SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXIII) - iNTeRMiSSioN II

>> Tuesday, September 07, 2010



Selepas menjejakkan kaki di Hamra Street, aku pun berjalan pulang kembali ke hostel. Perjalanan ke hostel juga turut memakan masa selama lebih kurang sejam. Setelah penat berjalan, aku akhirnya tiba juga di hostel. Selepas mendapatkan kembali beg yang aku letak di tepi kaunter, aku terus berjalan menuju ke stesen bas untuk mendapatkan bas ke Damsyik, Syria. Namun, nasib aku agak malang. Pada waktu itu, iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang, bas ke Damsyik sudah tiada. Bas terakhir bertolak pada waktu tengah hari tadi. Aku mula menjadi panik. Aku sudah tiada jalan lain melainkan menaiki teksi.

Mujurlah ada seorang pemandu teksi datang menghampiri aku bertanyakan destinasi aku. Bahasa Inggerisnya agak baik, sama seperti penduduk-penduduk Lubnan yang lain. Aku lantas memberitahunya yang aku hendak ke Damsyik. Dia kemudian menyatakan yang dia perlu menunggu 2-3 orang lagi penumpang ke Damsyik sebelum dia boleh bertolak supaya tambang ke sana boleh dikurangkan setelah dibahagikan sama rata. Aku mengangguk tanda bersetuju. Dia kemudian memasukkan beg aku ke dalam boot keretanya. Setelah agak lama menunggu, masih belum ada penumpang yang mahu ke Damsyik dengan teksi kepunyaan pemandu itu.

Akhirnya, pemandu teksi itu bertanya kepada aku sama ada aku hendak terus bertolak sahaja ke Damsyik seorang diri. Harga tambang agak mahal, namun aku masih mampu. Aku lantas terus meminta pemandu teksi itu untuk terus sahaja bertolak ke Damsyik tanpa perlu menunggu penumpang lain. Pemandu teksi itu mengikut sahaja permintaan aku & terus menggerakkan teksinya. Walau bagaimanapun, di suatu tempat, terdapat seorang lelaki menahan teksi itu. Kebetulan dia juga mahu ke Damsyik. Alhamdulillah. Lelaki itu kemudiannya masuk & duduk di sebelah aku. Kami tidak berbual apa-apa kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Perjalanan ke Damsyik dengan teksi itu memakan masa lebih daripada 2 jam.

Apabila tiba di sempadan Lubnan-Syria, aku terpaksa menguruskan hal imigresen & visa pula. Aku tidak perlu membayar apa-apa untuk keluar dari Lubnan & untuk masuk semula ke Syria. Namun, sewaktu di pusat imigresen Syria, aku perlu mengisi borang perakuan kesihatan kerana pada waktu itu, wabak H1N1 sedang hangat melanda dunia. Aku perlu meminta pengesahan daripada seorang doktor yang bertugas di situ. Bilangan orang yang hendak meminta pengesahan berpuluh-puluh jumlahnya. Namun, doktor yang bertugas cuma seorang sahaja. Sangatlah tidak bersistem. Aku terpaksa berebut-rebut dengan mereka yang ada di situ kerana mereka tidak tahu beratur. Huhuhuh. Setelah bersungguh-sungguh berebut, aku akhirnya berjaya mendapatkan pengesahan daripada doktor itu & aku lantas terus menyerahkan borang tersebut kepada pegawai imigresen yang bertugas. Setelah itu, pemandu teksi yang turut membantu aku berebut-rebut tadi membawa aku semula ke teksinya untuk meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Peta perjalanan dari Beirut ke Damsyik

Di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya, yang terletak di pinggir sebatang lebuhraya, pemandu teksi itu menurunkan aku & penumpang lelaki tadi. Penumpang lelaki itu kemudiannya memarahi pemandu teksi itu. Aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Kemudian, aku bertanya kepada pemandu teksi itu mengapa dia menurunkan kami di situ. Dia menjawab yang dia hanya dapat menurunkan aku di pinggir kota Damsyik sahaja. Dia tidak dapat membawa aku masuk ke dalam kota itu. Dia meminta aku menahan teksi lain untuk masuk ke sana. Aku menjadi bingung & marah. Aku lalu mendesaknya supaya membawa juga aku ke dalam kota Damsyik. Dia akhirnya bersetuju dengan syarat aku perlu membayar tambang lebih sedikit. Aku tanpa berfikir panjang bersetuju sahaja. Aku lebih rela membayar lebih daripada ditinggalkan terkontang-kanting di pinggir lebuhraya. Beginilah perangai kebanyakan orang Arab yang aku temui. Kalau cakap, bukan main pandai putar belit. Awal-awal tadi, dia seolah-olah begitu yakin akan membawa aku terus ke destinasi tujuan aku di Damsyik. Alih-alih, bila sudah tiba di pinggir kota itu, dia hendak tinggalkan aku begitu sahaja di pinggir sebatang lebuhraya. Aku berasa sangat-sangat bengang.

Apabila sudah tiba di dalam kota Damsyik, aku memintanya menurunkan aku di Masjid Zaid bin Thabit yang terletak berdekatan dengan rumah Ikhwan. Itu sahaja landmark terdekat yang aku tahu. Aku pun terus dibawanya ke lokasi berhampiran dengan masjid tersebut. Selepas membayar tambang, aku keluar dari teksi itu & terus berjalan menuju ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Mujurlah dia ada di rumah. Selepas mandi & solat Maghrib & Isyak, aku berbual-bual dengan Ikhwan. Ini adalah malam terakhir aku menumpang di rumahnya. Aku akan pulang semula ke Irbid, Jordan tengah hari esok. Aku bercerita tentang pengalaman aku di Beirut. Dia tekun mendengar. Apabila sudah mengantuk, kami berdua pun terus melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP