SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG X) - uMM QaYS & YaRMouK

>> Wednesday, August 04, 2010



Dari kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), aku, Rozaili, Munir & Hariz kemudiannya menuju ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk seperti yang telah dijanjikan oleh Munir semalam. Kereta sewa yang kami naiki dipandu oleh Munir yang sudah arif dengan selok-belok jalan raya di negara Jordan setelah hampir 4 tahun bermukim di negara ini. Sesampainya kami berempat di Umm Qays, waktu sudah pun hampir senja. Oleh itu, kami terpaksa bergegas-gegas sebelum matahari terbenam, sebelum hari menjadi gelap.

Lokasi Umm Qays terletak betul-betul di sempadan 3 buah negara, iaitu Jordan, Syria & Israel. Walau bagaimanapun, ianya terletak di dalam negara Jordan. Umm Qays atau nama lamanya Gadara adalah sebuah runtuhan kota Greek-Rom yang juga merupakan salah satu daripada 10 buah Decopolis di bumi Syam. Umm Qays pada mulanya ditawan oleh Maharaja Seleucid yang bernama Antiochus the Great pada tahun 218 SM ketika dia dalam usaha untuk menakluk bumi Palestin. Raja Judea yang bernama Alexander Jannaeus kemudiannya berjaya menceroboh masuk ke kota ini & menghancurkannya. Kota Umm Qays ini mula diperbaiki semula pada tahun 63 SM selepas ianya jatuh ke tangan Empayar Rom. Pentadbirannya kemudian dihadiahkan kepada Raja Herod, yang merupakan Raja Bani Israel pada waktu itu atas jasa-jasanya kepada Maharaja Rom. Walau bagaimanapun, Empayar Rom masih tetap berkuasa ke atas kota itu. Umm Qays akhirnya jatuh ke tangan orang-orang Islam Arab pada tahun 636 M selepas kemenangan besar mereka menewaskan tentera Byzantine dalam Perang Yarmouk.


Kedudukan Umm Qays, Bukit Golan & Tasik Tiberias dalam peta Jordan, Israel & Syria

Antara binaan-binaan yang terdapat di dalam runtuhan kota Umm Qays ini ialah 2 buah Roman Theatre & juga runtuhan kuil & gereja yang pada masa kini hanya tinggal tiang-tiang batu yang berwarna hitam & putih sahaja. Dari kawasan tersebut, kami dapat melihat panorama Bukit Golan, Sungai Yarmouk & Tasik Tiberias dengan agak jelas walaupun dalam keadaan sedikit berkabus, ditambah lagi dengan sinaran matahari senja yang samar-samar warnanya. Bukit Golan adalah sebuah bukit yang menjadi rebutan antara Israel & Syria sehingga kini. Dari tahun 1948 hingga 1967, Bukit Golan adalah milik Syria. Namun, selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967, 2/3 daripada kawasan bukit itu berjaya ditakluk oleh Israel & kekal dibawah penaklukan Israel sehingga kini. Seramai 100,000 orang rakyat Syria telah dihalau dari rumah mereka sewaktu Israel menawan bukit tersebut pada tahun itu. Sehingga kini, mereka masih lagi tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di sana. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa belas ribu rakyat Syria yang kekal menetap di Bukit Golan kerana tidak berjaya dihalau keluar. Tasik Tiberias atau turut dikenali dengan nama Laut Galilee pula adalah sebuah tasik kepunyaan negara Israel yang merupakan tasik air tawar yang terbesar di negara itu. Dengan permukaan airnya serendah 209 meter di bawah paras air laut, Tasik Tiberias adalah tasik air tawar yang terendah sekali di dunia.


Runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Bersama Hariz di runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Bersama Munir & Hariz di runtuhan kuil & gereja di Umm Qays, Jordan


Roman Theatre di Umm Qays, Jordan


Bersama Munir & Hariz di Roman Theatre di Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan


Panorama Tasik Tiberias & Bukit Golan dari Umm Qays, Jordan

Sebelum matahari betul-betul terbenam, kami berempat dengan cepatnya menuju ke destinasi kami yang seterusnya yang terletak tidak jauh dari Umm Qays, iaitu Medan Perang Yarmouk. Sayangnya, sewaktu kami tiba di situ, matahari telah pun terbenam & suasana sekitar kawasan Medan Perang Yarmouk gelap gelita. Perang Yarmouk adalah siri peperangan selama 6 hari antara kerajaan Islam pimpinan Umar al-Khattab & Empayar Byzantine pimpinan Heraclius. Medan perang ini terletak di Lembah Sungai Yarmouk yang pada masa kini merupakan sungai yang menjadi sempadan antara Jordan & Syria. Perang Yarmouk adalah antara beberapa peperangan yang paling masyhur dalam sejarah Islam & juga sejarah dunia. Kejayaan besar yang dicapai oleh tentera Islam dalam perang tersebut adalah kejayaan besar yang pertama selepas pemergian Rasulullah SAW yang wafat 4 tahun sebelum itu. Reputasi Khalid al-Walid sebagai perancang taktik peperangan juga terserlah dengan kejayaan perang ini. Perang inilah yang menjadi batu asas kepada kemaraan pantas tentera Islam untuk menawan seluruh bumi Syam daripada pegangan Empayar Byzantine selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW.


Medan Perang Yarmouk, Jordan & Syria


Bersama Hariz & Rozaili di Medan Perang Yarmouk, Jordan

Selepas melihat kawasan Medan Perang Yarmouk yang gelap gelita itu, aku, Munir, Hariz & Rozaili pun kembali ke kereta untuk pulang semula ke Irbid. Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah masjid. Mereka bertiga pergi menunaikan solat Maghrib di masjid itu, sementara aku hanya duduk di dalam kereta. Aku akan menunaikan solat Jamak Ta’khir di apartmen Hariz nanti. Selesai sahaja solat, kami pun terus pulang. Sesampainya kami berempat di Irbid, Munir meletakkan kereta sewa itu di hadapan flat Hariz. Dia kemudian pulang ke rumahnya. Begitu juga dengan Rozaili. Sebelum itu, aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Munir atas pertolongannya mencari kereta sewa untuk aku & membawa aku ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk. Dia tidak dapat mengikut kami ke destinasi yang seterusnya esok, iaitu Laut Mati & Mount Nebo kerana dia perlu mengulangkaji pelajarannya.

Munir sebenarnya adalah orang yang sangat terkenal di sini kerana dia adalah antara orang yang paling banyak pengalaman mengembara di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Irbid mahupun di Jordan. Oleh itu, jikalau ada sesiapa warga Malaysia yang datang berkunjung ke utara Jordan, selalunya dialah yang akan menjadi pemandu pelancong. Aku juga mengucapkan terima kasih kepada Rozaili kerana sudi menghabiskan masanya membawa aku berjalan-jalan di pusat bandar Irbid, di JUST & juga menemani kami ke Umm Qays & Medan Perang Yarmouk. Selepas bersalam-salaman dengan Munir & Rozaili, aku & Hariz pun masuk ke dalam apartmen. Makanan yang dimasak oleh Hadi sudah terhidang di atas meja & aku dijemput untuk makan. Selepas makan, aku mandi & kemudian menunaikan solat jamak. Selepas itu, aku pun terus melelapkan mata. Hariz terpaksa bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Unknown Friday, November 19, 2010 at 11:32:00 PM GMT+8  

Salam kepada penghuni Dataran Syam...

Membaca coretan perjalanan anda semua ke Bumi Anbiya', hampir menitis rasanya air mata. Di sanalah tempat saya menimba ilmu 15 tahun yang lalu....Seolah-olah baru semalam meninggalkan bumi yang barakah itu. Tuhan saja yang tahu betapa rindunya aku.....Teringat bait lagu...'tetamu di dataran syam ini, harus tabah seperti Abu Ubaidah...'

Teruskan mencoret...Kerana aku amat merinduinya...

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP