Showing posts with label Alexandria. Show all posts
Showing posts with label Alexandria. Show all posts

SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG VIII)

>> Wednesday, April 18, 2007



Tempat pertama di Iskandariah yang kami jejaki ialah Citadel of Qaitbay yang merupakan sebuah kubu yang dibina pada tahun 1477 sewaktu pemerintahan Raja kerajaan Mamluk yang bernama Al-Ashraf Sayf al-Din Qa'it Bay. Untuk masuk ke dalam kubu ini, kami perlu membeli tiket yang harganya agak berpatutan. Kubu ini meliputi kawasan yang sangat luas & terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Di dalamnya terdapat sebuah bekas masjid yang dipercayai sebagai masjid yang tertua di Iskandariah. Dari atas kubu ini, panorama kota Iskandariah yang indah dapat dinikmati. Subhanallah. Kami berempat termasuk Ustaz Nasir menghabiskan masa hampir sejam di dalam kubu tersebut.

Citadel of Qaitbay ini sebenarnya dikatakan dibina di atas tapak runtuhan sebuah rumah api yang bernama Pharos of Alexandria. Rumah api yang mulai dibina pada kurun ke-3 SM sewaktu pemerintahan Ptolemy I tersebut merupakan rumah api pertama yang dibina di dunia. Ianya adalah salah satu daripada ‘7 Keajaiban Dunia Purba’. Rumah api tersebut malangnya sudah tidak lagi wujud pada masa kini. Ianya dikatakan telah runtuh akibat kejadian gempa bumi yang berlaku antara tahun 1303 & 1323. Batu-batu daripada runtuhan rumah api tersebut kemudiannya dikatakan telah digunakan untuk pembinaan Citadel of Qaitbay pada tahun 1477.


Citadel of Qaitbay, Iskandariah, Mesir



Di dalam Citadel of Qaitbay, Iskandariah, Mesir



Di dalam Citadel of Qaitbay, Iskandariah, Mesir



Di dalam Citadel of Qaitbay, Iskandariah, Mesir



Pemandangan kota Iskandariah dari atas Citadel of Qaitbay, Iskandariah, Mesir



Lukisan gambaran rumah api Pharos of Alexandria

Selepas puas bergambar di dalam kubu tersebut, kami menuju pula ke Masjid Abu Abbas Al-Mursi, salah sebuah masjid yang terpenting di Iskandariah. Masjid ini dibina di atas tapak makam seorang pendakwah dari Murcia, Sepanyol yang bernama Abu Abbas Al-Mursi. Menurut sejarah, beliau bersama-sama dengan penduduk-penduduk Sepanyol yang beragama Islam telah membawa diri ke Iskandariah setelah kerajaan Islam di Sepanyol menjadi lemah akibat serangan kerajaan Kristian pada kurun ke-13. Di Iskandariah, beliau telah menjadi guru agama yang terkenal & banyak berjasa.

Masjid yang pertama telah dibina di atas tapak makam Abu Abbas Al-Mursi tersebut pada tahun 1307 oleh Sheikh Zein Ad-Din Ibn Al-Qattan. Namun, keadaan masjid itu tidak terurus mulai tahun 1477. Masjid itu kemudiannya diperbaiki oleh Gaqmas Az-Zahari & makamnya terletak bersebelahan dengan makam Abu Abbas Al-Mursi. Pada tahun 1596, masjid itu diperbaharui pula oleh Sheikh Abu al-Abbas & makamnya juga terletak di dalam masjid tersebut. Pada tahun 1775, pembesaran masjid ini dilakukan oleh Sheikh Abu al-Hassan El Maghribi & kebesarannya kekal seperti sekarang. Kubah-kubah & menara-menaranya yang dilihat pada masa kini hanya dibina pada tahun 1943.

Raja Mesir yang bernama Farouk kemudiannya mengarahkan pembinaan sebuah dataran di kawasan masjid ini & dataran tersebut diberi nama Midan al-Masgid. Masjid Abu Abbas Al-Mursi ini menjadi pusat utama dataran tersebut & ianya dikelilingi pula oleh 5 buah lagi masjid. Senibina Masjid Abu Abbas Al-Mursi beserta masjid-masjid lain di sekelilingnya yang berwarna putih itu tersangatlah mengagumkan. Di dataran Midan al-Masgid ini terdapat juga sebuah kebun pokok kurma. Aku yang belum pernah melihat kebun pokok kurma dari dekat terus mengambil gambar di hadapannya. Hahahah.


Masjid Abu Abbas Al-Mursi di Midan Al-Masgid, Iskandariah, Mesir



Di dalam Masjid Abu Abbas Al-Mursi, Iskandariah, Mesir



Di Midan Al-Masgid, Iskandariah, Mesir



Kebun pokok kurma di Midan Al-Masgid, Iskandariah, Mesir

Selepas menunaikan solat jamak Zohor & Asar, kami berlima meneruskan perjalanan ke Masjid Nabi Daniel yang dikatakan menempatkan makam Nabi Daniel & Luqman al-Hakim. Sebenarnya, tidak terdapat bukti kukuh yang boleh mengesahkan kedudukan sebenar makam Nabi Daniel & Luqman al-Hakim. Nabi Daniel yang berasal daripada kaum Bani Israel di Palestin telah dibawa ke Babylon setelah kerajaan Israel dikalahkan oleh kerajaan Babylon yang pada waktu itu diperintah oleh Raja yang bernama Nebuchadnezzar. Kerana kebijaksanaannya, Nabi Daniel telah dilantik menjadi salah seorang pembesar diraja. Tidak berapa lama kemudian, pengasas kepada Empayar Parsi, iaitu Cyrus II & tenteranya telah berjaya menawan Babylon pada kurun ke-5 SM. Nabi Daniel masih lagi diberi kepercayaan untuk memegang jawatan yang besar sewaktu Babylon di bawah Empayar Parsi. Selepas kematian Cyrus II, puteranya yang bernama Darius pula ditabalkan sebagai Raja Parsi & Nabi Daniel tetap mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran.

Disebabkan hasad dengki pembesar-pembesar yang lain, Nabi Daniel kemudiannya dimasukkan ke dalam kandang singa kerana keengganannya meninggalkan ajaran agamanya yang menyembah Allah yang Esa. Namun, baginda akhirnya diselamatkan oleh Allah s.w.t daripada keganasan binatang buas tersebut. Nabi Daniel dikatakan wafat di bumi Iran & makamnya dipercayai terletak di bandar Susa, Iran. Ada juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan bahawa makamnya terletak di Kirkuk, Iraq & di Samarkand, Uzbekistan. Dan ada juga yang berpendapat bahawa makamnya terletak di dalam Masjid Nabi Daniel di Iskandariah ini. Wallahu ‘alam.

Luqman al-Hakim pula adalah seorang ayah yang banyak mengajar anak-anaknya supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t. Namanya ada disebut di dalam Al-Quran. Berikut adalah petikan ayat-ayat Al-Quran tersebut:

'(Luqman menasihati anaknya dengan berkata), "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi." "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."' (Surah Luqman: Ayat 16-19)


Masjid Nabi Daniel, Iskandariah, Mesir



Masjid Nabi Daniel, Iskandariah, Mesir

Selepas menziarahi makam kedua-dua hamba Allah s.w.t tersebut, kami menuju pula ke Istana Montaza yang merupakan bekas kediaman pentadbir-pentadbir Mesir dari keturunan Muhammad Ali Pasha. Istana ini siap dibina pada tahun 1892 sewaktu Mesir di bawah pentadbiran Abbas Hilmi Pasha. Ianya dikelilingi oleh sebuah taman yang amat luas & terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Di dalam taman tersebut terdapat juga sebuah kebun pokok kurma yang luas. Kami yang jarang dapat melihat kebun pokok kurma seluas itu menjadi kagum. Lantas, kami terus mencapai kamera & bergambar dengan pokok-pokok kurma tersebut dengan menggayakan pelbagai aksi. Hahaha.


Istana Montaza, Iskandariah, Mesir



Kebun pokok kurma di kawasan Istana Montaza, Iskandariah, Mesir



Di kebun pokok kurma di kawasan Istana Montaza, Iskandariah, Mesir

Destinasi kami yang terakhir di Iskandariah ialah Bibliotheca Alexandrina, sebuah perpustakaan yang dibina sempena memperingati Royal Library of Alexandria yang telah runtuh akibat serangan demi serangan dari musuh. Royal Library of Alexandria yang telah runtuh itu telah siap dibina pada kurun ke-3 SM sewaktu era pemerintahan Ptolemy II di Mesir & merupakan perpustakaan yang terbesar di dunia pada waktu itu. Iskandariah pada waktu itu merupakan pusat ilmu pengetahuan yang termasyhur di seluruh dunia. Setelah perpustakaan itu tidak digunakan lagi selepas kedatangan Islam di bumi Mesir, buku-buku yang masih terdapat di dalam perpustakaan itu dikatakan telah dipindahkan ke perpustakaan di Masjid Al-Azhar di Kaherah pada awal kurun ke-8. Bibliotheca Alexandrina adalah perpustakaan baru yang siap dibina pada tahun 2003 berhampiran dengan tapak Royal Library of Alexandria yang telah tiada itu. Perpustakaan baru ini sememangnya kelihatan sangat anggun & cantik. Suasana dalamannya juga amat moden & mengagumkan. Untuk masuk ke dalamnya, kami perlu membeli tiket yang harganya tidaklah begitu mahal.


Bibliotheca Alexandrina, Iskandariah, Mesir



Di dalam Bibliotheca Alexandrina, Iskandariah, Mesir

Selepas puas bergambar di dalam Bibliotheca Alexandrina, kami singgah sebentar di sebuah restoran untuk membeli makanan bagi mengisi perut apabila di dalam kereta nanti. Selepas selesai membeli, kami pun meneruskan perjalanan untuk pulang semula ke Kaherah. Jam pada waktu itu sudah pun menunjukkan pukul 4.00 petang. Perjalanan pulang ke Kaherah dengan kereta mengambil masa hampir 3 jam lamanya. Aku tertidur di dalam kereta kerana kepenatan.

Setibanya kami di Kaherah, Ustaz Nasir menghantar Johan & Ahmad ke Rumah Malaysia Abbasiyah. Kemudian, dia membawa aku & Tok Wan ke Rumah Perlis. Kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Nasir kerana telah menjadi pemandu pelancong kami yang sangat bagus. Banyak informasi tentang Iskandariah telah kami perolehi daripadanya. Aku & Tok Wan kemudiannya terus masuk ke dalam bilik kami. Selepas solat, kami pun terus melelapkan mata kepenatan.

Bersambung...

Read more...

SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG VII)

>> Sunday, April 15, 2007



Hari 5: 5 OGOS 2006

Pada awal pagi hari ini, aku, Tok Wan, Johan & Ahmad menunggu kedatangan kereta di hadapan Rumah Perlis seperti yang dijanjikan oleh Ustaz Arif, tuan punya agensi pelancongan Al-Syafie Travel yang menguruskan jadual perjalanan kami mengelilingi bumi Mesir. Kami akan ke Iskandariah dengan menaiki kereta tersebut pada hari ini. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya kereta yang dijanjikan pun tiba. Pemandu kereta tersebut bernama Nasir. Kami memanggilnya Ustaz Nasir. Beliau berasal dari Pattani, Thailand. Beliaulah yang akan menjadi pemandu pelancong kami di Iskandariah pada hari ini. Ustaz Arif pun turut ada sekali. Tetapi, dia tidak akan mengikuti kami ke Iskandariah kerana dia ada hal penting.

Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami pun bertolak meninggalkan Rumah Perlis. Sebelum meneruskan perjalanan ke Iskandariah, kami singgah dahulu di kawasan asrama Rumah Selangor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, barulah kami terus bertolak menuju ke Iskandariah dengan menaiki kereta yang dipandu oleh Ustaz Nasir tersebut. Perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah memakan masa hampir 3 jam lamanya.

Iskandariah atau namanya dalam bahasa Inggeris, Alexandria adalah bandar ke-2 terbesar di Mesir & merupakan bandar pelabuhan yang terbesar di negara ini. Iskandariah terletak di pinggiran Laut Mediterranean iaitu di bahagian utara Mesir. Nama Iskandariah atau Alexandria adalah bersempena dengan nama pengasasnya iaitu Alexander the Great atau namanya dalam bahasa Arab, Iskandar Zulkarnain yang merupakan Raja Macedonia pada waktu itu. Ada yang mengatakan bahawa beliau mengesakan Allah s.w.t & ada yang mengatakan bahawa beliau mengaku dirinya adalah tuhan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Alexander the Great & Iskandar Zulkarnain adalah 2 orang yang berlainan. Wallahu ‘alam. Akan tetapi, nama Zulkarnain ada disebut di dalam Al-Quran yang mungkin merujuk kepada Iskandar Zulkarnain. Berikut adalah petikan ayat-ayat Al-Quran tersebut:

'Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah, "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya." Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya), "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka." Ia berkata, "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati."

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata, "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" Dia menjawab, "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata, "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia, "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain, "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar." Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.' (Surah Al-Kahfi: Ayat 83-99)


Iskandariah telah diasaskan pada tahun 334 SM oleh Alexander selepas kejayaan beliau menawan seluruh tanah Greece. Bandar ini diasaskan bertujuan untuk menghubungkan Greece dengan Sungai Nil yang merupakan kawasan pertanian yang sangat subur pada waktu itu. Beberapa bulan selepas pengasasan Iskandariah, Alexander telah meninggalkan bandar ini & menuju ke Timur untuk menawan Empayar Parsi yang pada waktu itu di bawah pemerintahan Maharaja yang bernama Darius III. Dia kemudiannya tidak kembali semula ke bandar ini buat selama-lamanya. Tugas pentadbiran Iskandariah diserahkan kepada wizurainya yang bernama Cleomenes.

Alexander akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Babylon pada tahun 323 SM, sewaktu usianya baru hendak mencecah 33 tahun. Ada yang mengatakan bahawa beliau dijangkiti suatu penyakit yang aneh. Wallahu ‘alam. Pada waktu itu, Alexander telah membentuk salah sebuah empayar yang terluas dalam sejarah dunia. Selepas kematian beliau, pemerintahan wilayah Mesir diambil alih oleh Ptolemy I & Iskandariah dijadikan pusat pentadbirannya. Beliau mengebumikan mayat Alexander di Iskandariah & makamnya kemudian menjadi tumpuan utama pelancong ke sini termasuklah Julius Caesar, Maharaja Rom yang pertama. Namun, pada masa kini, makam tersebut tidak diketahui lokasinya. Ianya dikatakan dilihat buat kali terakhir pada kurun ke-4. Kisah tentang riwayat hidup Alexander the Great ini ada diceritakan dalam filem 'Alexander' yang dilakonkan oleh Colin Farrell.


Peta kedudukan Iskandariah/Alexandria di dalam Mesir



Wajah gambaran Alexander the Great



Empayar Alexander the Great



Filem Alexander

Sewaktu era kegemilangan Empayar Greek, Iskandariah adalah bandar yang terbesar di dunia pada waktu itu. Percampuran budaya Greek & Mesir menjadikan Iskandariah sebagai bandar yang unik. Namun, ia kemudiannya diletakkan di bawah naungan Empayar Rom tidak berapa lama selepas empayar ini diasaskan & Iskandariah menjadi bandar ke-2 terbesar & terkaya dalam empayar tersebut selepas kota Rom. Selepas kematian Cleopatra sebagai pemerintah Mesir, Iskandariah diletakkan secara rasminya di bawah Empayar Rom sewaktu pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Augustus. Selepas Empayar Rom dikristiankan pada kurun ke-4, Iskandariah menjadi pusat utama pergerakan agama Kristian di bumi Mesir.

Pada tahun 616, Iskandariah telah ditawan oleh Empayar Parsi sewaktu empayar tersebut di bawah pemerintahan Raja yang bernama Khosrau II. Beberapa tahun selepas itu, ia ditawan pula oleh Empayar Rom Timur atau Byzantine sewaktu empayar itu di bawah pemerintahan Maharaja yang bernama Heraclius. Peristiwa peperangan antara Empayar Byzantine & Empayar Parsi yang berlaku sewaktu era dakwah Rasulullah s.a.w ini ada diceritakan di dalam Al-Quran, di mana Allah s.w.t telah meramalkan bahawa tentera Rom Timur atau Byzantine akan berjaya mengalahkan semula tentera Parsi selepas kekalahan mereka kepada tentera Parsi. Ayat-ayatnya berbunyi begini:

'Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan pula lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun; kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom mengalahkan Parsi) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah; Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.' (Surah Ar-Rum: Ayat 2-5)

Pada tahun 641, Iskandariah ditawan pula oleh tentera Islam di bawah pimpinan Amr ibn Al-‘As. Empayar Byzantine yang berpusat di Constantinople (Istanbul) pada waktu itu tidak dapat mempertahankan Iskandariah kerana Maharajanya iaitu Heraclius telah meninggal dunia & penggantinya iaitu Constantine III baru berusia 12 tahun sewaktu ia dilantik menjadi maharaja empayar tersebut. Pelbagai kerosakan telah berlaku sewaktu tentera Islam berusaha untuk menawan kota Iskandariah. Walau bagaimanapun, usaha untuk memperbaiki keadaan bandar ini telah diusahakan secara besar-besaran antara tahun 1810 & 1850 oleh Muhammad Ali Pasha, iaitu wizurai Empayar Turki Uthmaniyah di Mesir.

Iskandariah telah menjadi pusat pentadbiran Mesir selama beratus-ratus tahun lamanya. Namun, selepas kewujudan bandar Kaherah yang kemudiannya dijadikan pusat pentadbiran Mesir yang baru selepas Mesir terletak di bawah naungan kerajaan Islam, fungsi Iskandariah sebagai pusat pentadbiran Mesir telah berakhir. Kepentingannya menjadi semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Namun, ianya kini kembali bangun menjadi bandar yang penting di Mesir. Iskandariah kini adalah bandar ke-2 terpenting di negara ini kerana pelabuhannya yang menjadi pusat komersil & pengangkutan yang utama di negara ini.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP