MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG XV) - MaRRaKeCH II

>> Tuesday, September 01, 2009



Hari 10: 13 DISEMBER 2007

Pada pagi ini, selepas selesai sahaja mandi & berkemas-kemas, aku pun keluar untuk menjelajahi kota Marrakech buat kali kedua. Aku telah pun menjelajahi kota ini dalam masa satu hari sewaktu hari pertama aku di bumi Morocco pada minggu lalu. Kali ini, aku akan melengkapkan penjelajahan aku di kota ini. Tempat pertama yang aku jejaki ialah Bab Doukkala Mosque. Masjid ini dibina pada pertengahan kurun ke-16 oleh ibu kepada Ahmad al-Mansor, pemerintah yang memerintah pada waktu itu. Aku tidak lama di sini. Seterusnya, aku ke Mouassine Mosque, sebuah masjid lama yang dibina antara tahun 1562 hingga 1573, sewaktu pemerintahan Sultan dari Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah.


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Mouassine Mosque, Marrakech, Morocco

Selepas itu, aku meneruskan perjalanan aku ke kawasan The Souks yang bermaksud pasar. Ianya adalah antara pasar-pasar yang terkenal di seluruh rantau al-Maghreb. Kedai-kedai di sini disusun mengikut jenis barangan yang dijual. Antara barangan yang dijual adalah kain-kain fabrik, barang-barang kemas, barangan kulit, barangan kraftangan, selipar, sayur-sayuran, haiwan ternakan & pelbagai lagi. Kawasannya yang amat luas menyebabkan aku hampir sesat di dalamnya. Namun, dengan berpandukan peta yang ada di dalam buku panduan & juga dengan bantuan daripada penduduk tempatan, aku berjaya berjalan menyusuri kesibukan The Souks ini untuk menuju ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Musee de Marrakech.


The Souks, Marrakech, Morocco


The Souks, Marrakech, Morocco

Musee de Marrakech adalah sebuah muzium yang pada dahulunya merupakan sebuah istana yang dibina oleh wazir kepada Sultan Moulay Mehdi Hassan yang memerintah pada akhir kurun ke-19. Nama istana tersebut ialah Dar Menebhi. Muzium ini terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama mempamerkan hasil-hasil kesenian kontemporari & lukisan-lukisan. Sementara itu, bahagian kedua pula mempamerkan koleksi syiling lama tinggalan kerajaan Dinasti Idris hingga ke kerajaan Dinasti Alaowiyah, salinan lama Al-Quran, seramik-seramik & banyak lagi. Kecantikan senibina muzium ini benar-benar memukau pandangan aku. Aku menghabiskan masa yang agak lama di dalam muzium ini.


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco

Selepas puas melihat khazanah-khazanah yang ada di dalam Musee de Marrakech, aku ke tempat yang seterusnya, iaitu Koubba Ba’Adiyn. Tiket untuk masuk ke tempat ini disekalikan dengan tiket untuk masuk ke dalam Musee de Marrakech tadi. Koubba Ba’Adiyn ini adalah sebuah kubah kecil yang diperbuat daripada bata-bata yang merupakan satu-satunya tinggalan kerajaan Dinasti Almoravid di kota Marrakech. Ianya dibina oleh Ali bin Yusuf pada tahun 1106. Kubah ini sebenarnya adalah sebahagian daripada masjid yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid yang kemudiannya diruntuhkan oleh kerajaan Dinasti Almohad selepas mereka mengambil alih pemerintahan kota Marrakech. Kubah ini merupakan satu-satunya struktur masjid tersebut yang tidak dihancurkan. Ianya tersembunyi selama beratus-ratus tahun, sehinggalah ianya dijumpai pada tahun 1948. Di dalam kubah ini terkandung juga sebuah kolam kecil untuk berwuduk.


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Bahagian Dalam Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco

Sejurus selepas itu, aku terus berjalan ke tempat seterusnya, iaitu Bin Yusuf Medersa. Madrasah ini merupakan antara madrasah-madrasah yang terulung & terbesar di rantau al-Maghreb yang boleh memuatkan seramai 900 orang anak murid. Ianya diasaskan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Merinid yang bernama Abu al-Hassan pada pertengahan kurun ke-14. Kemudian, ianya diperbesarkan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah pada kurun ke-16 untuk menandingi Medersa Bou Inania di Fes. Nama madrasah ini diambil bersempena dengan nama masjid yang terletak berdekatan dengannya , iaitu Bin Yusuf Mosque yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid. Selama 4 kurun lamanya masjid & madrasah ini menjadi tumpuan utama penduduk di sini untuk menunaikan ibadat & juga sebagai pusat pengajian al-Quran. Kehalusan senibina Islam yang terdapat di madrasah ini benar-benar dapat memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya. Pintu masuknya sahaja sudah mengagumkan. Rasanya seperti hendak sahaja aku tinggal di sini.


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Aku kemudiannya menuju ke destinasi terakhir aku di Marrakech, iaitu Djemaa al-Fana, sebuah dataran luas yang menjadi medan pasar awam pada waktu pagi & arena pertunjukan terbuka pada waktu malam, di mana terdapatnya gerai-gerai makanan, pertunjukan ahli-ahli muzik, penari-penari, penglipur lara, pemain ular & banyak lagi. Dengan adanya gerai-gerai makanan yang menjual daging-daging panggang pada waktu malam, kawasan ini dipenuhi dengan asap-asap & bau rempah ratus yang betul-betul boleh menaikkan nafsu makan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. Aku juga turut mengambil kesempatan yang ada untuk menjamah makanan-makanan yang dijual di sini. Amat menyelerakan sekali.

Selama beratus-ratus tahun Djemaa al-Fana telah menjadi nadi utama Marrakech & juga simbol utama kota ini. Ianyalah yang menjadikan kota ini unik & lain daripada kota-kota yang lain. Tanpanya, Marrakech hanya akan sama seperti bandar-bandar lain di Morocco. Djemaa al-Fana ini turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites'. Sebelum kurun ke-19, kawasan ini sebenarnya menyimpan sejarah yang hitam, iaitu sebagai tempat pemancungan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan besar. Adakalanya, seramai 45 orang pesalah dipancung dalam satu hari & kepala-kepala mereka digantung di pintu-pintu masuk kota ini.


Djemaa al-Fana Sebelum Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Pemain Ular di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Ketika Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Gerai Buah-Buahan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Gerai-Gerai Makanan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Selepas Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco

Aku menghabiskan masa yang agak lama Djemaa al-Fana, dari sebelum terbenamnya mentari, sehinggalah masuk waktu Isyak. Selepas puas menikmati makanan-makanan yang ada di Djemaa al-Fana, aku kembali ke hostel untuk mandi, menunaikan solat & kemudiannya melelapkan mata. Dengan terjejaknya Djemaa al-Fana tadi, maka berakhirlah ekspedisi aku di bumi Morocco ini. Keesokan harinya, aku akan pulang semula ke Dublin setelah 9 hari aku bermastautin di negara ini.

Bersambung...

4 buah komen:

Anonymous Wednesday, September 2, 2009 at 6:49:00 AM GMT+8  

salam ramadhan dan salam kenal. ini kunjungan balas dr sy.. sy suka blog awak dn dh buat link ke blog sy. harap awak x marah.. :)
-Norisah A. Bakar-
http:norisahabakar.blogdrive.com

Sri Diah Wednesday, September 2, 2009 at 11:23:00 AM GMT+8  

Salam Tuan Doc,
Saya amat berterima kasih dengan link ke sini. Sungguh cantik pemandangan di Morocco (saya belum pernah ke sana) dan terbuka niat untuk membuat zirah ke sana satu hari nanti setelah melilhat blog ini.

Dari segi pandangan awal, saya dapat katakan kebanyakan senibina di Morocco mirip bangunan-bangunan di Iran (Tehran, Shiraz dll) dan juga bangunan-bangunan lama Uzbekestian (Bukhara, Samarkhand, Bam dll) saya pernah ke sana beberapa kali dan masih lagi terkenang-kenangan keindahan masjid dan bangunan indah berkenaan. Ada saya selitkan tentang Imam Squere di Tehran dalam novel terkini Doa Buat Suamiku.

Kebanyakan seni bina Islam ini telah Tun Mahathir bina di Putrajaya - alhamdulillah, dapat anak-anak melihat senibina indah itu.

Selamat meneruskan pengajian dengan gigih dan tabah. Salam Ramadan al Mubarak...

JHaZ KiTaRo Thursday, September 3, 2009 at 4:59:00 PM GMT+8  

Anonymous:
salam ramadhan & salam kenal too.. thanx sbb sudi membalas kunjungan.. thanx juga for the compliment.. haha.. silaa laa buat link.. takde sebab saye nak marah.. :)

Sri Diah:
wsalam.. insyaAllah, kalau ada rezeki boleh laa ke sana.. eh.. senibina Morocco & senibina Iran & Uzbekistan banyak bezanya cik sri diah.. tak sama..
anyway, thanx for the wish.. :)

FarhahMahadi Sunday, September 6, 2009 at 8:42:00 PM GMT+8  

Oh Gosh!!

Am pretty sure it was a memorable and rewarding experience being there, jalan-jalan..

Em, perhaps this entry is a petty space for you to accurately express all your feelings about the journey.

Well done!!

Cantik betul gambar2 kat sana kan? Ohh sungguh cemburu >;'(

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP