JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG IX) - TaNGKuBaN PeRaHu

>> Monday, March 14, 2011



Hari 4: 24 JUN 2010

Hari ini adalah hari kedua aku, Syahir & Shafiq di kota Bandung. Selepas selesai mandi & bersarapan, kami turun ke kaunter pendaftaran. Pada hari ini, kami bertiga akan mengikut tour ke Gunung Tangkuban Perahu, gunung berapi yang amat popular di Bandung. Tour tersebut disediakan oleh pihak hostel. Hanya kami bertiga sahaja yang akan mengikut tour itu. Harganya agak mahal. Namun, kami yakin ianya pasti berbaloi. Kami akan menaiki sebuah minivan yang dibawa oleh salah seorang pekerja di situ.

Sementara menunggu pemandu bersiap-siap, kami berbual-bual dengan pengurus hotel itu. Banyak juga perkara yang kami bualkan. Antaranya adalah isu Ariel Peterpan yang telah ditangkap selepas berlakunya penyebaran video lucahnya bersama Luna Maya, Cut Tari & ramai lagi artis wanita Indonesia. Hahaha. Hangat benar isu tersebut di Indonesia pada waktu itu. Selain itu, pengurus hotel itu juga turut menyatakan yang rancangan kartun Upin & Ipin amat popular di Indonesia. Hahaha. Terkejut pula kami. Kami sendiri tak pernah berminat untuk menonton rancangan kartun tersebut. Seketika kemudian, datang pula pemilik hotel itu yang berbangsa Cina. Kami turut berbual-bual dengannya. Mereka berdua amat peramah sekali.

Setelah beberapa minit menunggu & berbual-bual dengan pengurus & pemilik hotel itu, akhirnya pemandu yang dinantikan pun turun. Kami bertiga lantas mengikut pemandu itu ke minivan yang akan dibawanya. Kami berempat kemudian berkenalan. Nama pemandu tersebut ialah Teshnor. Kami bertiga memanggilnya Pak Teshnor. Usianya adalah lebih kurang awal 30-an. Sudah agak lama dia bekerja sebagai pemandu pelancong pelanggan-pelanggan hotel tersebut. Pak Teshnor sangat ramah orangnya. Ada sahaja perkara yang hendak dicakapkannya. Hahaha.

Gunung Tangkuban Perahu adalah sebuah gunung berapi aktif setinggi 2,084 meter yang terletak lebih kurang 30 kilometer ke utara kota Bandung. Kali terakhir gunung berapi ini meletup adalah pada tahun 1983. Nama ‘Tangkuban Perahu’ adalah di dalam Bahasa Sunda yang membawa maksud ‘Perahu Terbalik’. Terdapat kisah lagenda penduduk tempatan di sebalik bentuk gunung berapi itu yang kelihatan seakan-akan seperti sebuah perahu terbalik. Aku sendiri kurang pasti mengenai kisah tersebut.


Kota Bandung berlatar belakangkan Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia

Perjalanan dari kota Bandung ke Gunung Tangkuban Perahu itu memakan masa lebih daripada sejam. Apabila sudah tiba di kaki gunung tersebut, kami dikenakan untuk membeli tiket masuk. Harga tiket tidaklah begitu mahal. Kemudian, kami tiba di suatu kawasan di mana terdapatnya kolam-kolam air panas yang dinamakan Kawah Domas. Kolam-kolam tersebut terletak jauh di dalam hutan. Untuk ke sana, para pengunjung diwajibkan mengikut pemandu-pemandu pelancong yang sudah disediakan di sebuah pondok berhampiran. Harga yang dikenakan sangat mahal & pada kami ianya tidak berpatutan. Cekik darah. Namun, kami tiada pilihan lain. Kami terpaksa mengikut salah seorang daripada pemandu-pemandu pelancong yang ada di situ.

Kami sebenarnya tidak berjalan bersama dengan pemandu pelancong itu seorang sahaja. Malah, perjalanan kami ke Kawah Domas itu turut diiringi oleh 4 orang lagi penduduk tempatan. Menurut kata pemandu pelancong kami, mereka berempat mencuba-cuba nasib untuk berniaga. Aku sebenarnya tidak begitu selesa dengan mereka berempat. Pak Teshnor sudah berpesan kepada kami jangan membeli apa-apa daripada sesiapa pun sewaktu mengikut tour ke Kawah Domas. Pada firasat aku, mereka berempatlah orang-orang yang dimaksudkannya. Walau bagaimanapun, aku melayan sahaja perbualan bersama-sama dengan mereka seolah-olah tiada rasa paranoia di dalam diri aku. Pemandu pelancong yang membawa kami juga adalah seorang yang peramah. Tak henti-henti bercakap.


Bersama pemandu pelancong ke Kawah Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Bersama pemandu pelancong ke Kawah Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Bersama pemandu pelancong & 3 orang penduduk tempatan ke Kawah Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia

Setibanya kami semua di Kawah Domas yang dimaksudkan, kami mengucapkan Subhanallah. Begitu indah panorama di sekelilingnya. Kolam-kolam air panas semulajadi yang terdapat di situ mengeluarkan wap-wap panas, menyebabkan kawasan di sekeliling sedikit berkabus. Bau sulfur yang keluar dari kolam-kolam tersebut agak menusuk hidung aku, menyebabkan aku berasa sedikit pening. Kami bergambar sakan di kawasan itu. Keempat-empat penduduk tempatan yang mengekori kami tadi tak berhenti-henti menawarkan diri masing-masing untuk mengambil gambar kami dengan menggunakan kamera-kamera kami. Kami membiarkan sahaja.


Bersama Shafiq & Syahir di Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Bersama Shafiq & Syahir di Kolam Domas di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia

Selepas puas bergambar di situ, seperti yang telah dijangkakan, keempat-empat mereka itu cuba memujuk kami membeli barang-barang yang mereka bawa bersama mereka. Antaranya ialah biji-biji tasbih, ‘keychain’, ‘fridge magnet’ & macam-macam lagi. Harga-harga yang mereka letakkan tersangatlah mahal. Di luar akal fikiran waras mahalnya. Hanya orang-orang bodoh sahaja yang akan terpedaya dengan mereka. Mereka berempat tak henti-henti memujuk kami untuk membeli barang-barang yang mereka jual itu. Namun, aku, Syahir & Shafiq sedaya-upaya menolak pujukan mereka. Kami tidak sebodoh yang mereka sangkakan.

Kami bertiga seterusnya meminta pemandu pelancong itu membawa kami pulang semula ke tempat meletak kenderaan tadi. Dari kawasan kolam-kolam air panas itu sampailah ke tempat meletak kenderaan, keempat-empat manusia tadi tak putus-putus memujuk kami supaya membeli barang-barang yang mereka bawa sehingga mereka akhirnya meletakkan harga yang paling rendah yang mungkin agak berpatutan dengan nilai sebenar barang-barang tersebut. Namun, disebabkan rasa sakit hati, kami tetap tidak mahu membeli barang-barang mereka itu. Biarlah mereka hendak berkata apa pun.

Kami kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada pemandu pelancong tadi. Kami bertiga berasa sedikit sakit hati. Sakit hati kerana perjalanan ke kolam air panas tadi sepatutnya tidak memerlukan pemandu pelancong pun sebenarnya. Perjalanan ke sana tidaklah sesusah mana. Kami benar-benar telah membazirkan wang yang agak banyak. Sakit hati kami ditambah lagi dengan perangai empat orang penjual tadi yang mati-mati cuba menipu kami dengan menjual barang-barang mereka dengan harga yang teramat mahal, sedangkan kesemua barang itu nilainya tidaklah setinggi mana. Penipu-penipu durjana. Kami menceritakan kepada Pak Teshnor tentang apa yang telah berlaku. Pak Teshnor hanya ketawa sahaja. Kami mengucapkan terima kasih kepadanya kerana awal-awal lagi dia sudah mengingatkan kepada kami tentang peniaga-peniaga penipu di situ.

Destinasi kami yang seterusnya ialah puncak Gunung Tangkuban Perahu di mana kami boleh melihat sendiri kawah gunung berapi tersebut. Kami berasa sedikit teruja kerana ini adalah pengalaman pertama kami melihat sendiri mulut kawah sebuah gunung berapi yang masih aktif. Dalam hati kami berdoa agar tiada apa-apa kejadian buruk bakal berlaku. Kami akhirnya tiba di puncak gunung berapi tersebut. Kami berasa kagum melihat kawah gunung berapi itu yang sememangnya membuktikan kekuasaan Allah yang Maha Esa. Subhanalah. Di dasar kawah itu terdapat cecair beracun sianida. Oleh itu, para pelancong hanya dibenarkan berdiri di tebing kawah itu sahaja. Kami bertiga bergambar sakan di situ. Pak Teshnor turut menawarkan diri untuk mengambil gambar-gambar kami bertiga bersama. Suhu di sekitar kawasan tersebut agak sejuk kerana ketinggiannya tempatnya.


Bersama Shafiq & Syahir di kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Bersama Shafiq & Syahir di kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Bersama Shafiq & Syahir di kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kedai-kedai di sekitar kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia


Kedai-kedai di sekitar kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Indonesia

Setelah puas bergambar, kami mula bergerak untuk ke tempat yang seterusnya, iaitu ladang teh. Ladang teh tersebut terletak tidak jauh dari sebuah pekan kecil berhampiran dengan Gunung Tangkuban Perahu. Nama pekan kecil itu ialah Lembang. Tanaman pokok teh sememangnya hidup subur di sini kerana suhunya yang sejuk, ditambah lagi dengan kesuburan tanah gunung berapi yang sememangnya sangat subur & membolehkan tumbuhan apa sahaja hidup & membesar dengan baik. Selepas bergambar di ladang teh, kami meneruskan perjalanan kami ke sebuah kebun strawberi. Perjalanan ke sana memakan masa yang agak lama, iaitu lebih kurang 30 minit.


Ladang teh di Lembang, Indonesia


Bersama Shafiq di ladang teh di Lembang, Indonesia

Di kebun strawberi tersebut, para pengunjung dikenakan bayaran untuk memetik sendiri buah-buah strawberi yang ada & buah-buah itu kemudiannya akan dijadikan jus untuk diminum. Nasib kami sedikit malang kerana sewaktu kami di situ, buah-buah strawberi sudah hampir kesemuanya telah dipetik. Walau bagaimanapun, kami masih lagi dapat merasa jus strawberi di situ. Harganya agak murah. Kami turut membeli dodol strawberi yang dijual di situ. Belum pernah lagi aku menjumpai dodol berperisa strawberi sebelum ini.


Di kebun strawberi, Lembang, Indonesia


Di kebun strawberi, Lembang, Indonesia


Di kebun strawberi, Lembang, Indonesia


Di kebun strawberi, Lembang, Indonesia


Menikmati jus strawberi di kebun strawberi, Lembang, Indonesia


Pak Teshnor di kebun strawberi, Lembang, Indonesia

Bersambung...

5 buah komen:

ery Monday, December 12, 2011 at 12:20:00 AM GMT+8  

kat indonesia mmg mcm tu.. walau sebenarny kita boleh pergi/jalan sendiri, tpi slalu kena guna local guide (walaupun sbnrny mereka x buat apa2 pun)..

Anonymous Sunday, March 18, 2012 at 12:06:00 PM GMT+8  

Saya dah pergi bali, jakarta dan bandung memang ramai rkayat indon yang menipu pelancong malaysia.

Saya baru balik dari bandung. Penipu lain yang berlaku adalah:
TEKSI dari airport ke hotel - harga Rp40,000 tapi sampai hotel kami bagi Rp50,000 sekeping pemandu teksi enggan pulangkan baki Rp10,000.
TEKSI untuk keluar makan malam - pemandu teksi kata Rp75,000 per jam. Kami makan dan balik ke hotel ambil masa 2 jam 5 minit. Pemandu teksi minta harga 3 jam.

TEKSI ke airport - dari hotel ke airport pemandu teksi minta Rp 100,000.
Saya naik kereta hotel jenis MPV lebih bersih dan luas hanya Rp65,000.
PEMANDU PELANCONG di Tangkuban Perahu - saya tak lantik dia. Dia yang ikut-ikut saya dari Kawah Ratu ke Kawah Domas dan ke parking. Kawan saya bayar Rp1juta walaupun saya larang kawan saya tu.

Penjual barang sekitar tangkuban perahu - jual tasbih kecil Rp300,000. Tasbih panjang Rp600,000. Kayu urut Rp 700,000. Saya tak beli. Malangnya kawan saya beli keychain, tasbih dan alat urut dan bayar Rp1,300,000..... arrrgghh geramnya saya.

Ainal Marhaton Ad Ghani Tuesday, January 8, 2013 at 5:01:00 PM GMT+8  

saya baru balik dari bandung malam tahun baru 2013... mak aii.. servis kat tangkuban perahu tip top kononnya tapi harganya mak dato... kena baya rm100,000 untuk guide dengan cendermata harga bagai gile tingginya....

Ainal Marhaton Ad Ghani Tuesday, January 8, 2013 at 5:02:00 PM GMT+8  

saya baru balik dari bandung malam tahun baru 2013...memang sakit hati masa di tangkuban perahu... upah tour guide je 100,000 rupiah... cenderamata mahal giler... macam tak berbaloi je... tapi di paksa2nya kita beli....

Ainal Marhaton Ad Ghani Tuesday, January 8, 2013 at 5:03:00 PM GMT+8  

saya baru balik dari bandung malam tahun baru 2013... mak aii.. servis kat tangkuban perahu tip top kononnya tapi harganya mak dato... kena baya rm100,000 untuk guide dengan cendermata harga bagai gile tingginya....

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP