Showing posts with label Budapest. Show all posts
Showing posts with label Budapest. Show all posts

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XVIII) - iNTeRMiSSioN

>> Sunday, January 31, 2010



Hari 7: 17 MEI 2008

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun untuk bersiap-siap. Ini kerana aku perlu menaiki keretapi seawal pukul 7.30 pagi untuk ke Budapest, Hungary. Lebih kurang pukul 7.00 pagi, aku pun melangkah keluar dari hostel menuju ke stesen keretapi Ljubljana. Setelah beberapa minit menunggu, keretapi yang dinantikan pun tiba & aku lantas masuk ke dalamnya. Aku menggunakan tiket pass Interrail. Perjalanan ke Budapest dari Ljubljana memakan masa lebih kurang 9 jam. Agak lama.

Aku mengisi masa 9 jam dalam keretapi tersebut dengan membaca novel ‘The Kite Runner’ yang baru sahaja aku beli sebelum aku memulakan pengembaraan aku di rantau Balkan. Novel hasil tulisan Khaled Hosseini ini benar-benar menyentuh hati aku. Khusyuk aku membacanya sehingga tidak menyedari tempoh masa 9 jam berlalu. Lebih kurang pukul 4.30 petang, aku pun tiba di stesen keretapi Budapest Deli. Aku seterusnya menaiki metro untuk ke hostel yang telah pun aku rujuk melalui buku panduan aku. Setelah menjumpai hostel tersebut, aku pun terus mendaftar masuk.

Selepas menunaikan solat, aku keluar untuk menikmati suasana petang di kota Budapest. Aku berjalan kaki menuju ke sekitar kawasan Chain Bridge, jambatan yang dibina merentangi Sungai Danube. Ia adalah jambatan yang paling utama & yang paling terkenal di kota ini. Ini sebenarnya adalah kali ketiga aku memijakkan kaki di kota Budapest. Disebabkan itulah aku mengetahui sedikit sebanyak selok-belok kota ini. Tujuan aku ke sini pada kali ini sebenarnya adalah sekadar sebagai persinggahan sebelum aku meneruskan perjalanan ke Bucharest, Romania. Ini disebabkan tiadanya perkhidmatan keretapi terus dari Ljubljana ke Bucharest. Jikalau ada pun, perjalanannya sudah pasti mengambil masa lebih daripada sehari. Hahaha. Aku tidak sanggup.


Peta perjalanan Ljubljana-Budapest-Bucharest dengan keretapi

Disebabkan ini adalah kali ketiga aku di Budapest, aku cuma menghabiskan masa aku di sekitar Chain Bridge sahaja. Aku menunggu sehingga malam menjelma untuk mengambil gambar bersama jambatan tersebut di waktu malam. Panoramanya memang indah sekali. Aku tidak pernah berasa jemu bergambar bersama Chain Bridge. Selain itu, aku juga sempat bergambar dengan bangunan Parlimen Hungary yang mempunyai senibina yang teramat menarik. Selepas puas bergambar, aku berjalan kembali semula ke hostel. Selepas solat, aku pun terus melelapkan mata.


Chain Bridge, Budapest, Hungary


Chain Bridge, Budapest, Hungary


Chain Bridge, Budapest, Hungary


Chain Bridge, Budapest, Hungary


Chain Bridge, Budapest, Hungary


Parlimen, Budapest, Hungary

Hari 8: 18 MEI 2008

Selepas membersihkan diri & menunaikan solat Subuh, aku terus mendaftar keluar dari hostel yang aku tumpangi & berjalan menuju ke stesen keretapi Budapest Keleti. Keretapi ke Bucharest, Romania bakal bertolak pada pukul 8.15 pagi. Keretapi tersebut sudah sedia ada di landasan. Lalu, aku terus masuk ke dalamnya. Tidak berapa lama kemudian, keretapi itu pun bergerak meninggalkan Budapest. Sedang aku duduk di dalam kabin berseorangan sambil menyambung membaca novel ‘The Kite Runner’, tiba-tiba datang seorang lelaki berbangsa Roma atau Gypsy duduk di kerusi di hadapan aku. Aku berasa kurang selesa kerana aku tahu bahawa orang-orang bangsa Roma ini ramai yang tidak berkelakuan baik.

Sedang aku asyik membaca, lelaki tersebut dengan selambanya memainkan lagu mp3 yang terdapat di dalam telefon bimbitnya dengan kuat sekali. Aku pada mulanya cuba bersabar. Namun, lama-kelamaan kesabaran aku hilang apabila lelaki tersebut memainkan lagu-lagu yang lain pula. Aku memintanya supaya berhenti memainkan lagu-lagu tersebut. Mujurlah dia memberi reaksi positif. Tidak berapa lama kemudian, dia keluar dari kabin & tidak kembali semula. Aku tidak pasti ke mana perginya lelaki itu. Apa-apa pun, aku gembira kerana aku kembali bersendirian. Dapatlah aku membaca novel ‘The Kite Runner’ dengan tenang.

Perjalanan dari Budapest ke Bucharest memakan masa lebih kurang 13½ jam. Jarak masa yang paling lama aku lalui dengan menaiki keretapi sepanjang hayat aku. Aku kurang pasti tentang harga tiketnya. Aku beruntung kerana aku menggunakan tiket pas Interrail. Ianya sangat-sangat menjimatkan. 13½ jam perjalanan dengan menaiki keretapi sememangnya teramat membosankan. Mujurlah aku ditemani oleh sebuah novel untuk dibaca. Kurang sedikit rasa bosan. Beratus-ratus muka surat berjaya aku habiskan sepanjang 13½ jam berada di dalam keretapi tersebut.

Akhirnya, lebih kurang pukul 10.45 malam waktu tempatan Romania yang awal sejam berbanding waktu tempatan Hungary, aku pun tiba di stesen keretapi Bucharest Nord. Penat rasanya duduk lama-lama di dalam keretapi. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku terus mengorak langkah mencari lokasi hostel yang sudah aku rujuk di dalam buku panduan. Apabila sudah jumpa lokasinya, aku terkejut kerana melihat kegelapan ruang dalaman hostel itu yang tidak berlampu. Aku bertanya kepada pemilik kedai di sebelah hostel tersebut. Walaupun orang itu tidak dapat berbahasa Inggeris dengan fasih, aku masih boleh memahami apa yang cuba disampaikannya. Menurut katanya, hostel tersebut sudah setahun ditutup. Alamak. Nampaknya, aku perlu mencari hostel lain. Buku panduan yang aku bawa sebenarnya adalah edisi lama. Mungkin pada tahun ianya diterbitkan hostel itu masih lagi beroperasi.

Lebih kurang 3 buah hostel telah aku jumpa dalam masa sejam berjalan-jalan di sekitar kawasan hostel yang telah ditutup tadi. Yang satu sudah penuh & yang satu lagi pula harganya terlampau mahal. Mujurlah hostel yang ketiga harganya agak berpatutan. Alhamdulillah. Aku berasa tersangat lega selepas lebih kurang sejam ke hulu ke hilir mencari hostel. Aku kemudiannya terus mendaftar masuk. Akan tetapi, menurut kata pekerja hostel tersebut, hostel tersebut sedang mengalami masalah bekalan air pada malam itu. Hanya air panas sahaja yang ada. Air sejuk tiada. Maka, aku pun terpaksalah tidur dengan badan yang melekit. Moga-moga masalah bekalan air itu dapat diselesaikan secepat mungkin agar aku dapat membersihkan diri pagi nanti.

Bersambung...

Read more...

SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG I)

>> Saturday, March 31, 2007



Pengembaraan aku di Mesir bumi Anbiyak disertai oleh 5 orang pelajar Malaysia di Dublin iaitu aku, Tok Wan, Acab, Johan & Ahmad. Acab, Johan & Ahmad telah bertolak dahulu ke Mesir dengan niat untuk belajar bahasa Arab. Mereka telah bertolak ke sana pada bulan Jun. Sementara aku & Tok Wan pula bertolak ke sana pada bulan Ogos. Niat aku & Tok Wan ke Mesir hanyalah untuk mengembara semata-mata. Kami tidak mempunyai niat untuk belajar bahasa Arab seperti ketiga-tiga rakan kami yang lain. Hahaha. Pengembaraan aku pada kali ini mengambil masa selama 16 hari. Aku bertolak ke Mesir seminggu selepas aku & Jem tiba di Dublin setelah tamatnya pengembaraan kami di Wales, Itali, Vatican City, Greece, Turki & Scotland. Cuti Musim Panas aku masih panjang lagi sebenarnya.

Pengembaraan aku di Mesir bermula pada tarikh 1 Ogos 2006 & berakhir pada tarikh 16 Ogos 2006. Lebih kurang 2 minggu lamanya. Antara bandar-bandar di Mesir yang sempat aku kunjungi ialah Kaherah, Iskandariah, Dumyat, Fayyum & juga beberapa buah tempat di Semenanjung Sinai seperti Jabal Musa, Taba’ & Dahab. Aku hanya memakai baju T sahaja sepanjang berada di Mesir kerana cuacanya yang tersangat panas, iaitu melebihi 40 darjah celcius & juga sangat kering. Cuaca sebegini amat berbeza sekali berbanding negara-negara Eropah yang telah aku jejaki.

Sepanjang kami berada di bandar Kaherah, Mesir, aku & Tok Wan bermalam di Rumah Perlis, sementara Acab, Johan & Ahmad pula bermalam di Rumah Malaysia Abbasiyah. Bayaran penginapan kami tersangatlah murah. Untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, kami telah menggunakan perkhidmatan sebuah agensi pelancongan milik seorang pelajar Malaysia di sana iaitu ‘Al-Syafie Travel’. Pemiliknya yang bernama Arif atau digelar Ustaz Arif kini sedang belajar dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar. Agensi ini menyediakan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pemandu yang juga turut ditugaskan sebagai pemandu pelancong. Bayaran perkhidmatan agensi ini tidaklah terlampau mahal & agak berpatutan.

Hari 1: 1 OGOS 2006

Pengembaraan aku di bumi Mesir bermula pada hari ini. Penerbangan Malev Hungarian Airlines aku akan berlepas pada pukul 8.00 pagi ini dari Lapangan Terbang Dublin. Aku telah pun bermalam di lapangan terbang ini malam tadi kerana takut terlepas kapal terbang. Untuk ke Kaherah, Mesir, aku perlu transit di Budapest, Hungary kerana tiada penerbangan terus dari Dublin ke Kaherah. Aku hanya berseorangan sahaja menaiki penerbangan tersebut. Tok Wan akan menyusuli aku pada esok harinya. Kami menaiki penerbangan pada hari yang berlainan kerana kami membeli tiket pada waktu yang berlainan. Acab, Johan & Ahmad sudah pun berada di bumi Mesir pada waktu ini. Aku telah berpesan kepada mereka untuk menjemput aku di Lapangan Terbang Kaherah nanti.

Setelah menunggu berjam-jam lamanya di Lapangan Terbang Dublin sejak malam tadi, akhirnya kaunter pendaftaran masuk pun dibuka. Aku lantas terus mendaftar masuk. Kemudiannya, aku menunggu pula masa untuk masuk ke dalam pesawat. Setelah beberapa minit menunggu, pintu pesawat pun dibuka. Aku & penumpang-penumpang yang lain lantas terus masuk ke dalamnya. Tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Budapest. Penerbangan tersebut mengambil masa hampir 3 jam lamanya. Ini adalah pengalaman pertama aku menaiki penerbangan Malev Hungarian Airlines. Boleh tahan juga selesanya. Aku telah pun memesan makanan halal sewaktu pembelian tiket dahulu.

Pesawat Malev Hungarian Airlines
Pesawat Malev Hungarian Airlines

Setibanya aku di Lapangan Terbang Budapest Ferihegy, waktu sudah pun menunjukkan pukul 11.45 pagi waktu tempatan Hungary. Penerbangan aku ke Kaherah akan berlepas pada pukul 11.15 malam nanti. Oleh itu, aku mempunyai masa terluang melebihi 11 jam di Budapest. Disebabkan terlampau bosan, aku terus mengambil keputusan untuk bersiar-siar di pusat bandar Budapest. Oleh itu, aku telah menempah sebuah teksi murah untuk ke pusat bandarnya. Perjalanan ke sana dari lapangan terbang tersebut mengambil masa lebih kurang 30 minit. Setibanya aku di pusat bandar Budapest, teksi tersebut meninggalkan aku di hadapan sebuah hotel. Aku akan dijemput semula pada pukul 7.00 petang nanti di tempat yang sama. Bayarannya tidaklah terlampau mahal.

Aku kemudiannya terus memulakan ekspedisi mengelilingi bandar Budapest ini. Sebenarnya, aku pernah menjejakkan kaki di Budapest sebelum ini iaitu sewaktu pengembaraan Musim Panas 2004. Maka, ini adalah pengalaman kali ke-2 aku di sini. Aku hanya menghabiskan masa dengan bersiar-siar & juga mengambil beberapa keping gambar panorama untuk dijadikan kenangan.

Panorama Országház, Budapest, Hungary
Panorama Országház, Budapest, Hungary


Panorama Széchenyi Lánchíd & Budai Vár, Budapest, Hungary
Panorama Széchenyi Lánchíd & Budai Vár, Budapest, Hungary

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 7.00 petang, aku pun dijemput oleh teksi yang sama untuk kembali ke Lapangan Terbang Budapest Ferihegy. Pada waktu ini, hujan turun dengan amat lebat sekali, seolah-olah seperti ribut petir sedang berlaku. Belum pernah aku lihat hujan selebat ini di bumi Eropah. Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku berehat-rehat di dalamnya sementara menunggu waktu pendaftaran masuk. Setelah berjam-jam menunggu, aku & penumpang-penumpang lain pun akhirnya dibenarkan untuk mendaftar masuk. Kemudian, aku menunggu pula masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Hujan sebenarnya masih belum berhenti sejak petang tadi & ianya menjadi semakin lebat.

Tiba-tiba, kedengaran satu pengumuman yang mengatakan bahawa kesemua penerbangan dari pukul 6.00 petang akan ditunda sehingga cuaca kembali pulih. Disebabkan itulah kawasan menunggu menjadi tersangat sesak. Berbelas-belas penerbangan terpaksa ditunda kerana cuaca buruk. Begitu juga dengan penerbangan aku yang sepatutnya akan berlepas pada pukul 11.15 malam terpaksa juga ditunda. Akhirnya, apabila cuaca sudah agak pulih, kesemua penerbangan yang ditunda dari pukul 6.00 petang tadi satu demi satu berlepas meninggalkan Budapest tanpa henti. Giliran penerbangan aku adalah pada pukul 1.00 pagi. Syukur kepada Allah kerana penerbangan aku tidaklah tertunda begitu lama. Hanya 1 3/4 jam sahaja tertunda.

Beberapa minit selepas masuk ke dalam pesawat, ianya pun berlepas meninggalkan Budapest menuju ke Kaherah. Penerbangan Malev Hungarian Airlines ini mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk tiba di bumi Kaherah.

Bersambung...

p/s: SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL KEPADA SEMUA UMAT ISLAM DI SELURUH DUNIA...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP