Showing posts with label Slovenia. Show all posts
Showing posts with label Slovenia. Show all posts

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XVII) - LJuBLJaNa II

>> Friday, January 29, 2010



Aku kemudiannya meneruskan langkah ke St Nicholas Cathedral atau turut dikenali dengan nama Ljubljana Cathedral. Gereja berkubah hijau & mempunyai menara berkembar ini terletak di kawasan Vodnik Square, tidak jauh dari pasar. Gereja yang asal dipercayai dibina di atas tapak gereja ini pada tahun 1262. Beberapa kejadian kebakaran telah memusnahkan gereja tersebut. Akhirnya, antara tahun 1701 & 1706, gereja yang baru dibina & ianya kekal kukuh sehingga ke hari ini. Beberapa penambahan telah dibuat pada pertengahan kurun ke-20.


St Nicholas Cathedral, Ljubljana, Slovenia

Berdekatan dengan St Nicholas Cathedral, terdapat sebuah monumen air pancut yang diberi nama Robba Fountain. Ianya terletak di sebuah dataran kecil bernama Town Square. Walau bagaimanapun, Robba Fountain yang dilihat pada masa kini hanyalah klon daripada monumen yang asal kerana monumen yang asal telah diperbaiki & dipindahkan ke National Gallery pada tahun 2006. Robba Fountain yang asal direka oleh seorang pembuat patung berbangsa Itali yang bernama Francesco Robba antara tahun 1743 & 1751. Ianya diinspirasikan daripada Bernini Fountain yang terletak di Rom, Itali.


Robba Fountain, Ljubljana, Slovenia

Berhadapan dengan Robba Fountain, terletak sebuah bangunan, iaitu Ljubljana Town Hall. Bangunan ini dibina pada tahun 1584. Kemudiannya, antara tahun 1717 & 1719, ianya telah diubahsuai. Sewaktu dekad 1920-an, sebuah monumen yang didedikasikan kepada Raja Yugoslavia yang pertama, iaitu Peter I telah didirikan di hadapan bangunan Town Hall ini. Namun, monumen tersebut telah dihancurkan sewaktu penawanan kota ini oleh tentera Fascisma Itali ketika Perang Dunia Kedua.


Ljubljana Town Hall, Ljubljana, Slovenia

Seterusnya, aku berjalan menuju ke sebuah jambatan berdekatan yang merentangi Sungai Ljubljanica yang diberi nama Triple Bridge. Ia adalah jambatan yang paling unik sekali yang pernah aku jumpa. Ini kerana jambatan ini terdiri daripada 3 buah jambatan yang dibina sebelah menyebelah. Jambatan ini merupakan satu lagi mercu tanda utama kota Ljubljana. Menurut sejarah, terdapat sebuah jambatan kayu dibina di lokasi ini pada tahun 1280. Jambatan tersebut kemudiannya digantikan dengan jambatan baru yang dibina pada tahun 1842 oleh seorang arkitek Itali. Jambatan baru tersebut diberi nama Franz’s Bridge, bersempena dengan nama Maharaja Austria-Hungary yang bernama Franz Karl. Seterusnya, pada tahun 1929, arkitek tempatan yang terkenal, iaitu Joze Plecnik telah menambah 2 buah lagi jambatan baru bersebelahan dengan Franz’s Bridge tersebut. Ketiga-tiga jambatan ini pun kemudiannya digelar Triple Bridge. Jambatan-jambatan tersebut dirasmikan pada tahun 1932.


Sungai Ljubljanica, Ljubljana, Slovenia


Triple Bridge, Ljubljana, Slovenia


Kawasan sekitar Triple Bridge, Ljubljana, Slovenia


Triple Bridge, Ljubljana, Slovenia


Triple Bridge, Ljubljana, Slovenia

Selepas bergambar dengan Triple Bridge yang unik itu, aku menuju ke dataran kecil yang terletak berhampiran dengannya. Nama dataran tersebut ialah Preseren Square. Di kawasan dataran ini terdapat sebuah ukiran patung sasterawan negara Slovenia yang bernama France Preseren. Tidak jauh darinya, terletak sebuah gereja besar yang diberi nama Franciscan Church of the Annunciation. Gereja ini dibina antara tahun 1646 & 1660 & merupakan antara gereja yang terpenting di kota Ljubljana.


Ukiran patung France Preseren, Ljubljana, Slovenia


Franciscan Church of the Annunciation, Ljubljana, Slovenia

Aku kemudiannya meneruskan perjalanan aku ke National Gallery of Slovenia. Bangunan ini dibina pada tahun 1896 sewaktu pentadbiran Datuk Bandar yang bernama Ivan Hribar. Pelbagai upacara rasmi dilakukan di dalamnya sewaktu kota ini di bawah pentadbiran Datuk Bandar tersebut. Namun, pada tahun 1918, selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, bangunan ini mula berfungsi sebagai National Gallery yang mempamerkan hasil-hasil kesenian penggiat-penggiat seni yang terkenal.


National Gallery of Slovenia, Ljubljana, Slovenia

Seterusnya, aku mengatur langkah ke runtuhan Roman Wall yang terletak agak jauh di pinggir bandar. Runtuhan tersebut adalah antara tinggalan Empayar Rom di kota Ljubljana. Ianya adalah sebuah benteng pertahanan yang telah hancur hampir keseluruhannya. Roman Wall ini dipercayai dibina sekitar tahun 14 M ketika Ljubljana berada di bawah pemerintahan empayar tersebut. Lebarnya ialah 2.4 meter & tingginya pula ialah 6 hingga 8 meter. Pada tahun 1930, arkitek tempatan yang terkenal, iaitu Joze Plecnik telah menambah piramid yang diperbuat daripada batu yang diletakkan di atas satu seksyen pada Roman Wall tersebut.


Runtuhan Roman Wall, Ljubljana, Slovenia

Selepas itu, aku bergerak menuju ke National & University Library yang merupakan antara institusi pengajian & kebudayaan yang terpenting di negara Slovenia. Bangunan yang turut direka oleh Joze Plecnik ini siap dibina pada tahun 1941 & dianggap antara hasil senibina Joze Plecnik yang terunggul.


National & University Library, Ljubljana, Slovenia

Aku kemudiannya kembali semula ke kawasan Triple Bridge untuk bersiar-siar di sekitar kawasan tersebut. Sejam sebelum matahari terbenam, aku kembali ke hostel untuk berehat-rehat. Apabila malam sudah tiba, aku pun keluar semula untuk menikmati suasana malam di Ljubljana. Aku bergambar sekali lagi dengan beberapa monumen penting di sekitar bandar ini. Kebetulan, terdapat sebuah konsert yang sedang berlangsung di Preseren Square. Walaupun aku tidak mengenali artis-artis yang membuat persembahan, aku tetap terhibur mendengarnya. Sesudah itu, aku pun kembali semula ke hostel. Dalam perjalanan pulang ke hostel, aku singgah di sebuah restoran Cina untuk menikmati makan malam. Selepas itu, aku pun meneruskan perjalanan pulang ke hostel. Selepas solat, aku pun terus melelapkan mata.


Triple Bridge, Ljubljana, Slovenia


Konsert di Preseren Square, Ljubljana, Slovenia

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XVI) - LJuBLJaNa I

>> Wednesday, January 27, 2010



Ljubljana terletak di titik pertemuan Sungai Ljubljanica & Sungai Sava. Ia merupakan ibu kota & juga bandar terbesar di dalam Slovenia. Ia terletak di tengah-tengah negara ini & mempunyai jumlah penduduk seramai 280,000 orang. Disebabkan kedudukan geografinya, Ljubljana merupakan pusat pertembungan kebudayaan Jerman, Latin & Slav pada suatu masa dahulu.


Peta kedudukan Ljubljana dalam Slovenia

Menurut sejarah, kota ini telah diduduki oleh orang-orang Veneti, Illyria & Celtic sebelum ia jatuh ke tangan Empayar Rom pada kurun pertama Masihi. Seterusnya, pada tahun 452, selepas kejatuhan Empayar Rom, kota ini diserang oleh tentera Han & Attila yang berasal dari Asia Tengah. Pada kurun ke-6, barulah orang-orang Slovene berpindah ke sini secara beramai-ramai. Seterusnya, pada kurun ke-9, kota ini jatuh pula ke tangan kerajaan Frank. Kemudiannya, pada tahun 1278, Ljubljana jatuh ke tangan pemerintahan Dinasti Habsburg yang memerintah Empayar Austria-Hungary. Antara tahun 1809 hingga 1813, kota ini berada di bawah pemerintahan Perancis pula yang pada waktu itu diketuai oleh Napoleon Bonaparte. Pada tahun 1813, Ljubljana kembali menjadi jajahan Empayar Austria-Hungary. Selepas kekalahan empayar tersebut dalam Perang Dunia Pertama, Ljubljana berada di bawah pemerintahan Slovenia yang kemudiannya bersatu dengan orang-orang Serb & Croat membentuk kerajaan Yugoslavia.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, kota ini dicerobohi oleh tentera Fascisma Itali & kemudiannya oleh tentera Nazi Jerman. Selepas tamatnya perang tersebut, ia kembali berada di bawah pentadbiran Slovenia yang kemudiannya bergabung semula dengan Croatia & Serbia membentuk Republik Sosialis Yugoslavia. Selepas Slovenia mencapai kemerdekaan daripada republik itu, Ljubljana dijadikan ibu kota negara ini.

Lokasi pertama di Ljubljana yang aku kunjungi ialah Dragon Bridge, yang merupakan antara mercu tanda utama kota ini. Ia terletak berhampiran dengan sebuah dataran yang bernama Vodnik Square. Jambatan ini dibina merentangi Sungai Ljubljanica. Nama asalnya ialah Jubilee Bridge of the Emperor Franz Josef I. Akan tetapi, namanya kemudian ditukar menjadi Dragon Bridge kerana terdapatnya 4 buah patung naga di keempat-empat penjurunya. Naga-naga tersebut terdapat dalam kisah lagenda penduduk tempatan. Dragon Bridge ini mula dibina pada awal kurun ke-20 bagi menggantikan jambatan kayu yang telah roboh pada tahun 1895 akibat kejadian gempa bumi. Ia dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Austria-Hungary yang bernama Franz Josef I, bersempena dengan ulangtahun ke-40 pemerintahannya.

Kerja-kerja pembinaan Dragon Bridge siap pada tahun 1901. Pada tahun 1985, jambatan ini diubahsuai bentuknya & pada tahun 2001, ulangtahun ke-100 pembinaan jambatan ini diraikan oleh penduduk tempatan. Dragon Bridge adalah antara jambatan yang tercantik di bumi Slovenia. Ia merupakan jambatan konkrit yang pertama dibina di Ljubljana & juga antara yang terawal di benua Eropah. Teknologi pembinaannya menjadi perhatian seluruh dunia.


Sungai Ljubljanica, Ljubljana, Slovenia


Dragon Bridge, Ljubljana, Slovenia


Dragon Bridge, Ljubljana, Slovenia

Selepas bergambar dengan Dragon Bridge, aku melintasinya untuk ke Vodnik Square. Dataran ini dinamakan bersempena dengan nama Valentin Vodnik, seorang paderi, jurnalis & sasterawan yang hidup sewaktu era Reformasi di benua Eropah. Di tengah-tengah dataran ini terdapat patungnya yang dibina pada tahun 1889. Pada zaman dahulu, terdapat sebuah sekolah di atas tapak Vlodnik Square ini. Walau bagaimanapun, kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1895 telah merobohkan sekolah tersebut. Pada masa kini, kawasan ini dijadikan kawasan pasar yang dipenuhi oleh penduduk tempatan pada waktu pagi.


Vodnik Square, Ljubljana, Slovenia

Di kawasan Vodnik Square ini juga terdapat sederetan kedai yang mempunyai senibina yang unik yang terletak di pinggiran Sungai Lubljanica. Deretan kedai tersebut diberi nama Plecnik Colonnade. Ianya dibangunkan oleh tokoh arkitek tempatan yang banyak berjasa, iaitu Joze Plecnik. Terdapat pelbagai jenis barang dijual di kedai-kedai tersebut, terutamanya barangan berunsur makanan. Aku membeli beberapa jenis roti untuk dijadikan alas perut.


Plecnik Colonnade, Ljubljana, Slovenia


Plecnik Colonnade, Ljubljana, Slovenia

Selepas itu, aku menuju ke Ljubljana Castle yang terletak di atas puncak sebuah bukit yang diberi nama Castle Hill. Untuk ke istana tersebut, aku menaiki funikular. Stesen funikular tersebut terletak berhampiran dengan pasar di Vodnik Square. Setibanya aku di Ljubljana Castle, aku pun memulakan penjelajahan mengelilingi istana ini. Kewujudan istana ini telah disebut pada tahun 1144, di mana ianya merupakan kediaman pembesar orang-orang Carinthian. Pada kurun ke-15, ianya diperbesarkan dengan pembinaan benteng pertahanan yang lengkap berserta dengan menara pada pintu masuknya. Sebuah jambatan juga turut dibina di pintu masuk istana ini. Kemudian, pada kurun ke-16 & ke-17, beberapa lagi tambahan dibuat.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan istana ini mulai hilang kepentingannya. Pada kurun ke-19, ianya dijadikan sebagai penjara & pusat tahanan tentera. Ini menjadikan Ljubljana Castle ini semakin hilang popularitinya di kalangan penduduk tempatan. Kemudian, pada tahun 1905, istana ini diserahkan kepada majlis perbandaran & dijadikan pejabat mereka sehinggalah ke tahun 1960 apabila usaha untuk membaik pulih istana ini mula dijalankan. Kerja membaik pulih hanya siap sepenuhnya pada tahun 1995.

Istana ini pada masa kini sering dijadikan lokasi bergambar bagi pasangan pengantin yang baru berkahwin & juga lokasi majlis-majlis kebudayaan. Pada tahun 2006, landasan funicular mulai dibina & pada tahun 2007, barulah ianya dirasmikan & memulakan servisnya. Istana tersebut agak besar keluasannya. Dari atasnya, aku dapat menikmati panorama kota Ljubljana yang indah, lagi saujana mata memandang. Cantik sekali. Aku menghabiskan masa yang agak lama di Ljubljana Castle. Apabila sudah puas, aku pun turun semula ke kaki bukit dengan menaiki funikular.


Funikular untuk ke Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Funikular untuk ke Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Panorama kota Ljubljana dari Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XV) - SLoVeNia

>> Friday, January 22, 2010



Hari 6: 16 MEI 2008

Awal-awal pagi lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku sudah pun membuka mata. Selepas selesai menunaikan kewajipan solat Subuh, membersihkan diri & sebagainya, aku terus berjalan menuju ke stesen keretapi Zagreb. Destinasi seterusnya dalam pengembaraan aku di bumi Balkan ialah Ljubljana, Slovenia. Keretapi yang aku naiki dari Zagreb mulai bertolak pada pukul 7.00 pagi. Perjalanan ke Ljubljana mengambil masa selama 2¼ jam.

Lebih kurang pukul 9.15 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Ljubljana. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku terus mencari lokasi hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Agak susah juga untuk mencarinya kerana kedudukannya yang agak tersembunyi. Setelah puas mencari, akhirnya ketemu juga aku dengan hostel yang dicari. Selepas mendaftar masuk, aku pun meletakkan barang-barang aku di dalam bilik dorm di mana aku ditempatkan. Kemudian, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Ljubljana, Slovenia ini.

Slovenia adalah negara ketiga yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Itali di bahagian barat, Croatia di bahagian selatan & timur, Hungary di bahagian timur laut & Austria di bahagian utara. Bahagian barat dayanya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Adriatik. Negara ini adalah salah satu anggota Kesatuan Eropah & menggunakan matawang Euro. Penduduknya berjumlah 2,050,000 orang & bahasa kebangsaan mereka adalah Bahasa Slovene. Kaum etnik Slovene yang beragama Kristian Katolik adalah kaum etnik majoriti yang tinggal di negara ini, iaitu 83% daripada jumlah penduduknya. Yang selebihnya ialah kaum etnik Serb, Croat, Bosniak, Montenegrin & Macedonia. Sistem pentadbiran yang diamalkan di negara Slovenia adalah sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri.


Peta kedudukan Slovenia dalam Eropah


Peta Slovenia


Bendera Slovenia

Hampir separuh daripada negara ini dilitupi oleh hutan, menjadikannya negara ketiga di Eropah yang mempunyai simpanan hutan semulajadi yang terbesar, selepas Finland & Sweden. Disebabkan itu, ramai pelancong luar datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang terdapat di sini.

Menurut sejarah, orang-orang Slav dari kaum etnik Slovene telah mula menetap di Slovenia mulai kurun ke-6 lagi. Mereka kemudiannya mengasaskan sebuah kerajaan yang diberi nama Carantania pada kurun ke-7. Tidak berapa lama kemudian, tanah mereka telah ditawan oleh kerajaan Bavaria & Frank. Pada waktu itulah ramai antara mereka mula memeluk ajaran Kristian Katolik. Tanah Slovenia ini kemudiannya diperintah oleh Empayar Holy Rom & kemudiannya oleh Empayar Austria-Hungary sehinggalah ke tahun 1918 apabila Empayar Austria-Hungary mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Pertama.

Orang-orang dari kaum etnik Slovene ini kemudiannya bersatu dengan orang-orang dari kaum etnik Serb & Croat untuk menubuhkan kerajaan Yugoslavia. Sewaktu Perang Dunia Kedua tercetus, Slovenia telah dicerobohi oleh tentera Nazi Jerman, Itali & Hungary. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Slovenia kembali bersatu dengan Serbia & Croatia untuk membentuk Republik Sosialis Yugoslavia. Kerana ketidakpuasan hati dengan kelebihan kuasa yang dinikmati oleh orang-orang dari kaum etnik Serb di Belgrade, Slovenia akhirnya mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1991 dengan pertumpahan darah yang tidak begitu teruk.

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG II) - PRoLoGue II

>> Saturday, October 03, 2009



Aku sebenarnya baru sahaja selesai menempuhi peperiksaan akhir sebagai pelajar Tahun Akhir Perubatan di University College Dublin, Ireland. Keputusan peperiksaan sudah pun keluar beberapa hari lalu. Nasib tidak menyebelahi aku. Aku tidak dapat bergraduasi bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas yang lain kerana aku gagal dalam beberapa modul yang diambil. Aku benar-benar sedih. Aku kecewa kerana telah menghancurkan harapan keluarga & sahabat-sahabat aku yang lain. Kedua-dua mak & abah aku bersama-sama dengan adik lelaki aku akan datang ke Dublin pada akhir bulan Mei ini untuk menghadiri upacara graduasi yang bakal berlangsung pada awal bulan Jun nanti. Malangnya, aku terpaksa menghampakan mereka bertiga. Aku akan hanya membawa mereka bersiar-siar sahaja di Ireland tanpa menghadiri upacara graduasi aku.

Hati aku sedikit terubat apabila memikirkan tentang trip aku ke rantau Balkan kelak. Pada mulanya, aku berasa ingin sahaja membatalkan trip aku ini. Akan tetapi, aku akhirnya sedar bahawa peluang untuk ke bumi Balkan bukannya selalu datang. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang ada untuk aku berkunjung ke sana. Lagipun, aku sudah lama membuat perancangan untuk ke sana. Tiket-tiket penerbangan & pas keretapi Inter Rail pun sudah dibeli. Aku akhirnya terpaksa menggagahkan diri juga untuk ke sana walaupun hati aku masih terluka dengan kegagalan aku. Mungkin pengembaraan aku di bumi Balkan kelak sedikit sebanyak dapat mengubat kelukaan aku.

Aku sekali lagi mengembara seorang diri kerana tiada sesiapa antara rakan sekelas aku yang berminat untuk ke bumi Balkan. Lagipun, mereka masing-masing mempunyai perancangan tersendiri sementara menunggu upacara graduasi yang bakal berlangsung sebulan lagi. Junior-junior aku ada juga yang berminat untuk ke Balkan. Tetapi, pada waktu ini, mereka semua sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan mereka yang akan menjelang tidak lama lagi. Oleh disebabkan itulah aku akhirnya mengambil keputusan untuk mengembara seorang diri sahaja. Seperti yang telah aku katakan, peluang sebegini bukannya selalu datang. Hendak seribu daya, taknak seribu dalih.

Pengembaraan aku di rantau Balkan bermula pada tarikh 11 Mei 2008 & berakhir pada tarikh 28 Mei 2008, iaitu selama lebih kurang 18 hari lamanya. Ia merupakan pengembaraan solo yang paling lama dalam sejarah hidup aku. Mujurlah semuanya berjalan dengan lancar tanpa masalah-masalah yang serius. Aku menjejakkan kaki di 7 buah negara. Negara-negara tersebut & bandar-bandar yang aku kunjungi ialah Croatia (Dubrovnik & Zagreb), Bosnia & Herzegovina (Mostar & Sarajevo), Slovenia (Lubljana), Romania (Bucharest, Brasov & Bran), Bulgaria (Sofia), Macedonia (Skopje & Ohrid) & Turki (Istanbul).


Peta negara-negara Balkan yang aku kunjungi


Peta bandar-bandar di rantau Balkan yang aku jejaki

Aku tidak ke Serbia, Montenegro & Albania kerana warganegara Malaysia yang hendak memasuki ketiga-tiga negara tersebut perlu memohon visa terlebih dahulu. Malangnya, di Ireland tidak terdapat pula kedutaan ketiga-tiga negara tersebut. Oleh itu, aku terpaksa mengabaikan ketiga-tiganya walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Kosovo yang baru sahaja mendapat kemerdekaan daripada Serbia pula sedang mengalami kekacauan politik. Oleh itu, aku memilih langkah selamat dengan tidak memasuki negara tersebut. Sementara Greece pula telah pun aku jejaki 2 tahun yang lepas.

Aku hanya mengenakan pakaian yang nipis & memakai sandal sahaja kerana cuaca di negara-negara tersebut panas & kering pada sewaktu Musim Panas. Aku bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain dengan menaiki keretapi. Untuk menjimatkan kos, aku telah membeli tiket Interrail Pass untuk 10 hari bukan berturut-turut dalam jangka masa 22 hari. Tiket ini membolehkan aku menaiki keretapi di seluruh benua Eropah tanpa batasan untuk 10 hari dalam tempoh masa 22 hari. Banyak wang boleh dijimatkan dengan menggunakan tiket tersebut. Tentang penginapan pula, aku bermalam di hostel-hostel yang aku rujuk di dalam buku ‘Eastern Europe’ keluaran Lonely Planet yang menjadi satu-satunya buku rujukan aku sepanjang pengembaraan aku di bumi Balkan ini.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG I) - PRoLoGue I

>> Wednesday, September 30, 2009



Balkan adalah sebuah semenanjung yang terletak di bahagian tenggara benua Eropah. Di sini terletak beberapa buah negara seperti Albania, Bosnia & Herzegovina, Bulgaria, Greece, Kosovo, Macedonia, Montenegro, Croatia, Serbia, Slovenia, Romania & Turki. Nama Balkan diambil bersempena dengan nama Pergununan Balkan yang terletak di tengah-tengah semenanjung ini. Keluasan semenanjung ini menjangkaui 550,000 kilometer persegi & dihuni oleh seramai 55 juta orang penduduk. Semenanjung ini dikelilingi oleh Laut Adriatik di bahagian baratnya, Laut Mediterranean, Laut Ionian & Laut Aegean di bahagian selatannya & Laut Hitam di bahagian timurnya. Bahagian utaranya pula disempadani oleh sungai-sungai seperti Sungai Danube, Sungai Sava & Sungai Kupa.


Peta kedudukan Semenanjung Balkan di dalam benua Eropah


Peta negara-negara di Semenanjung Balkan

Hampir keseluruhan bentuk muka bumi semenanjung Balkan dipenuhi dengan kawasan bukit-bukau. Iklimnya pula berbeza antara kawasan persisiran pantai & kawasan pedalaman. Kawasan persisiran pantai mengalami iklim Mediterranean yang panas & kering pada Musim Panas & sederhana sejuk & lembap pada Musim Sejuk. Kawasan pedalaman pula beriklim kebenuaan yang bertentangan dengan iklim Mediterranean. Tanaman yang paling kebiasaannya ditanam di semenanjung ini adalah zaitun & anggur.

Menurut sejarah, rantau Balkan adalah kawasan pertama di benua Eropah yang mengamalkan aktiviti pertanian, iaitu sejak Zaman Neolitik lagi kerana kesuburan tanahnya & iklimnya yang sesuai untuk bercucuk tanam. Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di persimpangan benua Eropah & Asia, rantau Balkan juga kaya dengan sejarah peradaban manusia. Rantau ini pernah menjadi tempat pertembungan tamadun Latin & Greek, tempat pertembungan agama Kristian Mazhab Katholik & agama Kristian Mazhab Orthodox & juga tempat pertembungan Kristian & Islam.

Sewaktu zaman pre-klasikal, rantau Balkan diduduki oleh orang-orang Greek, Illyrian, Paeonian, Thracian, Dacian & pelbagai kumpulan lagi. Empayar Rom kemudiannya menakluki rantau ini & menyebarkan kebudayaan Rom & Bahasa Latin di sini. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada rantau ini masih teguh mengamalkan kebudayaan Greek. Beberapa ratus tahun kemudian, sewaktu Zaman Pertengahan, rantau ini menjadi medan peperangan antara Empayar Byzantine, Bulgaria & Serbia.

Apabila Empayar Turki Uthmaniyah mulai bangkit pada kurun ke-14 & 15, hampir seluruh rantau Balkan ditakluki oleh empayar tersebut. Penaklukannya boleh dikatakan memberi impak yang paling besar dalam sejarah rantau ini. Impak terbesar adalah penyebaran agama Islam. Pada masa kini, agama Islam adalah agama yang ke-2 terbesar di rantau ini selepas agama Kristian. Majoriti penduduk negara Albania, Kosovo & Bosnia & Herzegovina adalah penganut agama Islam. Penganut agama Islam juga ramai terdapat di negara Bulgaria, Macedonia & Montenegro.


Peta Empayar Turki Uthmaniyah

Pada awal kurun ke-19, Greece, Serbia, Montenegro & Bulgaria mendapat kemerdekaan daripada Empayar Uthmaniyah. Pada tahun 1912-1913, berlaku pula Perang Balkan yang melibatkan empayar tersebut dengan Serbia, Montenegro, Greece, Romania & Bulgaria. Tidak berapa lama kemudian, iaitu pada tahun 1914, berlaku pula Perang Dunia Pertama yang tercetus akibat pembunuhan Franz Ferdinand, waris kepada takhta Empayar Austria-Hungary. Pembunuhan tersebut berlaku di Sarajevo, Bosnia & Herzegovina. Empayar Turki Uthmaniyah bersekutu dengan Empayar Austria-Hungary, Empayar Jerman & Kerajaan Bulgaria di bawah payung Kuasa Tengah yang menentang Kuasa Berikat yang terdiri daripada Belgium, Serbia, Perancis, Empayar Russia, Empayar British, Itali, Romania & Amerika Syarikat. Peperangan ini akhirnya menyaksikan kekalahan Kuasa Tengah. Kekalahan ini seterusnya menamatkan riwayat Empayar Austria-Hungary & Empayar Turki Uthmaniyah. Tanah-tanah jajahan Empayar Turki Uthmaniyah kemudian diserahkan kepada Empayar British & Perancis.


Peta benua Eropah sewaktu Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Kedua yang berlaku pada pertengahan kurun ke-20 juga memberi impak yang besar kepada rantau Balkan. Pengaruh Soviet Union & Komunisma mulai meresap masuk ke rantau ini selepas tamatnya perang tersebut. Hampir kesemua negara di rantau ini mulai ditadbir oleh kerajaan komunis yang disokong oleh Soviet Union. Hanya Greece & Turki sahaja yang terkecuali.


Peta negara-negara Eropah yang di bawah pengaruh Komunisma

Awal dekad 1990-an menyaksikan kejatuhan pengaruh komunis di rantau ini selepas jatuhnya Soviet Union pada tahun 1989. Negara komunis yang kuat iaitu Yugoslavia akhirnya berpecah menjadi beberapa buah negara, iaitu Serbia & Montenegro, Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia & Macedonia. Perang Bosnia yang berlaku dari tahun 1992 hingga 1995 kemudiannya telah meragut berjuta nyawa umat Islam daripada kaum etnik Bosniak yang tidak berdosa. Sehingga kini, rantau Balkan ini masih belum aman. Contohnya, status Kosovo yang baru sahaja mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Serbia masih lagi menjadi pertikaian antara negara tersebut & Serbia sehingga kini.


Peta perpecahan Yugoslavia

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP