NeWCaSTLe & NoTTiNGHaM (BHG IV / aKHiR)

>> Wednesday, July 15, 2009



Hari 4: 2 DISEMBER 2007

Aku & Rosman bangun agak lewat pada hari ini kerana kepenatan berjalan-jalan di Nottingham semalam. Selepas mandi & bersiap-siap, Rosman membawa aku keluar bersiar-siar di kota Newcastle. Azmir tidak ikut sekali kerana mempunyai hal lain. Cuaca pada hari ini tidak berapa baik. Langit mendung menandakan yang hari akan hujan. Kami cuma singgah di beberapa tempat sahaja. Tempat pertama yang disinggahi adalah University of Newcastle yang terletak betul-betul berhadapan dengan flat Rosman. Aku mengikutinya ke sana kerana dia perlu memulangkan buku-buku yang dipinjamnya dari perpustakaan. Nama perpustakaan tersebut ialah The Robinson Library. Perpustakaan inilah yang menjadi antara lokasi utama penggambaran drama bersiri Cinta Antara Benua yang aku betul-betul minat itu. Tercapai juga hasrat aku untuk menjejakkan kaki di sini. Hehehe. University of Newcastle ini dibuka pada tahun 1834. Ianya juga merupakan antara universiti-universiti di United Kingdom yang menjadi pilihan utama pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya dalam kursus perubatan.


Berhampiran flat Rosman, Newcastle, England, UK


Berhampiran flat Rosman, Newcastle, England, UK


University of Newcastle, Newcastle, England, UK


The Robinson Library, University of Newcastle, Newcastle, England, UK

Kami berdua kemudiannya berjalan kaki ke sebuah restoran halal yang bernama Chicken Cottage, untuk makan tengah hari. Restoran ini terletak tidak jauh dari St. James’ Park Stadium yang menjadi destinasi kami yang seterusnya. St. James’ Park Stadium ini adalah stadium rasmi bagi kelab bola sepak Newcastle United. Stadium yang boleh memuatkan seramai 52,000 orang ini adalah stadium bola sepak yang tertua & terbesar di bahagian timur laut England. Stadium ini mula dirasmikan pada tahun 1892 & sering digunakan dalam pertandingan-pertandingan bola sepak yang penting seperti FA Premier League & Euro Cup. Aku hanya bergambar di luar stadium ini sahaja. Tidak berminat pula aku untuk masuk ke dalamnya.


Logo Newcastle United


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK


St James' Park Stadium, Newcastle, England, UK

Setelah bergambar di luar stadium tersebut, aku dibawa pula ke kompleks-kompleks membeli-belah yang terdapat di Newcastle ini. Antara yang terkemuka di sini ialah Eldon Square. Kami menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di dalamnya. Aku membeli beberapa helai baju untuk dibawa pulang ke Dublin. Agak murah juga harga-harganya kerana banyak kedai-kedai memberi potongan harga yang agak tinggi.


Eldon Square, Newcastle, England, UK

Selepas membeli-belah, kami berdua pun pulang semula ke flat. Rosman memasak makan malam. Aku pun turut membantunya. Selepas makan malam, kami berborak-borak hingga ke larut malam. Apabila sudah mengantuk, kami pun melelapkan mata.

Hari 5: 3 DISEMBER 2007

Hari ini adalah hari terakhir aku di rumah Rosman. Aku akan pulang semula ke Dublin pada waktu malam nanti. Pada waktu pagi, Rosman sudah awal-awal pagi lagi sudah ke universitinya untuk menyelesaikan kerja-kerjanya. Aku terpaksa ditinggalkannya keseorangan. Dia memberikan aku kunci rumahnya, kalau-kalau aku ingin keluar berjalan-jalan. Selepas mandi & bersarapan pagi, aku pun keluar bersendirian untuk bersiar-siar di sekitar kota Newcastle. Aku kembali semula ke Eldon Square yang kami kunjungi semalam kerana aku belum puas lagi membeli-belah di situ. Heheh. Hampir 2 jam aku menghabiskan masa di dalamnya.

Setelah selesai membeli-belah, aku kembali semula ke bilik Rosman. Tidak berapa lama kemudian, Rosman pun pulang. Aku menunjukkan kepadanya baju-baju yang aku beli tadi.

Apabila malam telah tiba, aku pun mengemaskan barang-barang aku & meletakkan kesemuanya di dalam beg galas aku. Setelah itu, kami berdua pun bergerak bersama-sama menuju ke bilik Azmir. Kemudian, kami bertiga berjalan menuju ke stesen metro berhampiran dengan flat mereka. Aku meminta mereka supaya meninggalkan aku di situ sahaja. Tidak perlulah mengikut aku sampai ke lapangan terbang.

Kami bersalam-salaman & berpeluk-pelukan. Aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mereka berdua kerana sudi menerima kedatangan aku & memberi layanan yang cukup mengharukan. Entah bilalah aku akan berjumpa lagi dengan mereka berdua ini. Setelah mengucapkan selamat tinggal, aku pun masuk ke dalam metro, menuju ke Lapangan Terbang Newcastle. Aku memberikan lambaian yang terakhir kepada mereka berdua. Sedih pula rasanya hendak meninggalkan mereka setelah hampir 5 hari kami bersama.

Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus mendaftar masuk & kemudian menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Ryanair aku akan berlepas pada pukul 9.30 malam nanti. Setelah hampir sejam menunggu, kesemua penumpang pun dijemput untuk masuk ke dalam pesawat & tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan Newcastle menuju ke Dublin. Penerbangan mengambil masa lebih kurang sejam. Lebih kurang pukul 10.30 malam, pesawat pun mendarat di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 5 hari bersama-sama dengan Rosman, teman lama aku yang sama-sama belajar di Kolej MARA Banting dahulu & juga Azmir yang aku jumpa buat kali pertama setelah bertahun-tahun berkawan di alam cyber benar-benar berharga bagi diri aku. Ditambah pula dengan kota Newcastle yang mempunyai nilai sentimental bagi aku kerana di sinilah lokasi penggambaran Cinta Antara Benua, drama bersiri yang menjadi sumber inspirasi bagi aku untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Kota Nottingham juga adalah kota yang unik yang sinonim dengan lagenda Robin Hood, satu watak yang aku minati sejak aku kecil lagi. Ditambah pula dengan pengalaman di Nottingham Games, acara sukan tahunan yang terbesar antara pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom & Ireland. Kesemuanya ini akan sentiasa terpahat dalam memori ingatan aku buat selamanya.

TAMAT. Lepas ni, nantikan pula Travelogue aku di bumi Morocco...

3 buah komen:

MariaFaizal Saturday, July 18, 2009 at 9:51:00 AM GMT+8  

Post adik mengubat rindu akak kpd bumi europe.Thanks for sharing for wonderful journey dik... :D

Do take care...

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP