JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG VIII) - BaNDuNG II

>> Sunday, March 13, 2011



Setelah lebih kurang 30 minit berjalan kaki dari kedai buku Gramedia tadi, barulah kami tiba di kedai Aria Jeans yang kami cari. Kedainya agak besar juga. Pemiliknya adalah orang Cina. Mereka fasih benar berbahasa Indonesia, tidak seperti orang-orang Cina di Malaysia & juga di Singapura yang sebahagiannya tidak fasih atau lebih teruk lagi, tidak tahu langsung berbahasa Melayu kerana terlampau obses dengan bahasa ibunda & Bahasa Inggeris. Ini adalah kerana sistem pendidikan Indonesia yang hanya menggunakan Bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantara di sekolah, tidak seperti di Malaysia yang mempunyai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantara sehingga Bahasa Melayu diabaikan & hampir tidak digunakan langsung di sekolah-sekolah tersebut. Ini adalah punca utama kelemahan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Tidak seperti di Malaysia, masyarakat Cina di Indonesia amat fasih berbahasa Indonesia sehingga sesama mereka sendiri pun mereka bertutur dalam Bahasa Indonesia. Kagum benar aku melihatnya.

Setibanya kami bertiga di kedai Aria Jeans itu, Syahir & Shafiq terus memilih jenis kain yang mereka ingini & kemudiannya saiz seluar mereka diukur. Aku tidak berhajat untuk menempah jeans kerana tidak mempunyai wang yang cukup. Lagipun, aku tidak berminat untuk memakai jeans. Jeans-jeans yang mereka berdua tempah di kedai tersebut akan dihantar ke hotel penginapan kami keesokan harinya apabila sudah siap. Itulah keistimewaan kedai Aria Jeans ini. Seluar yang ditempah cepat siap & boleh dihantar ke rumah-rumah atau hotel-hotel.


Kedai Aria Jeans, Bandung, Indonesia

Selepas selesai sahaja urusan menempah seluar jeans, kami bertiga meneruskan perjalanan kami ke Masjid Raya Bandung atau nama lamanya Masjid Agung Bandung untuk menunaikan solat. Kami berjalan kaki berpandukan peta Bandung yang dibawa oleh Shafiq. Dalam perjalanan ke masjid tersebut, kami melalui Jalan Braga, antara jalan lama yang bersejarah di kota Bandung. Sewaktu era 1920-an ketika Indonesia di bawah jajahan Belanda, jalan ini merupakan jalan yang menjadi tumpuan utama orang tempatan & juga pelancong-pelancong Eropah kerana terdapat banyak kafe, restoran & butik pakaian di sepanjang jalan ini pada waktu itu. Jalan inilah yang bertanggungjawab menaikkan nama Bandung sehingga kota ini mendapat jolokan ‘Parijs van Java’. Pada masa kini, suasana di Jalan Braga ini sama sahaja seperti jalan-jalan lain di kota ini. Tiada lagi yang istimewa, cuma bangunan-bangunan lama masih lagi terpelihara.


Jalan Braga di tahun 1920-an, Bandung, Indonesia


Jalan Braga pada masa kini, Bandung, Indonesia

Di penghujung Jalan Braga yang bertemu dengan Jalan Asia-Afrika, terdapat sebuah bangunan bersejarah yang bernama Gedung Merdeka. Bangunan tersebut dibina pada tahun 1895 oleh orang-orang Belanda, berfungsi sebagai rumah kelab untuk para hartawan Belanda. Di bangunan inilah kemudiannya berlakunya perjumpaan penting antara pemimpin-pemimpin negara-negara Asia & Afrika yang baru mendapat kemerdekaan daripada kuasa-kuasa penjajah Eropah, Amerika Syarikat & Soviet Union. Perjumpaan yang berlangsung pada bulan April 1955 itu dinamakan Konferens Asia-Afrika. Konferens tersebut dikendalikan oleh Indonesia, Myanmar, Pakistan, Sri Lanka & India & melibatkan hampir 30 buah negara Asia & Afrika. Tujuan konferens ini diadakan adalah untuk mempromosikan kerjasama ekonomi & kebudayaan antara negara-negara terlibat & menyatakan bangkangan terhadap penjajahan yang dilakukan oleh negara-negara Eropah, Amerika Syarikat & Soviet Union. Pada masa kini bangunan Gedung Merdeka ini dijadikan muzium yang mempamerkan kisah di sebalik Konferens Asia-Afrika tersebut. Ia dinamakan Muzium Konperensi Asia-Afrika


Jalan Asia-Afrika, Bandung, Indonesia


Sebuah bangunan tinggalan Belanda di Jalan Asia-Afrika, Bandung, Indonesia


Muzium Konperensi Asia-Afrika, Bandung, Indonesia


Bersama Shafiq di Muzium Konperensi Asia-Afrika, Bandung, Indonesia

Selepas bergambar di hadapan muzium tersebut, kami meneruskan perjalanan ke Masjid Raya Bandung. Lokasinya sudah tidak jauh dari muzium tadi. Kedua-dua menara masjid tersebut yang sangat indah senibinanya sudah kelihatan. Selepas melintas jalanraya dengan menggunakan jejantas, kami pun tiba di perkarangan masjid itu. Kami lantas terus mengambil wuduk & menunaikan solat jamak qasar Asar & Zohor. Selesai sahaja solat, kami keluar untuk bergambar dengan masjid tersebut. Ia siap dibina sekitar tahun 2003. Masih baru lagi usianya.


Masjid Raya Bandung, Bandung, Indonesia


Masjid Raya Bandung di Jalan Asia-Afrika, Bandung, Indonesia


Masjid Raya Bandung, Bandung, Indonesia


Bersama Shafiq di Masjid Raya Bandung, Bandung, Indonesia


Masjid Raya Bandung, Bandung, Indonesia


Masjid Raya Bandung, Bandung, Indonesia

Selepas puas bergambar, kami meneruskan perjalanan kami ke stesen keretapi Bandung untuk membeli tiket keretapi untuk ke Yogyakarta pada lusa hari. Agak jauh juga kami perlu berjalan. Hampir 30 minit lamanya. Setelah penat berjalan, kami akhirnya tiba juga di stesen keretapi tersebut. Kami lalu membeli tiket & kemudiannya, kami singgah di sebuah kafe yang terdapat di dalam stesen itu untuk menghilangkan dahaga. Setelah itu, kami meneruskan pula perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya, iaitu Jalan Cihampelas, sebuah lagi jalan membeli-belah yang utama di kota Bandung. Kaki kami sebenarnya sudah penat untuk berjalan. Namun, kami tetap gagahi juga.


Bersama Syahir di Stesen Keretapi Bandung, Bandung, Indonesia

Selepas hampir 45 minit lamanya kami berjalan dari stesen keretapi tadi, barulah kami tiba di kawasan membeli-belah di Jalan Cihampelas. Pada waktu itu, hari sudah pun hampir senja. Kami bertiga teruskan jua semangat untuk membeli-belah di situ. Di Jalan Cihampelas ini terdapat banyak juga kedai-kedai pakaian. Syahir membeli beberapa helai baju. Aku juga turut membeli sehelai baju Bandung & sehelai baju batik untuk ayah aku. Jurujual di kedai tersebut cuba untuk meminta ‘cenderahati’ atau upah daripada aku kerana telah membantu aku memilih baju batik. Namun, satu sen pun aku tidak beri kepadanya. Hehe. Aku sendiri tidak mempunyai cukup wang untuk berbelanja, takkanlah aku hendak bazirkan wang aku dengan memberi upah sana sini. Di Indonesia, perkara tersebut sememangnya tersangat biasa. Di mana-mana sahaja orang akan meminta upah atas perkara-perkara kecil yang mereka lakukan. Ini berlaku kerana desakan hidup rakyat di negara ini. Isu ini nampak sahaja kecil. Akan tetapi, isu sebeginilah yang seterusnya akan menyumbang kepada gejala rasuah. Gejala rasuah di Indonesia pada masa kini boleh dikatakan agak kronik. Di mana-mana sahaja berlaku rasuah. Inilah penyebab utama kemunduran ekonomi negara tersebut.


Jalan Cihampelas, Bandung, Indonesia

Kami bertiga kemudiannya singgah di restoran Kentucky Fried Chicken untuk makan malam. Lapar benar kami kerana kami tidak makan tengah hari siang tadi. Shafiq dengan baik hatinya membelanja kami makan pada malam ini kerana antara kami bertiga, dia seorang sahaja yang sudah bekerja. Hahaha. Menu Kentucky Fried Chicken di Indonesia agak berlainan daripada di Malaysia. Di sini, ayam dihidangkan bersama dengan nasi & bukannya kentang. Agak pelik juga. Namun, disebabkan rasa lapar yang teramat sangat, kami telan sahaja. Agak lama juga kami menghabiskan masa di dalam restoran tersebut.

Apabila sudah kenyang, kami bersiar-siar pula di dalam pusat membeli-belah Cihampelas Walk. Tiada apa-apa yang menarik di sini. Sekadar sebuah pusat membeli-belah yang moden. Setelah itu, kami kembali melihat kedai-kedai untuk ber’window shopping’. Kami sudah tiada nafsu untuk membeli apa-apa kerana masing-masing berasa mengantuk selepas makan di restoran KFC tadi. Kami kemudiannya menahan Angkut yang lalu di tepi jalan untuk menuju ke jalan besar. Jalan Cihampelas pada waktu itu terlalu sibuk dengan kenderaan lalu-lalang. Menaiki teksi bukanlah satu pilihan yang bijak kerana tambangnya sudah pasti akan mahal. Angkut adalah pengangkutan awam yang jauh lebih murah daripada teksi. Namun, ia mempunyai laluannya sendiri, tidak seperti teksi.


Kompleks Cihampelas Walk, Bandung, Indonesia


Di dalam kompleks Cihampelas Walk, Bandung, Indonesia


Angkut di Bandung, Indonesia

Apabila sudah tiba di pangkal Jalan Cihampelas, kami pun turun dari Angkut tadi. Seterusnya, kami menahan teksi pula untuk kembali ke hotel. Teksi yang kami naiki bukanlah teksi ‘Blue Bird’. Pemandu itu pada mulanya enggan menggunakan meter atau ‘argo’. Akan tetapi, atas desakan kami, akhirnya pemandu itu bersetuju juga untuk menggunakan meter. Setibanya kami di hotel, kami terus masuk ke dalam bilik. Selepas mandi, kami menunaikan solat. Selepas itu, aku berehat-rehat sambil menonton televisyen. Syahir & Shafiq bermain internet menggunakan telefon bimbit Syahir. Hotel yang kami tumpangi mempunyai kemudahan WiFi percuma. Aku kemudiannya tertidur kepenatan.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP