WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG VIII/aKHiR) - ePiLoGue

>> Saturday, September 26, 2009



Hari 5: 20 DISEMBER 2007

Hari ini adalah hari terakhir aku, Thani, Asrih & Muaz di French Riviera. Kami akan berlepas pulang ke Dublin pada waktu pagi hari ini. Selepas mandi & bersiap, kami pun berjalan keluar dari hostel yang kami tumpangi. Kami bergerak menuju ke stesen keretapi Nice Ville untuk menaiki bas ke Lapangan Terbang Nice Côte d'Azur. Setibanya kami di lapangan terbang tersebut, kami terus mendaftar masuk. Setibanya kami di kaunter imigresen, kami berempat terpaksa berhadapan dengan sedikit masalah. Kami ditahan oleh polis imigresen & passport kami diambil. Kami tidak tahu apa sebenarnya kesalahan kami.

Kami berempat kemudiannya dibawa masuk ke pejabat imigresen & kami diminta menunggu di ruang legar pejabat tersebut. Kami bertanyakan apa masalah yang sedang berlaku, namun kami diberi jawapan yang tidak jelas. Ditambah pula dengan ketidakfasihan mereka berbahasa Inggeris. Mujurlah kemudiannya muncul seorang pegawai yang boleh berbahasa Inggeris. Dia berkata kepada kami bahawa terdapat satu gambar passport yang agak berbeza dengan wajah terkini tuan punya passport. Nama tuan punya passport tersebut biarlah aku rahsiakan untuk menjaga nama baiknya. Pegawai itu berkata mereka terpaksa memfotokopi kesemua passport kami sebagai langkah keselamatan. Kami akan dibebaskan tidak lama lagi, menurut katanya.

Selepas semuanya telah selesai, kami pun dibebaskan oleh mereka. Di hadapan mereka kami tersenyum tanda terima kasih. Di belakang mereka, kami membuat muka sakit hati & memaki-hamun mereka sesama kami. Alasan gambar passport yang tidak sama dengan wajah terkini tuan punya passport sangatlah tidak munasabah sama sekali untuk dijadikan alasan. Kami berempat terasa seperti didiskriminasi kerana faktor bangsa & agama kami. Walau apapun, kami bersyukur teramat sangat kerana tidak ada masalah besar yang timbul & kami masih sempat untuk menaiki pesawat.

Selepas beberapa minit menunggu, para penumpang pun dibenarkan menaiki pesawat. Penerbangan Ryanair ke Dublin berlepas pada pukul 11.15 pagi. Perjalanan ke Dublin mengambil masa lebih kurang 2½ jam. Lebih kurang pukul 12.45 tengah hari waktu Ireland, kami pun tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 5 hari di French Riviera memberi seribu kenangan manis kepada aku, Thani, Asrih & Muaz. Ini adalah kali pertama aku mengembara bersama-sama mereka bertiga & ini juga merupakan kali pertama mereka bertiga menjejakkan kaki di tanah besar Eropah. French Riviera sememangnya destinasi pelancongan yang penuh dengan keajaiban. Tiada ungkapan kata yang boleh menggambarkan betapa indahnya tempat tersebut. Hanya mereka yang menjejakkan kaki di sini sahaja yang mampu memahaminya. Walaupun ada beberapa kenangan pahit yang kami tempuhi, semua itu adalah adat resam mengembara. Apa-apa pun, pengalaman di French Riviera akan selama-lamanya berada di dalam hati kami berempat.

TAMAT.

Selepas ini, nantikan pula Travelogue aku di negara-negara rantau Balkan (Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia, Romania, Bulgaria, Macedonia & Turki)

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP