BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG II) - PRoLoGue II

>> Saturday, October 03, 2009



Aku sebenarnya baru sahaja selesai menempuhi peperiksaan akhir sebagai pelajar Tahun Akhir Perubatan di University College Dublin, Ireland. Keputusan peperiksaan sudah pun keluar beberapa hari lalu. Nasib tidak menyebelahi aku. Aku tidak dapat bergraduasi bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas yang lain kerana aku gagal dalam beberapa modul yang diambil. Aku benar-benar sedih. Aku kecewa kerana telah menghancurkan harapan keluarga & sahabat-sahabat aku yang lain. Kedua-dua mak & abah aku bersama-sama dengan adik lelaki aku akan datang ke Dublin pada akhir bulan Mei ini untuk menghadiri upacara graduasi yang bakal berlangsung pada awal bulan Jun nanti. Malangnya, aku terpaksa menghampakan mereka bertiga. Aku akan hanya membawa mereka bersiar-siar sahaja di Ireland tanpa menghadiri upacara graduasi aku.

Hati aku sedikit terubat apabila memikirkan tentang trip aku ke rantau Balkan kelak. Pada mulanya, aku berasa ingin sahaja membatalkan trip aku ini. Akan tetapi, aku akhirnya sedar bahawa peluang untuk ke bumi Balkan bukannya selalu datang. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang ada untuk aku berkunjung ke sana. Lagipun, aku sudah lama membuat perancangan untuk ke sana. Tiket-tiket penerbangan & pas keretapi Inter Rail pun sudah dibeli. Aku akhirnya terpaksa menggagahkan diri juga untuk ke sana walaupun hati aku masih terluka dengan kegagalan aku. Mungkin pengembaraan aku di bumi Balkan kelak sedikit sebanyak dapat mengubat kelukaan aku.

Aku sekali lagi mengembara seorang diri kerana tiada sesiapa antara rakan sekelas aku yang berminat untuk ke bumi Balkan. Lagipun, mereka masing-masing mempunyai perancangan tersendiri sementara menunggu upacara graduasi yang bakal berlangsung sebulan lagi. Junior-junior aku ada juga yang berminat untuk ke Balkan. Tetapi, pada waktu ini, mereka semua sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan mereka yang akan menjelang tidak lama lagi. Oleh disebabkan itulah aku akhirnya mengambil keputusan untuk mengembara seorang diri sahaja. Seperti yang telah aku katakan, peluang sebegini bukannya selalu datang. Hendak seribu daya, taknak seribu dalih.

Pengembaraan aku di rantau Balkan bermula pada tarikh 11 Mei 2008 & berakhir pada tarikh 28 Mei 2008, iaitu selama lebih kurang 18 hari lamanya. Ia merupakan pengembaraan solo yang paling lama dalam sejarah hidup aku. Mujurlah semuanya berjalan dengan lancar tanpa masalah-masalah yang serius. Aku menjejakkan kaki di 7 buah negara. Negara-negara tersebut & bandar-bandar yang aku kunjungi ialah Croatia (Dubrovnik & Zagreb), Bosnia & Herzegovina (Mostar & Sarajevo), Slovenia (Lubljana), Romania (Bucharest, Brasov & Bran), Bulgaria (Sofia), Macedonia (Skopje & Ohrid) & Turki (Istanbul).


Peta negara-negara Balkan yang aku kunjungi


Peta bandar-bandar di rantau Balkan yang aku jejaki

Aku tidak ke Serbia, Montenegro & Albania kerana warganegara Malaysia yang hendak memasuki ketiga-tiga negara tersebut perlu memohon visa terlebih dahulu. Malangnya, di Ireland tidak terdapat pula kedutaan ketiga-tiga negara tersebut. Oleh itu, aku terpaksa mengabaikan ketiga-tiganya walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Kosovo yang baru sahaja mendapat kemerdekaan daripada Serbia pula sedang mengalami kekacauan politik. Oleh itu, aku memilih langkah selamat dengan tidak memasuki negara tersebut. Sementara Greece pula telah pun aku jejaki 2 tahun yang lepas.

Aku hanya mengenakan pakaian yang nipis & memakai sandal sahaja kerana cuaca di negara-negara tersebut panas & kering pada sewaktu Musim Panas. Aku bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain dengan menaiki keretapi. Untuk menjimatkan kos, aku telah membeli tiket Interrail Pass untuk 10 hari bukan berturut-turut dalam jangka masa 22 hari. Tiket ini membolehkan aku menaiki keretapi di seluruh benua Eropah tanpa batasan untuk 10 hari dalam tempoh masa 22 hari. Banyak wang boleh dijimatkan dengan menggunakan tiket tersebut. Tentang penginapan pula, aku bermalam di hostel-hostel yang aku rujuk di dalam buku ‘Eastern Europe’ keluaran Lonely Planet yang menjadi satu-satunya buku rujukan aku sepanjang pengembaraan aku di bumi Balkan ini.

Bersambung...

2 buah komen:

drzeze Saturday, October 3, 2009 at 8:32:00 PM GMT+8  

salam anak rantau..
selamat merantau ..dan jangan give up..setiap kegagalan ada hikmahnya.kadang-kadang menjadikan kita lebih kuat dari orang yang selalu berjaya..mungkin rezekimu masih di Ireland.take care

manlaksam Tuesday, October 6, 2009 at 7:58:00 AM GMT+8  

Salam ziarah dari Pak Man,
Menarik sekali. Pak Man suka baca dan galak kan anak lelaki Pak Man baca sama, sebagai rujukan.
Anak Pak Man sedang buat kelas persediaan nak ke US.
Mungkin catatan-catatan dalam blog ini boleh membantu.
Terima kasih banyak-banyak.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP