiran patung tersebut, aku melalui Souq al-Hamidiyya untuk ke destinasi seterusnya, iaitu Bimaristan an-Nuri. Bangunan yang mempunyai pengaruh senibina Seljuk ini dahulunya merupakan sebuah hospital & juga sekolah perubatan. Ianya berfungsi sehingga kurun ke-20 sebelum dipindahkan ke Universiti Hospital yang moden di kota ini. Bangunan ini dibina pada tahun 1154 oleh Sultan Nuruddin bin al-Zangi & diperluaskan pada tahun 1242 oleh seorang doktor yang bernama Badaruddin. Di tengah-tengah kawasan bekas hospital ini terdapat sebuah taman mini di mana terdapatnya juga sebuah kolam kecil. Pada masa kini, ianya adalah sebuah muzium yang menyimpan pelbagai khazanah-khazanah berharga dalam ilmu perubatan.


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria


Bimaristan an-Nuri, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi Bimaristan an-Nuri, aku berjalan menuju ke kawasan penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik. Di sini terdapat sebuah monumen yang bernama Roman Arch. Juga terdapat beberapa buah gereja yang telah berusia beratus-ratus tahun & masih lagi digunakan sehingga sekarang. Ini menandakan betapa adilnya pemerintah Islam di kota ini yang membenarkan penganut-penganut agama Kristian mengamalkan agama mereka tanpa sebarang halangan.


Penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik, Damsyik, Syria


Penempatan penduduk Kristian di kota Damsyik, Damsyik, Syria, Damsyik, Syria

Selepas melalui kawasan penempatan penduduk Kristian, aku berjalan kembali ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Selepas solat Asar, dia membawa aku ke Bab Saghir dengan menaiki teksi. Bab Saghir adalah antara 9 buah pintu masuk ke dalam kota Damsyik yang dikelilingi oleh benteng pertahanan pada zaman dahulu. Di kawasan ini juga terdapat sebuah kawasan perkuburan yang terkenal di kota Damsyik kerana di sinilah terletaknya makam-makam beberapa orang ahli keluarga Rasulullah SAW & juga beberapa orang sahabat-sahabat baginda. Antaranya ialah Umm Kalsum (cucu Rasulullah), Umm Kalthoum (cucu Rasulullah), Asma binti Umays (isteri Ja’afar bin Abu Talib), Sakina (cicit Rasulullah), Fatimah (cicit Rasulullah), Ubay bin Ka’ab (suami ibu susuan Rasulullah, iaitu Halimatul Saadiah) & Bilal bin Rabah, Auf bin Auf Ath-Thaqofi, Mu’awiyah bin Abu Sufyan & Abdullah Umm Makhtum. Berdekatan dengan Bab Saghir juga terdapat sebuah makam yang merupakan bekas tempat persemadian kepala-kepala mangsa Perang Karbala yang telah dipancung.


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Bab Saghir, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria


Makam kepala-kepala mangsa Perang Karbala, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi kawasan perkuburan di Bab Saghir, aku dibawa oleh Ikhwan ke Souq al-Hamidiyya untuk menziarahi makam Abu Hurairah r.a. Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW & juga perawi hadis yang terkenal. Beliau berasal dari Yaman & telah memeluk Islam sewaktu era awal dakwah Rasulullah SAW. Setelah menziarahi makam Abu Hurairah yang terletak di dalam sebuah masjid, kami berdua menunaikan solat Maghrib di situ.


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria


Makam Abu Hurairah, Damsyik, Syria

Selepas solat Maghrib aku meminta Ikhwan untuk pulang dahulu. Aku hendak ke Umayyad Mosque untuk berehat-rehat di sana. Entah mengapa, aku sudah jatuh cinta dengan masjid tersebut. Sewaktu di dalam masjid itu, aku telah berjumpa dengan 2 orang anak-beranak dari Malaysia. Kami berbual-bual selama beberapa minit. Kemudian, mereka meminta diri untuk pulang ke hostel mereka. Mereka adalah antara beberapa orang rombongan warganegara Malaysia yang berkunjung ke bumi Syam. Setelah solat Isyak, aku pun kembali ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada masa itu sedang menerima kehadiran seorang tetamu, iaitu rakannya yang bernama Hafiz. Selepas Hafiz pulang, aku pun terus melelapkan mata. Aku perlu tidur awal kerana aku akan ke Bosra bersama-sama dengan Syazwan awal pagi esok.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP