MY FiRST BooK iS oN THe WaY.. iNSYaALLaH...

>> Friday, December 18, 2009



Alhamdulillah. Berkat daripada doa semua orang, kontrak telah pun ditandatangani semalam antara aku & pihak penerbit yang ingin membukukan travelog-travelog aku. Buat masa sekarang, manuskrip buku pertama aku sedang dalam proses editan pihak penerbit. InsyaAllah, jikalau semua berjalan lancar & tiada aral melintang, buku pertama aku yang bertajuk 'TRAVELOG TURKI: BUMI KHALIFAH' itu akan berada di pasaran pada awal tahun hadapan (2010). Terima kasih sekali lagi atas segala dorongan & sokongan yang diberikan.. :)

Read more...

PRoJeK PeMBuKuaN TRaVeLoG

>> Monday, November 30, 2009



Baru-baru ni aku menerima email daripada sebuah syarikat penerbitan buku yang berminat untuk membukukan travelog-travelog aku & memasarkannya ke seluruh Malaysia. Alhamdulillah. Hasrat aku untuk membukukan travelog-travelog aku selama ni tercapai jugak. Nama syarikat penerbitan buku tu biarlah aku rahsiakan buat sementara sbb kami masih dalam proses perbincangan lagi. Belum ada apa-apa kata putus & belum ada apa-apa perjanjian lagi.

Mengikut perancangan aku, aku ingin membukukan dahulu Travelog Turki: Bumi Khalifah. Dalam travelog tersebut, aku menceritakan pengalaman aku selama 10 hari berkelana di bumi Turki. Aku akan memberi butiran-butiran yang lebih mendalam mengenai latar belakang Turki dari sudut geografi, politik, sejarah & sebagainya. Aku jugak akan memberi penekanan terhadap setiap 7 bandar yang aku kunjungi, iaitu Istanbul, Ankara, Konya, Ephesus, Troy, Bursa & Edirne. Penyampaian aku agak bersahaja. Tidaklah begitu berbunga-bunga. Gambar-gambar akan turut diselitkan.

Harap-harapnya hasrat aku untuk membukukan travelog pertama aku, Turki: Bumi Khalifah akan menjadi satu kenyataan. InsyaAllah buku tersebut akan dapat digunakan sebagai panduan oleh rakyat-rakyat Malaysia yang akan berkunjung ke bumi Turki & juga oleh mereka yang berminat untuk mengetahui tentang negara Turki dengan lebih mendalam.

Jikalau buku tersebut berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran, insyaAllah aku akan membukukan travelog-travelog yang seterusnya pula, seperti Travelog Andalusia: Permata Islam Yang Hilang, Travelog Morocco: Permata Islam di Ufuk Barat, Travelog Mesir: Bumi Tamadun, Travelog Bosnia & Herzegovina: Jambatan Antara Islam & Eropah, Travelog Syam: Bumi Anbiyak & banyak lagi. Travelog-travelog ni sebenarnya dah lama disiapkan sewaktu cuti-cuti semester yang lepas. Cuma menunggu peluang untuk dibukukan saja.

Aku akan berada di Malaysia mulai 1 Disember sehingga 15 Mac. InsyaAllah aku akan cuba menyelesaikan projek pembukuan travelog ini dalam tempoh masa tersebut secepat yang mungkin. Diharapkan kalian semua akan memberi sokongan yang positif terhadap perancangan aku ini. :)

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XIII) - SaRaJeVo IV

>> Saturday, November 28, 2009



Hari 4: 14 MEI 2008

Lebih kurang pukul 8.00 pagi, aku pun mulai mandi & kemudiannya mengemas barang-barang aku. Selepas semuanya selesai, aku membawa kesemua barang-barang aku ke ruang makan hostel itu untuk bersarapan pagi. Selesai sahaja bersarapan pagi, aku meminta pemilik hostel itu untuk menjaga barang-barang aku sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota Sarajevo.

Ini adalah hari kedua aku di kota ini. Aku sebenarnya sudah pun selesai menjejakkan kaki di lokasi-lokasi terpenting di dalam Sarajevo seperti yang tercatat dalam buku panduan aku. Oleh itu, pada hari ini, aku hanya sekadar berjalan-jalan mengambil angin sahaja. Aku bersiar-siar di kawasan membeli-belah yang utama di sini, iaitu sebatang jalan yang diberi nama Ferhadija. Terdapat banyak kedai di kiri kanan jalan yang dipenuhi oleh manusia ini.


Ferhadija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Ferhadija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Seterusnya, aku ke sebuah memorial berdekatan yang bernama Eternal Flame. Memorial ini dibina selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, pada tahun 1945. Ia dibina sempena memperingati jasa pejuang-pejuang yang berjuang membebaskan Sarajevo daripada cengkaman kuasa Fascisma sewaktu Perang Dunia Kedua. Selepas hampir 50 tahun api di memorial ini dinyalakan, ianya terpadam sewaktu Perang Bosnia yang berlaku antara tahun 1992 hingga 1995 akibat kekurangan sumber minyak. Selepas tamat Perang Bosnia, api yang terpadam di memorial tersebut dinyalakan semula. Nama-nama mereka yang berjuang dalam Perang Bosnia turut dipahat di memorial ini bersama-sama dengan nama pejuang-pejuang pembebasan Sarajevo 1945.


Eternal Flame, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar dengan memorial Eternal Flame itu, aku meneruskan perjalanan aku dengan bersiar-siar di sebatang jalan yang bernama Marsala Tita. Tiada apa-apa yang menarik di sini. Cuma kedai-kedai biasa & bank-bank sahaja. Jalannya agak sibuk dengan kenderaan.


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya kembali semula ke hostel untuk mengambil barang-barang aku. Selepas itu, aku menaiki tram untuk ke stesen keretapi Sarajevo. Aku akan ke Zagreb, Croatia pada waktu petang ini. Perjalanan dengan tram untuk ke stesen keretapi mengambil masa yang singkat sahaja. Satu peristiwa yang tak akan dapat aku lupakan sampai bila-bila telah berlaku di dalam tram yang aku naiki. Sebelum masuk ke dalam tram itu, aku telah membeli dahulu tiketnya di sebuah gerai kecil di sebelah stesen tram yang terletak berhampiran hostel yang aku tumpangi. Apabila tram tersebut sudah tiba, aku lantas terus masuk ke dalamnya. Para penumpang sebenarnya diwajibkan mengesahkan tiket masing-masing dengan menggunakan mesin kecil yang terdapat di dalam setiap tram. Aku menganggap ianya remeh & menyusahkan. Lagipun, tram itu penuh sesak. Sukar untuk aku mencari lokasi mesin tersebut di dalamnya. Jadi, aku membiarkan sahaja tiket aku tidak disahkan. Aku punyai naluri yang mengatakan tak mungkin akan ada pegawai yang akan memeriksa tiket pada hari ini.

Namun, naluri aku salah sama sekali. Lebih kurang 15 minit selepas aku menaiki tram tersebut, tiba-tiba, muncul seorang pegawai tiket yang meminta aku menunjukkan tiket kepadanya. Entah dari mana datangnya dia aku pun tidak sedar. Aku dengan perasaan gementar menunjukkan tiket aku yang tidak disahkan itu. Pegawai itu kemudiannya bertanya satu soalan kepada aku di dalam Bahasa Bosnia. Aku kemudian memintanya bertanya dalam Bahasa Inggeris. Dia kemudian menarik aku ke hadapan untuk berjumpa dengan seorang lagi pegawai yang secara kebetulannya boleh berbahasa Inggeris. Pegawai itu memberitahu aku bahawa aku perlu membayar denda sebanyak 60 Marka atas kesalahan tidak mengesahkan tiket dengan menggunakan mesin yang ada di dalam tram. Aku tidak tahu hendak memberi alasan apa. Sememangnya aku yang bersalah dalam hal ini.

Aku kemudian dengan rasa berat hati mengeluarkan dompet aku. Malangnya, aku tidak mempunyai wang Marka yang mencukupi. Aku bertanya sama ada aku boleh membayar dalam matawang Euro. Mereka kemudian berbincang sesama mereka & kemudiannya mereka berkata yang mereka menerima bayaran dalam matawang Euro. Aku pun terpaksa menyerahkan 30 Euro aku kepada salah seorang daripada mereka. Aku betul-betul menyesal kerana tidak mengesahkan tiket yang bodoh itu. Begitu sahaja wang 30 Euro aku terbang melayang.

Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di stesen keretapi Sarajevo. Dengan perasaan yang masih geram dengan kesilapan sendiri, aku turun dari tram tersebut meninggalkan 2 orang pegawai tiket itu. Aku melangkah menuju ke dalam stesen keretapi tersebut. Keretapi yang aku nantikan untuk ke Zagreb bakal tiba di stesen ini pada pukul 9.20 malam nanti. Aku masih ada 3 jam untuk menghabiskan masa di dalam stesen keretapi yang membosankan ini. Aku sengaja datang awal ke sini kerana aku tidak tahu untuk ke mana-mana lagi. Sedang aku berehat-rehat di dalam stesen keretapi tersebut, aku didatangi oleh beberapa orang penduduk tempatan. Mereka sekadar ingin berbual-bual kosong. Aku yang sedang kebosanan pun melayan sahaja mereka.


Stesen keretapi Sarajevo, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Setelah hampir 3 jam menunggu, keretapi yang aku nantikan pun tiba. Tepat pukul 9.20 malam, ianya pun mulai bergerak meninggalkan Sarajevo. Perjalanan dari Sarajevo ke Zagreb memakan masa selama 9½ jam. Aku bermalam di dalam keretapi tersebut di dalam sebuah bilik kabin. Ini adalah perjalanan pertama aku menaiki keretapi dalam pengembaraan aku di bumi Balkan ini. Aku menggunakan tiket pass Interrail yang telah aku beli di Dublin. Amat menjimatkan.

Bersambung...

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua pembaca yang beragama Islam. Semoga Aidil Adha tahun ini memberi seribu pengertian buat kita semua.

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XII) - SaRaJeVo III

>> Thursday, November 26, 2009



Aku seterusnya berjalan menuju ke masjid yang paling penting di seluruh Sarajevo & juga di seluruh negara Bosnia & Herzegovina, iaitu Gazi Husrev-beg Mosque untuk menunaikan solat Zuhur. Masjid ini terletak betul-betul di tengah-tengah kawasan Bascarsija. Ia merupakan antara senibina Turki Uthmaniyah yang terulung. Masjid ini dibina pada tahun 1531 atas sumbangan ihsan Gabenor Turki Uthmaniyah di wilayah Bosnia, iaitu Gazi Husrev-beg. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah. Hampir kesemua wangnya digunakan untuk membangunkan kota Sarajevo ketika bandar ini di bawah pentadbirannya. Senibina Gazi Husrev-beg Mosque ini adalah hasil rekaan arkitek agung Empayar Turki Uthmaniyah, iaitu Mimar Sinan.

Sewaktu Perang Bosnia antara tahun 1992 hingga 1996, Gazi Husrev-beg Mosque ini telah diserang oleh tentera Republik Srpska yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Serb & menyebabkan ianya mengalami kerosakan yang teruk. Usaha untuk membaik pulih semula masjid ini kemudiannya dilakukan selepas tamatnya perang tersebut dengan bantuan kewangan daripada negara luar & berjaya disiapkan pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, hampir kesemua jubin-jubin hasil kesenian Turki Uthmaniyah yang dahulunya terdapat pada dinding di ruang dalaman masjid ini telah hancur akibat perang & tidak dapat diganti semula. Dinding di ruang dalamannya kini hanya bercat putih sahaja.


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Bahagian dalam kubah Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Namun, apa yang penting bagi sesebuah masjid bukanlah kecantikannya, tetapi bilangan jemaah yang mengimarahkannya. Ternyata, penduduk Islam di Bosnia & Herzegovina masih lagi mengamalkan ajaran Islam seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Apa yang aku dapat lihat, apabila azan Zuhur berkumandang sahaja, berpusu-pusu penduduk Sarajevo bertandang ke masjid ini untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Allah SWT. Hampir penuh isi masjid tersebut ketika solat berjemaah Zuhur ditunaikan sehingga ada yang terpaksa bersolat di luar. Waktu selepas solat diisi pula dengan tazkirah. Yang membaca Al-Quran juga tidak kurang ramainya. Kagum benar aku menyaksikan semua itu. Sebelum ini aku menganggap penduduk Islam di Bosnia & Herzegovina telah lupa akan akar mereka. Anggapan aku selama ini ternyata silap sama sekali. MasyaAllah.


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Tazkirah selepas solat Zuhur di dalam Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Ada satu peristiwa menarik berlaku sewaktu aku berada di dalam Gazi Husrev-beg Mosque ini. Sebelum solat berjemaah Zuhur dimulakan, aku berehat-rehat dahulu di suatu sudut di dalam masjid tersebut. Sedang aku berehat-rehat, aku tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki tua tempatan. Beliau bertanya sama ada aku dari Malaysia atau Indonesia. Aku terus menjawab yang aku dari Malaysia. Kemudian, dengan tiba-tiba dia berkata ‘apa khabar’. Aku yang agak terkejut membalas dengan berkata ‘khabar baik’. Aku kaget seketika. Hahaha. Lelaki tua itu pun kemudiannya menerangkan kepada aku dalam Bahasa Inggeris bahawa dia pernah bekerja di Indonesia selama 10 tahun. Selepas mendengar penerangannya itu, barulah aku mengerti mengapa dia boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia atau Bahasa Melayu.

Aku kemudian bertanya pula kepadanya ‘bisa bicara Bahasa Indonesia dengan fasih?’. Dia lantas menjawab ‘sikit-sikit, tapi banyak sudah lupa’. Hahaha. Aku hanya ketawa sahaja selepas mendengar jawapannya itu. Terharu pula rasanya apabila dapat berjumpa dengan seorang warga Bosnia yang boleh berbahasa Melayu atau Indonesia. Lelaki tua itu kemudian menerangkan bahawa selepas solat Zuhur nanti, akan diadakan solat jenazah untuk menyembahyangkan satu jenazah yang baru sahaja meninggal dunia pagi tadi. Dia mempelawa aku untuk turut serta menyembahyangkan jenazah tersebut. Aku mengangguk tanda bersetuju menerima pelawaan itu. Beberapa saat kemudian, iqamah pun dilaungkan. Kami lantas terus beratur mengikut saf.

Selepas selesai sahaja solat Zuhur secara berjemaah dengan warga-warga Bosnia & Herzegovina di dalam masjid tersebut, aku pun turut serta dalam solat jenazah yang dilakukan kemudiannya. Selepas solat jenazah sudah ditunaikan, aku menziarahi Makam Gazi Husrev-beg yang terletak di perkarangan masjid tersebut. Malangnya, makam tersebut dikunci. Oleh itu, aku hanya dapat bergambar di luarnya sahaja.


Makam Gazi Husrev-beg, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar dengan makam tersebut, aku pun menyambung semula pengembaraan aku di kota Sarajevo. Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Cathedral of Jesus’ Heart atau lebih dikenali dengan nama Sarajevo Cathedral. Gereja ini merupakan pusat kepada penganut agama Kristian Katolik di Sarajevo. Bangunan gereja ini dibina mengikut citarasa senibina gereja Notre-Dame di Paris. Kerja-kerja pembinaan Sarajevo Cathedral ini dimulakan pada pertengahan tahun 1884 & siap dibina sepenuhnya pada pertengahan tahun 1889. Bangunan ini turut menerima impak akibat serangan tentera Republik Srpska di Sarajevo sewaktu Perang Bosnia dahulu, namun kerosakannya tidaklah terlampau teruk. Kerja-kerja membaik pulih gereja ini dilakukan selepas tamatnya perang tersebut. Gereja ini kini merupakan salah satu mercu tanda Sarajevo yang terkenal.


Sarajevo Cathedral, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Ali Pasha Mosque yang terletak agak jauh di pinggir bandar Sarajevo. Masjid yang mempunyai unsur senibina Turki Uthmaniyah ini dibina sekitar awal dekad 1560-an atas hasil wakaf daripada Hadim Ali Pasha, bekas Gabenor Empayar Turki Uthmaniyah di Budapest. Masjid ini turut mengalami kerosakan yang teruk sewaktu Perang Bosnia terutamanya bahagian kubahnya. Selepas tamatnya perang tersebut, usaha-usaha untuk membaik pulih masjid ini pun dimulakan & kini, ia merupakan antara monumen nasional negara Bosnia & Herzegovina.


Ali Pasha Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar bandar Sarajevo sambil melalui beberapa lokasi yang agak menarik seperti sebuah pusat membeli-belah, sebuah muzium, National Theatre & Congregational Church of the Holy Mother. National Theatre adalah bangunan teater yang diasaskan pada tahun 1921 & merupakan antara pusat kesenian penduduk di sini. Congregational Church of the Holy Mother pula merupakan gereja Kristian Orthodox yang terbesar di bandar ini yang merupakan pusat kepada penganut agama tersebut di sini. Ianya dibina pada tahun 1868 sewaktu pengakhiran era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di bumi Sarajevo.


Sebuah pusat membeli-belah, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebuah muzium, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


National Theatre, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Congregational Church of the Holy Mother, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Setelah penat berjalan-jalan, aku pun kembali semula ke hostel. Sesampainya aku di hostel tersebut, aku diberitahu oleh pemilik hostel bahawa dia terpaksa memindahkan aku ke bangunan yang lain kerana bilik-bilik di tingkat dua hostel tersebut mengalami masalah kebocoran air. Bangunan yang dimaksudkan agak jauh daripada bangunan hostel itu. Namun, aku tidak kisah. Asalkan aku mempunyai tempat untuk bermalam, itu sudah cukup bagi aku. Setelah memindahkan barang-barang aku ke bilik yang baru, aku pun berehat-rehat sementara menunggu masuknya waktu Maghrib.

Apabila waktu Maghrib sudah hampir, aku berjalan kaki menuju ke Gazi Husrev-beg Mosque untuk berjemaah dengan jemaah-jemaah di masjid itu. Selepas selesai solat Maghrib, aku keluar untuk menikmati suasana malam di Sarajevo, sambil menunggu waktu Isyak pula. Aku bergambar dengan beberapa monumen penting di Sarajevo seperti masjid tersebut, kawasan sekitar Sebilj & Emperor’s Mosque. Setelah itu, aku kembali ke Gazi Husrev-beg Mosque untuk menunaikan solat Isyak pula. Selesai sahaja solat Isyak, aku kembali semula ke hostel untuk merehatkan badan.


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Emperor's Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XI) - SaRaJeVo II

>> Tuesday, November 24, 2009



Lokasi pertama di Sarajevo yang aku kunjungi ialah Bascarsija, sebuah kawasan yang terletak betul-betul di hadapan hostel yang aku tumpangi. Terdapat sebuah stesen tram berdekatan dengannya. Kawasan Bascarsija ini adalah antara kawasan di kota lama Sarajevo yang sering menjadi tumpuan penduduk tempatan & juga pelancong luar. Kawasan ini mulai dibuka pada kurun ke-14, mengikut citarasa senibina Turki Uthmaniyah. Ia mencapai kemuncak popularitinya pada kurun ke-16. Kawasan ini sebenarnya terdiri daripada lorong-lorong kecil di mana terdapat berpuluh-puluh buah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan termasuklah barangan cenderahati, kraftangan, pakaian, barang-barang kemas, makanan & macam-macam lagi. Daripada pemerhatian aku di sekitar kawasan Bascarsija, ramai wanita di bumi Sarajevo ini masih lagi menjaga aurat mereka dengan bertudung, tak kira yang muda mahupun yang tua. Ternyata, Islam di bumi Sarajevo ini masih lagi terpelihara. Alhamdulillah.


Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Wanita-wanita bertudung di Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Wanita-wanita bertudung di Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Di tengah-tengah kawasan Bascarsija ini terdapat sebuah binaan kecil yang menjadi antara mercu tanda utama Sarajevo. Binaan tersebut bernama Sebilj. Ia dibina pada tahun 1891 & merupakan tempat penyimpanan air yang padanya turut terdapat kepala-kepala paip. Orang-orang awam boleh mendapatkan sumber air dari sini. Kawasan di sekitar Sebilj sering disinggahi oleh burung-burung merpati liar. Suasana sebegini menjadikan kawasan ini antara tempat tumpuan utama penduduk tempatan Sarajevo yang ingin berekreasi bersama keluarga & juga turut menjadi tempat tumpuan pelancong-pelancong dari luar. Terdapat banyak restoran & gerai makanan di sekeliling kawasan Sebilj ini.


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Burung-burung merpati liar di kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar di sekitar Sebilj, aku berjalan kaki menuju ke National Library, sebuah lagi mercu tanda utama Sarajevo. Bangunan ini dibina mengikut senibina Austia-Hungary bercampur Moorish. Ia pada mulanya berfungsi sebagai dewan bandar ini. Namun, selepas Perang Dunia Kedua, fungsinya ditukar menjadi perpustakaan yang bertujuan untuk menyimpan buku-buku & manuskrip-manuskrip berkenaan dengan Bosnia. Serangan yang dilakukan oleh tentera Republik Srpska yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Serb ke atas bangunan ini pada tahun 1992 sewaktu kehangatan Perang Bosnia telah memusnahkan hampir 90% daripada kesemua khazanah yang disimpan. Ini sekaligus telah melenyapkan tinggalan warisan & kebudayaan penduduk Bosnia yang tersimpan di sini. Kerja-kerja baik pulih telah dimulakan selepas tamatnya perang tersebut & masih lagi diusahakan sehingga kini. Walau bagaimanapun, buku-buku & manuskrip-manuskrip yang telah termusnah akibat perang masih banyak yang belum dapat diganti.


National Library, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya berjalan menuju ke lokasi yang seterusnya, iaitu Emperor’s Mosque yang dibina oleh pengasas bandar Sarajevo, iaitu Isa-Bey Ishakovic. Masjid yang asal sebenarnya dibina daripada kayu. Ia dibina pada tahun 1457 sebagai tanda penghormatan kepada Sultan Empayar Turki Uthmaniyah yang memerintah pada waktu itu, iaitu Sultan Muhammad al-Fatih. Penghormatan ini diberi atas kejayaan baginda menawan kota Constantinople yang kemudiannya ditukar namanya kepada Istanbul. Masjid tersebut kemudiannya telah terbakar & digantikan dengan masjid baru yang lebih kukuh pada tahun 1566 atas arahan Sultan Suleyman yang memerintah pada waktu itu & juga atas permintaan penduduk tempatan Sarajevo. Nasib aku kurang baik kerana masjid tersebut ditutup ketika aku berada di situ. Aku sendiri tidak pasti mengapa ia ditutup. Mungkin ia hanya akan dibuka apabila masuk waktu solat Zuhur nanti. Wallahu ‘alam.


Emperor’s Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar di luar Emperor’s Mosque, aku meneruskan ekspedisi aku ke sebuah gereja yang terletak tidak jauh dari masjid tersebut. Nama gereja tersebut ialah Franciscan Church of St. Anthony of Padua yang merupakan gereja penganut Kristian Katolik di bandar ini. Ianya dibina pada tahun 1914. Menara locengnya mempunyai ketinggian 43 meter. Aku hanya bergambar di bahagian luarnya sahaja.


Franciscan Church of St. Anthony of Padua, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Sejurus selepas itu, aku meneruskan langkah ke Latin Bridge, sebuah jambatan yang bersejarah di bandar Sarajevo yang dibina merentangi Sungai Miljacka. Jambatan ini adalah jambatan yang tertua di kota ini. Jambatan asal sebenarnya dibina daripada kayu. Kejadian banjir besar yang berlaku di sini pada tahun 1791 menyebabkan kerosakan yang teruk pada jambatan kayu tersebut. Ia kemudiannya digantikan dengan jambatan baru yang diperbuat daripada batu pada tahun 1798 & kekal sehingga ke hari ini.


Latin Bridge, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Berdekatan dengan jambatan inilah pewaris takhta Empayar Austria-Hungary, iaitu Franz Ferdinand & isterinya, Sophie telah ditembak curi oleh pemuda dari kaum etnik Serb yang bernama Gavrilo Princip pada tarikh 28 Jun 1914. Peristiwa tersebut berlaku sewaktu mereka berdua sedang diarak di sepanjang jalan di tebing sebelah kanan Sungai Miljacka dengan menaiki kereta. Peristiwa pembunuhan inilah yang menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Pertama.


Franz Ferdinand


Sophie


Gavrilo Princip


Peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie

Di lokasi pembunuhan tersebut pada masa kini terdapat sebuah muzium yang dibuka sempena memperingati peristiwa berdarah itu. Muzium ini mempamerkan kronologi peristiwa pembunuhan tersebut, termasuk gambar-gambar yang diambil sebelum, sewaktu & selepas peristiwa tersebut berlaku. Aku yang turut meminati sejarah mengambil peluang yang ada untuk masuk ke dalam muzium tersebut & mendapatkan lebih informasi tentang peristiwa yang mencetuskan Perang Dunia Pertama itu.


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Batu bersurat peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selesai sahaja mengambil informasi yang berguna di dalam muzium tersebut, aku berjalan kembali ke kawasan Bascarsija untuk mengamati suasana di sini yang sememangnya sibuk dengan kegiatan manusia berjual beli. Di kawasan ini juga terdapat sebuah bazaar kecil yang diberi nama Gazi Husrev Bey's Bezistan yang dibina antara tahun 1537 & 1555. Bazaar yang berbentuk segiempat tepat ini menjual beraneka jenis pakaian.


Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP