BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XI) - SaRaJeVo II

>> Tuesday, November 24, 2009



Lokasi pertama di Sarajevo yang aku kunjungi ialah Bascarsija, sebuah kawasan yang terletak betul-betul di hadapan hostel yang aku tumpangi. Terdapat sebuah stesen tram berdekatan dengannya. Kawasan Bascarsija ini adalah antara kawasan di kota lama Sarajevo yang sering menjadi tumpuan penduduk tempatan & juga pelancong luar. Kawasan ini mulai dibuka pada kurun ke-14, mengikut citarasa senibina Turki Uthmaniyah. Ia mencapai kemuncak popularitinya pada kurun ke-16. Kawasan ini sebenarnya terdiri daripada lorong-lorong kecil di mana terdapat berpuluh-puluh buah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan termasuklah barangan cenderahati, kraftangan, pakaian, barang-barang kemas, makanan & macam-macam lagi. Daripada pemerhatian aku di sekitar kawasan Bascarsija, ramai wanita di bumi Sarajevo ini masih lagi menjaga aurat mereka dengan bertudung, tak kira yang muda mahupun yang tua. Ternyata, Islam di bumi Sarajevo ini masih lagi terpelihara. Alhamdulillah.


Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Wanita-wanita bertudung di Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Wanita-wanita bertudung di Bascarsija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Di tengah-tengah kawasan Bascarsija ini terdapat sebuah binaan kecil yang menjadi antara mercu tanda utama Sarajevo. Binaan tersebut bernama Sebilj. Ia dibina pada tahun 1891 & merupakan tempat penyimpanan air yang padanya turut terdapat kepala-kepala paip. Orang-orang awam boleh mendapatkan sumber air dari sini. Kawasan di sekitar Sebilj sering disinggahi oleh burung-burung merpati liar. Suasana sebegini menjadikan kawasan ini antara tempat tumpuan utama penduduk tempatan Sarajevo yang ingin berekreasi bersama keluarga & juga turut menjadi tempat tumpuan pelancong-pelancong dari luar. Terdapat banyak restoran & gerai makanan di sekeliling kawasan Sebilj ini.


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Burung-burung merpati liar di kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar di sekitar Sebilj, aku berjalan kaki menuju ke National Library, sebuah lagi mercu tanda utama Sarajevo. Bangunan ini dibina mengikut senibina Austia-Hungary bercampur Moorish. Ia pada mulanya berfungsi sebagai dewan bandar ini. Namun, selepas Perang Dunia Kedua, fungsinya ditukar menjadi perpustakaan yang bertujuan untuk menyimpan buku-buku & manuskrip-manuskrip berkenaan dengan Bosnia. Serangan yang dilakukan oleh tentera Republik Srpska yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Serb ke atas bangunan ini pada tahun 1992 sewaktu kehangatan Perang Bosnia telah memusnahkan hampir 90% daripada kesemua khazanah yang disimpan. Ini sekaligus telah melenyapkan tinggalan warisan & kebudayaan penduduk Bosnia yang tersimpan di sini. Kerja-kerja baik pulih telah dimulakan selepas tamatnya perang tersebut & masih lagi diusahakan sehingga kini. Walau bagaimanapun, buku-buku & manuskrip-manuskrip yang telah termusnah akibat perang masih banyak yang belum dapat diganti.


National Library, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya berjalan menuju ke lokasi yang seterusnya, iaitu Emperor’s Mosque yang dibina oleh pengasas bandar Sarajevo, iaitu Isa-Bey Ishakovic. Masjid yang asal sebenarnya dibina daripada kayu. Ia dibina pada tahun 1457 sebagai tanda penghormatan kepada Sultan Empayar Turki Uthmaniyah yang memerintah pada waktu itu, iaitu Sultan Muhammad al-Fatih. Penghormatan ini diberi atas kejayaan baginda menawan kota Constantinople yang kemudiannya ditukar namanya kepada Istanbul. Masjid tersebut kemudiannya telah terbakar & digantikan dengan masjid baru yang lebih kukuh pada tahun 1566 atas arahan Sultan Suleyman yang memerintah pada waktu itu & juga atas permintaan penduduk tempatan Sarajevo. Nasib aku kurang baik kerana masjid tersebut ditutup ketika aku berada di situ. Aku sendiri tidak pasti mengapa ia ditutup. Mungkin ia hanya akan dibuka apabila masuk waktu solat Zuhur nanti. Wallahu ‘alam.


Emperor’s Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar di luar Emperor’s Mosque, aku meneruskan ekspedisi aku ke sebuah gereja yang terletak tidak jauh dari masjid tersebut. Nama gereja tersebut ialah Franciscan Church of St. Anthony of Padua yang merupakan gereja penganut Kristian Katolik di bandar ini. Ianya dibina pada tahun 1914. Menara locengnya mempunyai ketinggian 43 meter. Aku hanya bergambar di bahagian luarnya sahaja.


Franciscan Church of St. Anthony of Padua, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Sejurus selepas itu, aku meneruskan langkah ke Latin Bridge, sebuah jambatan yang bersejarah di bandar Sarajevo yang dibina merentangi Sungai Miljacka. Jambatan ini adalah jambatan yang tertua di kota ini. Jambatan asal sebenarnya dibina daripada kayu. Kejadian banjir besar yang berlaku di sini pada tahun 1791 menyebabkan kerosakan yang teruk pada jambatan kayu tersebut. Ia kemudiannya digantikan dengan jambatan baru yang diperbuat daripada batu pada tahun 1798 & kekal sehingga ke hari ini.


Latin Bridge, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Berdekatan dengan jambatan inilah pewaris takhta Empayar Austria-Hungary, iaitu Franz Ferdinand & isterinya, Sophie telah ditembak curi oleh pemuda dari kaum etnik Serb yang bernama Gavrilo Princip pada tarikh 28 Jun 1914. Peristiwa tersebut berlaku sewaktu mereka berdua sedang diarak di sepanjang jalan di tebing sebelah kanan Sungai Miljacka dengan menaiki kereta. Peristiwa pembunuhan inilah yang menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Pertama.


Franz Ferdinand


Sophie


Gavrilo Princip


Peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie

Di lokasi pembunuhan tersebut pada masa kini terdapat sebuah muzium yang dibuka sempena memperingati peristiwa berdarah itu. Muzium ini mempamerkan kronologi peristiwa pembunuhan tersebut, termasuk gambar-gambar yang diambil sebelum, sewaktu & selepas peristiwa tersebut berlaku. Aku yang turut meminati sejarah mengambil peluang yang ada untuk masuk ke dalam muzium tersebut & mendapatkan lebih informasi tentang peristiwa yang mencetuskan Perang Dunia Pertama itu.


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Muzium memperingati peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Batu bersurat peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand & Sophie, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selesai sahaja mengambil informasi yang berguna di dalam muzium tersebut, aku berjalan kembali ke kawasan Bascarsija untuk mengamati suasana di sini yang sememangnya sibuk dengan kegiatan manusia berjual beli. Di kawasan ini juga terdapat sebuah bazaar kecil yang diberi nama Gazi Husrev Bey's Bezistan yang dibina antara tahun 1537 & 1555. Bazaar yang berbentuk segiempat tepat ini menjual beraneka jenis pakaian.


Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Gazi Husrev Bey's Bezistan, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

6 buah komen:

anjang Wednesday, November 25, 2009 at 12:35:00 AM GMT+8  

teruskan artikel ni semakin menarik dibaca. Selamat menyambut aidiladha di perantauan

Anonymous Wednesday, November 25, 2009 at 2:33:00 AM GMT+8  

suka baca tentang travel ke B&H ni, very interesting. cant wait for the next "episode".

silversarina Wednesday, November 25, 2009 at 7:01:00 AM GMT+8  

lagi baca kisah sarajevo lagi teringin nak ke sana tapi kalau tak dapat pergi pun cukup dah tulisan jhaz membawa makcik ke sana .

JHaZ KiTaRo Thursday, November 26, 2009 at 8:21:00 AM GMT+8  

anjang: insyaAllah.. selamat hari raya haji juga

joe: thanx.. jgn jemu2 baca ye.. :)

silversarina: heheh.. thanx makcik.. insyaAllah kalau ada rezeki, sampai laa nanti.. :)

siti zainon ismail Friday, November 27, 2009 at 11:52:00 AM GMT+8  

Teruskan penulisan kembara ilmu ini anakanda. Kalau ditambah dengan unsur metafora dan bayangan jiwa akan lebih menusuk.....bonda nak cadangkan tulisan ini dapat diterbitkan.....kalau balik bercuti hubungi bonda, kita boleh atur diskusi kembara budaya Islamis....dengan Balai Adat dan Warisan Negeri Selangor....' bagaimana cepat mereka mendirikan muzium sejarah mangsa perang disamping melestarikan seni bina warisan hingga menampilkan identiti bangsa , salut

Branden Wednesday, January 18, 2012 at 2:11:00 AM GMT+8  

Oh my god, there's a lot of worthwhile info here!
Climat

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP