Showing posts with label Bulgaria. Show all posts
Showing posts with label Bulgaria. Show all posts

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXV) - SoFia II

>> Monday, February 15, 2010



Selepas bergambar dengan Sveta Nedelya Cathedral, aku meneruskan perjalanan aku ke President’s Building yang merupakan kediaman rasmi Presiden Bulgaria. Aku hanya sekadar bergambar di hadapannya sahaja. Berhampiran dengannya, terletak sebuah gereja kecil bernama Church of St George. Gereja ini diperbuat daripada bata-bata merah yang dibina oleh penganut-penganut awal ajaran Kristian sewaktu pemerintahan Empayar Rom di bumi Sofia. Ianya dipercayai sebagai bangunan tertua yang masih wujud di kota ini. Sewaktu pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di Sofia, gereja ini ditukar fungsinya menjadi masjid & segala fresco yang terdapat di dalamnya ditampal. Selepas kemerdekaan Bulgaria, tampalan yang dibuat di atas fresco-fresco tersebut dikikis semula untuk dipamerkan.


President’s Building, Sofia, Bulgaria


Church of St George, Sofia, Bulgaria

Aku kemudiannya mengorak langkah menuju ke Aleksander Nevski Church. Dalam perjalanan ke gereja itu, aku singgah di Ethnographical Museum untuk bergambar di hadapannya. Aku kurang pasti mengenai sejarah bangunan itu. Kemudian, aku berhenti pula di hadapan St Nikolai Russian Church. Gereja kecil ini adalah kepunyaan komuniti penganut ajaran Kristian Russian Orthodox di bumi Sofia. Gereja ini sebenarnya dibina di atas tapak Saray Mosque yang telah dirobohkan pada tahun 1882, sewaktu pendudukan Empayar Russia di Bulgaria. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1907, setahun sebelum kemerdekaan Bulgaria & ia siap sepenuhnya pada tahun 1914. Ia dibina sebagai membalas jasa Empayar Russia yang telah membantu Bulgaria mendapatkan kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Nama gereja ini diambil bersempena dengan nama Tsar Russia yang memerintah sewaktu gereja ini dibina, iaitu Nicholas II. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Bulgaria, gereja ini masih tetap dibuka. Walau bagaimanapun, paderi-paderinya sentiasa diawasi. Gereja ini mempunyai 5 buah kubah yang disalut emas. Itulah yang menjadi daya tarikannya.


Ethnographical Museum, Sofia, Bulgaria


St Nikolai Russian Church, Sofia, Bulgaria

Selepas itu, aku singgah pula di Tsar Osvoboditel Statue, sebuah monumen patung berkuda yang terletak di tengah-tengah sebuah dataran di Tsar Osvoboditel Boulevard. Monumen patung ini dibina sebagai memberi penghormatan kepada Tsar Russia yang bernama Alexander II atas jasanya membantu membebaskan Bulgaria daripada jajahan Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Monumen patung ini siap dibina & diletakkan di lokasinya pada tahun 1903. Ianya dirasmikan oleh Raja Bulgaria pada waktu itu, iaitu Ferdinand I.


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria

Kemudiannya, barulah aku tiba di Aleksander Nevski Church. Gereja ini adalah sebuah gereja Orthodox yang bercirikan senibina Byzantine. Bentuknya seakan-akan Hagia Sophia di Istanbul, cuma saiznya lebih kecil. Gereja ini adalah antara gereja Orthodox yang terbesar di dunia & merupakan mercu tanda utama Sofia yang menjadi tumpuan utama para pelancong. Ianya boleh memuatkan seramai 5,000 orang pada satu masa. Kubahnya yang paling besar disalut dengan emas & mempunyai ketinggian 45 meter dari paras permukaan bumi. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1882 & siap sepenuhnya pada tahun 1912. Ia dibina sebagai memberi penghormatan kepada tentera Empayar Russia yang telah berjuang memerangi tentera Empayar Turki Uthmaniyah yang akhirnya berjaya membebaskan Bulgaria daripada penjajahan Empayar Turki Uthmaniyah.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku berjalan menuju ke National Palace of Culture yang terletak berdekatan dengan Yuzhen Park. National Palace of Culture ini atau nama singkatannya, NDK adalah bangunan serbaguna yang terbesar di rantau Balkan. Bangunan ini mempunyai 13 buah dewan. Ianya digunakan untuk perjumpaan rasmi, kongres, konvensyen & pameran. Festival Filem Sofia juga turut diadakan di sini. National Palace of Culture ini dibuka pada tahun 1981. Pada tahun 2005, ia dianugerahkan sebagai pusat kongres terbaik dunia oleh International Organisation of Congress Centres.


National Palace of Culture, Sofia, Bulgaria

Selepas melawat National Palace of Culture, aku singgah di sebuah gerai yang menjual pizza dengan harga yang amat murah. Aku membeli pizza tomato & keju kerana itu sahaja yang halal untuk dimakan. Saiz pizza tersebut amat berbaloi dengan harganya. Selepas makan, aku kembali semula ke hostel untuk solat & berehat-rehat. Apabila malam sudah menjelma, aku menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak. Kemudian, aku keluar untuk menikmati suasana malam di Sofia yang sememangnya cantik di bawah sinaran bulan. Aku sempat bergambar di beberapa monumen penting di sini. Selepas puas menikmati keindahan malam di kota ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk melelapkan mata.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXIV) - SoFia I

>> Saturday, February 13, 2010



Sofia terletak di kaki Gunung Vitosha & merupakan ibu negara & bandar terbesar di Bulgaria. Penduduknya berjumlah 1,400,00 orang. Sofia pada zaman dahulunya diduduki oleh orang-orang Thracia. Seterusnya, kota ini menerima kedatangan Odrysi yang menubuhkan kerajaan di sini sekitar tahun 500 SM. Kemudian, sewaktu kurun ke-4 SM, Sofia bernaung di bawah pemerintahan Philip II of Macedon & anaknya, Alexander the Great. Selepas itu, Empayar Rom berjaya menawan kota ini pada tahun 29 SM.

Selepas runtuhnya Empayar Rom, pentadbiran Sofia diambil alih oleh Empayar Byzantine. Sofia memainkan peranan sebagai pusat kegiatan politik & ekonomi yang penting sewaktu ia berada di bawah jajahan Empayar Rom & Empayar Byzantine. Pembangunannya amat pesat dengan terbinanya bangunan-bangunan seperti rumah-rumah mandi, bangunan-bangunan pentadbiran, gereja-gereja & banyak lagi infrastruktur awam.

Walau bagaimanapun, pada tahun 447, kota ini musnah akibat diserang oleh orang-orang Hun. Namun, ia berjaya dibangunkan semula oleh Maharaja Byzantine yang bernama Justinian selepas kota ini ditawan semula oleh empayar tersebut. Pada tahun 809, Sofia berjaya dirampas oleh Empayar Bulgaria Pertama. Walau bagaimanapun, Empayar Byzantine berjaya mengambil alih semula kota ini pada tahun 1018, selepas kejatuhan Empayar Bulgaria Pertama. Akan tetapi, setelah Empayar Bulgaria Kedua ditubuhkan, Sofia berjaya dirampas semula dari Empayar Byzantine.

Pada tahun 1382, Sofia akhirnya jatuh ke tangan Empayar Turki Uthmaniyah & terus berada di bawah pemerintahan empayar tersebut sehingga ke tahun 1878 apabila ianya ditawan oleh Empayar Russia. Seterusnya, apabila Bulgaria berjaya mendapat kemerdekaan penuh daripada Empayar Turki Uthmaniyah, Sofia dijadikan ibu kotanya. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Sofia telah dibom oleh tentera Pakatan Berikat & kemudiannya ditawan oleh tentera Soviet Union. Selepas tamatnya perang tersebut, bermulalah era Sofia sebagai ibu kota kepada Republik Bulgaria yang berhaluan Komunis sehinggalah ke zaman kejatuhan Komunis pada tahun 1989.


Peta kedudukan Sofia di dalam Bulgaria

Lokasi pertama di Sofia yang aku jejaki selepas keluar dari hostel ialah stesen bas Sofia. Tujuan aku ke stesen bas tersebut adalah untuk membeli tiket bas untuk ke Skopje, Macedonia pada pagi esok. Stesen bas itu terletak bersebelahan dengan stesen keretapi. Selesai sahaja membeli tiket, aku terus berjalan menuju ke restoran McDonald’s untuk bersarapan pagi. Setelah kenyang, aku mengatur langkah ke Banya Bashi Mosque yang terletak betul-betul di hadapan restoran tersebut. Banya Bashi Mosque merupakan masjid yang terpenting di Sofia & antara masjid yang tertua di benua Eropah. Masjid ini dibina sekitar tahun 1576, sewaktu Sofia berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Ia dibina mengikut citarasa senibina Turki Uthmaniyah. Ianya masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. Oleh itu, aku menggunakan kesempatan yang ada untuk mengamati keindahan luaran & dalaman masjid tinggalan Empayar Turki Uthmaniyah di bumi Sofia ini. Senibinanya amat sama seperti senibina masjid-masjid di Istanbul. Begitu cantik sekali.


Restoran McDonald's di Sofia, Bulgaria


Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria

Bersebelahan dengan Banya Bashi Mosque, terletak bangunan Public Mineral Baths yang berfungsi sebagai tempat mandi awam. Ianya adalah antara mercu tanda utama Sofia. Bangunan ini dibina sekitar awal kurun ke-20 & dibuka kepada orang ramai sehingga tahun 1986. Ia mulai ditutup pada tahun 1986 atas faktor kebersihan. Di ruang di antara Banya Bashi Mosque & Public Mineral Baths, terdapat kawasan air mata air yang sehingga kini masih lagi digunakan oleh penduduk tempatan.


Public Mineral Baths, Sofia, Bulgaria


Kawasan air mata air, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku bergerak menuju ke Sofia Synagogue, sinagog yang terbesar di rantau Balkan & antara yang terbesar di benua Eropah. Ia juga adalah salah satu daripada 2 buah sinagog yang masih lagi berfungsi di bumi Bulgaria. Sinagog ini dibina pada tahun 1909, sewaktu pemerintahan Ferdinand I. Ianya boleh memuatkan seramai 1,300 orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini, sinagog ini hanya dihadiri oleh 50-60 orang penganut Yahudi sahaja pada sesuatu masa kerana ramai antara mereka telah berhijrah ke tanah haram Israel & tidak kurang juga yang sudah berfahaman sekular. Mulai tahun 1992, sinagog ini turut berfungsi sebagai muzium yang menceritakan kisah-kisah penduduk Yahudi di Bulgaria & juga peristiwa Holocaust yang menimpa mereka.


Sofia Synagogue, Sofia, Bulgaria

Aku kemudiannya menuju ke Party House, bangunan yang bercirikan senibina Soviet yang dibina pada tahun 1950-an, sewaktu era pemerintahan Komunis di Bulgaria. Bangunan ini merupakan ibu pejabat kepada Parti Komunis pada waktu itu. Pada masa kini, bangunan ini berfungsi sebagai pejabat kerajaan.


Party House, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku ke Sveta Nedelya Cathedral, antara gereja Orthodox yang terpenting di Sofia. Gereja ini pada mulanya diperbuat daripada kayu & dibina pada kurun ke-10. Ia kemudiannya diganti dengan binaan konkrit mulai tahun 1856 & siap sepenuhnya pada tahun 1867. Bangunan gereja ini kemudiannya diubahsuai lagi pada tahun 1898 dengan tambahan kubah-kubah baru. Pada tahun 1925, gereja ini telah diletupkan oleh pengganas Komunis & telah mengorbankan seramai 150 nyawa. Ia kemudiannya dibaik pulih sekali lagi pada tahun 1927 & siap sepenuhnya 4 tahun kemudian. Ianya kekal berbentuk sedemikian rupa sehingga ke hari ini.


Sveta Nedelya Cathedral, Sofia, Bulgaria


Ruang dalaman Sveta Nedelya Cathedral, Sofia, Bulgaria

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXIII) - BuLGaRia

>> Friday, February 12, 2010



Hari 11: 21 MEI 2008

Lebih kurang pukul 6.05 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Sofia. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku perhatikan kesemua papan tanda yang terdapat di dalamnya ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Cuma ada beberapa papan tanda sahaja yang dipadankan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang menggunakan huruf-huruf Rumi. Negara Bulgaria, sama seperti Russia, Serbia, Montenegro, Macedonia & beberapa buah lagi negara Eropah Timur & juga Asia Tengah menggunakan huruf-huruf Cyrillic dalam sistem tulisan bahasa mereka. Bulgaria adalah negara pertama yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic yang aku jejaki. Mujurlah aku sudah pun belajar mengenali huruf-huruf Cyrillic sebelum aku tiba di Bulgaria. Ianya tidaklah sesusah mana. Tulisan Cyrillic ini sebenarnya lahir di bumi Bulgaria pada akhir kurun ke-9.


Peta menunjukkan negara-negara yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic


Huruf-huruf Cyrillic dipadankan dengan sebutannya dengan menggunakan huruf-huruf Rumi


Contoh papan tanda berhuruf Cyrillic

Aku kemudiannya melangkah keluar dari stesen keretapi itu untuk mencari lokasi hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Seperti yang aku jangkakan, kesemua nama jalan di bandar Sofia ini ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Pelancong-pelancong yang tidak tahu membaca dengan menggunakan huruf-huruf tersebut, pasti akan menghadapi masalah besar. Aku sekali lagi berasa bersyukur kerana telah belajar mengenali huruf-huruf tersebut. Aku akhirnya berjaya menjumpai hostel yang aku cari walaupun lokasinya agak tersorok. Pemilik hostel tersebut adalah seorang yang agak peramah. Aku memberitahunya bahawa aku adalah pelajar perubatan di Dublin. Dia kemudian dengan gembiranya memberitahu aku bahawa ayahnya adalah seorang doktor. Akan tetapi, ayahnya telah lama bersara. Seketika kemudian, ayahnya tiba-tiba sahaja muncul. Aku berkesempatan untuk berbual-bual dengan orang tua itu yang sama peramah seperti anaknya.

Selepas berbual-bual, aku dibawa ke bilik tumpangan aku. Aku kemudiannya berehat-rehat sebentar untuk menghilangkan penat. Setelah hilang penat, aku pun membersihkan diri & bersiap-siap untuk keluar. Apabila sudah bersedia, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Sofia, Bulgaria.

Bulgaria adalah negara ke-5 yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan ini. Negara ini disempadani oleh Romania di bahagian utara yang dipisahkan oleh Sungai Danube, Serbia & Macedonia di bahagian barat & Greece & Turki di bahagian selatan. Bahagian timur negara ini pula adalah persisiran pantai Laut Hitam. Bulgaria adalah salah sebuah negara anggota Kesatuan Eropah. Penduduk negara ini berjumlah 7,600,000 orang. 84% daripadanya adalah daripada bangsa Bulgaria yang menganut ajaran Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah bangsa Turki yang beragama Islam, bangsa Roma (Gypsy) & bangsa-bangsa minoriti yang lain. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Bulgaria yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic. Bulgaria mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan ialah Lev. 1.00 Euro bersamaan dengan 2.00 Lev. Sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.40 Lev.


Peta kedudukan Bulgaria di dalam Eropah


Peta Bulgaria


Bendera Bulgaria

Menurut sejarah, orang-orang bangsa Thracia adalah antara penghuni terawal di bumi Bulgaria. Mereka disatukan pada tahun 500SM di bawah pemerintahan kerajaan Odrysian yang kemudiannya bernaung di bawah Empayar Macedonia yang dipimpin oleh Philip II of Macedon & anaknya, Alexander The Great. Pada tahun 188 SM, tentera Empayar Rom telah mencerobohi tanah orang-orang Thracia di Bulgaria. Empayar tersebut akhirnya berjaya menawan bumi Bulgaria pada tahun 45 M. Percampuran kebudayaan Thracia & Rom kemudiannya mulai berlaku sejak itu. Pada kurun ke-4, orang-orang Thracia di Bulgaria ini memeluk agama Kristian, sejajar dengan pemerintah & seluruh rakyat Empayar Rom.

Orang-orang bangsa Slav dari Asia Tengah mulai berhijrah secara beramai-ramai ke bumi Bulgaria pada kurun ke-6. Mereka kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Bulgar. Empayar Bulgaria Pertama ditubuhkan oleh mereka pada tahun 632. Ibu kotanya bertukar-tukar. Terdapat 4 buah bandar yang pernah dijadikan ibu kota empayar tersebut, iaitu Pliska, Preslav, Skopje & Ohrid. Sekitar tahun 717 & 718, Empayar Bulgaria Pertama telah membantu jirannya, Empayar Byzantine untuk mengalahkan tentera Arab yang cuba menawan Constantinople & usaha mereka menemui kejayaan.

Mulai tahun 864, rakyat Empayar Bulgaria Pertama telah mula menganuti agama Kristian Orthodox sewaktu di bawah pemerintahan Boris I. Huruf-huruf Cyrillic juga mula diperkenalkan sewaktu era pemerintahannya. Empayar tersebut kemudiannya menjadi salah sebuah empayar terhebat di benua Eropah sekitar kurun ke-9 & 10. Walau bagaimanapun, empayar ini terpaksa berebut dengan Empayar Byzantine untuk menguasai wilayah-wilayah jajahan di rantau Balkan. Empayar Bulgaria Pertama seterusnya mengecapi puncak kegemilangannya sewaktu di bawah pemerintahan Simeon The Great. Namun, empayar ini lama-kelamaan mula menjadi lemah akibat peperangan dengan Croatia & juga pencerobohan orang-orang Magyar. Akhirnya, Empayar Bulgaria Pertama ini runtuh pada tahun 971. Empayar Byzantine mengambil peluang yang ada dengan menawan kesemua wilayah jajahan Empayar Bulgaria Pertama. Sejak dari tahun itu, Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine.


Peta Empayar Bulgaria Pertama

Pemerintahan Empayar Byzantine di bumi Bulgaria berakhir pada tahun 1185, apabila Empayar Bulgaria Kedua berjaya dibentuk. Maharajanya yang pertama ialah Peter IV. Ibu kotanya pula ialah Veliko Ternovo. Sejak dari penubuhannya, empayar ini semakin hari menjadi semakin kuat. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1257, Empayar Bulgaria Kedua ini menjadi semakin lemah akibat serangan dari orang-orang Tatar, Byzantine, Hungary & Turki Uthmaniyah. Ia juga mengalami masalah konflik dalaman. Akhirnya, pada tahun 1393, ibu kotanya iaitu Veliko Ternovo telah berjaya ditawan oleh tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Secara tidak langsung, seluruh tanah Bulgaria juga jatuh ke tangan empayar tersebut. Sejak dari tahun itulah ramai penduduk Bulgaria mula memeluk agama Islam.


Peta Empayar Bulgaria Kedua

Pada tahun 1876, setelah hampir 500 tahun Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, berlaku satu rusuhan besar yang memperjuangkan kemerdekaan Bulgaria. Rusuhan tersebut bagaimanapun berjaya dipatahkan. Namun, pada tahun 1908, Bulgaria akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan penuh daripada Empayar Turki Uthmaniyah dengan bantuan daripada Empayar Russia & Romania. Ferdinand I merupakan raja yang memerintah wilayah Bulgaria pada waktu itu. Baginda ditabalkan sebagai Raja Bulgaria yang pertama selepas kemerdekaan Bulgaria daripada Empayar Turki Uthmaniyah.

Bulgaria seterusnya menyertai beberapa siri peperangan seperti Perang Balkan, Perang Dunia Pertama & Perang Dunia Kedua. Sewaktu Perang Dunia Pertama & Kedua, Bulgaria bersekutu dengan Jerman & mengalami kekalahan dalam kedua-dua perang tersebut. Pada tahun 1944, Soviet Union telah menceroboh Bulgaria. Seterusnya, pada tahun 1946, Republik Bulgaria yang berhaluan Komunis telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, republik berhaluan Komunis itu akhirnya menemui kehancuran pada tahun 1989, sama seperti negara-negara Komunis di Eropah Timur yang lain, termasuklah Soviet Union sendiri yang merupakan pengasasnya. Seterusnya, barulah Republik Bulgaria seperti yang wujud pada hari ini ditubuhkan.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG II) - PRoLoGue II

>> Saturday, October 03, 2009



Aku sebenarnya baru sahaja selesai menempuhi peperiksaan akhir sebagai pelajar Tahun Akhir Perubatan di University College Dublin, Ireland. Keputusan peperiksaan sudah pun keluar beberapa hari lalu. Nasib tidak menyebelahi aku. Aku tidak dapat bergraduasi bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas yang lain kerana aku gagal dalam beberapa modul yang diambil. Aku benar-benar sedih. Aku kecewa kerana telah menghancurkan harapan keluarga & sahabat-sahabat aku yang lain. Kedua-dua mak & abah aku bersama-sama dengan adik lelaki aku akan datang ke Dublin pada akhir bulan Mei ini untuk menghadiri upacara graduasi yang bakal berlangsung pada awal bulan Jun nanti. Malangnya, aku terpaksa menghampakan mereka bertiga. Aku akan hanya membawa mereka bersiar-siar sahaja di Ireland tanpa menghadiri upacara graduasi aku.

Hati aku sedikit terubat apabila memikirkan tentang trip aku ke rantau Balkan kelak. Pada mulanya, aku berasa ingin sahaja membatalkan trip aku ini. Akan tetapi, aku akhirnya sedar bahawa peluang untuk ke bumi Balkan bukannya selalu datang. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang ada untuk aku berkunjung ke sana. Lagipun, aku sudah lama membuat perancangan untuk ke sana. Tiket-tiket penerbangan & pas keretapi Inter Rail pun sudah dibeli. Aku akhirnya terpaksa menggagahkan diri juga untuk ke sana walaupun hati aku masih terluka dengan kegagalan aku. Mungkin pengembaraan aku di bumi Balkan kelak sedikit sebanyak dapat mengubat kelukaan aku.

Aku sekali lagi mengembara seorang diri kerana tiada sesiapa antara rakan sekelas aku yang berminat untuk ke bumi Balkan. Lagipun, mereka masing-masing mempunyai perancangan tersendiri sementara menunggu upacara graduasi yang bakal berlangsung sebulan lagi. Junior-junior aku ada juga yang berminat untuk ke Balkan. Tetapi, pada waktu ini, mereka semua sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan mereka yang akan menjelang tidak lama lagi. Oleh disebabkan itulah aku akhirnya mengambil keputusan untuk mengembara seorang diri sahaja. Seperti yang telah aku katakan, peluang sebegini bukannya selalu datang. Hendak seribu daya, taknak seribu dalih.

Pengembaraan aku di rantau Balkan bermula pada tarikh 11 Mei 2008 & berakhir pada tarikh 28 Mei 2008, iaitu selama lebih kurang 18 hari lamanya. Ia merupakan pengembaraan solo yang paling lama dalam sejarah hidup aku. Mujurlah semuanya berjalan dengan lancar tanpa masalah-masalah yang serius. Aku menjejakkan kaki di 7 buah negara. Negara-negara tersebut & bandar-bandar yang aku kunjungi ialah Croatia (Dubrovnik & Zagreb), Bosnia & Herzegovina (Mostar & Sarajevo), Slovenia (Lubljana), Romania (Bucharest, Brasov & Bran), Bulgaria (Sofia), Macedonia (Skopje & Ohrid) & Turki (Istanbul).


Peta negara-negara Balkan yang aku kunjungi


Peta bandar-bandar di rantau Balkan yang aku jejaki

Aku tidak ke Serbia, Montenegro & Albania kerana warganegara Malaysia yang hendak memasuki ketiga-tiga negara tersebut perlu memohon visa terlebih dahulu. Malangnya, di Ireland tidak terdapat pula kedutaan ketiga-tiga negara tersebut. Oleh itu, aku terpaksa mengabaikan ketiga-tiganya walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Kosovo yang baru sahaja mendapat kemerdekaan daripada Serbia pula sedang mengalami kekacauan politik. Oleh itu, aku memilih langkah selamat dengan tidak memasuki negara tersebut. Sementara Greece pula telah pun aku jejaki 2 tahun yang lepas.

Aku hanya mengenakan pakaian yang nipis & memakai sandal sahaja kerana cuaca di negara-negara tersebut panas & kering pada sewaktu Musim Panas. Aku bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain dengan menaiki keretapi. Untuk menjimatkan kos, aku telah membeli tiket Interrail Pass untuk 10 hari bukan berturut-turut dalam jangka masa 22 hari. Tiket ini membolehkan aku menaiki keretapi di seluruh benua Eropah tanpa batasan untuk 10 hari dalam tempoh masa 22 hari. Banyak wang boleh dijimatkan dengan menggunakan tiket tersebut. Tentang penginapan pula, aku bermalam di hostel-hostel yang aku rujuk di dalam buku ‘Eastern Europe’ keluaran Lonely Planet yang menjadi satu-satunya buku rujukan aku sepanjang pengembaraan aku di bumi Balkan ini.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG I) - PRoLoGue I

>> Wednesday, September 30, 2009



Balkan adalah sebuah semenanjung yang terletak di bahagian tenggara benua Eropah. Di sini terletak beberapa buah negara seperti Albania, Bosnia & Herzegovina, Bulgaria, Greece, Kosovo, Macedonia, Montenegro, Croatia, Serbia, Slovenia, Romania & Turki. Nama Balkan diambil bersempena dengan nama Pergununan Balkan yang terletak di tengah-tengah semenanjung ini. Keluasan semenanjung ini menjangkaui 550,000 kilometer persegi & dihuni oleh seramai 55 juta orang penduduk. Semenanjung ini dikelilingi oleh Laut Adriatik di bahagian baratnya, Laut Mediterranean, Laut Ionian & Laut Aegean di bahagian selatannya & Laut Hitam di bahagian timurnya. Bahagian utaranya pula disempadani oleh sungai-sungai seperti Sungai Danube, Sungai Sava & Sungai Kupa.


Peta kedudukan Semenanjung Balkan di dalam benua Eropah


Peta negara-negara di Semenanjung Balkan

Hampir keseluruhan bentuk muka bumi semenanjung Balkan dipenuhi dengan kawasan bukit-bukau. Iklimnya pula berbeza antara kawasan persisiran pantai & kawasan pedalaman. Kawasan persisiran pantai mengalami iklim Mediterranean yang panas & kering pada Musim Panas & sederhana sejuk & lembap pada Musim Sejuk. Kawasan pedalaman pula beriklim kebenuaan yang bertentangan dengan iklim Mediterranean. Tanaman yang paling kebiasaannya ditanam di semenanjung ini adalah zaitun & anggur.

Menurut sejarah, rantau Balkan adalah kawasan pertama di benua Eropah yang mengamalkan aktiviti pertanian, iaitu sejak Zaman Neolitik lagi kerana kesuburan tanahnya & iklimnya yang sesuai untuk bercucuk tanam. Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di persimpangan benua Eropah & Asia, rantau Balkan juga kaya dengan sejarah peradaban manusia. Rantau ini pernah menjadi tempat pertembungan tamadun Latin & Greek, tempat pertembungan agama Kristian Mazhab Katholik & agama Kristian Mazhab Orthodox & juga tempat pertembungan Kristian & Islam.

Sewaktu zaman pre-klasikal, rantau Balkan diduduki oleh orang-orang Greek, Illyrian, Paeonian, Thracian, Dacian & pelbagai kumpulan lagi. Empayar Rom kemudiannya menakluki rantau ini & menyebarkan kebudayaan Rom & Bahasa Latin di sini. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada rantau ini masih teguh mengamalkan kebudayaan Greek. Beberapa ratus tahun kemudian, sewaktu Zaman Pertengahan, rantau ini menjadi medan peperangan antara Empayar Byzantine, Bulgaria & Serbia.

Apabila Empayar Turki Uthmaniyah mulai bangkit pada kurun ke-14 & 15, hampir seluruh rantau Balkan ditakluki oleh empayar tersebut. Penaklukannya boleh dikatakan memberi impak yang paling besar dalam sejarah rantau ini. Impak terbesar adalah penyebaran agama Islam. Pada masa kini, agama Islam adalah agama yang ke-2 terbesar di rantau ini selepas agama Kristian. Majoriti penduduk negara Albania, Kosovo & Bosnia & Herzegovina adalah penganut agama Islam. Penganut agama Islam juga ramai terdapat di negara Bulgaria, Macedonia & Montenegro.


Peta Empayar Turki Uthmaniyah

Pada awal kurun ke-19, Greece, Serbia, Montenegro & Bulgaria mendapat kemerdekaan daripada Empayar Uthmaniyah. Pada tahun 1912-1913, berlaku pula Perang Balkan yang melibatkan empayar tersebut dengan Serbia, Montenegro, Greece, Romania & Bulgaria. Tidak berapa lama kemudian, iaitu pada tahun 1914, berlaku pula Perang Dunia Pertama yang tercetus akibat pembunuhan Franz Ferdinand, waris kepada takhta Empayar Austria-Hungary. Pembunuhan tersebut berlaku di Sarajevo, Bosnia & Herzegovina. Empayar Turki Uthmaniyah bersekutu dengan Empayar Austria-Hungary, Empayar Jerman & Kerajaan Bulgaria di bawah payung Kuasa Tengah yang menentang Kuasa Berikat yang terdiri daripada Belgium, Serbia, Perancis, Empayar Russia, Empayar British, Itali, Romania & Amerika Syarikat. Peperangan ini akhirnya menyaksikan kekalahan Kuasa Tengah. Kekalahan ini seterusnya menamatkan riwayat Empayar Austria-Hungary & Empayar Turki Uthmaniyah. Tanah-tanah jajahan Empayar Turki Uthmaniyah kemudian diserahkan kepada Empayar British & Perancis.


Peta benua Eropah sewaktu Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Kedua yang berlaku pada pertengahan kurun ke-20 juga memberi impak yang besar kepada rantau Balkan. Pengaruh Soviet Union & Komunisma mulai meresap masuk ke rantau ini selepas tamatnya perang tersebut. Hampir kesemua negara di rantau ini mulai ditadbir oleh kerajaan komunis yang disokong oleh Soviet Union. Hanya Greece & Turki sahaja yang terkecuali.


Peta negara-negara Eropah yang di bawah pengaruh Komunisma

Awal dekad 1990-an menyaksikan kejatuhan pengaruh komunis di rantau ini selepas jatuhnya Soviet Union pada tahun 1989. Negara komunis yang kuat iaitu Yugoslavia akhirnya berpecah menjadi beberapa buah negara, iaitu Serbia & Montenegro, Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia & Macedonia. Perang Bosnia yang berlaku dari tahun 1992 hingga 1995 kemudiannya telah meragut berjuta nyawa umat Islam daripada kaum etnik Bosniak yang tidak berdosa. Sehingga kini, rantau Balkan ini masih belum aman. Contohnya, status Kosovo yang baru sahaja mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Serbia masih lagi menjadi pertikaian antara negara tersebut & Serbia sehingga kini.


Peta perpecahan Yugoslavia

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP