SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXI) - SYRia II

>> Monday, August 16, 2010



Syria adalah negara kedua di bumi Syam yang aku jejaki, selepas Jordan. Negara ini disempadani oleh Lubnan di bahagian barat, Turki di bahagian utara, Iraq di bahagian timur, Jordan di bahagian selatan & Israel di bahagian barat daya. Persisiran pantainya di bahagian barat pula menghadap Laut Mediterranean. Penduduk negara ini berjumlah 22 juta orang. 90% daripadanya adalah daripada bangsa Arab. Yang selebihnya adalah daripada bangsa-bangsa minoriti seperti Kurdish, Armenia, Turkmen & Assyria. 90% daripada penduduk Syria beragama Islam. Agama Islam terpelihara dengan begitu baik sekali di sini. Disebabkan itulah, Syria merupakan antara negara-negara utama yang menjadi tumpuan mereka yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di sini. 10% lagi daripada penduduk Syria adalah penganut agama Kristian, sama ada daripada mazhab Greek Orthodox ataupun mazhab Roman Katolik.


Kedudukan Syria dalam peta Timur Tengah


Peta negara Syria


Bendera negara Syria

Bahasa Arab adalah bahasa utama yang digunakan di negara Syria. Bahasa Arabnya hampir serupa dengan Bahasa Arab tulen seperti yang dipertuturkan oleh orang-orang Arab zaman dahulu & juga seperti yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran. Ianya kurang dicemari dengan bahasa-bahasa Arab pasar seperti di negara-negara Arab yang lain. Ini menyebabkan ramai orang datang ke Syria untuk mempelajari Bahasa Arab kerana keasliannya masih lagi terpelihara. Penggunaan Bahasa Inggeris di negara ini amatlah terhad. Boleh dikatakan hampir kesemua rakyat Syria tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Ini adalah akibat daripada pelbagai sekatan dari luar yang dikenakan oleh kerajaannya, yang menyebabkan rakyatnya hidup seperti katak di bawah tempurung. Walau apapun, orang-orang Syria terkenal dengan pertuturan mereka yang lembut & juga wajah-wajah mereka yang cantik & kacak. Ini bermungkinan besar hasil daripada percampuran darah antara pelbagai bangsa yang pernah menetap di muka bumi Syria suatu masa dahulu. Syria mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan di sini ialah Pound. 1.00 Euro bersamaan dengan 65.00 Pound. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 13.00 Pound.

Mengikut kajian sejarah, pada kurun kedua Sebelum Masihi, kawasan Syria yang wujud sekarang ini dikuasai secara berturut-turut oleh orang-orang Kanaan, Phoenicia & Aramean. Seterusnya, kuasa-kuasa seperti Mesir, Sumeria, Assyria, Babylon & Hittie pula mengambil alih pemerintahannya secara berturut-turut. Walau bagaimanapun, kawasan tersebut akhirnya jatuh ke tangan Empayar Parsi tidak berapa lama kemudian. Selepas itu, kerajaan Greek di bawah pemerintahan Alexander the Great pula mengambil alih. Dan kemudiannya, ia jatuh pula ke tangan Empayar Seleucid. Apabila Pompey berjaya menawan ibu kota Empayar Seleucis pada tahun 64 Masihi, kawasan Syria secara automatiknya menjadi sebahagian daripada Empayar Rom. Syria kemudiannya menjadi salah satu wilayah yang terpenting dalam Empayar Rom sewaktu kurun ke-2 & ke-3. Terdapat beberapa orang Maharaja Rom yang berasal dari Syria, seperti Alexander Severus, Elagabalus & Marcus Julius Philippus. Syria juga memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan agama Kristian yang akhirnya menjadi agama rasmi Empayar Rom & Byzantine.

Pada tahun 640, di bawah pimpinan Khaled al-Walid, Syria berjaya ditawan oleh tentera Islam daripada Empayar Byzantine. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Bani Umayyah. Pada tahun 750, kerajaan Abbasiyah berjaya melenyapkan kerajaan Umayyah & secara tidak langsung, Syria jatuh ke bawah pemerintahan kerajaan tersebut. Kemudian, pada tahun 887, kerajaan Mesir di bawah Dinasti Tulunid telah berjaya merampas Syria daripada kerajaan Bani Abbasiyah.

Seterusnya, sebahagian daripada Syria telah ditawan oleh tentera Salib sewaktu kedatangan mereka ke sini sekitar kurun ke-12. Pada kurun ke-13, tentera Mongol telah tiba di Syria & menawannya. Syria kemudiannya dengan mudahnya ditawan oleh tentera Turki Uthmaniyah pada kurun ke-16. Ia kekal berada di bawah pemerintahan empayar tersebut sehinggalah empayar itu kalah dalam Perang Dunia Pertama. Setelah bebas daripada Empayar Turki Uthmaniyah, Syria membentuk kerajaannya sendiri pada tahun 1920. Faisal I ditabalkan menjadi Raja Syria. Beliau sebenarnya adalah tali barut British & telah bekerjasama dengan T.E Lawrence atau Lawrence of Arabia untuk membangkitkan semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Arab dengan mengadakan rusuhan demi rusuhan dalam usaha untuk melemahkan kepimpinan Empayar Turki Uthmaniyah sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian dengan Chaim Weizmann, iaitu Presiden Organisasi Zionis Sedunia untuk membuka penempatan orang-orang Yahudi di tanah Palestin. Pemerintahan Faisal I sebagai Raja Syria walau bagaimanapun hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja sebelum Syria berjaya ditawan oleh Perancis. Faisal I kemudiannya ditabalkan sebagai Raja Iraq pula oleh British pada tahun 1921. Syria akhirnya mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1944 setelah beberapa kali percubaan & kemudiannya membentuk sebuah kerajaan republik.


Raja Faisal I


Chaim Weizmann

Pada tahun 1948, Syria bersama-sama dengan negara-negara Arab yang lain telah melibatkan diri dalam Perang Arab-Israel atas usaha untuk membantah penubuhan haram negara Israel. Beberapa tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1958, Syria telah bersatu dengan Mesir & membentuk sebuah kerajaan yang bernama United Arab Republic. Walau bagaimanapun, republik itu hanya mampu bertahan hingga tahun 1961 sahaja. Pada tahun 1967, Syria telah bekerjasama dengan Jordan & Mesir untuk berperang dengan Israel dalam Perang Enam Hari. Akibat daripada perang tersebut, Syria telah kehilangan Bukit Golan yang berjaya ditakluki oleh Israel. Sehingga kini, isu Bukit Golan masih lagi menjadi konflik utama antara Syria & Israel.

Pada tahun 1966, telah berlaku rampasan kuasa di Syria oleh Parti Baath. Kemudian, pada tahun 1971, salah seorang anggota parti tersebut yang bernama Hafez al-Assad telah dilantik sebagai Presiden Syria & memerintah selama 30 tahun, sehingga tahun 2000. Terlampau banyak sekatan yang telah dikenakannya ke atas rakyat Syria sepanjang tempoh pemerintahannya itu. Kerajaan Syria di bawah pemerintahannya bersifat diktator & sekular. Pemerintahannya mendapat kritikan hebat daripada rakyat Syria terutamanya daripada golongan fundamentalis Islam. Mulai tahun 1976, satu persatuan yang bernama Ikhwan Muslimin telah bangun untuk menentang pemerintahan Hafez al-Assad itu. Akibat daripada kebangkitan menentang pemerintahan diktator kuku besi itu, bandar Hama yang menjadi pusat aktiviti Ikhwan Muslimin itu telah dimusnahkan oleh tentera Syria pada tahun 1982 atas arahan Hafez al-Assad sendiri. Kejadian tersebut telah mengakibatkan kematian & kecederaan seramai 10,000 hingga 25,000 orang.


Hafez al-Assad


Ikhwan Muslimin

Pemerintahan Hafez al-Assad kemudiannya diambil alih oleh anaknya, Bashar al-Assad selepas kematiannya pada tahun 2000. Polisi-polisi Bashar al-Assad tidak banyak berubah daripada polisi-polisi ayahnya. Namun, dia agak sedikit longgar berbanding ayahnya. Sekatan demi sekatan terhadap kegiatan ahli-ahli ulamak walau bagaimanapun masih lagi dilakukan. Pelajar-pelajar yang mempelajari ilmu agama di negara tersebut juga turut menerima nasib yang sama. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Kebanyakannya menerima pelbagai halangan untuk menuntut ilmu di bumi Anbiya' itu kerana dasar kerajaannya yang bersifat sekular. Ikhwan sendiri mengakuinya.


Bashar al-Assad

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Hamba Allah Tuesday, May 29, 2012 at 10:13:00 AM GMT+8  

mohon copy mengenai sejarah bumi syria dan sebagainya untuk ruangan di blog saya. rujukan melalui blog saudara akan disertakan sekali.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP