BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG I) - PRoLoGue I

>> Wednesday, September 30, 2009



Balkan adalah sebuah semenanjung yang terletak di bahagian tenggara benua Eropah. Di sini terletak beberapa buah negara seperti Albania, Bosnia & Herzegovina, Bulgaria, Greece, Kosovo, Macedonia, Montenegro, Croatia, Serbia, Slovenia, Romania & Turki. Nama Balkan diambil bersempena dengan nama Pergununan Balkan yang terletak di tengah-tengah semenanjung ini. Keluasan semenanjung ini menjangkaui 550,000 kilometer persegi & dihuni oleh seramai 55 juta orang penduduk. Semenanjung ini dikelilingi oleh Laut Adriatik di bahagian baratnya, Laut Mediterranean, Laut Ionian & Laut Aegean di bahagian selatannya & Laut Hitam di bahagian timurnya. Bahagian utaranya pula disempadani oleh sungai-sungai seperti Sungai Danube, Sungai Sava & Sungai Kupa.


Peta kedudukan Semenanjung Balkan di dalam benua Eropah


Peta negara-negara di Semenanjung Balkan

Hampir keseluruhan bentuk muka bumi semenanjung Balkan dipenuhi dengan kawasan bukit-bukau. Iklimnya pula berbeza antara kawasan persisiran pantai & kawasan pedalaman. Kawasan persisiran pantai mengalami iklim Mediterranean yang panas & kering pada Musim Panas & sederhana sejuk & lembap pada Musim Sejuk. Kawasan pedalaman pula beriklim kebenuaan yang bertentangan dengan iklim Mediterranean. Tanaman yang paling kebiasaannya ditanam di semenanjung ini adalah zaitun & anggur.

Menurut sejarah, rantau Balkan adalah kawasan pertama di benua Eropah yang mengamalkan aktiviti pertanian, iaitu sejak Zaman Neolitik lagi kerana kesuburan tanahnya & iklimnya yang sesuai untuk bercucuk tanam. Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di persimpangan benua Eropah & Asia, rantau Balkan juga kaya dengan sejarah peradaban manusia. Rantau ini pernah menjadi tempat pertembungan tamadun Latin & Greek, tempat pertembungan agama Kristian Mazhab Katholik & agama Kristian Mazhab Orthodox & juga tempat pertembungan Kristian & Islam.

Sewaktu zaman pre-klasikal, rantau Balkan diduduki oleh orang-orang Greek, Illyrian, Paeonian, Thracian, Dacian & pelbagai kumpulan lagi. Empayar Rom kemudiannya menakluki rantau ini & menyebarkan kebudayaan Rom & Bahasa Latin di sini. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada rantau ini masih teguh mengamalkan kebudayaan Greek. Beberapa ratus tahun kemudian, sewaktu Zaman Pertengahan, rantau ini menjadi medan peperangan antara Empayar Byzantine, Bulgaria & Serbia.

Apabila Empayar Turki Uthmaniyah mulai bangkit pada kurun ke-14 & 15, hampir seluruh rantau Balkan ditakluki oleh empayar tersebut. Penaklukannya boleh dikatakan memberi impak yang paling besar dalam sejarah rantau ini. Impak terbesar adalah penyebaran agama Islam. Pada masa kini, agama Islam adalah agama yang ke-2 terbesar di rantau ini selepas agama Kristian. Majoriti penduduk negara Albania, Kosovo & Bosnia & Herzegovina adalah penganut agama Islam. Penganut agama Islam juga ramai terdapat di negara Bulgaria, Macedonia & Montenegro.


Peta Empayar Turki Uthmaniyah

Pada awal kurun ke-19, Greece, Serbia, Montenegro & Bulgaria mendapat kemerdekaan daripada Empayar Uthmaniyah. Pada tahun 1912-1913, berlaku pula Perang Balkan yang melibatkan empayar tersebut dengan Serbia, Montenegro, Greece, Romania & Bulgaria. Tidak berapa lama kemudian, iaitu pada tahun 1914, berlaku pula Perang Dunia Pertama yang tercetus akibat pembunuhan Franz Ferdinand, waris kepada takhta Empayar Austria-Hungary. Pembunuhan tersebut berlaku di Sarajevo, Bosnia & Herzegovina. Empayar Turki Uthmaniyah bersekutu dengan Empayar Austria-Hungary, Empayar Jerman & Kerajaan Bulgaria di bawah payung Kuasa Tengah yang menentang Kuasa Berikat yang terdiri daripada Belgium, Serbia, Perancis, Empayar Russia, Empayar British, Itali, Romania & Amerika Syarikat. Peperangan ini akhirnya menyaksikan kekalahan Kuasa Tengah. Kekalahan ini seterusnya menamatkan riwayat Empayar Austria-Hungary & Empayar Turki Uthmaniyah. Tanah-tanah jajahan Empayar Turki Uthmaniyah kemudian diserahkan kepada Empayar British & Perancis.


Peta benua Eropah sewaktu Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Kedua yang berlaku pada pertengahan kurun ke-20 juga memberi impak yang besar kepada rantau Balkan. Pengaruh Soviet Union & Komunisma mulai meresap masuk ke rantau ini selepas tamatnya perang tersebut. Hampir kesemua negara di rantau ini mulai ditadbir oleh kerajaan komunis yang disokong oleh Soviet Union. Hanya Greece & Turki sahaja yang terkecuali.


Peta negara-negara Eropah yang di bawah pengaruh Komunisma

Awal dekad 1990-an menyaksikan kejatuhan pengaruh komunis di rantau ini selepas jatuhnya Soviet Union pada tahun 1989. Negara komunis yang kuat iaitu Yugoslavia akhirnya berpecah menjadi beberapa buah negara, iaitu Serbia & Montenegro, Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia & Macedonia. Perang Bosnia yang berlaku dari tahun 1992 hingga 1995 kemudiannya telah meragut berjuta nyawa umat Islam daripada kaum etnik Bosniak yang tidak berdosa. Sehingga kini, rantau Balkan ini masih belum aman. Contohnya, status Kosovo yang baru sahaja mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Serbia masih lagi menjadi pertikaian antara negara tersebut & Serbia sehingga kini.


Peta perpecahan Yugoslavia

Bersambung...

4 buah komen:

munirah hassan Friday, October 12, 2012 at 7:08:00 PM GMT+8  

sgt brguna utk sbjek sejrh form 6 sem 1...tenkiu :)

Anonymous Friday, November 9, 2012 at 12:49:00 PM GMT+8  

Tahniah...Blog sangat informatif, saya minat sangat baca dan rujuk... Teruskan usaha ya... semoga ilmu yang dikongsi adalah saham di akhirat nanti...

Unknown Wednesday, November 16, 2016 at 1:41:00 PM GMT+8  

Mohon share ye... best kaji sejarah dunia

Rais Al Attas Saturday, December 2, 2017 at 12:10:00 AM GMT+8  

Penganut Islam semakin meningkat di rantau Balkan

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP