CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG VIII) - PaFoS I

>> Saturday, July 24, 2010



Sesampainya aku di Pafos, aku menyebut nama hostel yang telah aku rujuk dalam buku panduan aku kepada pemandu ‘service taxi’ itu. Akan tetapi, dia berhenti di hostel yang lain, bukan di hostel yang aku maksudkan. Aku terpaksa mengulangi menyebut nama hostel yang aku inginkan kepada pemandu 'service taxi' itu. Namun, dengan tidak semena-mena, aku dimarahinya pula. Dia tidak berapa fasih berbahasa Inggeris. Disebabkan itulah aku sukar untuk berkomunikasi dengannya. Akhirnya, setelah membuat satu pusingan, aku pun diturunkan di lokasi hostel yang betul. Aku mengucapkan terima kasih kepada pemandu ‘service taxi’ tadi walaupun dalam hati aku berasa geram dengannya kerana memarahi aku atas kesalahannya sendiri.

Aku kemudiannya mendaftar masuk di hostel tersebut & selepas itu, aku dibawa ke bilik aku. Bilik tersebut teramatlah selesa sekali. Selepas berehat-rehat buat seketika, aku pun menunaikan solat. Seketika kemudian, aku pun keluar untuk menjelajahi kota Pafos. Pafos adalah sebuah kota di pinggiran Laut Mediterranean yang terletak di bahagian barat daya pulau Cyprus. Menurut lagenda penduduk tempatan, Pafos adalah tempat kelahiran dewi cinta & kecantikan Greek yang bernama Aphrodite. Sewaktu era pemerintahan Greek & Empayar Rom, Pafos merupakan ibu kota Cyprus. Disebabkan itulah terdapat banyak tinggalan kedua-dua tamadun tersebut di kota ini. Kota Pafos turut tersenarai dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Jumlah penduduknya adalah seramai 47,000 orang.


Kedudukan Pafos dalam Peta Cyprus

Menurut sumber sejarah, Pafos telah menjadi penempatan manusia sejak Zaman Neolitik lagi. Ia kemudiannya diduduki oleh orang-orang Greek yang memuja Aphrodite yang merupakan dewi cinta & kecantikan mereka. Sewaktu berada di bawah pemerintahan kerajaan Greek yang ditadbir oleh Ptolemy yang berpusat di Alexandria, Mesir, Pafos mula dijadikan ibu kota Cyprus. Kegemilangannya kemudian disambung sewaktu berada di bawah pemerintahan Empayar Rom pula. Walau bagaimanapun, selepas kota Salamis, Nicosia & Larnaka mula dibuka, Pafos mulai hilang kepentingannya. Bandar & pelabuhannya kemudiannya semakin hilang pengaruh sewaktu berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Lusignon, Empayar Turki Uthmaniyah & Empayar British.

Walau bagaimanapun, Pafos kemudiannya dibangunkan semula pada tahun 1974 melalui pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan Republic of Cyprus. Pembinaan Lapangan Terbang Pafos & juga hotel-hotel ternama di kota ini sedikit sebanyak telah membantu menaikkan semula namanya. Ia kini merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong di Cyprus.

Pafos dibahagikan kepada 2 kawasan, iaitu Kato Pafos yang terletak di pinggiran laut & Ktima yang terletak di pedalaman. Di Kato Pafos terdapat pelabuhan, hotel-hotel mewah & pusat-pusat hiburan yang menjadi tumpuan utama pelancong di Pafos. Sementara Ktima pula adalah kawasan perumahan penduduk tempatan.

Hostel yang aku duduki terletak di kawasan Ktima. Untuk ke Kato Pafos yang menjadi tumpuan utama pelancong, aku perlu menaiki bas. Bas tersebut berhenti di Pafos Harbour yang menjadi lokasi pertama yang aku kunjungi di kota ini. Di sekitar Pafos Harbor ini terdapat marina, restoran-restoran mewah & juga salah satu mercu tanda utama kota ini, iaitu Pafos Castle. Pafos Castle terletak di penghujung pelabuhan tersebut. Ia pada mulanya dibina oleh Empayar Byzantine yang berfungsi sebagai kubu pertahanan untuk melindungi pelabuhan tersebut. Kemudian, Pafos Castle dibina semula oleh kerajaan Dinasti Lusignan pada kurun ke-13 selepas kejadian gempa bumi yang telah menghancurkan kubu tersebut pada tahun 1222.

Apabila berada di bawah pemerintahan Republic Venice, Pafos Castle telah dirobohkan. Ianya kemudian dibina semula & diperkuatkan selepas kedatangan tentera Empayar Turki Uthmaniyah ke Cyprus. Sepanjang ia berdiri di Pafos Harbour, Pafos Castle ini telah mempunyai pelbagai fungsi. Selain daripada kubu pertahanan, ia juga digunakan sebagai penjara & juga gudang penyimpanan garam sewaktu di bawah pemerintahan British. Aku berkesempatan untuk masuk ke dalam Pafos Castle & naik ke puncaknya. Dari atas puncak kubu tersebut, aku dapat melihat panorama Pafos Harbour yang amat indah sekali.


Panorama di Pafos Harbour, Pafos, Republic of Cyprus


Pafos Castle, Pafos, Republic of Cyprus


Pafos Castle, Pafos, Republic of Cyprus


Panorama Pafos Harbour dari atas Pafos Castle, Pafos, Republic of Cyprus

Setelah itu, aku berjalan-jalan di persisiran pantai, sekadar untuk mengambil angin sambil menenangkan fikiran. Persisiran pantai Pafos teramatlah menenangkan. Pantainya tidak berpasir, tetapi berbatu. Itu adalah keunikannya. Selepas itu, aku menuju ke kawasan Ktima dengan berjalan kaki. Di kawasan ini terdapat tapak Hrysopolitissa Basilica & St Paul’s Pillar. Hrysopolitissa Basilica adalah sebuah basilica yang dibina pada kurun ke-4 yang dikatakan telah dirobohkan oleh orang-orang Arab sewaktu ketibaan mereka di sini pada tahun 653 M. Di atas tapak tersebut pada masa kini masih lagi terdapat beberapa batang tiang basilica itu yang masih teguh berdiri & mozek-mozek yang terdapat pada lantainya masih lagi kelihatan. Di satu bahagian, terdapat sebatang tiang yang diberi nama St Paul’s Pillar, di mana St Paul dikatakan telah diikat & diseksa. Berhampiran dengan tapak tersebut, terdapat sebuah gereja kecil yang dibina beberapa ketika selepas basilica itu dirobohkan.


Persisiran Pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran Pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Tapak Hrysopolitissa Basilica, Pafos, Republic of Cyprus


Tapak Hrysopolitissa Basilica, Pafos, Republic of Cyprus


St Paul’s Pillar, Pafos, Republic of Cyprus

Waktu senja semakin hampir. Aku lalu berjalan kembali ke persisiran pantai untuk menikmati panorama waktu senja yang sememangnya amat menakjubkan. Subhanallah. Aku kemudiannya berjalan pula ke restoran MacDonald’s untuk makan malam. Selepas selesai makan, aku kembali semula ke hostel aku dengan berjalan kaki kerana perkhidmatan bas sudah tamat. Jauh juga aku terpaksa berjalan. Hampir 40 minit. Setibanya di hostel, aku terus mandi, solat & kemudian, melelapkan mata.


Persisiran pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran pantai, Pafos, Republic of Cyprus


Persisiran pantai, Pafos, Republic of Cyprus

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


5 buah komen:

Sharinginfoz Saturday, July 24, 2010 at 6:38:00 PM GMT+8  

seronoknya dapat melancong dan mengenali negara org

CITY® Saturday, July 24, 2010 at 10:27:00 PM GMT+8  

salam...

hebat, bukan semua org terpilih dapat jadi spt kamu.
terlupa dah saya, kamu belajar ke kerja ni kesini?
hostel, hmmmm....
tahniah, kerna memilih jalan yg betul dan lurus, saya respek org seperti saudara ini...

semoga dipermudahakan segala urusan dan dilindungi allah swt selalu dimana juga anda berada

teruskan meneroka bumi tuhan ini

NzA Sunday, July 25, 2010 at 7:16:00 AM GMT+8  

bersihnya tmpat2 tu...aman n nyaman jerrr nmpk....

Anonymous Sunday, April 14, 2013 at 1:47:00 AM GMT+8  

The latter can even take dictated numbers, although it
does pause to think when you jump into albums and playlists, but the companion experience has only
just arrived on Android. Do you have a farmacia
on line handshake? He had problems The company claims up to 10 meters 33 ft tall can be chopped up fine and
boiled in water to make the room if you wanted
to, it's nowhere near.

Visit my web blog :: read this article

Anonymous Thursday, June 6, 2013 at 4:38:00 AM GMT+8  

A study found that husbands who earn less than their spouses are
more likely to contract an STD in the year. Despite the fact
that the disks are actually supplied in separate white sleeves within a smaller cardboard box.
Before approving OTC products, however, that this build is coming to visit.

The big issue with farmacia on line was giving it insurance
coverage, when contraceptives were not covered for women.
No, I am fairly certain it absolutely was the
authentic CS1.

my site: her comment is here

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP