BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XII) - SaRaJeVo III

>> Thursday, November 26, 2009



Aku seterusnya berjalan menuju ke masjid yang paling penting di seluruh Sarajevo & juga di seluruh negara Bosnia & Herzegovina, iaitu Gazi Husrev-beg Mosque untuk menunaikan solat Zuhur. Masjid ini terletak betul-betul di tengah-tengah kawasan Bascarsija. Ia merupakan antara senibina Turki Uthmaniyah yang terulung. Masjid ini dibina pada tahun 1531 atas sumbangan ihsan Gabenor Turki Uthmaniyah di wilayah Bosnia, iaitu Gazi Husrev-beg. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah. Hampir kesemua wangnya digunakan untuk membangunkan kota Sarajevo ketika bandar ini di bawah pentadbirannya. Senibina Gazi Husrev-beg Mosque ini adalah hasil rekaan arkitek agung Empayar Turki Uthmaniyah, iaitu Mimar Sinan.

Sewaktu Perang Bosnia antara tahun 1992 hingga 1996, Gazi Husrev-beg Mosque ini telah diserang oleh tentera Republik Srpska yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Serb & menyebabkan ianya mengalami kerosakan yang teruk. Usaha untuk membaik pulih semula masjid ini kemudiannya dilakukan selepas tamatnya perang tersebut dengan bantuan kewangan daripada negara luar & berjaya disiapkan pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, hampir kesemua jubin-jubin hasil kesenian Turki Uthmaniyah yang dahulunya terdapat pada dinding di ruang dalaman masjid ini telah hancur akibat perang & tidak dapat diganti semula. Dinding di ruang dalamannya kini hanya bercat putih sahaja.


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Bahagian dalam kubah Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Namun, apa yang penting bagi sesebuah masjid bukanlah kecantikannya, tetapi bilangan jemaah yang mengimarahkannya. Ternyata, penduduk Islam di Bosnia & Herzegovina masih lagi mengamalkan ajaran Islam seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Apa yang aku dapat lihat, apabila azan Zuhur berkumandang sahaja, berpusu-pusu penduduk Sarajevo bertandang ke masjid ini untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Allah SWT. Hampir penuh isi masjid tersebut ketika solat berjemaah Zuhur ditunaikan sehingga ada yang terpaksa bersolat di luar. Waktu selepas solat diisi pula dengan tazkirah. Yang membaca Al-Quran juga tidak kurang ramainya. Kagum benar aku menyaksikan semua itu. Sebelum ini aku menganggap penduduk Islam di Bosnia & Herzegovina telah lupa akan akar mereka. Anggapan aku selama ini ternyata silap sama sekali. MasyaAllah.


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Perkarangan Gazi Husrev-beg Mosque sebelum solat Zuhur, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Tazkirah selepas solat Zuhur di dalam Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Ada satu peristiwa menarik berlaku sewaktu aku berada di dalam Gazi Husrev-beg Mosque ini. Sebelum solat berjemaah Zuhur dimulakan, aku berehat-rehat dahulu di suatu sudut di dalam masjid tersebut. Sedang aku berehat-rehat, aku tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki tua tempatan. Beliau bertanya sama ada aku dari Malaysia atau Indonesia. Aku terus menjawab yang aku dari Malaysia. Kemudian, dengan tiba-tiba dia berkata ‘apa khabar’. Aku yang agak terkejut membalas dengan berkata ‘khabar baik’. Aku kaget seketika. Hahaha. Lelaki tua itu pun kemudiannya menerangkan kepada aku dalam Bahasa Inggeris bahawa dia pernah bekerja di Indonesia selama 10 tahun. Selepas mendengar penerangannya itu, barulah aku mengerti mengapa dia boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia atau Bahasa Melayu.

Aku kemudian bertanya pula kepadanya ‘bisa bicara Bahasa Indonesia dengan fasih?’. Dia lantas menjawab ‘sikit-sikit, tapi banyak sudah lupa’. Hahaha. Aku hanya ketawa sahaja selepas mendengar jawapannya itu. Terharu pula rasanya apabila dapat berjumpa dengan seorang warga Bosnia yang boleh berbahasa Melayu atau Indonesia. Lelaki tua itu kemudian menerangkan bahawa selepas solat Zuhur nanti, akan diadakan solat jenazah untuk menyembahyangkan satu jenazah yang baru sahaja meninggal dunia pagi tadi. Dia mempelawa aku untuk turut serta menyembahyangkan jenazah tersebut. Aku mengangguk tanda bersetuju menerima pelawaan itu. Beberapa saat kemudian, iqamah pun dilaungkan. Kami lantas terus beratur mengikut saf.

Selepas selesai sahaja solat Zuhur secara berjemaah dengan warga-warga Bosnia & Herzegovina di dalam masjid tersebut, aku pun turut serta dalam solat jenazah yang dilakukan kemudiannya. Selepas solat jenazah sudah ditunaikan, aku menziarahi Makam Gazi Husrev-beg yang terletak di perkarangan masjid tersebut. Malangnya, makam tersebut dikunci. Oleh itu, aku hanya dapat bergambar di luarnya sahaja.


Makam Gazi Husrev-beg, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar dengan makam tersebut, aku pun menyambung semula pengembaraan aku di kota Sarajevo. Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Cathedral of Jesus’ Heart atau lebih dikenali dengan nama Sarajevo Cathedral. Gereja ini merupakan pusat kepada penganut agama Kristian Katolik di Sarajevo. Bangunan gereja ini dibina mengikut citarasa senibina gereja Notre-Dame di Paris. Kerja-kerja pembinaan Sarajevo Cathedral ini dimulakan pada pertengahan tahun 1884 & siap dibina sepenuhnya pada pertengahan tahun 1889. Bangunan ini turut menerima impak akibat serangan tentera Republik Srpska di Sarajevo sewaktu Perang Bosnia dahulu, namun kerosakannya tidaklah terlampau teruk. Kerja-kerja membaik pulih gereja ini dilakukan selepas tamatnya perang tersebut. Gereja ini kini merupakan salah satu mercu tanda Sarajevo yang terkenal.


Sarajevo Cathedral, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Ali Pasha Mosque yang terletak agak jauh di pinggir bandar Sarajevo. Masjid yang mempunyai unsur senibina Turki Uthmaniyah ini dibina sekitar awal dekad 1560-an atas hasil wakaf daripada Hadim Ali Pasha, bekas Gabenor Empayar Turki Uthmaniyah di Budapest. Masjid ini turut mengalami kerosakan yang teruk sewaktu Perang Bosnia terutamanya bahagian kubahnya. Selepas tamatnya perang tersebut, usaha-usaha untuk membaik pulih masjid ini pun dimulakan & kini, ia merupakan antara monumen nasional negara Bosnia & Herzegovina.


Ali Pasha Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar bandar Sarajevo sambil melalui beberapa lokasi yang agak menarik seperti sebuah pusat membeli-belah, sebuah muzium, National Theatre & Congregational Church of the Holy Mother. National Theatre adalah bangunan teater yang diasaskan pada tahun 1921 & merupakan antara pusat kesenian penduduk di sini. Congregational Church of the Holy Mother pula merupakan gereja Kristian Orthodox yang terbesar di bandar ini yang merupakan pusat kepada penganut agama tersebut di sini. Ianya dibina pada tahun 1868 sewaktu pengakhiran era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di bumi Sarajevo.


Sebuah pusat membeli-belah, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Sebuah muzium, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


National Theatre, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Congregational Church of the Holy Mother, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Setelah penat berjalan-jalan, aku pun kembali semula ke hostel. Sesampainya aku di hostel tersebut, aku diberitahu oleh pemilik hostel bahawa dia terpaksa memindahkan aku ke bangunan yang lain kerana bilik-bilik di tingkat dua hostel tersebut mengalami masalah kebocoran air. Bangunan yang dimaksudkan agak jauh daripada bangunan hostel itu. Namun, aku tidak kisah. Asalkan aku mempunyai tempat untuk bermalam, itu sudah cukup bagi aku. Setelah memindahkan barang-barang aku ke bilik yang baru, aku pun berehat-rehat sementara menunggu masuknya waktu Maghrib.

Apabila waktu Maghrib sudah hampir, aku berjalan kaki menuju ke Gazi Husrev-beg Mosque untuk berjemaah dengan jemaah-jemaah di masjid itu. Selepas selesai solat Maghrib, aku keluar untuk menikmati suasana malam di Sarajevo, sambil menunggu waktu Isyak pula. Aku bergambar dengan beberapa monumen penting di Sarajevo seperti masjid tersebut, kawasan sekitar Sebilj & Emperor’s Mosque. Setelah itu, aku kembali ke Gazi Husrev-beg Mosque untuk menunaikan solat Isyak pula. Selesai sahaja solat Isyak, aku kembali semula ke hostel untuk merehatkan badan.


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Gazi Husrev-beg Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Kawasan sekitar Sebilj, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Emperor's Mosque, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

5 buah komen:

mYpRecious Thursday, November 26, 2009 at 9:52:00 AM GMT+8  

seme entry dekat bosnia adelah sgt menarik dan penuh info.. thanks for sharing..

nanti sambung lagi citer ur journey k..

intan.dayana Thursday, November 26, 2009 at 12:23:00 PM GMT+8  

best nye dpt jalan2.tringin jugak nk pg bOsnia. :)

muhaimin sulam Thursday, November 26, 2009 at 6:19:00 PM GMT+8  

Drama aku sudah melakar Sarajevo.
Tapi kaki aku masih belum menyentuh
bumi shahadah Eropah.

JHaZKiTaRo Saturday, November 28, 2009 at 8:48:00 AM GMT+8  

myprecious: thanx sudi baca.. sama2.. insyaAllah akan disambung..

intan.diyana: Alhamdulillah. InsyaAllah satu hari nanti u pun akan sampai sana

muhaimin sulam: insyaAllah satu hari nanti anta pun akan dpt jejakkan kaki ke sana..

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 10:21:00 AM GMT+8  

xanax 0.5mg xanax bars effects - generic xanax pictures

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP