SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXIV) - DaMSYiK III

>> Thursday, August 19, 2010



Hari 11: 27 MEI 2009

Pada pagi hari ini, aku sepatutnya dibawa oleh rakan Ikhwan yang bernama Syazwan untuk ke beberapa buah lagi lokasi yang bersejarah & menarik di kota Damsyik. Akan tetapi, memandangkan Syazwan mempunyai hal yang perlu diuruskan pada waktu pagi & hanya boleh membawa aku jalan-jalan pada waktu petang nanti, aku akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan bersendirian. Lagipun Ikhwan agak sibuk pada pagi ini.

Lokasi pertama di Damsyik yang aku jejaki pada hari ini ialah Hijaz Train Station yang terletak berhampiran dengan sebuah dataran yang bernama Marjeh Square. Stesen keretapi tersebut dibina pada tahun 1908 sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Stesen ini adalah penghujung kepada landasan keretapi Hijaz di bahagian utara. Penghujungnya di bahagian selatan pula adalah stesen keretapi di Madinah. Matlamat utama landasan keretapi Hijaz dibina oleh Empayar Turki Uthmaniyah adalah untuk menyambungkan Damsyik dengan Mekah untuk memudahkan & mempercepatkan perjalanan untuk menunaikan Umrah & Haji. Akan tetapi, disebabkan tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, kerja-kerja pembinaan landasan kererapi tersebut terhenti setakat di Madinah sahaja. Hijaz Train Station pada masa kini tidak lagi berfungsi sebagai stesen keretapi di kota Damsyik. Fungsinya telah diambil alih oleh stesen keretapi baru yang bernama Qaddam Train Station. Hijaz Train Station pada masa kini hanya berfungsi sebagai sebuah muzium. Marjeh Square yang terletak berhampirannya pula adalah antara dataran utama yang menjadi tumpuan penduduk di kota Damsyik. Di sinilah pemerintah Turki Uthmaniyah dikatakan telah menghukum bunuh seorang nasionalis Syria pada bulan Mei 1916 yang seterusnya menyebabkan kebangkitan orang-orang Arab menentang pemerintahan empayar tersebut di bumi Syria.


Peta landasan keretapi Hijaz yang menghubungkan Damsyik & Madinah


Hijaz Train Station, Damsyik, Syria

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Takiyya Suleymaniye Mosque. Ianya adalah sebuah kompleks masjid yang dibina antara tahun 1544 & 1559 sewaktu era pemerintahan Sultan Suleyman. Arkiteknya ialah arkitek diraja Empayar Turki Uthmaniyah yang terkenal iaitu Mimar Sinan. Madrasah & hospital turut dibina di kawasan kompleks masjid tersebut. Ia juga turut dilengkapi dengan taman & dapur. Masjid itu adalah contoh terbaik kesenian Turki Uthmaniyah di bumi Damsyik. Sayang sekali, masjid tersebut berada dalam proses pembaikan sewaktu aku di situ.


Takiyya Suleymaniye Mosque, Damsyik, Syria


Takiyya Suleymaniye Mosque, Damsyik, Syria

Aku seterusnya pergi semula ke Souq al-Hamidiyya untuk melihat-lihat semula barang-barang yang dijual di situ. Kemudiannya, aku ke Umayyad Mosque pula untuk bergambar lagi di situ. Belum puas lagi rasanya bergambar semalam. Aku juga turut mengambil gambar runtuhan pintu masuk Temple of Jupiter yang masih lagi kukuh berdiri di kawasan masjid tersebut.


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria


Runtuhan Temple of Jupiter, Damsyik, Syria

Selepas puas bergambar di dalam & di luar Umayyad Mosque, aku meneruskan perjalanan ke Azem Palace. Istana ini dibina pada tahun 1750 untuk dijadikan kediaman gabenor Empayar Turki Uthmaniyah di Damsyik. Nama gabenor yang membina istana tersebut ialah As’ad Pasha al-Azem. Senibinanya adalah contoh senibina tradisional kota Damsyik. Istana ini terbahagi kepada 2 sayap, iaitu Harem & Salamlik. Harem ialah bahagian peribadi gabenor bersama-sama dengan keluarganya di mana di dalamnya terdapat dapur, ruang mandi, bilik tidur & sebagainya. Salamlik pula adalah bahagian yang disediakan buat tetamu. Di sini terdapat ruang tamu & taman di bahagian luarnya. Pada tahun 1925, istana ini telah mengalami kerosakan yang teruk akibat diserang oleh tentera Perancis sewaktu Revolusi Syria. Ia kemudiannya diperbaiki & pada masa kini, Azem Palace berfungsi sebagai muzium yang mempamerkan kesenian & kebudayaan masyarakat tempatan. Di tengah-tengah taman yang terdapat di dalam kawasan istana ini terdapat sebuah air pancut yang tidak kurang cantiknya.


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria


Azem Palace, Damsyik, Syria

Selepas menghabiskan hampir setengah jam di dalam Azem Palace, aku kembali semula ke rumah Ikhwan untuk berehat-rehat sementara menanti kedatangan kawannya yang bernama Syazwan itu. Sewaktu aku tiba di rumahnya, Ikhwan sudah pun berada di dalam bilik. Dia kemudiannya memberitahu aku bahawa Syazwan akan menunggu kami berdua di sebuah masjid tidak jauh dari rumahnya selepas solat Asar. Oleh itu, selepas menunaikan solat Asar di dalam biliknya, Ikhwan pun membawa aku ke masjid yang dimaksudkan untuk berjumpa dengan Syazwan. Tidak berapa lama selepas menunggu, Syazwan pun tiba bersama seorang rakannya yang bernama Ridhuan. Syazwan adalah pelajar di University Abu Nour, antara universiti yang terkemuka di kota Damsyik. Sementara Ridhuan pula adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Tujuannya datang ke bumi Damsyik adalah untuk belajar agama selama beberapa bulan untuk mengisi waktu cuti panjangnya. Bagus betul. Dia datang bersama-sama beberapa orang kawannya & menumpang di rumah Syazwan. Selepas bersalaman dengan mereka berdua, Ikhwan pun meninggalkan aku bersama mereka berdua & terus pulang ke rumah. Aku akan kembali ke rumahnya selepas selesai menjejajah kota Damsyik bersama-sama dengan Syazwan & Ridhuan.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

mama ju, Thursday, August 19, 2010 at 10:02:00 PM GMT+8  

terimakasih.
mama terbaca tulisan hijaudaun...

Fakeh Saturday, August 21, 2010 at 1:08:00 AM GMT+8  

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP