WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG II) - NiCe

>> Monday, September 07, 2009



Hari 1: 16 DISEMBER 2007

Penerbangan Ryanair dari Dublin ke Nice, Perancis akan berlepas pada pukul 6.30 pagi hari ini. Untuk menjimatkan wang daripada menaiki teksi ke Lapangan Terbang Dublin, aku, Thani, Asrih & Muaz memilih untuk bermalam sahaja di lapangan terbang tersebut malam sebelum penerbangan kami. Kami menaiki bas untuk ke lapangan terbang pada malam itu. Walaupun dalam keadaan yang kurang selesa, kami berjaya juga melelapkan mata buat beberapa jam. Seterusnya, lebih kurang pukul 4.30 pagi, kami berempat pun mula mendaftar masuk. Setelah menunggu hampir sejam lamanya, para penumpang pun dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan bumi Dublin menuju ke Nice. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2¼ jam. Lebih kurang pukul 9.45 waktu tempatan Perancis, kami pun tiba di Lapangan Terbang Nice Côte d'Azur.

Selepas selesai sahaja urusan imigresen, kami pun keluar dari lapangan terbang tersebut. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke pusat bandar Nice yang terletak agak jauh dari lapangan terbang itu. Bas tersebut melalui jalan raya yang menyusuri persisiran pantai Laut Mediterranean. Pemandangan di sepanjang jalan raya itu sungguh mengasyikkan, dengan kejernihan air lautnya, pasir-pasir yang putih & pohon-pohon palma yang cantik tersusun di sepanjang pantai tersebut. Memang tidak hairanlah mengapa bandar ini seringkali menjadi tumpuan pelancong.

Bas yang kami naiki berhenti di stesen keretapi Nice Ville. Setibanya kami di situ, kami membuka peta yang terdapat di dalam buku panduan aku untuk mencari lokasi hostel yang telah pun kami tempah melalui internet. Hostel tersebut terletak tidak jauh dari stesen keretapi. Lebih kurang dalam 15 minit sahaja, kami berempat berjaya menjumpainya. Hostel itu terletak berdekatan dengan restoran Kentucky Fried Chicken yang bakal menjadi tempat kami makan tengah hari nanti. Makanan di dalam kesemua cawangan restoran Kentucky Fried Chicken di negara Perancis halal dimakan kerana menurut kata pelajar-pelajar Malaysia di sini, pemilik rangkaian KFC di Perancis adalah seorang Muslim.


Stesen Keretapi Nice Ville, Nice, Perancis

Kami bermalam selama 3 malam di hostel ini. 2 malam berturut-turut pada 16 & 17 Disember & malam terakhir pada 19 Disember. Kami diberi pilihan sama ada untuk membayar 2 malam dahulu atau terus membayar untuk ketiga-tiga malam sekaligus. Kami memilih untuk membayar ketiga-tiga malam sekaligus. Selepas mendaftar masuk, kami pun dibawa masuk ke dalam bilik kami. Keadaan bilik tersebut amat selesa. Cuma bilik airnya sahaja yang bermasalah kerana air bertakung. Oleh itu, sebelum kami keluar menjelajah kota Nice, kami meminta penjaga kaunter resepsi hostel itu untuk melakukan sesuatu dengan bilik air di bilik kami itu. Selepas itu, barulah kami memulakan penjelajahan kami.

Nice adalah bandar kedua paling popular di kalangan pelancong di negara Perancis selepas Paris. Ia juga merupakan hab utama para pelancong yang berkunjung di French Riviera. Lapangan terbangnya adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Perancis selepas Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris. Bandar yang diasaskan pada tahun 350 SM ini hanya mulai menjadi sebahagian daripada Perancis pada tahun 1860. Jumlah penduduk di sini adalah seramai 348,000 orang, menjadikannya bandar ke-5 terbesar di Perancis dari segi jumlah bilangan penduduk selepas Paris, Marseilles, Lyon & Toulouse.


Peta Kedudukan Nice di dalam Perancis

Tempat pertama di Nice yang kami jejaki ialah St Nicholas Russian Orthodox Cathedral (Cathédrale Orthodoxe Russe Saint-Nicolas) yang merupakan salah satu monumen terpenting di negara Perancis. Gereja ini dibina atas sumbangan Tsar Russia yang terakhir, iaitu Nicholas II & mula dibuka pada tahun 1912. Ianya adalah Russian Orthodox Cathedral yang terbesar sekali di luar negara Russia. Menurut sejarah, pada kurun ke-19, Tsar Russia pada waktu itu yang bernama Alexander II telah berkunjung ke Nice & telah jatuh hati dengan keindahan & keadaan iklim bandar ini. Bandar Nice kemudiannya menjadi tumpuan penghijrahan orang-orang Russia yang membentuk komuniti yang agak besar & menyebabkan timbulnya idea untuk membina gereja mazhab Russian Orthodox untuk memudahkan mereka beribadat. Pada masa kini, terdapat sedikit konflik berkenaan dengan hak milik gereja ini antara kerajaan Russia & penduduk tempatan Nice yang beragama Kristian mazhab Russian Orthodox.


Bersama Asrih di St Nicholas Russian Orthodox Cathedral, Nice, Perancis

Selepas bergambar dengan gereja yang besar itu, aku, Thani, Asrih & Muaz meneruskan perjalanan kami ke sebuah lagi gereja yang popular di sini, iaitu Notre Dame de Nice. Rupa bentuknya seakan-akan Notre Dame di Paris, cuma saiznya lebih kecil. Aku sendiri kurang pasti tentang sejarah gereja ini. Kami kemudiannya terus ke restoran Kentucky Fried Chicken untuk santapan tengah hari. Rasa ayamnya kurang menyelerakan berbanding ayam KFC di Malaysia. Mungkin kerana rempahnya agak berbeza. Selepas selesai sahaja makan, kami menyambung perjalanan kami ke beberapa tempat seperti Theatre National de Nice, Museum of Modern and Contemporary Art (Musee d’Art Moderne et d’Art Contemporain) & Palais de Justice. Kesemuanya adalah bangunan-bangunan yang mempunyai senibina yang menarik. Namun, aku kurang pasti mengenai sejarah ketiga-tiganya.


Bersama Asrih di Notre Dame de Nice, Nice, Perancis


Theatre National de Nice, Nice, Perancis


Bersama Asrih & Thani di Museum of Modern and Contemporary Art, Nice, Perancis


Palais de Justice, Nice, Perancis

Selepas itu, kami terus ke sebuah dataran yang bernama Place Massena yang merupakan dataran utama di kota Nice. Ianya menjadi tempat utama aktiviti-aktiviti awam di sini seperti konsert & perarakan. Sewaktu kami di sini, sebuah ‘funfair’ yang sangat meriah sedang berlangsung. Banyak permainan tersedia. Kami tidak mencuba kerana kesuntukan masa. Waktu sudah pun hampir senja.


Place Massena, Nice, Perancis


Place Massena, Nice, Perancis

Kami kemudiannya menuju ke persisiran pantai Laut Mediterranean yang tidak jauh dari Place Massena. Pada waktu kami di sini, hari pun sudah senja. Kami menghabiskan masa senja kami di sini menyaksikan matahari terbenam. Pemandangannya teramatlah indah. Subhanallah. Selepas puas bergambar, bermain-main air & menghirup udara laut yang segar, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke hostel. Sebelum sampai hostel, kami singgah dahulu di restoran Kentucky Fried Chicken untuk makan malam. Kemudian, kami pun kembali ke hostel.


Bersama Asrih & Thani di Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Bersama Asrih & Thani di Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Bersama Muaz, Thani & Asrih di Persisiran Pantai Laut Mediterranean sewaktu Matahari Terbenam, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Makan Malam di Restoran Kentucky Fried Chicken bersama Thani, Asrih & Muaz, Nice, Perancis

Sesampainya kami di bilik, kami melihat keadaan bilik air kami sama sahaja seperti keadaannya pada waktu pagi tadi. Air bertakung. Aku & Asrih kemudiannya turun ke bawah untuk melaporkan hal itu kepada penjaga kaunter resepsi. Pada waktu itu, penjaganya bukan orang yang sama seperti pada waktu pagi tadi. Setelah meluahkan rasa tidak puas hati kami, dia akhirnya bersetuju untuk menukarkan kami ke bilik lain. Kami berempat kemudiannya pun dibawa berpindah ke bilik lain. Tiada apa-apa masalah yang terdapat dalam bilik baru ini. Oleh itu, selepas mandi & solat, kami berempat pun terus melelapkan mata.

Bersambung...

12 buah komen:

silversarina Monday, September 7, 2009 at 7:52:00 AM GMT+8  

Cantiknya bandar Nice , thanks again for sharing .

Ahmad Zaid Monday, September 7, 2009 at 10:53:00 AM GMT+8  

salam abg,
saya ikut ayah brtugas d Sudan. best baca blog abg.very interesting journey...
tq

anjut Monday, September 7, 2009 at 2:03:00 PM GMT+8  

c'est tres bien ecrit!bravo!huhu, kalau ke Nice x ke monaco mmg rugi, tambang bas dlm 1 euro jer. btw, aku pun x pegi sana lagi.hahaha!

JHaZKiTaRo Monday, September 7, 2009 at 2:21:00 PM GMT+8  

silversarina:
btul makcik.. nice mmg cantik.. sama2..

zaidcr7:
wsalam dik.. ooww.. ikut ayah ke.. haha.. thanx.. jgn jemu datang sini slalu k.. :)

anjut:
merci beaucoup!! haha.. tunggu entry pasal monte carlo, monaco dalam next entry.. hahah.. ko tak sampai lagi eh?? takpe.. ko ade byk tahun lagi.. byk masa lagi.. heh

AL-ANEESA' Monday, September 7, 2009 at 3:23:00 PM GMT+8  

sungguh indah. kadang terasa berada di sana apabila membaca entry2 kamu.

selamat berpuasa

thani_abdulaziz Monday, September 7, 2009 at 4:42:00 PM GMT+8  

angin kuat giler time tu.. pastu mcm nk patah kaki jalan. hahaha..

Atiqah Monday, September 7, 2009 at 5:31:00 PM GMT+8  

student overseas mmg rjin g berjln..
kami yg study dlm malaysia ni pon x sempat nk g mne2
kalo bleh hjung mggu tu nk dok kat kampus je siapkan assignment

ish bestnye la korg ek...

Zareda Norman Monday, September 7, 2009 at 10:41:00 PM GMT+8  

very interesting journey..

anak bujang memang patut merantau.. jatidiri dan tahan lasak..

keep well ok..

nunung Tuesday, September 8, 2009 at 12:52:00 AM GMT+8  

Salam
Blog yang hebat..Tahniah anak Malaysia yang berjaya..

Zehann ur Rakhie Tuesday, September 8, 2009 at 3:20:00 PM GMT+8  

sekadar memenuhi jemputan,
nice journey...enjoy.

atikah Thursday, September 17, 2009 at 9:29:00 PM GMT+8  

wa...best ni,ader semangat nak p jln2 mase jdi student,blehlah p europe nanti cuti sem ek?

Cosmo Wednesday, January 11, 2012 at 2:25:00 AM GMT+8  

Thank you for this post, really effective piece of writing.
Herbs recipes

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP