SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXII) - DaMSYiK I

>> Tuesday, August 17, 2010



Damsyik atau dalam Bahasa Inggerisnya Damascus adalah ibu kota Syria & merupakan bandar yang terbesar di negara ini. Penduduknya pada masa kini berjumlah 1.7 juta orang. 75% daripadanya adalah penganut agama Islam, sementara yang selebihnya pula adalah penganut agama Kristian & Yahudi. Damsyik merupakan penempatan manusia yang tertua di dunia. Bandar ini telah dihuni oleh manusia sejak 12,000 tahun dahulu lagi. Pada tahun 1100 SM, kota ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Aramea. Seterusnya, ia jatuh ke tangan Empayar Babylon di bawah pemerintahan Nebuchadnezzar II pada tahun 572 SM. Selepas itu, pada tahun 538 SM, Empayar Parsi di bawah pimpinan Cyrus the Great pula mengambil alih pemerintahan Damsyik.

Alexander the Great kemudiannya telah berjaya menjadikan kota Damsyik sebagai sebahagian daripada kerajaannya selepas berjaya mengalahkan tentera Parsi. Damsyik selepas itu menjadi jajahan Empayar Seleucid pula. Dan kota itu kemudiannya jatuh ke tangan Empayar Rom pada tahun 64 SM. Di bawah pemerintahan Empayar Rom, Damsyik mula menjadi kota metropolis yang penting pada kurun ke-2. Seterusnya, kota tersebut jatuh pula ke tangan kerajaan Islam selepas kejayaan tentera pimpinan Khaled al-Walid pada tahun 634. Kota itu kemudiannya dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Bani Umayyah sewaktu ia berada di bawah pemerintahan kerajaan tersebut. Mulai dari saat itulah kota Damsyik mula mencapai puncak kegemilangannya. Walau bagaimanapun, pusat pentadbiran kerajaan itu akhirnya dipindahkan ke Harran oleh khalifah Bani Umayyah yang terakhir pada tahun 744. Sejak itu, kemasyhuran kota ini telah mulai menurun. Damsyik seterusnya berada di bawah pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad. Selepas itu, kerajaan Fatimiyah yang berpusat di Kaherah pula mengambil alih pemerintahannya.

Beberapa lama selepas itu, kota Damsyik berada pula di bawah pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadikannya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Ayyubiyah. Kota tersebut kemudiannya jatuh ke tangan kerajaan Mamluk pula. Sewaktu berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamluk, kota Damsyik telah diserang oleh tentera Timurlane, iaitu tentera Mongol yang berpusat di Samarkand. Mereka telah melakukan banyak kemusnahan & kekejaman di kota tersebut. Kota itu akhirnya telah berjaya dirampas & diselamatkan oleh kerajaan Mamluk. Segala kemusnahan dibina semula tidak lama kemudian. Beberapa lama selepas itu, kota Damsyik akhirnya menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah sehinggalah kejatuhan Empayar itu pada awal kurun ke-20.


Kedudukan Damsyik dalam peta Syria

Lokasi pertama di Damsyik yang dibawa oleh Ikhwan ialah Souq al-Hamidiyya, sebuah bazaar atau pasar tertutup yang amat terkenal di bumi Damsyik. Pasar tertutup sepanjang 422 meter itu juga merupakan pasar tertutup yang terbesar di Syria. Ianya terbentang dari At-Thawra Street sehingga ke Umayyad Mosque. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis barangan yang dijual seperti pakaian, rempah-ratus & barang-barang kraftangan. Restoran-restoran juga banyak terdapat di situ. Antara yang terkenal ialah sebuah kedai menjual aiskrim tumbuk. Nama kedai tersebut ialah Bekdach. Tidak lengkap kunjungan ke Souq al-Hamidiyya sekiranya tidak singgah di kedai tersebut untuk merasai aiskrim tumbuknya yang unik lagi enak.


Bersama seorang kanak-kanak Syria sebelum tiba di Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Pintu masuk Souq al-Hamidiyya di At-Thawra Street, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria


Aiskrim tumbuk kedai Bekdach di Souq al-Hamidiyya, Damsyik, Syria

Selepas menyusuri Souq al-Hamidiyya dari At-Thawra Street, kami berdua akhirnya tiba di penghujungnya di mana terletaknya Umayyad Mosque, antara masjid yang terbesar & tertua di dunia. Masjid tersebut juga adalah antara masjid yang terpenting dalam sejarah tamadun Islam. Tapak masjid itu dahulunya merupakan tapak Temple of Hadad sewaktu era pemerintahan kerajaan Aramea beribu-ribu tahun dahulu. Ia seterusnya menjadi tapak Temple of Jupiter sewaktu Damsyik berada di bawah pemerintahan Empayar Rom. Kuil tersebut kemudiannya telah diubahsuai menjadi sebuah gereja yang didedikasikan kepada John the Baptist atau Nabi Yahya a.s setelah Empayar Rom menjadikan agama Kristian sebagai agama rasminya.

Selepas kerajaan Islam di bawah pimpinan Umar al-Khattab berjaya menakluki kota Damsyik pada tahun 636, bangunan gereja tersebut telah dijadikan tempat ibadat bersama antara penduduk Kristian & penduduk Islam. Dinding pemisah telah dibina untuk memisahkan tempat beribadat Kristian & tempat beribadat Islam. Kemudiannya, ketika Damsyik berada di bawah pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang bernama Al-Walid I, gereja tersebut telah dibeli oleh kerajaan Bani Umayyah untuk dijadikan masjid sepenuhnya kerana jumlah bilangan penduduk Islam yang semakin bertambah. Sebagai balasan, kerajaan Bani Umayyah berjanji akan menjaga keselamatan gereja-gereja yang lain & juga membina gereja yang baru bagi menggantikan gereja yang dibeli itu.

Kerja-kerja pengubahsuaian gereja tersebut mengambil masa selama lebih kurang 9 tahun, iaitu dari tahun 706 hingga 715, agar ianya dapat disesuaikan dengan fungsi barunya sebagai sebuah masjid. Senibinanya dikatakan dibina mengikut senibina rumah Rasulullah SAW di Madinah. Tiga menara azan turut dibina di masjid tersebut. Gereja yang telah diubahsuai menjadi masjid itu kemudiannya dinamakan Umayyad Mosque & merupakan antara senibina yang terunggul di dunia pada waktu itu.

Pengubahsuaian demi pengubuahsuaian yang telah dilakukan mengikut peredaran masa & agama menjadikan Umayyad Mosque sebuah bangunan yang amat unik sekali. Daripada sebuah kuil Pagan, ia kemudiannya dijadikan sebuah gereja. Dan daripada sebuah gereja, ianya bertukar menjadi sebuah masjid pula. Umayyad Mosque adalah satu-satunya masjid di dunia yang menggabungkan ciri-ciri senibina Paganisma Rom, Kristian Byzantine & Muslim Umawi. Menarik betul.


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Menara azan berwarna putih yang terdapat di sudut timur Umayyad Mosque diberi nama Menara Nabi Isa kerana ianya dikatakan bakal menjadi tempat turunnya Nabi Isa a.s pada akhir zaman nanti. Wallahu 'alam. Ianya mungkin benar kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan turun di bumi Damsyik berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an:

Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, "Isa a.s akan turun berdekatan dengan menara putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya seperti untaian mutiara."


Menara Nabi Isa di Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Menara Nabi Isa di Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Di dalam Umayyad Mosque itu terletak makam Nabi Allah yang bernama Yahya a.s. Di dalam makam tersebut terdapat satu tengkorak yang dikatakan tengkorak milik baginda. Wallahu 'alam. Ianya dikatakan dijumpai sewaktu kerja-kerja pengubahsuaian ketika era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Nabi Yahya a.s turut dikenali oleh orang-orang Kristian dengan nama John the Baptist. Oleh itu, makam tersebut bukan sahaja tempat suci bagi penganut agama Islam, tetapi ianya juga adalah tempat suci bagi penganut agama Kristian. Pope John Paul II pernah melakukan kunjungan rasmi ke Umayyad Mosque pada tahun 2001 untuk menziarahi makam tersebut. Itu adalah kali pertama seorang Pope mengunjungi sebuah masjid.


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Ruang dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Makam Nabi Yahya a.s di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Aku sememangnya sudah lama berhajat untuk memijakkan kaki di Umayyad Mosque yang menyimpan sejuta sejarah itu. Kecantikan senibinanya benar-benar membuatkan aku ingin terus berada di dalamnya. Sewaktu aku & Ikhwan berada di dalam masjid tersebut, kami telah bertemu dengan seorang rakan Ikhwan. Dia sudah lama belajar di bumi Damsyik. Hampir 5 tahun lamanya. Ketika kami berdua berada di perkarangan luar masjid tersebut pula, kami terserempak dengan pasangan dari Afrika Selatan yang menaiki teksi yang sama dengan aku dari Amman pagi tadi. Hahahah. Tidak sangka pula yang aku akan bertemu lagi dengan mereka berdua. Mereka bertanya kepada aku & Ikhwan jikalau ada tempat-tempat menarik & bersejarah lain yang terdapat di sekitar Umayyad Mosque itu. Aku lalu membuka buku panduan aku & menunjukkan kepada mereka beberapa buah lagi tempat lain yang ada di sekeliling masjid itu. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka berdua pun beredar meninggalkan aku & Ikhwan.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


4 buah komen:

Rozali Tuesday, August 17, 2010 at 4:55:00 PM GMT+8  

Salam Ramadhan Doc

salam ziarah

Wassalam

Anonymous Tuesday, August 17, 2010 at 10:47:00 PM GMT+8  

Salam,
Saudara telah sampai di masjid umawi kan. Kenapa tidak cerita sekali berkenaan "maqam tempat kepala Saidina Husin diletakkan" ketika kepala baginda diusung dari Karbala ke Damsyik bertemu Yazid bin Muawiyyah sebagai bukti Saidina Husin telah dibunuh.

Jika masih di Syiria, jangan lupa ziarah bab ul- Saghir dan maqam Sayyidah Zainab. saya tunggu cerita saudara.

Chit Ana Wednesday, August 18, 2010 at 5:29:00 AM GMT+8  

Salam doktor..

nampak sedap aiskrim tumbuk tu :)

airynur Wednesday, October 19, 2011 at 9:36:00 PM GMT+8  

yes setuju...
aiskrim tumbuk tu nampak sedap!!!

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP