SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXIII) - DaMSYiK II

>> Wednesday, August 18, 2010



Ikhwan kemudiannya membawa aku ke Makam Saidina Hussin yang terletak di dalam kawasan Umayyad Mosque. Makam itu dikatakan menempatkan kepala Saidina Hussin, cucu Rasulullah SAW yang telah terkorban dalam Perang Karbala. Seperti biasa, tempat-tempat sebegini sudah pastinya menjadi tumpuan utama orang-orang Syi’ah untuk meratap, meraung & sebagainya. Seram pula aku melihat gelagat mereka. Selepas menziarahi Makan Saidina Hussin, kami ke Makam Salahuddin al-Ayyubi pula yang terletak berhampiran dengan masjid tadi. Salahuddin al-Ayyubi sememangnya seorang individu yang amat terkenal dalam sejarah Islam. Beliau adalah seorang lelaki berbangsa Kurdish yang kemudiannya menjadi Sultan Mesir & Syria & membentuk sebuah kerajaan yang diberi nama kerajaan Ayyubiyah. Dia kemudiannya berjuang bersama tenteranya menentang tentera Salib yang bertapak di bumi Syam sewaktu awal kurun ke-12. Kejayaan terbesarnya adalah sewaktu dia berjaya menewaskan tentera Salib dalam Perang Hattin pada tahun 1187 & seterusnya menawan semula Jerusalem daripada tangan orang-orang Kristian. Dia adalah panglima perang yang bukan sahaja dihormati oleh orang-orang Islam, malah turut dihormati oleh pihak musuh, iaitu orang-orang Kristian.


Makam Saidina Hussin, Damsyik, Syria


Makam Saidina Hussin, Damsyik, Syria


Lakaran animasi wajah Salahuddin al-Ayyubi


Peta kerajaan Ayyubiyah


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria


Makam Salahuddin al-Ayyubi, Damsyik, Syria

Selepas selesai menziarahi Makam Salahuddin al-Ayyubi, kami berdua menuju pula ke Sayyidah Ruqayyah Mosque, masjid yang dibina bersempena dengan Ruqayyah binti Hussin, cicit perempuan Rasulullah SAW. Di dalam masjid tersebut ditempatkan makam cicit Rasulullah SAW itu. Masjid itu dibina oleh orang-orang Syi’ah sebagai tanda penghormatan & juga untuk berkongsi penderitaan Ruqayyah selepas ayahnya, Hussin terkorban dalam Perang Karbala. Masjid ini dihias dengan begitu cantik & berkilauan sekali. Belum pernah aku melihat mana-mana masjid yang mempunyai ruang dalaman yang dihias dengan sebegitu melampau. Memang benarlah orang-orang Syi’ah ini adakalanya melampaui batas. Di dalam masjid tersebut, kelihatan ramai yang menangis-nangis & meraung-raung. Seram aku melihatnya.


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria


Sayyidah Ruqayyah Mosque, Damsyik, Syria

Setelah itu, aku & Ikhwan singgah pula di Abu Darda’ Mosque di mana makam Abu Darda' ditempatkan. Abu Darda’ adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau pada mulanya adalah seorang ahli perniagaan dari puak Khazraj di Madinah yang menyembah berhala. Beliau kemudiannya memeluk Islam selepas mendengar ceramah Rasulullah SAW. Selepas memeluk Islam, beliau telah dijadikan saudara kepada Salman Al-Farisi, seorang lelaki bangsa Parsi yang berhijrah ke tanah Arab untuk mencari Rasulullah SAW & memeluk Islam. Beberapa lama selepas itu, Abu Darda' ditugaskan sebagai hakim & guru agama di Syria ketika era kepimpinan khalifah Usman bin Affan.


Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria


Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria


Makam Abu Darda’ di dalam Abu Darda’ Mosque, Damsyik, Syria

Selepas menziarahi Makam Abu Darda’, kami berdua kembali semula ke Umayyad Mosque untuk menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, terdapat satu ceramah agama yang disampaikan oleh seorang penceramah agama berbangsa Kurdish yang bernama Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti. Menurut Ikhwan, beliau adalah antara penceramah-penceramah agama yang hebat bukan sahaja di bumi Syria, malah di seluruh dunia. Beliau dilahirkan di Turki & telah berhijrah ke Syria bersama-sama ayahnya ketika umurnya 4 tahun. Beliau adalah sarjana kelulusan Al-Azhar University di Kaherah, Mesir & telah menulis lebih kurang 40 buah buku berkenaan dengan agama, kesusasteraan, falsafah, sosiologi, tamadun & banyak lagi. Ceramahnya pada hari tersebut disampaikan dalam Bahasa Arab. Sayang sekali kerana aku tidak tahu berbahasa Arab. Jika ianya disampaikan dalam Bahasa Inggeris, sudah pasti aku akan menghabiskan masa di dalam masjid itu untuk mendengar kata-kata emasnya.


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Umayyad Mosque, Damsyik, Syria


Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti


Ceramah Sheikh Dr. Mohamed Sa'id Ramadan Al Bouti di dalam Umayyad Mosque, Damsyik, Syria

Kami kemudiannya pun pulang semula ke rumah. Tidak berapa lama kemudian, kami menerima seorang tetamu, iaitu kawan Ikhwan yang kami jumpa di dalam Umayyad Mosque siang tadi. Selepas beberapa lama berbual, dia akhirnya meminta diri untuk pulang. Ikhwan kemudiannya menyediakan makan malam. Apabila sudah siap, kami berdua pun makan bersama-sama. Sedap juga masakannya.

Selepas makan, kami menunaikan solat Isyak & kemudian, kami pun terus melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

mama ju, Wednesday, August 18, 2010 at 11:42:00 PM GMT+8  

Terimakasih kerana diberi peluang menjamu mata dengan gambar2 menarik khasnya roqayyah mosque. Anda beruntung dapat berkunjung ke makam orang-orang hebat! Alfatihah ..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP