SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXV) - DaMSYiK IV

>> Saturday, August 21, 2010



Lokasi pertama yang aku, Syazwan & Ridhuan jejaki ialah Abu Nour University. Kami ke sana dengan menaiki bas mini. Besar & cantik juga universiti itu. Dari kawasan universiti tersebut, kami bertiga menaiki sebuah trak untuk ke destinasi seterusnya, iaitu puncak Jabal Qasiyun. Dalam perjalanan ke puncak bukit tersebut, kami singgah di Makam Nabi Zulkifli a.s yang terletak di situ. Nabi Zulkifli a.s adalah salah seorang daripada nabi-nabi yang disebut di dalam Al-Quran & merupakan antara 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh umat Islam.


Abu Nour University, Damsyik, Syria


Bersama Ridhuan di Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria


Bersama Ridhuan di Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria


Makam Nabi Zulkifli, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi makam Nabi Allah tersebut, kami pun meneruskan perjalanan kami ke puncak Jabal Qasiyun. Perjalanan menaiki trak menuju ke puncak bukit itu agak mengerikan kerana jalan yang kami lalui tersangatlah curam. Kami pula berdiri di belakang trak, menambah lagi kengerian. Setelah beberapa minit melalui kawasan-kawasan perumahan di kawasan bukit itu, kami bertiga akhirnya tiba di anak-anak tangga untuk menuju ke puncak Jabal Qasiyun. Trak yang kami naiki berhenti di situ. Kami kemudiannya terpaksa menaiki anak-anak tangga tersebut yang beratus-ratus jumlahnya untuk menuju ke puncak bukit itu. Hampir pitam aku dibuatnya. Namun, aku gagahkan diri untuk tiba di puncak. Sewaktu mendaki menaiki anak-anak tangga itu, kami sempat berjumpa dengan beberapa orang kanak-kanak tempatan yang sedang bermain-main. Comel-comel kesemuanya.


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun dengan menaiki trak, Damsyik, Syria


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun dengan menaiki trak, Damsyik, Syria


Perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Kanak-kanak sewaktu perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Kanak-kanak sewaktu perjalanan ke puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Setelah berpeluh-peluh memanjat anak-anak tangga, kami bertiga akhirnya tiba juga di puncak Jabal Qasiyun. Alhamdulillah. Di sini terdapat sebuah masjid yang didirikan bagi mengingati lokasi di mana berlakunya peristiwa pertama pembunuhan manusia di muka bumi, iaitu peristiwa pembunuhan Habil oleh Qabil. Di dalam masjid tersebut terdapat sebuah gua kecil yang dikatakan tempat berlakunya peristiwa hitam itu. Pada bahagian bumbung gua tersebut terdapat seperti suatu bekas tapak tangan. Ianya dikatakan tapak tangan Malaikat Jibril yang cuba menghalang gua itu yang cuba untuk meruntuhkan dirinya untuk membunuh si Qabil yang jahat itu. Wallahu ‘alam. Di dalam masjid itu juga terdapat 40 mihrab yang mewakili 40 orang alim ulamak yang pernah menunaikan solat di sini setiap malam suatu masa dahulu.


Masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Gua di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Tapak tangan Jibril di dalam gua di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


40 mihrab di dalam masjid di puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Dari kawasan masjid tersebut yang terletak di puncak Jabal Qasiyun, kami dapat menikmati panorama kota Damsyik yang tersangat menakjubkan. Panorama kota yang tertua sekali di dunia. Panorama kota yang pernah menjadi ibu kota kerajaan Bani Abbasiyah & kerajaan Ayyubiah. Panorama kota yang menyimpan sejarah peradaban manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Panorama kota yang bakal menjadi lokasi turunnya Nabi Isa a.s di akhir zaman kelak bagi menuntut keadilan untuk seluruh umat Islam. Aku seperti tidak percaya bahawa kota yang berada di hadapan mata aku pada waktu itu adalah kota Damsyik yang selama ini hanya mampu aku lihat di dalam buku-buku & di kaca televisyen. Alhamdulillah. Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberi aku peluang & pengalaman keemasan itu. Aku, Syazwan & Ridhuan menghabiskan masa yang agak lama di Jabal Qasiyun kerana itu adalah destinasi terakhir kami pada hari ini. Kami menunggu sehingga masuknya waktu Maghrib untuk mendengar laungan azan yang bersahut-sahutan di seluruh kota Damsyik. Suasananya sungguh menenangkan. MasyaAllah.


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria


Panorama kota Damsyik dari puncak Jabal Qasiyun, Damsyik, Syria

Setelah itu, barulah kami bertiga turun semula melalui anak-anak tangga yang kami naiki tadi. Apabila sudah tiba di anak tangga yang terakhir, kami pun terus menaiki trak untuk kembali semula ke kaki bukit. Sekali lagi aku melalui minit-minit yang mengerikan. Aku tidak mampu untuk membuka mata sewaktu menuruni bukit itu dengan menaiki trak tersebut. Hahaha. Tidak berapa lama kemudian, kami pun akhirnya tiba di kaki bukit itu, di kawasan berhampiran dengan Abu Nour University. Kami singgah di masjid universiti itu untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai sahaja solat, kami bertiga menaiki teksi untuk pulang. Kami berhenti di suatu lokasi untuk menunggu kehadiran Ikhwan yang akan datang untuk membawa aku pulang ke rumahnya. Setelah beberapa minit menunggu, Ikhwan pun muncul. Aku mengucapkan terima kasih kepada Syazwan kerana sudi membawa aku berjalan-jalan di kota Damsyik petang tadi. InsyaAllah, aku akan mengikuti trip ke Bosra bersamanya lusa. Setelah bersalaman dengan Syazwan & Ridhuan, aku pun mengikut Ikhwan pulang ke rumahnya.

Sesampainya aku di rumahnya, dia menjemput aku makan masakan yang baru sahaja dimasaknya. Kebetulan pada waktu itu, salah seorang penghuni rumahnya yang bernama Amni & seorang lagi rakan mereka, iaitu Nasa’i sedang berada di dalam biliknya. Ikhwan menjemput mereka makan sekali. Dia kemudian terpaksa meninggalkan kami bertiga untuk ke rumah rakannya yang lain untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen. Aku, Amni & Nasa’i pun makan dengan lahapnya sambil berbual mengenai pelbagai perkara. Selesai sahaja makan, aku pun menunaikan solat, lalu terus tidur.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


6 buah komen:

Ivan Kavalera Saturday, August 21, 2010 at 7:11:00 PM GMT+8  

Perjalanan indah dan pengalaman bermakna. Sukses selalu, bang.

kiwi Saturday, August 21, 2010 at 10:17:00 PM GMT+8  

singgah sini...bestnye tgk tmpt org ^^

Rozali Sunday, August 22, 2010 at 10:08:00 AM GMT+8  

Salam Ramadhan Doc

Masyaallah
Allahuakbar

Wassalam

Ephesus Thursday, August 26, 2010 at 8:56:00 PM GMT+8  

Package tours Turkey offers you the best price and service in Istanbuland all Turkey. St. Sophie, Topkapi Palace, Blue Mosque, BasilicaCistern are only a minute away from our office. http://www.packagetoursturkey.com - http://www.touroperatoristanbul.com TTG - Package tours turkey provide all kind of Turkey Tours such as Cappadocia, Ephesus, Gallipoli, Troy, Pamukkale, Mediterranean.We're providing opportunity of having regular Blacksea tours to meet with green Blacksea uplands and also we're offering regular East Turkey tours which let you to dive in totally authentic East Culture and you to watch sunrise from Mountain Nemrut.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP