SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXVII) - BoSRa I

>> Tuesday, August 31, 2010



Hari 13: 29 MEI 2009

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun. Selepas selesai mandi & bersiap, Ikhwan membawa aku ke Abu Nour University untuk bertemu dengan Syazwan & 8 orang lagi peserta trip ke Bosra. Kami ke universiti itu dengan menaiki bas mini. Setibanya kami di hadapan universiti itu, kami menunggu ketibaan mereka semua. Tidak berapa lama kemudian, mereka pun muncul. Syazwan adalah selaku ketua trip. 3 orang lagi adalah pelajar-pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Asyraf, Shahrul & Ridhuan yang aku jumpa 2 hari lalu. Sementara 5 orang lagi pula adalah sepasang suami isteri dari Malaysia bersama seorang anak lelaki & 2 orang anak perempuan mereka.

Kami sepuluh orang ke Bosra dengan menaiki van yang telah pun ditempah. Tidak berapa lama selepas menunggu, van yang dinantikan pun tiba. Pemandunya adalah orang Arab tempatan. Aku kemudiannya bersalaman dengan Ikhwan. Aku akan kembali semula ke rumahnya selepas pulang dari Bosra petang nanti. Apabila van kami mulai bergerak meninggalkan Damsyik menuju ke Bosra, Ikhwan pun pulang semula ke rumahnya. Perjalanan kami 10 orang ke Bosra dari Damsyik memakan masa lebih daripada sejam lamanya.

Bosra adalah salah sebuah bandar yang bersejarah di negara Syria & telah tersenarai sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’. Kota ini pernah diduduki oleh orang-orang Nabatean pada kurun ke-2 SM. Seterusnya, ia ditawan oleh Empayar Rom pada tahun 106 M. Sejak itu, Bosra mula menjadi antara kota Rom yang terpenting & antara pusat perdagangan yang utama di bumi Syam. Rasulullah SAW sendiri pernah menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk berniaga. Baginda pernah ke sini mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib sewaktu baginda masih kecil. Kemudian, ketika umurnya lebih kurang 25 tahun, baginda sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Bosra untuk membantu perniagaan Khadijah binti Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda.


Kedudukan Bosra dalam peta Syria

Pada kurun ke-7 ketika era dakwah Rasulullah SAW sedang giat dijalankan, kota Bosra telah jatuh ke tangan Empayar Parsi selepas kekalahan Empayar Rom Timur (Byzantine) dalam satu siri peperangan antara kedua-dua empayar besar itu. Walau bagaimanapun, kurang daripada 10 tahun kemudian, Bosra telah berjaya ditawan semula oleh Empayar Rom Timur (Byzantine). Kejayaan Empayar Rom Timur (Byzantine) menawan semula tanah jajahannya yang dirampas oleh Empayar Parsi telah diramalkan oleh Allah SWT dalam beberapa potongan ayat Al-Quran. Ayat-ayat ini diwahyukan kepada Rasulullah SAW sewaktu Empayar Rom Timur (Byzantine) baru sahaja dikalahkan oleh Empayar Parsi:

Orang-orang Rom telah dikalahkan; di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya; dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ar-Rum: ayat 2-5)


Peta Empayar Rom Timur (Byzantine) & Empayar Parsi

Tidak berapa lama selepas Empayar Rom Timur (Byzantine) berjaya menawan semula Bosra, kota tersebut ditawan pula oleh kerajaan Islam pada tahun 634 yang pada waktu itu di bawah pimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Tentera Islam yang berjaya menawan kota tersebut adalah dibawah pimpinan Khalid al-Walid. Empayar Rom Timur (Byzantine) pada waktu itu diperintah oleh Maharajanya yang bernama Heraclius. Sejak dari hari itu, Bosra kekal berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam sehinggalah ke hari ini. Walau bagaimanapun, kegemilangan yang dimilikinya sebagai pusat perdagangan yang utama di bumi Syam sudah pun tamat. Pada masa kini, kota ini seolah-olah seperti sebuah bandar mati. Yang ada cuma kesan-kesan tinggalan Empayar Rom, Byzantine & Islam yang kebanyakannya masih kukuh berdiri hingga ke hari ini.

Setibanya kami sepuluh orang di Bosra, lokasi pertama yang kami jejaki ialah sebuah masjid yang dikatakan terdapatnya bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW sewaktu baginda & untanya itu datang berdagang di sini. Aku sendiri kurang pasti akan kesahihan perkara ini. Wallahu ‘alam. Nama masjid tersebut ialah Masjid Mabrak Annaqah. Seterusnya, kami ke kawasan arkeologi yang terpenting sekali di kota ini, iaitu Bosra Citadel. Ia pada mulanya merupakan sebuah kota besar yang dibina oleh Empayar Rom. Kemudian, ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan Islam, kubu pertahanan telah didirikan di sekelilingnya. Antara tinggalan Empayar Rom yang terdapat di dalam kawasan Bosra Citadel ini ialah Roman Theatre yang besar saiznya. Ianya dibina pada kurun ke-2 M sewaktu era kegemilangan Bosra sebagai salah sebuah kota Rom yang terpenting di bumi Syam. Roman Theatre ini boleh menampung seramai 15,000 orang penonton dalam suatu masa.


Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bersama Asyraf & Shahrul di Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bekas tapak kaki unta Rasulullah SAW dalam Masjid Mabrak Annaqah, Bosra, Syria


Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria


Roman Theatre di dalam Bosra Citadel, Bosra, Syria

Selepas menghabiskan masa yang agak lama bergambar di dalam Roman Theatre itu, kami ke sebuah kawasan di mana kami dapat melihat runtuhan-runtuhan kota yang pada suatu masa dahulu merupakan antara kota Rom yang teragung sekali di bumi Syam. Yang tinggal kini hanyalah tiang-tiang batu yang masih tegak berdiri. Kemudian, kami ke Al-Umari Mosque yang juga terletak di kawasan Bosra Citadel ini. Ianya adalah antara masjid-masjid yang tertua dalam sejarah Islam. Masjid ini mula dibina sewaktu kerajaan Islam di bawah pimpinan Umar al-Khattab. Walau bagaimanapun, masjid ini hanya siap dibina sepenuhnya pada tahun 721, sewaktu era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Yazid bin Abdul Malik. Masjid tersebut kemudiannya diubahsuai & diperbesarkan lagi pada kurun ke-12 & ke-13 sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiah.


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria


Al-Umari Mosque di dalam runtuhan Bosra Citadel, Bosra, Syria

Kami sepuluh orang kemudiannya berjalan ke sebuah runtuhan gereja yang bernama Buheira Cathedral. Di gereja inilah Rasulullah SAW telah bertemu dengan paderi Kristian bernama Buheira sewaktu baginda berusia 10 tahun. Pada waktu itu, baginda bersama-sama dengan bapa saudaranya, Abu Talib & juga pedagang-pedagang Quraisy lain dari Mekah berkunjung ke bumi Bosra untuk urusan perniagaan. Mereka seterusnya dijemput oleh paderi Buheira kerana dia ingin sekali bertemu dengan bakal pesuruh Allah yang dikatakan akan muncul dari bumi Mekah. Apabila dia bersua muka dengan Rasulullah SAW, dia dapat melihat tanda-tanda kerasulan baginda seperti yang telah dikatakan dalam kitab Injil yang asli. Paderi itu kemudiannya menceritakan hal itu kepada Abu Talib & menyuruhnya melindungi Rasulullah SAW daripada orang-orang Yahudi yang berkemungkinan akan membunuh baginda jika diketahui akan kerasulan baginda.


Buheira Cathedral, Bosra, Syria


Bersama Pakcik & Shahrul di Buheira Cathedral, Bosra, Syria

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

Unknown Tuesday, August 31, 2010 at 12:58:00 PM GMT+8  

salam sahabat
subhanAllah sungguh tenpat yang bagus

kakmie Tuesday, August 31, 2010 at 6:21:00 PM GMT+8  

Salam jhaz, auntie bersembahyang zohor di masjid al-umary semasa umrah/ziarah jun lalu. MasyaAllah, kagum dengan binaan org-org dulu, melampaui zaman...

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP