Showing posts with label Amman. Show all posts
Showing posts with label Amman. Show all posts

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG VI) - Gua aSHaBuL KaHFi

>> Saturday, July 31, 2010



Selesai sahaja makan tengah hari, aku, Hariz & Ideris menyambung semula ekspedisi kami menjelajahi bandar Amman. Destinasi kami yang seterusnya ialah Gua Ashabul Kahfi. Gua tersebut terletak jauh di pinggir bandar Amman. Untuk ke sana, kami bertiga terpaksa menaiki teksi. Apabila tiba di lokasi gua yang dimaksudkan, kami meminta pemandu teksi tadi menunggu kami di situ sementara kami menerokai kawasan gua tersebut. Kami akan pulang semula ke bandar Amman sebaik sahaja kami selesai menziarahi gua bersejarah itu. Di kawasan gua itu, terdapat sebuah masjid besar yang kelihatannya seperti baru dibina.

Sewaktu kami tiba di hadapan pintu gua itu, pintunya sedang ditutup & berkunci. Kami terpaksa menunggu beberapa minit sehingga penjaganya datang untuk membuka pintu itu. Apabila kami sudah dapat masuk ke dalamnya, penjaga gua itu pun menceritakan tentang sejarah Ashabul Kahfi mengikut sumber yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Dia juga turut menunjukkan bukti-bukti yang dapat dilihat di dalam gua itu yang mengukuhkan lagi bukti bahawa gua tersebut adalah lokasi di mana berlakunya peristiwa itu. Penjaga gua itu memberi penerangan dalam Bahasa Arab. Terima kasih aku ucapkan kepada Hariz yang sudi menterjemahkan apa yang diterangkannya kepada aku dalam Bahasa Melayu.


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Kawasan Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Pintu Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Pintu Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan


Ruang dalam Gua Ashabul Kahfi, Amman, Jordan

Secara ringkasnya, menurut Al-Quran, kisah Ashabul Kahfi adalah kisah benar tentang beberapa orang pemuda yang melarikan diri daripada kekejaman raja yang memerintah kerajaan mereka pada waktu itu, di mana mereka dilarang daripada beriman kepada Allah SWT. Jumlah bilangan pemuda Ashabul Kahfi tidak disebut di dalam Al-Quran & hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Setelah berjaya melarikan diri, mereka bersembunyi di dalam sebuah gua. Dengan kuasa Allah SWT, mereka telah ditidurkan selama 309 tahun. Apabila mereka dibangunkan, salah seorang daripada mereka keluar untuk membeli makanan. Sewaktu hendak membayar makanan yang dibelinya, pemuda tersebut diberitahu bahawa syiling yang digunakannya sudah beratus tahun tidak digunakan di negeri itu. Ini sekaligus memeranjatkan pemuda itu, termasuklah mereka yang berada di sekeliling.

Rasulullah SAW ketika era awal penyebaran dakwahnya di Mekah telah dicabar oleh pembesar-pembesar Quraisy yang kafir untuk menceritakan tentang kisah beberapa orang pemuda yang pernah hilang pada suatu zaman dahulu & termasuk jumlah bilangannya sekali. Tiada sesiapa pun di kalangan orang-orang Arab tahu akan kisah Ashabul Kahfi pada waktu itu, termasuklah Rasulullah SAW sendiri. Pembesar-pembesar Quraisy itu hanya mengetahui tentang kisah tersebut setelah diberitahu oleh orang-orang Yahudi yang sudah sedia maklum mengenai kisah pemuda-pemuda tersebut. Orang-orang Yahudi itu telah berkata kepada pembesar-pembesar Quraisy, sekiranya Muhammad mengetahui tentang kisah pemuda-pemuda yang hilang itu, termasuk jumlah bilangannya sekali, maka benarlah dia seorang Rasul yang diutuskan Allah SWT. Setelah dicabar oleh pembesar-pembesar Quraisy tadi, Rasulullah SAW meminta tempoh satu hari untuk memberi jawapannya.

Tidak lama kemudian, turunlah Surah Al-Kahfi yang menceritakan tentang kisah pemuda-pemuda berkenaan. Keesokannya, Rasulullah SAW pun membacakan surah tersebut di hadapan pembesar-pembesar Quraisy yang telah mencabarnya & juga di hadapan orang-orang Yahudi yang berkomplot dengan mereka. Mereka semua terkejut mendengar bacaan Rasulullah SAW. Apa yang diceritakan oleh baginda melalui bacaan Surah Al-Kahfi itu sama seperti apa yang mereka ketahui. Cuma jumlah bilangan pemuda-pemuda tersebut sahaja yang tidak disebut kerana itu adalah rahsia Allah SWT. Terbuktilah bahawa Rasulullah SAW adalah sememangnya Rasul utusan Allah SWT untuk umat manusia sejagat. Untuk membaca kisah Ashabul Kahfi seperti mana yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, sila baca terjemahan Surah Al-Kahfi dari ayat 9 hingga ayat 26. Berikut adalah petikan beberapa ayat daripada surah tersebut:

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩﴾ إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿١٠﴾ فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١﴾ ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا ﴿١٢﴾ نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashabul Kahfi dan Ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa, "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami." Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Surah Al-Kahfi: ayat 9-13)

Lokasi Gua Ashabul Kahfi sebenarnya mempunyai banyak pendapat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Amman, Jordan, iaitu gua yang kami ziarahi itu. Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Ephesus, Turki. Dan ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ia terletak di Damsyik, Syria. Namun, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Walau bagaimanapun, lokasi gua di Amman, Jordan ini adalah lokasi gua yang mempunyai bukti-bukti yang paling kuat berdasarkan beberapa ciri gua Ashabul Kahfi seperti yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW. Ia juga adalah yang paling popular antara ketiga-tiga lokasi yang telah aku sebut di atas. Kisah tentang pemuda-pemuda Ashabul Kahfi ini juga sebenarnya turut diketahui oleh orang-orang Kristian Roman Katolik melalui kitab Bible mereka.

Setelah puas melihat ruang dalaman Gua Ashabul Kahfi itu, kami bertiga pun kembali semula ke pemandu teksi yang sedang menunggu kami di luar. Hariz lalu meminta pemandu teksi itu menurunkan kami di sebuah masjid di tengah-tengah kota Amman yang bernama Abu Darweesh Mosque. Masjid itu terletak di lokasi yang tertinggi di Amman, iaitu di atas bukit yang bernama Jabal Ashrafieh. Ianya adalah masjid yang mempunyai senibina yang paling unik di Amman & juga di Jordan kerana bercorakkan belang-belang hitam & putih. Kami pada mulanya berniat untuk berehat-rehat di dalamnya sementara menunggu masuknya waktu solat Asar. Namun, masjid tersebut sedang ditutup pula & hanya akan dibuka semula apabila masuk waktu solat Asar nanti. Disebabkan itu, kami terpaksa berehat-rehat di sebuah lagi masjid yang terletak berhampiran dengan Abu Darweesh Mosque itu. Apabila masuk waktu solat Asar, kami pun menunaikan solat di masjid tersebut.


Abu Darweesh Mosque, Amman, Jordan


Abu Darweesh Mosque, Amman, Jordan

Selepas menunaikan solat, kami menaiki teksi untuk kembali semula ke rumah Encik Hasmat. Dengan ini, maka tamatlah sudah ekspedisi aku, Hariz & Ideris di bandar Amman. Sesampainya kami di rumah Encik Hasmat, aku mengambil semula beg aku yang ditinggalkan di rumahnya itu. Kemudian, kami bertiga pun meminta diri untuk pulang ke Irbid. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya & keluarganya kerana sudi menumpangkan kami di rumahnya. Setelah bersalam-salaman dengan Encik Hasmat, kami bertiga pun terus menaiki teksi menuju ke stesen bas Abdali, Amman. Setibanya di stesen bas itu, kami pun menaiki bas untuk ke Irbid. Perjalanan dari Amman ke Irbid memakan masa lebih kurang 1½ jam. Kami bertiga tidur dengan nyenyaknya sepanjang perjalanan kerana terlampau penat.

1½ jam kemudian, kami bertiga pun tiba di stesen bas Irbid. Untuk ke flat sewa mereka berdua, kami bertiga menaiki teksi. Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di flat tersebut. Hariz membawa aku ke apartmennya. Ideris yang tinggal di apartmen berlainan kembali ke apartmennya itu. Pada waktu itu, pintu apartmen Hariz sedang berkunci & kebetulan tiada sesiapa di dalamnya memandangkan salam & ketukan yang diberi tidak berjawab. Mungkin mereka semua ke masjid untuk solat Maghrib. Hariz pula telah kehilangan kuncinya sejak beberapa hari yang lalu. Oleh itu, sementara menunggu kepulangan ahli-ahli apartmennya, aku dibawa oleh Hariz untuk menunggu di sebuah apartmen pelajar-pelajar Malaysia yang terletak di tingkat bawah apartmennya. Di apartmen tersebut, aku diperkenalkan dengan penghuni-penghuninya, iaitu Ibrahim & Poey. Mereka juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di universiti yang sama dengan Hariz. Mereka membela seekor kucing betina yang comel yang baru sahaja melahirkan anak. Hahaha.

Selepas berbual-bual dengan mereka bertiga & menunaikan solat Maghrib, Hariz pun membawa aku pulang semula ke apartmennya. Syukurlah pada waktu itu, sudah ada orang di dalamnya. Pintu pun dibuka. Aku diperkenalkan dengan Hadi, yang juga merupakan salah seorang pembaca blog aku, sama seperti Hariz. Hahaha. Terasa popular pula diri aku. Selepas itu, aku diperkenalkan pula dengan 2 orang lagi penghuni apartmen itu, iaitu Mursyid & Hidayat. Mereka semua adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST. Selepas meletakkan barang-barang aku di dalam bilik Hariz & berehat-rehat di dalamnya, aku dijemput untuk makan malam bersama mereka seiisi rumah. Malam itu adalah tugas Hadi untuk memasak. Boleh tahan sedap juga masakannya. Sambil makan, kami berlima berbual-bual mengenai pelbagai perkara.

Selepas makan, aku kembali semula ke dalam bilik Hariz untuk solat Isyak. Selepas solat Isyak, aku membaringkan diri di atas tilam yang dia sediakan. Tidak berapa lama selepas itu, Hariz mengajak aku keluar untuk merasa manisan Arab di sebuah restoran yang terletak di sebatang jalan yang bernama Syari’ Jami’ah, yang bermaksud University Street. Jalan ini amat popular di kalangan pelajar-pelajar di Irbid. Terdapat banyak restoran-restoran di tepi jalan ini yang sentiasa dipenuhi oleh mereka, tidak kira siang atau malam. Kami berdua berbual-bual sambil makan manisan. Setelah selesai makan, kami pun pulang semula ke apartmennya untuk tidur. Berakhirlah hari pertama aku di Jordan.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG V) - aMMaN

>> Friday, July 30, 2010



Amman adalah ibu negara Jordan & bandar yang terbesar di negara ini. Jumlah penduduknya adalah seramai 2.5 juta orang. Ia juga adalah antara bandar yang tertua di dunia yang terus-menerus dihuni oleh manusia. Bandar ini terletak di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi oleh 7 buah bukit di sekitarnya. Disebabkan itulah bandar ini mempunyai suhu yang agak rendah berbanding tempat-tempat lain di negara Jordan. Salji amat kerapkali turun di sini setiap kali tibanya Musim Sejuk. Kedudukan bandar Amman ini sebenarnya amat hampir dengan kota Jerusalem atau Al-Quds di mana terletaknya Masjidil Aqsa. Sekiranya bumi Palestin tidak bergolak seperti sekarang, sudah pasti aku akan menjejakkan kaki aku di masjid yang suci itu.


Kedudukan Amman dalam peta Jordan


Bandar Amman diselaputi salji sewaktu Musim Sejuk

Amman telah menjadi penempatan manusia sejak 10,500 tahun dahulu. Ia pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Assyria yang wujud dari kurun ke-9 SM hingga kurun ke-6 SM. Selepas itu, Amman jatuh ke tangan kerajaan Parsi & kemudiannya kerajaan Greek. Di bawah kerajaan Greek yang ditadbir oleh Ptolemy II, kota ini mula diberi nama Philadelphia. Sesudah itu, kerajaan Nabatean pula mengambil alih pemerintahannya sehingga tahun 106 M. Pada tahun tersebut, kota ini telah jatuh ke bawah kekuasaan Empayar Rom. Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota ini dijadikan salah satu daripada Decapolis, iaitu sekumpulan 10 kota yang dibangunkan oleh empayar tersebut di bumi Syam. 6 daripada 10 kota tersebut terletak di Jordan pada masa kini, iaitu Philadephia (Amman), Gerasa (Jerash), Gadara (Umm Qays), Pella, Dion (Bayt Ras) & Raphana. 2 daripadanya terletak di Syria, iaitu Damascus (Damsyik) & Canatha (Qanawat). Dan 2 lagi pula terletak di Israel, iaitu Scythopolis (Beth-Shean) & Hippus (Sussita).


Peta lokasi kesemua Decapolis di bumi Syam ketika era pemerintahan Empayar Rom

Nama ‘Amman’ hanya diberi kepada kota ini sekitar kurun ke-5 sewaktu kota ini di bawah pemerintahan Empayar Byzantine. Pada kurun ke-7, sewaktu kebangkitan kuasa Islam di tanah Arab, Amman akhirnya jatuh ke bawah panji Islam yang berpusat di Madinah setelah ianya berjaya dirampas daripada Empayar Byzantine. Seterusnya, kota ini berada di bawah naungan kerajaan Bani Umayyah & kemudiannya kerajaan Bani Abbasiyah. Akhirnya, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Selepas Jordan mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1946, Amman secara rasminya dijadikan ibu negara Jordan. Populasi Amman yang pada mulanya sedikit secara tiba-tiba naik mendadak dengan kebanjiran pelarian Palestin ke sini pada tahun 1948 selepas penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin. Pelarian-pelarian Palestin itu masih lagi tinggal di bumi Amman sehingga sekarang & telah beranak-pinak di sini.

Lokasi pertama di Amman yang aku, Hariz & Ideris jejaki ialah Citadel Hill atau dalam Bahasa Arabnya, Jabal Qala’ah. Kubu pertahanan yang terletak di atas sebuah bukit ini dikatakan telah wujud sebelum kedatangan kerajaan Greek & Rom ke sini lagi. Sewaktu ketibaan Empayar Rom, kubu pertahanan ini diperkukuhkan lagi. Ianya terus digunakan sewaktu pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam di kota Amman. Terdapat 3 binaan utama di kawasan Citadel Hill ini, iaitu runtuhan Temple of Hercules, Umayyad Palace & tapak Byzantine Church. Temple of Hercules dikatakan telah dibina antara tahun 161 hingga 169 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Marcus Aurelius. Yang tinggal kini hanyalah sisa runtuhannya. Umayyad Palace pula adalah bangunan lama yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Bani Umayyah di Amman. Ianya dibina sekitar tahun 720. Fungsinya tidak diketahui. Bangunan tersebut juga hanya meninggalkan sisa-sisa runtuhannya sahaja. Dan Byzantine Church yang kini hanya meninggalkan tiang-tiangnya sahaja pula merupakan sebuah gereja yang dibina sekitar kurun ke-6 sewaktu pemerintahan Empayar Byzantine di sini.


Bersama Ideris di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Bersama Hariz di runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Byzantine Church di Citadel Hill, Amman, Jordan

Dari kawasan Citadel Hill itu, aku dapat melihat panorama kota Amman yang sememangnya amat menakjubkan sekali. Aku seperti tidak percaya yang pemandangan yang terbentang luas di hadapan aku itu adalah sebuah kota lama yang telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Seperti sebuah mimpi. Dari kawasan tersebut, Roman Theatre yang bakal menjadi destinasi aku yang seterusnya jelas kelihatan. Subhanallah. Begitu besar & agung sekali binaannya. Di kawasan Citadel Hill ini terdapat juga sebuah muzium, iaitu Jordan Archaeological Museum. Muzium ini mempamerkan khazanah-khazanah lama di Jordan sejak dari zaman prasejarah sehinggalah ke kurun ke-15. Salah satu khazanah berharga yang disimpan di sini ialah koleksi Dead Sea Scrolls yang merupakan manuskrip penting bagi agama Kristian & Yahudi yang dijumpai pada tahun 1952.


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Dead Sea Scrolls

Tempat seterusnya yang kami bertiga jejaki ialah Roman Theatre, bangunan hebat yang berbentuk seperti stadium yang dibina antara tahun 138 hingga 161 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Antonius Pius. Sewaktu era pemerintahan Empayar Rom dahulu, Roman Theatre ini boleh memuatkan seramai 6,000 orang penonton dalam suatu masa. Bangunan ini masih lagi digunakan sehingga kini untuk persembahan muzik atau teater. Aku benar-benar kagum melihat senibina Roman Theatre ini. Ia menggambarkan betapa hebatnya teknologi & kepakaran manusia pada zaman dahulu sehingga dapat membina bangunan sebesar & semegah ini yang masih lagi kukuh sehingga ke hari ini walaupun usianya sudah menjangkau hampir 2,000 tahun. MasyaAllah.


Bersama Hariz di Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan

Selepas puas bergambar di Roman Theatre yang besar & mengagumkan itu, Hariz & Ideris membawa aku ke sebuah masjid di kota Amman. Hariz & Ideris sendiri tidak pasti apa namanya. Aku menunaikan solat Zohor di situ. Selepas solat, kami singgah di sebuah restoran untuk menikmati makan tengah hari. Mereka berdua belanja. Hahaha. Terima kasih Hariz & Ideris!!


Sebuah masjid di Amman, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP