MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG IV)

>> Friday, July 24, 2009



Marrakech atau turut dikenali dengan nama ‘Red City’ adalah antara bandar-bandar yang terpenting di Morocco & pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan di sini. Dengan jumlah penduduk seramai 1,036,000 orang, ianya adalah bandar ke-3 terbesar di negara ini selepas Casablanca & Rabat. Marrakech juga adalah bandar yang paling utama di bahagian barat daya negara ini & ianya terletak di kaki pergunungan Atlas yang sentiasa diselaputi salji. Dari jauh, pemandangan bandar Marrakech ini sangatlah menakjubkan, dengan berlatar belakangkan banjaran Atlas.


Peta kedudukan Marrakech di dalam Morocco


Banjaran Atlas berhampiran Marrakech, Morocco

Seperti yang telah disebut, Marrakech pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Sultan dari Dinasti Almoravid yang bernama Abu Bakar ibn Umar adalah orang yang bertanggung jawab memindahkan pusat pentadbiran kerajaan tersebut dari Aghmat ke Marrakech pada kurun ke-11. Antara sebab utama perpindahan pusat pentadbiran adalah kerana kesesakan penduduk yang agak melampau di Aghmat. Kerja-kerja pembinaan bangunan-bangunan kerajaan bermula pada tahun 1070 & berakhir sewaktu pemerintahan sultan Dinasti Almoravid yang baru, iaitu Yusuf ibn Tashfin.

Marrakech melalui waktu kegemilangannya pada awal kurun ke-12 sewaktu pemerintahan sultan dari Dinasti Almohad yang bernama Yakub al-Mansor. Ramai sasterawan & ilmuwan telah berhijrah ke sini sewaktu pemerintahannya. Ia juga pernah penjadi tempat yang terkenal dengan kegiatan ahli-ahli sufi sewaktu sultan dari Dinasti Alaowiyah yang bernama Moulay Ismail ibn Sharif memerintah sekitar akhir kurun ke-17. Terdapat satu festival yang dirayakan di sini, iaitu ‘Tujuh Ulamak’ yang diasaskan oleh ahli sufi terkenal yang bernama Abu Ali al-Hassan al-Yusi atas kehendak sultan.

Tempat pertama di Marrakech yang aku singgahi ialah Koutoubia Mosque, masjid yang terbesar di kota ini. Bangunan masjid ini beserta menaza azannya mulai dibina sewaktu pemerintahan sultan Dinasti Almohad yang pertama iaitu Abdul Mukmin sempena kejayaannya menamatkan riwayat pemerintahan Dinasti Almoravid. Masjid ini hanya siap dibina sepenuhnya pada awal kurun ke-12 sewaktu di bawah pemerintahan cucunya, Yakub al-Mansor, iaitu sultan yang memerintah sewaktu kerajaan ini melalui zaman kegemilangannya sebagai pusat ahli-ahli ilmuwan & sasterawan. Struktur menara azan masjid setinggi 69 meter ini adalah bangunan yang tertinggi di kota Marrakech & boleh dilihat dari jarak berbelas-belas kilometer. Ianya pernah dijadikan model untuk pembinaan menara Giralda di Seville, Sepanyol & juga Hassan Tower di Rabat. Masjid ini adalah antara senibina Almohad yang termasyhur di bumi Morocco.

Sewaktu aku berjalan mengelilingi masjid usang yang mempunyai senibina yang begitu mengagumkan ini, aku didatangi oleh seorang lelaki remaja yang menawarkan dirinya untuk menceritakan tentang sejarah masjid ini. Aku pun mendengar dia bercerita, sambil kami berdua berjalan-jalan menawafi masjid ini. Agak lama juga dia bercerita. Lebih kurang 20 minit lamanya. Setelah habis sahaja bercerita, secara tiba-tiba dia meminta aku membayar wang kepadanya. Aku terkejut & tidak tahu hendak berkata apa. Aku ingatkan dia secara sukarela ingin membantu aku, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Aku lantas menyeluk saku aku & memberikan beberapa keping syiling yang ada. Namun, lelaki belasan tahun itu tidak berpuas hati & meminta lebih lagi. Aku memarahinya kembali & mengatakan yang aku tidak mempunyai wang yang banyak. Kemudian, aku berjalan cepat-cepat meninggalkannya yang masih tidak berpuas hati & dalam keadaan marah itu. Aku tidak berani menoleh ke belakang. Aku terus beredar dari kawasan masjid itu.


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco


Ruang dalaman Koutoubia Mosque, Marrakech, Morocco

Setelah aku pasti yang lelaki itu tidak mengekori aku, aku pun terus melangkah ke destinasi seterusnya, iaitu Bab Agnaou, salah satu daripada 9 pintu gerbang yang terdapat di Marrakech. Struktur yang menyerupai kasut kuda ini dibina sekitar kurun ke-12 sewaktu di bawah kerajaan Dinasti Almohad. Namanya, Agnaou dalam Bahasa Berber merujuk kepada bangsa kulit hitam. Terdapat ukiran ayat-ayat suci al-Quran pada dinding pintu gerbang ini yang diukir menggunakan kesenian kaligrafi Kufic yang digunakan di Morocco & juga di Andalusia. Bab Agnaou ini adalah pintu masuk untuk ke Kasbah yang merupakan kota lama.


Bab Agnaou, Marrakech, Morocco

Selepas bergambar di hadapan Bab Agnaou, aku pun masuk ke dalam Kasbah. Ianya adalah kota lama yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almohad. Terdapat banyak senibina Almohad di dalam kota lama ini. Senibina pertama yang aku kunjungi ialah Kasbah Mosque. Masjid ini dibina pada awal kurun ke-12 sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Senibinanya agak serupa dengan Koutoubia Mosque, tetapi saiznya agak kecil sedikit. Penambahan yang dibuat pada masjid ini sekitar abad ke-16 & ke-17 sedikit sebanyak telah mencacatkan senibina asal masjid ini. Walau bagaimanapun, bagi aku ianya tetap kelihatan menawan.


Kasbah, Marrakech, Morocco


Kasbah Mosque, Marrakech, Morocco

Bersambung...

5 buah komen:

silversarina Friday, July 24, 2009 at 1:16:00 PM GMT+8  

Marrakeh, teringin nak melawat bandar tu, selalu tengok dalam travel channel .

Memang biasa kalau ada yang tiba2 'volunteer' nak jadi tourguide sebab memang dia akan mintak duit dan nak banyak pulak tu .Kat Jordan pun sama jugak .

ken_Tank91 Friday, July 24, 2009 at 6:41:00 PM GMT+8  

bahaya betul r melawat kat tempat orang ney...
kat masjid pun nak ambil kesempatan..
ble r aku dapat g melawat tempat orang ney..

sanzamo Friday, July 24, 2009 at 7:07:00 PM GMT+8  

Salams,insyaAllah,one day i hope to travel to Marrakech.Ur writing has inspired me to travel there.Since u like travelling u should go to China...

Anonymous Sunday, October 10, 2010 at 6:49:00 PM GMT+8  

Memang benar. Bila org Morocco tgh kita org asing datang ke sini, pasti akan menawarkan diri utk tolong kita yg akhirnya akan meminta habuan.

Juga disarankan jgn memberi derma kepada fakir miskin sekitar Koutobia ni sbb bila dah sorang minta dan dikasi, maka akan beratur la fakir miskin lain meminta habuannya juga utk kita adil sesama mereka.

Hatta penjaga Masjid pun tak segan silu meminta habuan yg dipanggil barakah setelah dia menjaga kasut atau barang2 kita.

Azri Amin
Pelajar Fes

Barry Wednesday, January 11, 2012 at 4:35:00 AM GMT+8  

I fully match with whatever thing you have presented us.
Trois-Rivières

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP