SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXV) - iNTeRMiSSioN IV

>> Thursday, September 09, 2010



Hari 17: 2 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Irbid. Aku akan meninggalkan bumi Irbid untuk ke Amman pada waktu petang nanti. Hariz & penghuni-penghuni apartmennya yang lain awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menduduki peperiksaan mereka. Tinggallah aku keseorangan di dalam apartmennya itu. Aku kemudiannya mendapat SMS daripada Hariz. Dia menyatakan yang dia sudah pun tamat menduduki peperiksaannya & sedang dalam perjalanan pulang. Dia meminta aku berjumpanya di Yarmouk Mall yang terletak tidak jauh dari Syari’ Jami’ah untuk makan tengah hari bersama-sama dengannya & beberapa orang lagi rakan sekelasnya.

Selepas bersiap-siap, aku pun berjalan keluar menuju ke Yarmouk Mall. Tidak lama selepas menunggu di situ, muncullah Hariz bersama-sama dengan Azam, Ibrahim & Malik. Ini adalah pertama kali aku berjumpa dengan Malik. Aku baru tahu yang dia juga sebenarnya tinggal di apartmen yang sama dengan Dziya, Poey & Ibrahim. Hahaha. Pada mulanya aku fikirkan apartmen itu dihuni oleh tiga orang itu sahaja. Mereka berempat membawa aku ke sebuah restoran. Kami makan-makan sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami pun pulang ke flat.

Di bilik Hariz, aku mengemas barang-barang aku, bersiap-siap untuk ke Amman. Lebih kurang pukul 5.00 petang, Hariz & Hadi membawa aku ke stesen bas Irbid. Namun, sebelum bertolak, aku menghadiahkan cenderahati-cenderahati dari Ireland kepada setiap penghuni apartmen Hariz, termasuklah Hidayat & Mursyid. Aku juga turut meminta pertolongan Hariz untuk menyampaikan cenderahati aku kepada Munir & Rozaili. Aku, Hariz & Hadi kemudian singgah pula di apartmen Dziya untuk bersalam-salaman dengannnya & juga dengan penghuni-penghuni apartmennya yang lain, iaitu Poey, Ibrahim & Malik. Aku turut menghadiahkan cenderahati sama kepada Dziya. Cenderahati-cenderahati tersebut aku hadiahkan buat kesemua penghuni apartmen Hariz kerana kesudian mereka menerima kedatangan aku untuk menumpang di apartmen mereka & juga buat mereka yang turut menjayakan misi aku mengelilingi bumi Jordan seperti Dziya, Munir & Rozaili. Buat mereka yang tidak mendapat cenderahati dari aku, jangan kecil hati. Kalian tetap akan aku kenang selalu.


Bersama Hariz, Hidayat & Hadi di apartmen mereka di Irbid, Jordan


Bersama Hariz, Hidayat & Murshid di apartmen mereka di Irbid, Jordan

Setelah bersalam-salaman dengan Dziya, Poey, Ibrahim & Malik, kami bertiga terus menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Sesampainya di stesen bas tersebut, aku meminta pertolongan Hadi untuk membeli tiket kerana aku tidak fasih berbahasa Arab. Sesudah mendapatkan tiket, aku pun bersalam-salaman & berpeluk-pelukan dengan Hariz & Hadi. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka berdua, terutamanya Hariz yang telah banyak membantu aku menjayakan misi pengembaraan aku di bumi Syam. Tanpa bantuannya, mungkin amat sukar untuk aku menjelajah di bumi Anbiya’ ini.

Aku kemudiannya dengan perasaan sedih & berat hati terpaksa meninggalkan mereka berdua & masuk ke dalam bas. InsyaAllah kami akan bersua lagi suatu hari nanti. Lebih kurang pukul 6.00 petang, bas yang aku naiki pun mula meninggalkan Irbid menuju ke Amman. Perjalanan dengan bas itu mengambil masa selama lebih kurang 1½ jam. Lebih kurang puku 7.30 petang, aku pun tiba di stesen bas Amman. Dari stesen bas itu, aku menaiki bas lain pula untuk ke Lapangan Terbang Queen Alia. Perjalanan ke lapangan terbang itu memakan masa lebih kurang sejam. Bas yang aku naiki bertolak lebih kurang pukul 8.00 malam & lebih kurang pukul 9.00 malam, aku pun tiba di lapangan terbang tersebut.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Queen Alia, aku menjadi agak buntu kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Penerbangan Turkish Airlines aku ke Istanbul dijadualkan berlepas pada pukul 3.30 pagi nanti. Aku cuma dibenarkan masuk ke dalam terminal 3 jam sebelum penerbangan, iaitu lebih kurang pukul 12.30 tengah malam nanti. Itu adalah peraturan yang perlu diikuti di lapangan terbang ini. Disebabkan itu, aku terpaksa menghabiskan sisa baki 3½ jam yang ada di luar kawasan terminal. Bosan betul.

Bersambung...

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H buat semua pengunjung setia blog AKU SEBUTIR PASIR. Ampun dan maaf dipinta sekiranya saya ada tersalah silap sepanjang hampir 6 tahun saya berkecimpung dalam dunia blogging..




SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP