JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG VII) - BaNDuNG I

>> Friday, March 11, 2011



Hari 3: 23 JUN 2010

Hari ini adalah hari pertama aku, Syahir & Shafiq di kota Bandung. Awal-awal pagi lagi kami sudah bangun untuk solat Subuh, mandi & bersarapan. Sarapan pagi disediakan oleh pihak hotel. Pekerja-pekerjanya sendiri yang datang ke bilik-bilik kami untuk menghantar makanan. Menu sarapan pagi yang disediakan ialah nasi goreng & air teh panas. Selesai mandi & makan, kami bertiga pun bersedia untuk menjelajah kota Bandung. Namun, sebelum keluar, kami singgah dahulu di kaunter pendaftaran untuk menempah tour untuk ke Gunung Tangkuban Perahu pada esok hari. Gunung Tangkuban Perahu adalah sebuah gunung berapi yang menjadi antara tarikan utama pelancong di Bandung. Selepas menempah tour tersebut, barulah kami memulakan penjelajahan kami di kota ini.

Bandung yang mempunyai jumlah penduduk seramai 2.8 juta orang adalah bandar ketiga terbesar di Indonesia, selepas Jakarta & Surabaya. Ia juga adalah ibukota propinsi Jawa Barat. Permukaan buminya yang terletak di kedudukan 768 meter dari paras laut menyebabkan suhu di kota ini agak sejuk berbanding kota-kota lain di Indonesia. Purata suhu tahunannya ialah 23.6 darjah celcius. Kota ini dikelilingi oleh bukit-bukit & gunung-gunung berapi. Gunung berapi yang paling terkenal di sini adalah Gunung Tangkuban Perahu. Majoriti penduduk yang menetap di kota Bandung adalah daripada kaum etnik Sunda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik. Penduduk minoriti yang teramai pula adalah daripada kaum etnik Jawa. Alat muzik angklung yang diperbuat daripada buluh adalah antara yang menjadi kebanggaan penduduk di sini.


Kedudukan kota Bandung di Pulau Jawa


Bandung, Indonesia


Bandung, Indonesia: berlatar belakangkan Gunung Berapi Tangkuban Perahu


Angklung

Kota Bandung sememangnya amat sering menerima kunjungan pelancong dari dalam mahupun dari luar. Selain daripada suhunya yang agak nyaman, kota ini juga terkenal sebagai syurga membeli-belah di Indonesia. Terdapat beratus-ratus buah kedai & ‘factory outlet’ yang menjual pakaian-pakaian ‘sisa eksport’ dari kilang-kilang daripada pelbagai jenama yang terkenal di seluruh dunia seperti Gucci, Dolce & Gabbana, Burberry, Boss, Versace, Armani, Polo, Valentino & banyak lagi dengan harga yang agak murah. Kota Bandung ini boleh dikatakan sebagai kota fesyen di Pulau Jawa & di Indonesia. Maka tidak hairanlah kota ini menerima gelaran ‘Parijs van Java’ dalam Bahasa Belanda yang membawa maksud ‘Paris di Jawa’. Selain itu, kota ini juga turut menerima gelaran ‘kota Musisi’ kerana ramai pemuzik-pemuzik & penyanyi-penyanyi Indonesia berasal dari Bandung. Antaranya ialah Peterpan, ST12, Radja & banyak lagi.

Kota Bandung pada mulanya hanya dipenuhi oleh ladang-ladang tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan tanah tinggi seperti teh & strawberi yang dibuka oleh Belanda sekitar kurun ke-17. Jalanraya utama yang menghubungkan Bandung & Batavia (Jakarta) kemudiannya dibina pada akhir kurun ke-19. Ini secara tidak langsung telah membantu merancakkan pembangunan kota Bandung. Semakin banyak bangunan-bangunan dibina. Antaranya ialah hotel-hotel mewah, resort-resort, restoran-restoran, & butik-butik pakaian. Ramai pelancong-pelancong dari Eropah datang berkunjung ke sini pada waktu itu.

Disebabkan kedudukannya yang terlindung di sebalik bukit-bukau & gunung-ganang, kota Bandung amat strategik untuk dijadikan kota pertahanan untuk berselindung daripada serangan musuh. Disebabkan itulah pada awal tahun 1920-an, penjajah Belanda merancang mahu memindahkan pusat pentadbiran mereka di Hindia Timur Belanda (Indonesia) dari Batavia ke Bandung. Mulai dari saat itulah mereka mula membina berek-berek senjata & bangunan-bangunan kerajaan di kota Bandung ini. Walau bagaimanapun, perancangan mereka itu terbantut akibat penawanan Jepun ke atas tanah jajahan mereka itu ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Selepas pengisytiharan kemerdekaan Indonesia yang dilakukan oleh Presiden Sukarno pada tahun 1945 sejurus selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, berlaku pula peperangan antara kerajaan Indonesia & kerajaan Belanda yang ingin mendapatkan semula tanah jajahan mereka itu. Kota Bandung adalah antara medan pertempuran yang terhebat dalam perang pembebasan itu. Pada tahun bulan Mac 1946, hampir seluruh kawasan di selatan kota ini telah dibakar oleh pihak Belanda. Kejadian tersebut dikenali sebagai ‘Bandung Lautan Api’. Akhirnya, kemenangan berpihak kepada Indonesia. Bandung kemudiannya dijadikan ibukota propinsi Jawa Barat.

Lokasi pertama aku, Syahir & Shafiq pada hari ini ialah Jalan H. Juanda yang terletak di dalam kawasan Dago. Kami ke sana dengan menaiki teksi yang kami tempah dari hotel penginapan kami. Jalan H. Juanda yang seringkali juga disebut Jalan Dago adalah antara tumpuan utama para pengunjung yang ingin membeli-belah di kota Bandung kerana terdapat berpuluh-puluh kedai, butik & ‘factory outlet di sepanjang jalan ini. Selain itu, terdapat juga kompleks membeli-belah, restoran, kafe & pusat hiburan. Kami bertiga tiba agak awal. Jam baru menunjukkan pukul 9.00 pagi. Kedai-kedai & semua ‘factory outlet’ di sini hanya akan dibuka pada pukul 10.00 pagi. Oleh itu, untuk mengisi kelapangan masa yang ada, kami singgah dahulu di sebuah kafe di stesen minyak Petronas yang berhampiran. Bangga pula kami kerana syarikat Petronas adalah milik orang Malaysia.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi, kami bertiga pun memulakan ekspedisi membeli-belah kami. Berbelas-belas buah kedai & ‘factory outlet’ kami singgah di sepanjang Jalan H. Juanda itu. Rambang mata kami dibuatnya. Harga-harga pakaian yang ditawarkan sememangnya murah-murah belaka walaupun kualitinya tinggi. Syahir & Shafiq begitu sakan sekali membeli itu dan ini. Aku sekadar membeli sehelai baju batik sahaja pada hari ini. Aku sebenarnya sekadar mahu menghabiskan masa hari ini dengan melihat-lihat & ‘survey’ dahulu pakaian-pakaian yang aku berkenan. Aku akan melakukan kegiatan membeli-belah yang serius pada lusa hari, iaitu hari terakhir kami di Bandung. Sementara itu, Syahir & Shafiq pula sudah pun membelanjakan beratus ribu Rupiah dalam masa beberapa jam sahaja di jalan tersebut pada hari ini. Hahaha.


Jalan H. Juanda/Dago, Bandung, Indonesia


Bersama Shafiq di Jalan H. Juanda/Dago, Bandung, Indonesia

Kami kemudiannya tiba di Jalan Merdeka pula. Kami singgah dahulu di kedai buku Gramedia yang terdapat di situ atas permintaan Shafiq yang gemar singgah di kedai-kedai buku untuk melihat buku-buku agama. Bagus betul. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan kami ke sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan menjahit seluar jeans mengikut citarasa penempah. Nama kedai tersebut ialah Aria Jeans. Ia terletak di penghujung Jalan Merdeka. Agak jauh juga kami perlu berjalan kaki untuk tiba di kedai itu. Shafiq yang beria-ria ingin membawa kami ke kedai itu untuk menempah seluar jeans. Menurut katanya, ayahnya pernah membuat seluar jeans di situ & kualitinya memang bagus. Sepanjang perjalanan kami melalui Jalan Merdeka, kami perhatikan banyak sungguh gereja di kiri kanan jalan itu. Ini menandakan bahawa kawasan ini mempunyai ramai penganut ajaran Kristian yang rata-ratanya daripada mazhab Protestant.

Sewaktu kami melalui suatu simpang dalam perjalanan kami mencari lokasi kedai Aria Jeans itu, secara tiba-tiba sebuah motor terbabas di pinggir jalanraya. Penumpangnya adalah seorang wanita & dia cedera parah di bahagian muka. MasyaAllah. Mujurlah ramai orang yang lalu-lalang sudi menolongnya. Aku, Syahir & Shafiq hanya melihat-lihat sahaja tanpa mampu untuk berbuat apa-apa. Semoga wanita itu tidak mengalami kecederaan yang terlampau serius. Kami bertiga seterusnya meneruskan langkah untuk ke destinasi kami, iaitu kedai Aria Jeans.

5 buah komen:

Granny Hani Saturday, March 12, 2011 at 1:49:00 PM GMT+8  

Bandung merupakan tempat shopping yg menjadi pilihan akak. Selalu ke bandung dan insyaAllah masih menjadi pilihan.Hati2 dgn kg Daun..seram.

Mulan Saturday, March 12, 2011 at 8:24:00 PM GMT+8  

ohh bandung... suka makan2 di sana...

Anonymous Sunday, March 13, 2011 at 8:14:00 PM GMT+8  

Salam tuan,

Bandung tu kota beli belah. Kalau pergi ke pasar baru tu macam - macam pakaian ada termasuk pakaian pengantin. harganya pun murah. dan memang benar ada satu tempar pertunjukan angklung berbayar d sana. dan kakau dengan grup siap instructor boleh ajar bermain angklung.

Mountain climber

Pak Su Monday, March 28, 2011 at 2:02:00 PM GMT+8  

salam. saya akan ke bandong... april ini... apa persiapan dan tip2 nya...

zha Sunday, March 25, 2012 at 1:47:00 AM GMT+8  

assalamualaikum jazz....apa nama hotel u tinggal di bandung ye..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP