NeWCaSTLe & NoTTiNGHaM (BHG II)

>> Tuesday, July 07, 2009



Tempat pertama yang kami bertiga jejaki pada malam ini adalah Grey’s Monument yang terletak betul-betul di tengah-tengah pusat bandar Newcastle. Monumen ini didedikasikan kepada Charles Grey, atau Earl Grey kedua, iaitu Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain & Ireland dari tahun 1830-1834. Beliau merupakan antara Perdana Menteri United Kingdom yang banyak membuat perubahan kepada negara tersebut. Selain menyumbangkan jasanya kepada United Kingdom, Earl Grey juga turut menyumbangkan namanya kepada sejenis teh England yang amat harum baunya, iaitu teh Earl Grey yang sangat terkenal di England pada masa kini. Monumen yang didedikasikan untuknya ini siap dibina pada tahun 1838 sempena memperingati perubahan yang dibawanya kepada United Kingdom. Patung yang terletak di atas puncak monumen tersebut direka bentuk oleh pereka bentuk sama yang mereka bentuk patung Nelson di Trafalgar Squre, London.


Charles Grey


Teh Earl Grey


Grey’s Monument, Newcastle, England, UK


Patung Charles Grey di puncak Grey’s Monument, Newcastle, England, UK


Bersama Rosman di Grey’s Monument, Newcastle, England, UK

Selepas bergambar dengan Grey’s Monument, kami bergerak pula ke tebing Sungai Tyne untuk menikmati panorama malam yang indah di situ. Di sungai ini terdapat 2 buah jambatan yang utama iaitu Tyne Bridge & Gateshead Millenium Bridge. Tyne Bridge adalah jambatan yang mempunyai senibina yang mengagumkan yang menyambungkan bandar Newcastle dengan bandar Gateshead. Sewaktu Newcastle berada di bawah naungan Empayar Rom, terdapat sebuah jambatan yang dibina berdekatan dengan Tyne Bridge yang siap dibina pada tahun 122. Jambatan ini kemudiannya roboh & pada tahun 1270, ianya diganti pula dengan jambatan baru yang diperbuat daripada batu. Jambatan ini pula kemudiannya mengalami kerosakan teruk pada tahun 1771. Sebuah lagi jambatan baru dibina di tempat yang sama pada tahun 1781. Disebabkan kesibukan lalu lintas kapal yang semakin teruk pada akhir kurun ke-19 di Sungai Tyne, jambatan tersebut diganti pula dengan jambatan baru yang bernama Swing Bridge yang dirasmikan pada tahun 1876. Tidak berapa lama kemudian, idea untuk membina sebuah lagi jambatan baru yang menghubungkan Newcastle dengan Gateshead tercetus. Senibinanya berpandukan kepada senibina Hell Gate Bridge di New York, Amerika Syarikat & Harbour Bridge di Sydney, Australia. Jambatan ini adalah Tyne Bridge, yang mula dirasmikan pada tahun 1928 oleh Raja England yang memerintah pada waktu itu, iaitu George V.


Tyne Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Tyne Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Rosman & Azmir di Tyne Bridge, Newcastle, England, UK

Sebuah lagi jambatan yang terletak agak berhampiran dengan Tyne Bridge ialah Gateshead Millennium Bridge yang mempunyai senibina yang agak unik. Jambatan ini hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki & penunggang basikal sahaja. Kereta, motorsikal & kenderaan lain tidak dibenarkan untuk melaluinya. Keunikan jambatan ini adalah ianya boleh digerakkan sebanyak beberapa darjah untuk memberi laluan kepada kapal-kapal yang lalu-lalang. Jambatan ini mulai dibuka kepada orang awam pada tahun 2001. Keunikan senibina jambatan ini menyebabkan aku menghabiskan masa yang agak lama untuk bergambar di sini.


Gateshead Millennium Bridge digerakkan untuk memberi laluan kepada kapal, Newcastle, England, UK


Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK


Bersama Azmir & Rosman di Gateshead Millennium Bridge, Newcastle, England, UK

Selepas puas bergambar, kami bertiga pun pulang ke rumah. Rosman kemudiannya memasak makan malam yang agak ringkas. Kemudian, kami makan bersama-sama sebelum masuk tidur. Kami perlu tidur awal pada malam ini kerana pada awal pagi esoknya, kami perlu berkumpul bersama pelajar-pelajar Malaysia yang lain untuk menaiki bas ke Nottingham untuk ke Nottingham Games yang bakal berlangsung esok di University of Nottingham.

Hari 3: 1 DISEMBER 2007

Seawal pukul 5.30 pagi, kami bangun untuk bersiap-siap. Selepas solat Subuh, aku, Rosman & Azmir pun bergerak ke suatu tempat di mana pelajar-pelajar Malaysia yang lain berkumpul untuk menaiki bas yang sudah ditempah untuk ke Nottingham. Bayaran yang dikenakan untuk semua orang tidaklah terlampau mahal. Dua buah bas ditempah untuk memuatkan lebih daripada 60 orang pelajar. Ramai juga kontijen yang dihantar oleh pelajar-pelajar Malaysia di Newcastle ini. Aku mengambil keputusan untuk mengikut Rosman & Azmir ke sana walaupun kami tidak terlibat dengan apa-apa permainan atau tugas-tugas yang lain kerana aku teringin untuk melihat suasana Nottingham Games, acara sukan tahunan yang terbesar di United Kingdom & Ireland. Lebih kurang pukul 6.30 pagi, kedua-dua bas pun mulai bergerak menuju ke Nottingham.

Kami tiba di University of Nottingham lebih kurang pukul 8.30 pagi. University yang dibuka pada tahun 1798 ini adalah universiti yang ke-5 terbesar di United Kingdom dari segi jumlah pelajarnya & antara universiti-universiti di United Kingdom yang menjadi tumpuan utama pelajar-pelajar dari Malaysia untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya dalam bidang perubatan. Setibanya aku, Rosman & Azmir di sini, kami agak mati kutu kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa kerana kami tidak terlibat dengan apa-apa permainan. Oleh itu, kami bertiga mengambil keputusan untuk bersiar-siar dahulu di sekitar universiti ini. Sempat juga aku berjumpa dengan beberapa orang teman lama yang sama-sama belajar di Kolej MARA Banting dahulu yang kini belajar & bekerja di United Kingdom. Wakil-wakil dari Ireland juga tidak kurang ramainya aku jumpa. Selepas bersiar-siar di dalam universiti, kami bertiga bercadang untuk melihat kota Nottingham pula. Oleh itu, kami menaiki bas di luar universiti untuk ke pusat bandar.


University of Nottingham, Nottingham, England, UK


Di dalam University of Nottingham, Nottingham, England, UK


Di dalam University of Nottingham, Nottingham, England, UK

Bersambung...

7 buah komen:

ska Tuesday, July 7, 2009 at 10:58:00 PM GMT+8  

wow!! cantiknya gambar yg 1st sekali! mcm postcard..

subhanallah.. :)

ainein Wednesday, July 8, 2009 at 8:49:00 AM GMT+8  

Teringat zaman study kat notts dulu..letak gambar notts byk byk ek...buat ubat rindu

wahdi Wednesday, July 8, 2009 at 11:40:00 AM GMT+8  

Hello there, 1st time here, btw
Pic millenium bridge mcm putrajaya bridge plak hehe nice pics!

silversarina Thursday, July 9, 2009 at 6:30:00 AM GMT+8  

Banyak info dapat tentang Nottingham , thanks!

DrSam Thursday, July 9, 2009 at 9:22:00 AM GMT+8  

masa kat Durham dulu selalu lalu lalang di Tyne Bridge untuk ke Newcastle beli daging halal. Tak sempat tengok Millenium bridge yang cun tu.

Nice photoshots!

Douglas Tuesday, November 22, 2011 at 11:36:00 PM GMT+8  

Thank you for the article, very worthwhile material.
leaking | ski Toronto | looking for people

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP