MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG III)

>> Tuesday, July 21, 2009



Hari 1: 4 DISEMBER 2007

Penerbangan Ryanair ke London akan bertolak pada pukul 6.00 petang nanti dari Lapangan Terbang Dublin. Aku terpaksa ke London kerana tiada penerbangan terus dari Dublin ke Morocco. Walaupun penat semalam masih belum hilang lagi, aku terpaksa gagahkan diri untuk ke Lapangan Terbang Dublin seawal pukul 3.00 petang. Selepas mendaftar masuk & sebagainya, aku pun menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang pun dipanggil masuk & tidak lama kemudian, pesawat pun berlepas meninggalkan bumi Dublin menuju ke London. Penerbangan mengambil masa lebih kurang sejam lamanya. Lebih kurang pukul 7.00 malam, pesawat pun mendarat di Lapangan Terbang London Luton.

Memandangkan penerbangan aku ke Morocco adalah pada awal pagi esok, aku terpaksa bermalam di Lapangan Terbang London Luton. Walaupun dalam keadaan yang tidak selesa, aku dapat juga melelapkan mata buat beberapa jam.


Hari 2: 5 DISEMBER 2007

Penerbangan aku ke Marrakech, Morocco akan berlepas pada pukul 6.00 pagi ini. Selepas mencuci muka & sebagainya, aku pun terus mendaftar masuk seawal pukul 4.00 pagi. Selepas menunggu beberapa lama, penumpang-penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat yang kemudiannya berlepas meninggalkan bumi London menuju ke Marrakech. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3½ jam. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, aku pun tiba di Lapangan Terbang Menara, Marrakech.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus ke kaunter imigresen untuk menyelesaikan urusan passport & visa. Mujurlah tiada apa-apa masalah. Selepas itu, aku pun berjalan keluar untuk mencari pengangkutan awam untuk ke pusat bandar Marrakech. Malangnya, tiada kemudahan pengangkutan awam seperti bas untuk ke pusat bandar. Jikalau ada pun, aku mungkin kurang faham akan sistemnya. Lebih baik aku mengambil teksi. Aku pada waktu itu sebenarnya sudah pun dikerumuni oleh beberapa orang pemandu teksi yang ingin menawarkan perkhidmatan mereka. Aku bertanyakan harga. Harga yang ditawarkan agak mahal & tidak berpatutan bagi aku. Aku yang tidak pandai tawar-menawar ini pun terpaksa bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Ditambah pula mereka ini kurang fasih berbahasa Inggeris. Susah untuk berkomunikasi. Aku mengikut salah seorang daripada pemandu-pemandu teksi ke teksinya. Lantas, aku memintanya menghantar aku ke stesen keretapi. Sewaktu berada di dalam teksinya, pemandu tersebut cuba untuk menjadi peramah & mengajak aku berbual-bual. Malangnya disebabkan ketidakfasihannya berbahasa Inggeris & penguasaan Bahasa Arab aku yang begitu lemah, kami saling tidak memahami. Hahaha. Akhirnya kami berdua senyap sahaja melayan diri masing-masing.

20 minit kemudian, kami pun tiba di stesen keretapi Marrakech. Aku terus mengeluarkan dompet aku untuk mengeluarkan wang Dirham yang aku sudah tukar sewaktu di lapangan terbang tadi. Aku tiada wang kecil. Oleh itu, aku terpaksa memberi wang besar. Pemandu teksi itu kemudiannya berkata yang dia juga tidak mempunyai wang kecil & meminta supaya aku menghalalkan baki wang yang dia hutang aku. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah pemandu teksi itu. Apakan daya, aku hanya bersendirian. Tidak mampu berbuat apa-apa. Nak taknak, terpaksa juga aku halalkan. Mujurlah jumlahnya tidak banyak.

Di dalam stesen keretapi tersebut, aku menunjukkan jadual perjalanan keretapi mengelilingi Morocco yang telah aku rancang kepada penjual tiket di kaunter tiket. Aku telah merancang jadual perjalanan tersebut sewaktu di Dublin lagi dengan merujuk halaman web syarikat keretapi Morocco yang agak sistematik. Sengaja aku membeli kesemua tiket bagi perjalanan keretapi aku di Morocco agar aku tidak perlu lagi membeli tiket-tiket di stesen-stesen keretapi yang lain di Morocco. Memudahkan kerja aku & menjimatkan masa.

Aku akan bertolak ke Casablanca pada waktu malam nanti selepas mengelilingi kota Marrakech pada siang hari ini. Oleh itu, aku perlu mencari tempat untuk menyimpan beg sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota ini. Takkanlah aku hendak mengusung beg aku mengelilingi kota Marrakech ini. Beg aku bukannya ringan.

Aku pada mulanya mencari-cari di mana tempat untuk menyimpan beg di dalam stesen keretapi tersebut, malangnya stesen keretapi tersebut tidak mempunyai kemudahan itu. Oleh itu, aku terpaksa mencari idea lain untuk menyimpan beg aku. Aku berjalan membawa beg aku yang berat itu menuju ke pusat bandar yang terletak agak jauh dari stesen keretapi. Lebih kurang 2 km jauhnya. Aku tidak mahu menaiki teksi kerana tidak ingin ditipu lagi. Cuaca yang panas menyebabkan aku menjadi seperti hendak pitam. Mujurlah ada restoran McDonald’s dalam perjalanan aku ke pusat bandar. Aku mengisi perut aku di situ dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kali ini aku boleh memilih apa sahaja memandangkan segala apa yang dijual di restoran tersebut adalah dijamin halal.

Selepas mengisi perut yang lapar, aku pun meneruskan perjalanan ke pusat bandar. Beberapa minit kemudian, aku pun tiba di pusat bandar. Aku tercari-cari jikalau ada tempat menyimpan beg bagi pelancong. Malangnya tidak ada. Aku kemudian secara tiba-tiba mendapat idea yang agak bernas. Aku mencari hostel yang harganya agak berpatutan. Di hostel tersebut, aku memberitahu pemiliknya yang aku ingin menempah sebuah bilik di hostel tersebut untuk minggu hadapan, hari terakhir aku di Morocco, sebelum aku pulang ke Dublin. Pemilik hostel itu memberitahu aku yang itu semua boleh diuruskan. Kemudian, aku meminta jasa baiknya supaya aku dapat menumpangkan beg aku di hostelnya buat sementara waktu pada hari ini. Mujurlah pemilik hostel itu tidak teragak-agak membenarkan aku menumpangkan beg aku di situ. Lega rasanya. Selepas mengucapkan terima kasih kepadanya, aku pun terus memulakan ekspedisi pengembaraan di kota Marrakech ini.

Bersambung...


p/s: Aku baru je menonton sebuah telefilem Melayu yg sangat2 best. Tajuknya ialah 'NEON'. Aku dah lama mencari telefilem ni. Alhamdulillah, aku berjaya jumpa kat YouTube. Telefilem NEON ni agak simple, tapi penuh dgn mesej2 yg amat2 berguna. Seriously. Ianya dilakonkan oleh Faizal Yusop sebagai pelakon utama. Ia juga turut dibantu oleh lebih 60 orang pelakon2 ternama Malaysia sehingga telefilem ini berjaya menempah nama dalam Malaysia Books of Records. Inilah yg menjadikan telefilem ni unik sangat2.

Antara pelakon2 ternama selain Faizal Yusop yg berlakon dlm telefilem ni adalah Rita Rudaini, Fauziah Nawi, Aziz Sattar, Apek Saiful, Norman Hakim, Abby Abadi, Mustafa Kamal, Jalaluddin Hassan, Azhar Sulaiman, Hani Mohsin, Badrul Muhayat, Lisdawati, Kartina Aziz, Radhi Khalid, Eja, Jasmin Hamid, Norish Karman, Hairie Othman, Zami Ismail, Normala Samsudin, Rashidi Ishak, Vanida Imran, Danny X Factor & ramai lagi.

Telefilem NEON ini mengisahkan tentang Hafiz, lakonan Faizal Yusop yang pada mulanya dipecat dari syarikat menjual kereta mewah tanpa alasan yang kukuh & nasibnya kemudian seperti jatuh ditimpa tangga apabila satu persatu kejadian buruk menimpa dirinya. Semuanya berlaku dalam satu malam. Dan dalam satu malam itu jugaklah kebanyakan 'night life' di kotaraya Kuala Lumpur dipaparkan.

Telefilem ini betul2 best & mampu mengangkat martabat cerite2 Melayu. Tak perlu la budget tinggi2. Yang penting, berkualiti. Betul tak? So, jgn lupa tonton telefilem ni. Kat bawah ni aku selitkan video YouTube telefilem NEON ni. Aku cuma selitkan PART 1 saje. Ade 14 part kesemua sekali. Utk Part2 yg seterusnya, sila cari kat YouTube ok!! Selamat menonton. :)



Telefilem NEON (Part 1)


5 buah komen:

Aragorn Tuesday, July 21, 2009 at 4:27:00 PM GMT+8  

sian ko bro kna tipu...
tuh la,,len kali blaja dlu bhsa arab dgn ktaorg..hahahahahahahahahahahahahahahaha....


nice story at morocco..smoga, aku pom akn smpi kt sna nati..InsyaAllah

Wan Sajidah Ahmad Saburi Wednesday, July 22, 2009 at 7:30:00 AM GMT+8  

salam...
bestnyer g jejln kat sana...nway neon mmg best :)

JHaZKiTaRo Friday, July 24, 2009 at 12:14:00 PM GMT+8  

Aragorn:
Hahaha.. Tu laa.. Tak sempat nak belajar dgn korang masa kat jordan dulu.. :P

Wan Sajidah:
thanx.. yup.. neon mmg best sgt2

Anonymous Sunday, October 10, 2010 at 6:42:00 PM GMT+8  

Perkhidmatan Bas ada disediakan untuk ke bandar Marrakech. Harga DH 20 seorang.

Teksi plak paling murah dapat DH 40 @ 50.

Azri Amin
Pelajar Fes

Elly Juhari Tuesday, April 9, 2013 at 11:15:00 PM GMT+8  

assalam..nk tanya aper nama hostel yg doc do masa kt marrakech tu..dekat ke ngn djemaa el fna tu??

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP