Showing posts with label Bucharest. Show all posts
Showing posts with label Bucharest. Show all posts

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXII) - BuCHaReST II

>> Wednesday, February 10, 2010



Aku kemudiannya berjalan sejauh 1 kilometer menyusuri Unirii Boulevard untuk menuju ke Palace of the Parliament, bangunan yang menempatkan Parlimen, Presidensi, Kabinet Kerajaan & juga Mahkamah Keadilan negara Romania. Menurut Guinness Book of World Records, bangunan Palace of the Parliament ini adalah bangunan pentadbiran kerajaan yang terbesar, termahal & terberat di dunia. Ianya dibina sewaktu era pemerintahan Presiden Nicolae Ceausescu yang sememangnya tidak disukai oleh rakyat Romania kerana keborosannya menghabiskan wang negara.

Beliau pada mulanya menamakan bangunan tersebut dengan nama House of the Republic. Namun, rakyat Romania kemudiannya menggelarkan bangunan tersebut dengan nama People’s House, kerana wang yang digunakan untuk membina bangunan ini adalah hasil daripada titik peluh & wang rakyat. Bangunan setinggi 12 tingkat di atas tanah berserta 4 tingkat di bawah tanah ini mempunyai 1,100 buah bilik di dalamnya.

Bangunan Palace of the Parliament ini sebenarnya dibina di atas tapak sebuah bukit yang telah diratakan semata-mata untuk projek pembinaan bangunan tersebut. Sebelum bangunan ini dibina, kawasan bukit ini merupakan kawasan yang bersejarah di Bucharest, di mana terdapatnya 19 buah gereja Orthodox, 6 buah Sinagog, 3 buah gereja Protestant & 30,000 buah rumah di sekitarnya. Kesemuanya itu telah dirobohkan untuk pembinaan bangunan Palace of the Parliament. Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Pembinaan bangunan tersebut dimulakan pada tahun 1983. Ia hampir siap sepenuhnya sewaktu Presiden Nicolae Ceausescu digulingkan pada tahun 1989. Terdapat beberapa bahagian bangunan ini yang tidak sempat disiapkan, seperti 3 lagi tingkat bawah tanah & juga menara jam.

Aku sememangnya berhajat untuk masuk ke dalam bangunan Palace of the Parliament tersebut yang sememangnya dibuka kepada orang awam. Malangnya, wang yang ada di dalam dompet aku tidak mencukupi untuk membeli tiket untuk masuk ke dalamnya. Di sekitar kawasan bangunan itu pula tiada terdapat mesin ATM. Mesin ATM yang terdekat pun mungkin terletak 1 kilometer jauhnya dari bangunan tersebut. Akhirnya, terpaksalah aku melupakan sahaja hajat aku. Kecewa pula rasanya kerana tidak dapat masuk ke dalam bangunan pentadbiran kerajaan yang terbesar di dunia itu.


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania


Palace of the Parliament, Bucharest, Romania

Aku kemudiannya berjalan kaki semula ke Union Square untuk ke Unirea Shopping Center. Tujuan aku ke kompleks membeli-belah tersebut adalah untuk mencari sandal baru kerana sandal yang aku baru sahaja beli di Brasov semalam sudah pun haus. Nampak sangat ianya berkualiti rendah. Setelah puas mencari, aku akhirnya menjumpai sandal yang aku ingini. Harganya agak mahal. Harap-harapnya ianya akan bertahan lebih lama. Aku kemudian singgah di restoran McDonald’s untuk makan tengah hari.

Selepas makan, aku pun menyambung semula pengembaraan aku di kota Bucharest. Lokasi seterusnya ialah Radu Voda Monastery. Nasib aku kurang baik kerana gereja Orthodox ini sedang dalam proses pembaikan. Bangunan gereja ini dibina antara tahun 1568 hingga 1577 oleh Putera Raja Wallachia yang bernama Alexandru II Mircea. Kawasan di sekitarnya dipercayai merupakan kawasan penempatan terawal di negara Romania.


Radu Voda Monastery, Bucharest, Romania

Aku kemudiannya meneruskan langkah ke Revolution Square, yang sebelum ini dikenali dengan nama Palace Square, sebelum berlakunya Revolusi Romania pada tahun 1989. Di lokasi inilah tercetusnya Revolusi Romania yang akhirnya menamatkan rejim pemerintahan Komunis di negara ini. Di kawasan dataran inilah terletaknya bangunan Central Committee of the Romanian Communist Party yang merupakan ibu pejabat rejim Komunis di Romania sewaktu era pemerintahan Komunis. Di sinilah Presiden Nicolae Ceausescu & isterinya menaiki helikopter dalam percubaan mereka untuk menyelamatkan diri daripada Revolusi Romania yang berlaku di sekitar kawasan bangunan ini. Mereka berdua akhirnya berjaya ditangkap & dihukum bunuh 3 hari kemudian.


Bangunan Central Committee of the Romanian Communist Party di Revolution Square, Bucharest, Romania

Tidak jauh dari Revolution Square, terdapat sebuah bangunan yang bernama National Museum of Art of Romania. Bangunan ini merupakan istana diraja Romania pada suatu masa dahulu. Pada masa kini, ianya berfungsi sebagai muzium yang mempamerkan koleksi kesenian Romania yang lama & yang baru, berserta koleksi-koleksi peribadi keluarga diraja Romania. Bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk sewaktu Revolusi Romania pada tahun 1989. Ianya kemudian melalui proses pembaikan & hanya dibuka semula pada tahun 2000.


National Museum of Art of Romania, Bucharest, Romania

Aku seterusnya meneruskan ekspedisi aku ke National Museum of Romanian History. Muzium ini mempamerkan khazanah-khazanah berharga di Romania dari zaman prasejarah sehingga ke zaman moden. Selepas itu, aku menuju pula ke Stavropoleos Monastery, sebuah gereja Orthodox kecil yang pernah ditutup selama lebih daripada satu kurun. Gereja ini dibina pada tahun 1724 sewaktu era pemerintahan Putera Wallachia yang bernama Nicolae Mavrocordat. Gereja ini akhirnya terpaksa ditutup pada akhir kurun ke-19 kerana mengalami kerosakan yang teruk. Sewaktu era pemerintahan Komunis, keadaan gereja ini menjadi bertambah teruk. Ianya hanya dibuka semula pada tahun 1991 selepas tamatnya era pemerintahan Komunis di Romania.


National Museum of Romanian History, Bucharest, Romania


Stavropoleos Monastery, Bucharest, Romania

Lokasi terakhir aku di bumi Bucharest & Romania ialah Old Princely Court. Tempat ini merupakan kediaman Vlad Tepes, putera Wallachia yang terkenal dengan kekejamannya. Baginda juga turut digelar dengan nama Dracula. Baginda menetap di sini sekitar kurun ke-15, ketika Bucharest menjadi pusat pentadbiran kerajaan Wallachia. Tempat ini kini dijadikan muzium. Terdapat sebuah ukiran patung Vlad Tepes di kawasan ini.


Old Princely Court, Bucharest, Romania


Ukiran patung Vlad Tepes (Dracula) di Old Princely Court, Bucharest, Romania

Dengan terjejaknya kaki aku di Old Princely Court tadi, maka berakhirlah pengembaraan aku di bumi Bucharest khasnya & bumi Romania amnya. Pada malam ini, aku akan menaiki keretapi untuk ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Sofia, Bulgaria. Selepas makan malam, aku pun terus kembali ke hostel untuk mengemas barang-barang aku. Lebih kurang pukul 7.15 petang, aku menaiki metro untuk ke stesen keretapi Bucharest Nord. Keretapi yang aku ingin naiki sudah pun berada di terminalnya sewaktu aku tiba di stesen keretapi tersebut. Lalu, aku pun terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 7.50 petang, keretapi itu pun mulai bergerak meninggalkan Bucharest. Perjalanan dari Bucharest ke Sofia memakan masa selama 10¼ jam. Aku menggunakan tiket pas Interrail.

Untuk menghilangkan rasa bosan, aku menyambung semula membaca novel 'The Kite Runner'. Selang beberapa jam kemudian, aku akhirnya berjaya menghabiskan pembacaan aku sehingga ke muka surat akhir. Novel tersebut benar-benar memberi kesan mendalam dalam diri aku. Antara novel terbaik yang pernah aku baca. Selepas selesai membacanya, aku cuba untuk melelapkan mata. Walaupun berada dalam keadaan yang kurang selesa, aku akhirnya berjaya juga melelapkan mata untuk beberapa jam.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXI) - BuCHaReST I

>> Saturday, February 06, 2010



Hari 10: 20 MEI 2008

Selepas menunaikan solat Subuh & membersihkan diri, aku pun terus keluar untuk memulakan pengembaraan di kota Bucharest. Bucharest adalah ibu kota & bandar terbesar di Romania. Bandar ini terletak di pinggiran Sungai Dambovita, di dalam wilayah Wallachia. Penduduknya berjumlah 1,900,000 orang.


Peta kedudukan Bucharest di dalam Romania

Menurut sejarah, kota ini pernah menjadi kediaman Vlad Tepes yang turut dikenali dengan nama Dracula yang merupakan pemerintah kerajaan Wallachia sekitar pertengahan kurun ke-15. Bandar ini kemudiannya berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Sewaktu Bucharest berada di bawah naungan empayar tersebut, terdapat beberapa percubaan daripada Empayar Austria & Empayar Russia untuk menawan kota ini, tetapi usaha mereka tidak menemui kejayaan. Walau bagaimanapun, Bucharest akhirnya berjaya ditawan oleh Empayar Russia pada tahun 1828. Namun, pada tahun 1857, Empayar Austria pula berjaya mengambil alih pemerintahannya.

Selepas penyatuan Moldavia & Wallachia membentuk kerajaan Romania pada tahun 1878, Bucharest dijadikan ibu kota kerajaan ini. Mulai dari saat itulah, Bucharest mula membangun dengan begitu rancak sekali sehingga ia mendapat gelaran ‘Paris of the East’. Dari tahun 1916 hingga 1918, iaitu sewaktu Perang Dunia Pertama, Bucharest jatuh ke tangan pemerintahan Empayar Jerman. Selepas kekalahan Empayar Jerman dalam perang tersebut, Bucharest dikembalikan kepada Romania. Perang Dunia Kedua yang berlaku dari tahun 1941 hingga 1945 juga turut memberi impak kepada bandar ini.

Sewaktu pemerintahan Presiden Nicolae Ceausescu, kebanyakan bangunan lama yang bersejarah di kota Bucharest telah diruntuhkannya & diganti dengan bangunan-bangunan yang bercirikan senibina Komunis. Ini adalah antara penyebab utama tercetusnya Revolusi Romania yang berlaku pada tahun 1989, bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Nicolae Ceausescu.

Aku mengelilingi kota Bucharest dengan menaiki metro. Jaringan metro di kota ini adalah antara jaringan metro yang terbesar di benua Eropah. Arcul de Triumf adalah lokasi pertama yang aku jejaki di bandar ini. Ia merupakan antara mercu tanda utama Bucharest. Lokasinya dari stesen metro terdekat agak jauh jaraknya. Lebih kurang 2 kilometer. Aku terpaksa berjalan kaki sejauh itu untuk ke monumen tersebut. Sesampainya aku di situ, aku agak kecewa kerana ianya sedang dalam proses pembaikan. Walau apapun, aku tetap bergambar dengannya. Arcul de Triumf ini mempunyai bentuk seakan-akan Arc de Triumph yang terdapat di Paris, Perancis. Cuma saiznya mungkin lebih kecil berbanding yang di Paris.

Arcul de Triumf yang asal pada mulanya diperbuat daripada kayu. Ia dibina selepas pembentukan negara Romania hasil daripada penyatuan wilayah Wallachia & Moldavia yang berjaya mendapat kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Kemudian, pada tahun 1922, selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, monumen baru telah dibina bagi menggantikan monumen yang diperbuat daripada kayu itu. Pada tahun 1936, monumen yang dibina pada tahun 1922 itu digantikan pula dengan yang lebih baru yang kekal sehingga ke hari ini. Arcul de Triumf ini mempunyai ketinggian setinggi 27 meter.


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania

Seterusnya, aku meneruskan langkah ke Museum of the Romanian Peasant, muzium yang mempamerkan koleksi tekstil, ikon, seramik & banyak lagi artifak yang berkaitan dengan kehidupan hamba-hamba abdi di Romania pada zaman dahulu. Ianya adalah antara muzium yang terkenal di benua Eropah & pernah menerima anugerah ‘Museum of the Year’ pada tahun 1996. Muzium ini diasaskan pada tahun 1930-an. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania, muzium ini dijadikan muzium yang mewakili kerajaan Komunis. Hanya selepas kejatuhan Presiden Nicolae Ceausescu pada tahun 1990, barulah muzium ini dibuka semula kepada orang ramai. Aku hanya bergambar di bahagian luar muzium ini. Tidak berminat pula aku untuk masuk ke dalamnya.


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania

Selepas itu, aku menuju ke destinasi yang seterusnya, iaitu Union Square (Piata Unirii) yang merupakan antara dataran yang terbesar di Bucharest. Dataran ini terbahagi kepada 2 bahagian yang dipisahkan oleh sebatang jalan raya yang bernama Unirii Boulevard. Jalan raya tersebut dibina sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania & diberi nama Boulevard of the Victory of Socialism. Hanya selepas Revolusi Romania 1989, barulah namanya ditukar ke Unirii Boulevard.

Dataran ini merupakan hab yang penting bagi sistem pengangkutan awam di Bucharest. Di sini terdapat stesen metro, tempat menunggu bas & juga stesen tram. Di sekelilingnya juga terdapat banyak bangunan yang menarik. Antaranya ialah Unirea Shopping Center yang merupakan pusat membeli-belah moden yang pertama di Bucharest & Hanul lui Manuc yang merupakan sebuah hotel yang ternama di kota ini. Di tengah-tengah dataran ini pula terdapat taman kecil berserta air pancut yang unik. Kawasan Union Square ini sememangnya cantik & sesuai untuk aktiviti riadah.


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Unirii Boulevard, Bucharest, Romania

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP