JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG V) - JaKaRTa II

>> Tuesday, March 08, 2011



Destinasi pertama kami di kota Jakarta ini ialah Monumen Nasional (MONAS). Kami ke sana dengan menaiki teksi ‘Blue Bird’ yang kami tahan berhampiran dengan rumah Zafran. Kebetulan, Monumen Nasional terletak berhampiran dengan Stesen Gambir, iaitu stesen keretapi utama kota Jakarta. Maka, kami mengambil kesempatan untuk membeli tiket keretapi untuk ke Bandung pada esok petang. Setelah selesai urusan membeli tiket, barulah kami memulakan ekspedisi mengelilingi kawasan sekitar Monumen Nasional itu.

Monumen Nasional yang terletak di dalam Jakarta Tengah itu terletak di tengah-tengah Medan Merdeka yang merupakan sebuah dataran besar yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan penting kerajaan seperti Istana Merdeka (istana rasmi Presiden Indonesia), Mahkamah Agung & beberapa buah bangunan kementerian. Monumen setinggi 129 meter yang mempunyai arca berbentuk api yang diselaputi oleh foil emas di puncaknya itu menjadi simbol kepada perjuangan kemerdekaan Indonesia. Idea untuk membina sebuah monumen yang sehebat Eiffel Tower di Paris, Perancis di kota Jakarta telah dicetuskan oleh Presiden pertama Indonesia, iaitu Sukarno, selepas kemerdekaan Indonesia diiktiraf oleh negara Belanda pada tahun 1949. Usaha pembinaannya dimulakan pada tahun 1961. Ia siap dibina sepenuhnya & mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Oktober 1975.

Di tingkat bawah monumen ini terdapat sebuah muzium yang mempamerkan 48 diorama yang menggambarkan sejarah Indonesia sejak zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman selepas kemerdekaannya. Selain daripada muzium tersebut, terdapat juga sebuah ruang bilik yang diberi nama Ruang Kemerdekaan. Di dalamnya terdapat warkah pengisytiharan kemerdekaan Indonesia yang asli. Untuk masuk ke tingkat bawah Monumen Nasional tersebut, para pengunjung perlu membeli tiket. Untuk ke puncak monumen itu, tiket berasingan perlu dibeli. Kami bertiga sekadar berlegar-legar di ruang bawah monumen itu sahaja. Kami tidak naik ke puncaknya.


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Bersama Shafiq di Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Bersama Shafiq di Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Di sekitar Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Di sekitar Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia

Apabila sudah puas menghabiskan masa di sekitar kawasan Monumen Nasional, kami bertiga berjalan menuju ke Masjid Istiqlal yang letaknya tidak jauh dari monumen tersebut. Agak sukar juga untuk mencari pintu masuk utama masjid itu. Kami terpaksa bertanya-tanya kepada orang ramai yang lalu-lalang. Setelah penat berjalan, akhirnya kami menjumpai juga pintu masuk yang kami cari itu. Kami singgah dahulu di sebuah kedai runcit yang ada di dalam kawasan masjid itu untuk membeli air. Kering sungguh anak tekak kami. Setelah masing-masing menghilangkan dahaga, kami terus mengambil wuduk & menunaikan solat jamak qasar Zohor & Asar secara berjemaah.

Masjid Istiqlal yang bermaksud Masjid Kemerdekaan adalah masjid yang terbesar di Indonesia & juga di rantau Asia Tenggara yang boleh memuatkan seramai 120,000 orang jemaah dalam satu masa. Idea untuk membina masjid tersebut telah dicetuskan selepas Indonesia mendapat kemerdekaan sepenuhnya daripada Belanda. Jawatankuasa untuk pembinaannya telah ditubuhkan pada tahun 1953 di bawah persetujuan & galakan Presiden Sukarno. Usaha pembinaan masjid tersebut akhirnya dimulakan pada bulan Ogos 1961 dengan menggunakan khidmat arkitek Kristian yang bernama Frederich Silaban. Pembinaan masjid ini siap sepenuhnya 17 tahun selepas itu, iaitu pada bulan Februari 1978. Ia dirasmikan oleh Presiden yang kedua, iaitu Suharto.

Selepas menunaikan solat, kami bertiga berehat-rehat untuk beberapa minit di dalam Masjid Istiqlal tersebut untuk menghilangkan penat. Kami sempat juga mengambil beberapa keping gambar di dalam masjid yang mempunyai senibina yang mengagumkan itu. Bangga pula rasanya kami kerana dapat menjejakkan kaki & bersolat di dalam masjid yang terbesar di rantau Asia Tenggara. Ditambah lagi, masjid tersebut adalah masjid yang terpenting di Indonesia, negara yang mempunyai populasi orang Islam yang paling ramai di dunia. Bersebelahan dengan masjid itu, terdapat pula sebuah gereja besar. Ini adalah simbol toleransi agama yang diamalkan di Indonesia. Walaupun berlainan agama, masyarakatnya dapat hidup dengan harmoni tanpa perbalahan.


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Ruang dalaman Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Sebuah gereja berhampiran Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia

Apabila sudah hilang penat, kami bertiga berbincang mengenai destinasi kami yang seterusnya. Memandangkan kami sudah tiada tempat lain yang perlu ditujui, kami mengambil keputusan untuk menghabiskan sisa hari yang ada di sebuah kompleks membeli-belah yang bernama Grand Indonesia. Ia juga turut terletak di dalam Jakarta Tengah. Kami ke sana dengan menaiki teksi. Kompleks membeli-belah ini berkongsi bangunan dengan Hotel Indonesia, salah sebuah hotel yang ternama di kota Jakarta yang merupakan hotel 5 bintang yang pertama di Indonesia. Kompleks beli-belah Grand Indonesia setinggi 8 tingkat yang terbahagi kepada 2 blok utama, iaitu East Mall & West Mall adalah antara pusat membeli-belah yang terbesar di rantau Asia Tenggara.


Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia


Ruang dalaman Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia

Kami bertiga menghabiskan masa yang agak lama di dalam kompleks membeli-belah tersebut untuk ber’window shopping’. Kami sempat singgah di sebuah kedai buku yang bernama Gramedia. Gramedia adalah antara syarikat kedai buku yang ternama di Indonesia. Selepas membelek-belek buku-buku yang ada di situ, kami singgah pula di ‘Food Court’ untuk makan tengah hari. Lapar pula rasanya. Kami makan sambil berbual-bual & menghilangkan penat.


Bersama Shafiq di Kedai buku Gramedia di dalam Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia


Bersama Syahir sewaktu makan tengah hari di dalam Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia

Setelah selesai makan, kami bertiga pulang semula ke rumah Zafran dengan menaiki teksi. Disebabkan lalulintas jalan raya sedang sibuk kerana waktu itu adalah waktu orang pulang dari pejabat, maka perjalanan pulang ke rumah Zafran mengambil masa yang agak lama, iaitu hampir sejam lamanya. Mujurlah pemandu teksi seorang yang peramah. Kami berbual-bual tanpa henti dengannya sehinggalah kami tiba di rumah Zafran. Antara isu yang kami bincangkan adalah isu kemiskinan & korupsi di Indonesia yang rupa-rupanya lebih menjadi-jadi selepas reformasi yang berlaku pada tahun 1998 yang menjatuhkan Presiden Suharto. Sebelum ini kami bertiga menyangka bahawa keadaan Indonesia selepas kejatuhan Suharto adalah lebih baik. Rupa-rupanya sangkaan kami meleset sama sekali.

Sedih pula rasanya apabila memikirkan keadaan yang melanda Indonesia. Negara mereka sebenarnya adalah antara negara-negara yang terkaya di dunia kerana ia mempunyai banyak sumber-sumber galian & hutan. Namun, kepincangan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik & korporat menyebabkan jurang perbezaan antara yang miskin & kaya semakin hari semakin jauh. Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin bertambah miskin. MasyaAllah.

Apabila tiba di rumah Zafran, hari sudah pun senja. Zafran lalu membawa kami bertiga ke masjid berdekatan rumahnya untuk menunaikan solat. Aku, Syahir & Shafiq menunaikan solat jamak qasar Maghrib & Isyak. Selesai sahaja solat, kami berempat kembali semula ke rumah untuk bersiap-siap untuk keluar makan malam. Aku, Syahir & Shafiq berhajat untuk membelanja Zafran makan sebagai membalas jasanya menumpangkan kami bermalam di rumahnya. Zafran membawa kami ke sebuah restoran Nasi Padang dengan menaiki bas. Sedap juga makanan yang kami nikmati di restoran tersebut. Namun, harganya agak mahal. Kami bertiga sebenarnya tidak berani untuk makan di gerai-gerai di tepi jalan walaupun harganya jauh lebih murah. Ini kerana kami kurang yakin dengan kebersihannya. Wabak Hepatitis A, demam kepialu & macam-macam lagi sememangnya adalah perkara yang biasa di sini. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Selepas makan, kami berempat pun pulang semula ke rumah dengan menaiki bas. Setibanya di rumah, kami bergilir-gilir membersihkan diri dengan mandi. Kemudian, kami berempat duduk berbual-bual. Banyak perkara yang kami bualkan. Kebanyakannya menyentuh tentang isu kerjaya sebagai doktor di Malaysia. Sambil berbual-bual, sempat juga aku, Syahir & Shafiq meminjam laptop salah seorang ahli rumah Zafran untuk meng’update’ status Facebook masing-masing. Hahaha. Pada masa yang sama, kami bertiga teringatkan Acab. Entah bagaimanalah perasaannya pada waktu itu. Semoga dia tetap tabah. Apabila sudah mengantuk, kami semua pun baring melelapkan mata.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP