Showing posts with label Newcastle. Show all posts
Showing posts with label Newcastle. Show all posts

NeWCaSTLe & NoTTiNGHaM (BHG IV / aKHiR)

>> Wednesday, July 15, 2009



Hari 4: 2 DISEMBER 2007

Aku & Rosman bangun agak lewat pada hari ini kerana kepenatan berjalan-jalan di Nottingham semalam. Selepas mandi & bersiap-siap, Rosman membawa aku keluar bersiar-siar di kota Newcastle. Azmir tidak ikut sekali kerana mempunyai hal lain. Cuaca pada hari ini tidak berapa baik. Langit mendung menandakan yang hari akan hujan. Kami cuma singgah di beberapa tempat sahaja. Tempat pertama yang disinggahi adalah University of Newcastle yang terletak betul-betul berhadapan dengan flat Rosman. Aku mengikutinya ke sana kerana dia perlu memulangkan buku-buku yang dipinjamnya dari perpustakaan. Nama perpustakaan tersebut ialah The Robinson Library. Perpustakaan inilah yang menjadi antara lokasi utama penggambaran drama bersiri Cinta Antara Benua yang aku betul-betul minat itu. Tercapai juga hasrat aku untuk menjejakkan kaki di sini. Hehehe. University of Newcastle ini dibuka pada tahun 1834. Ianya juga merupakan antara universiti-universiti di United Kingdom yang menjadi pilihan utama pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya dalam kursus perubatan.


Berhampiran flat Rosman, Newcastle, England, UK


Berhampiran flat Rosman, Newcastle, England, UK


University of Newcastle, Newcastle, England, UK


The Robinson Library, University of Newcastle, Newcastle, England, UK

Kami berdua kemudiannya berjalan kaki ke sebuah restoran halal yang bernama Chicken Cottage, untuk makan tengah hari. Restoran ini terletak tidak jauh dari St. James’ Park Stadium yang menjadi destinasi kami yang seterusnya. St. James’ Park Stadium ini adalah stadium rasmi bagi kelab bola sepak Newcastle United. Stadium yang boleh memuatkan seramai 52,000 orang ini adalah stadium bola sepak yang tertua & terbesar di bahagian timur laut England. Stadium ini mula dirasmikan pada tahun 1892 & sering digunakan dalam pertandingan-pertandingan bola sepak yang penting seperti FA Premier League & Euro Cup. Aku hanya bergambar di luar stadium ini sahaja. Tidak berminat pula aku untuk masuk ke dalamnya.


Logo Newcastle United


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK

Setelah bergambar di luar stadium tersebut, aku dibawa pula ke kompleks-kompleks membeli-belah yang terdapat di Newcastle ini. Antara yang terkemuka di sini ialah Eldon Square. Kami menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di dalamnya. Aku membeli beberapa helai baju untuk dibawa pulang ke Dublin. Agak murah juga harga-harganya kerana banyak kedai-kedai memberi potongan harga yang agak tinggi.


Eldon Square, Newcastle, England, UK

Selepas membeli-belah, kami berdua pun pulang semula ke flat. Rosman memasak makan malam. Aku pun turut membantunya. Selepas makan malam, kami berborak-borak hingga ke larut malam. Apabila sudah mengantuk, kami pun melelapkan mata.

Hari 5: 3 DISEMBER 2007

Hari ini adalah hari terakhir aku di rumah Rosman. Aku akan pulang semula ke Dublin pada waktu malam nanti. Pada waktu pagi, Rosman sudah awal-awal pagi lagi sudah ke universitinya untuk menyelesaikan kerja-kerjanya. Aku terpaksa ditinggalkannya keseorangan. Dia memberikan aku kunci rumahnya, kalau-kalau aku ingin keluar berjalan-jalan. Selepas mandi & bersarapan pagi, aku pun keluar bersendirian untuk bersiar-siar di sekitar kota Newcastle. Aku kembali semula ke Eldon Square yang kami kunjungi semalam kerana aku belum puas lagi membeli-belah di situ. Heheh. Hampir 2 jam aku menghabiskan masa di dalamnya.

Setelah selesai membeli-belah, aku kembali semula ke bilik Rosman. Tidak berapa lama kemudian, Rosman pun pulang. Aku menunjukkan kepadanya baju-baju yang aku beli tadi.

Apabila malam telah tiba, aku pun mengemaskan barang-barang aku & meletakkan kesemuanya di dalam beg galas aku. Setelah itu, kami berdua pun bergerak bersama-sama menuju ke bilik Azmir. Kemudian, kami bertiga berjalan menuju ke stesen metro berhampiran dengan flat mereka. Aku meminta mereka supaya meninggalkan aku di situ sahaja. Tidak perlulah mengikut aku sampai ke lapangan terbang.

Kami bersalam-salaman & berpeluk-pelukan. Aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mereka berdua kerana sudi menerima kedatangan aku & memberi layanan yang cukup mengharukan. Entah bilalah aku akan berjumpa lagi dengan mereka berdua ini. Setelah mengucapkan selamat tinggal, aku pun masuk ke dalam metro, menuju ke Lapangan Terbang Newcastle. Aku memberikan lambaian yang terakhir kepada mereka berdua. Sedih pula rasanya hendak meninggalkan mereka setelah hampir 5 hari kami bersama.

Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus mendaftar masuk & kemudian menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Ryanair aku akan berlepas pada pukul 9.30 malam nanti. Setelah hampir sejam menunggu, kesemua penumpang pun dijemput untuk masuk ke dalam pesawat & tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan Newcastle menuju ke Dublin. Penerbangan mengambil masa lebih kurang sejam. Lebih kurang pukul 10.30 malam, pesawat pun mendarat di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 5 hari bersama-sama dengan Rosman, teman lama aku yang sama-sama belajar di Kolej MARA Banting dahulu & juga Azmir yang aku jumpa buat kali pertama setelah bertahun-tahun berkawan di alam cyber benar-benar berharga bagi diri aku. Ditambah pula dengan kota Newcastle yang mempunyai nilai sentimental bagi aku kerana di sinilah lokasi penggambaran Cinta Antara Benua, drama bersiri yang menjadi sumber inspirasi bagi aku untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Kota Nottingham juga adalah kota yang unik yang sinonim dengan lagenda Robin Hood, satu watak yang aku minati sejak aku kecil lagi. Ditambah pula dengan pengalaman di Nottingham Games, acara sukan tahunan yang terbesar antara pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom & Ireland. Kesemuanya ini akan sentiasa terpahat dalam memori ingatan aku buat selamanya.

TAMAT. Lepas ni, nantikan pula Travelogue aku di bumi Morocco...

Read more...

NeWCaSTLe & NoTTiNGHaM (BHG II)

>> Tuesday, July 07, 2009



Tempat pertama yang kami bertiga jejaki pada malam ini adalah Grey’s Monument yang terletak betul-betul di tengah-tengah pusat bandar Newcastle. Monumen ini didedikasikan kepada Charles Grey, atau Earl Grey kedua, iaitu Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain & Ireland dari tahun 1830-1834. Beliau merupakan antara Perdana Menteri United Kingdom yang banyak membuat perubahan kepada negara tersebut. Selain menyumbangkan jasanya kepada United Kingdom, Earl Grey juga turut menyumbangkan namanya kepada sejenis teh England yang amat harum baunya, iaitu teh Earl Grey yang sangat terkenal di England pada masa kini. Monumen yang didedikasikan untuknya ini siap dibina pada tahun 1838 sempena memperingati perubahan yang dibawanya kepada United Kingdom. Patung yang terletak di atas puncak monumen tersebut direka bentuk oleh pereka bentuk sama yang mereka bentuk patung Nelson di Trafalgar Squre, London.


Charles Grey


Teh Earl Grey


Grey’s Monument, Newcastle, England, UK


Patung Charles Grey di puncak Grey’s Monument, Newcastle, England, UK


Bersama Rosman di Grey’s Monument, Newcastle, England, UK

Selepas bergambar dengan Grey’s Monument, kami bergerak pula ke tebing Sungai Tyne untuk menikmati panorama malam yang indah di situ. Di sungai ini terdapat 2 buah jambatan yang utama iaitu Tyne Bridge & Gateshead Millenium Bridge. Tyne Bridge adalah jambatan yang mempunyai senibina yang mengagumkan yang menyambungkan bandar Newcastle dengan bandar Gateshead. Sewaktu Newcastle berada di bawah naungan Empayar Rom, terdapat sebuah jambatan yang dibina berdekatan dengan Tyne Bridge yang siap dibina pada tahun 122. Jambatan ini kemudiannya roboh & pada tahun 1270, ianya diganti pula dengan jambatan baru yang diperbuat daripada batu. Jambatan ini pula kemudiannya mengalami kerosakan teruk pada tahun 1771. Sebuah lagi jambatan baru dibina di tempat yang sama pada tahun 1781. Disebabkan kesibukan lalu lintas kapal yang semakin teruk pada akhir kurun ke-19 di Sungai Tyne, jambatan tersebut diganti pula dengan jambatan baru yang bernama Swing Bridge yang dirasmikan pada tahun 1876. Tidak berapa lama kemudian, idea untuk membina sebuah lagi jambatan baru yang menghubungkan Newcastle dengan Gateshead tercetus. Senibinanya berpandukan kepada senibina Hell Gate Bridge di New York, Amerika Syarikat & Harbour Bridge di Sydney, Australia. Jambatan ini adalah Tyne Bridge, yang mula dirasmikan pada tahun 1928 oleh Raja England yang memerintah pada waktu itu, iaitu George V.


Tyne Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Tyne Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Rosman & Azmir di Tyne Bridge, Newcastle, England, UK

Sebuah lagi jambatan yang terletak agak berhampiran dengan Tyne Bridge ialah Gateshead Millennium Bridge yang mempunyai senibina yang agak unik. Jambatan ini hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki & penunggang basikal sahaja. Kereta, motorsikal & kenderaan lain tidak dibenarkan untuk melaluinya. Keunikan jambatan ini adalah ianya boleh digerakkan sebanyak beberapa darjah untuk memberi laluan kepada kapal-kapal yang lalu-lalang. Jambatan ini mulai dibuka kepada orang awam pada tahun 2001. Keunikan senibina jambatan ini menyebabkan aku menghabiskan masa yang agak lama untuk bergambar di sini.


Gateshead Millennium Bridge digerakkan untuk memberi laluan kepada kapal, Newcastle, England, UK


Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK

Selepas puas bergambar, kami bertiga pun pulang ke rumah. Rosman kemudiannya memasak makan malam yang agak ringkas. Kemudian, kami makan bersama-sama sebelum masuk tidur. Kami perlu tidur awal pada malam ini kerana pada awal pagi esoknya, kami perlu berkumpul bersama pelajar-pelajar Malaysia yang lain untuk menaiki bas ke Nottingham untuk ke Nottingham Games yang bakal berlangsung esok di University of Nottingham.

Hari 3: 1 DISEMBER 2007

Seawal pukul 5.30 pagi, kami bangun untuk bersiap-siap. Selepas solat Subuh, aku, Rosman & Azmir pun bergerak ke suatu tempat di mana pelajar-pelajar Malaysia yang lain berkumpul untuk menaiki bas yang sudah ditempah untuk ke Nottingham. Bayaran yang dikenakan untuk semua orang tidaklah terlampau mahal. Dua buah bas ditempah untuk memuatkan lebih daripada 60 orang pelajar. Ramai juga kontijen yang dihantar oleh pelajar-pelajar Malaysia di Newcastle ini. Aku mengambil keputusan untuk mengikut Rosman & Azmir ke sana walaupun kami tidak terlibat dengan apa-apa permainan atau tugas-tugas yang lain kerana aku teringin untuk melihat suasana Nottingham Games, acara sukan tahunan yang terbesar di United Kingdom & Ireland. Lebih kurang pukul 6.30 pagi, kedua-dua bas pun mulai bergerak menuju ke Nottingham.

Kami tiba di University of Nottingham lebih kurang pukul 8.30 pagi. University yang dibuka pada tahun 1798 ini adalah universiti yang ke-5 terbesar di United Kingdom dari segi jumlah pelajarnya & antara universiti-universiti di United Kingdom yang menjadi tumpuan utama pelajar-pelajar dari Malaysia untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya dalam bidang perubatan. Setibanya aku, Rosman & Azmir di sini, kami agak mati kutu kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa kerana kami tidak terlibat dengan apa-apa permainan. Oleh itu, kami bertiga mengambil keputusan untuk bersiar-siar dahulu di sekitar universiti ini. Sempat juga aku berjumpa dengan beberapa orang teman lama yang sama-sama belajar di Kolej MARA Banting dahulu yang kini belajar & bekerja di United Kingdom. Wakil-wakil dari Ireland juga tidak kurang ramainya aku jumpa. Selepas bersiar-siar di dalam universiti, kami bertiga bercadang untuk melihat kota Nottingham pula. Oleh itu, kami menaiki bas di luar universiti untuk ke pusat bandar.


University of Nottingham, Nottingham, England, UK


Di dalam University of Nottingham, Nottingham, England, UK


Di dalam University of Nottingham, Nottingham, England, UK

Bersambung...

Read more...

NeWCaSTLe & NoTTiNGHaM (BHG I)

>> Monday, July 06, 2009



Selepas kembali ke Dublin dari pengembaraan di negara-negara rantau Baltik, iaitu Estonia, Lithuania & Latvia, aku berehat-rehat buat satu hari di rumah sebelum aku meneruskan pengisian cuti Musim Sejuk aku di United Kingdom pula. Bandar-bandar di United Kingdom yang aku kunjungi pada cuti kali ini ialah Newcastle & Nottingham. Aku di sana untuk 5 hari sahaja iaitu dari 29 November 2007 hingga 3 Disember 2007. Aku ke sana bersendirian. Namun, aku tidak akan bersendirian di sana nanti. Aku akan menumpang di rumah sahabat lama aku yang pernah belajar bersama-sama di Kolej MARA Banting dari tahun 2000-2002 dahulu. Namanya ialah Rosman. Agak lama aku tidak bersua muka dengannya.

Hari 1: 29 NOVEMBER 2007

Penerbangan Ryanair untuk ke Newcastle akan berlepas pada pukul 8.30 malam nanti. Untuk tidak kelam-kabut, aku menaiki bas ke Lapangan Terbang Dublin pada pukul 5.30 petang, 3 jam sebelum waktu pesawat berlepas. Sesampainya di lapangan terbang, aku terus mendaftar masuk & menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, aku & penumpang-penumpang lain pun dipanggil masuk. Penerbangan ke Newcastle mengambil masa lebih kurang sejam lamanya. Aku tiba di Lapangan Terbang Newcastle pada pukul 9.30 malam. Selepas selesai sahaja urusan imigresen dan sebagainya, aku pun berjejak kasih dengan Rosman di kawasan menunggu.

Rosman kemudiannya membawa aku menaiki Metro untuk ke rumahnya. Agak jauh juga sebenarnya lapangan terbang tersebut dengan rumahnya. Dia tinggal di sebuah apartmen 3 bilik bersama 2 orang pelajar bangsa asing. Seorang dari Nigeria & seorang lagi dari Bangladesh. Setibanya aku di rumahnya, dia mempelawa aku untuk makan malam. Dia menjemput sekali seorang lagi pelajar Malaysia yang tinggal di flat yang sama, iaitu Azmir. Aku sebenarnya sudah mengenali Azmir sejak aku belajar di Kolej MARA Banting lagi. Kami kenal melalui alam cyber, iaitu melalui mIRC sewaktu era kepopularan mIRC. Ini adalah kali pertama kami bertemu. Orangnya sangatlah peramah. Selepas makan malam bersama-sama & berbual panjang, aku & Rosman kembali ke bilik. Azmir pun turut kembali ke biliknya semula.

Hari 2: 30 NOVEMBER 2007

Pada pagi hari ini, Rosman mengajak aku bersarapan bersama sebelum dia meninggalkan aku seorang diri kerana dia terpaksa ke universitinya. Dia adalah pelajar ‘postgrad’ di University of Newcastle. Dia mengambil program Master dalam bidang kejuruteraan awam. Begitu juga dengan Azmir. Memandangkan aku ditinggalkan bersendirian, aku mengisi masa yang ada dengan melayari internet di biliknya sahaja. Hari ini adalah hari Jumaat. Disebabkan Rosman hanya akan pulang selepas solat Asar & kebetulan aku pula adalah musafir, aku pun hanya menunaikan solat Zohor & juga Asar di dalam biliknya sahaja. Lebih kurang pukul 4.00 petang, Rosman pun pulang semula ke rumahnya. Selepas solat Maghrib, Rosman mengajak aku & Azmir keluar bersiar-siar menikmati angin malam Newcastle.

Aku sebenarnya sudah lama teringin untuk menjejakkan kaki di Newcastle kerana di sinilah letaknya lokasi penggambaran Cinta Antara Benua, drama bersiri yang menjadi sumber inspirasi aku untuk belajar di luar negara sewaktu aku di Tingkatan Dua pada tahun 1996 dahulu. Alhamdulillah. Cita-cita aku untuk belajar di luar negara sudah pun tercapai & sekarang sudah hampir 7 tahun aku bermastautin di Dublin. Dan hajat aku untuk memijakkan kaki di bumi Newcastle juga tercapai akhirnya.


Petikan episod drama bersiri CINTA ANTARA BENUA

Newcastle atau nama panjangnya, Newcastle upon Tyne adalah sebuah bandar di bahagian timur laut England & merupakan antara bandar-bandar yang terpenting di England. Ianya terletak di dalam wilayah Tyne and Wear, di tebing Sungai Tyne. Para peminat bola sepak sudah tentunya mengenali kelab bola sepak Newcastle United, antara kelab bola sepak Inggeris yang ternama. Bandar ini mempunyai jumlah penduduk seramai 270,000 orang. Dialek yang digunakan oleh penduduknya, iaitu dialek Geordie hanya dipertuturkan oleh penduduk-penduduk di sekitar Newcastle sahaja. Ianya mempunyai istilah-istilah & sebutan-sebutan yang agak berbeza daripada Bahasa Inggeris standard & kadangkala agak sukar untuk difahami apabila didengar.


Peta Kedudukan Newcastle di dalam England

Menurut sejarah, kota Newcastle ini mula diduduki sejak kurun ke-2, sewaktu ketibaan orang-orang dari Empayar Rom ke pulau Great Britain. Selepas kehancuran Empayar Rom, Newcastle berada pula di bawah pemerintahan kerajaan Northumbria mulai tahun 410. Kota ini kemudiannya menjadi salah satu kota terpenting dalam kerajaan England sewaktu Zaman Pertengahan. Sebuah kubu dibina di sini bagi menghalang pencerobohan & serangan dari Scotland. Raja Scotland yang bernama William I pernah dipenjarakan di Newcastle pada tahun 1174. William Wallace, perwira dari Scotland pernah juga dibawa melintasi Newcastle selepas dia ditangkap & dibawa ke London. Newcastle memainkan peranan yang agak penting dalam Revolusi Industri di England. Pada kurun ke-18, ia merupakan pusat percetakan ke-4 terbesar di England selepas London, Oxford & Cambridge. Newcastle juga adalah antara pengeluar & pengeksport utama arang batu di England.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP