Showing posts with label Manchester. Show all posts
Showing posts with label Manchester. Show all posts

MaNCHeSTeR & LiVeRPooL (BHG II) - MaNCHeSTeR II

>> Friday, July 09, 2010



Selepas itu, aku ke St Ann’s Church pula, iaitu gereja lama yang dibina pada tahun 1712. Selepas bergambar di hadapan & di dalam gereja itu, aku berjalan menuju ke sebuah lagi gereja, iaitu Manchester Cathedral. Dibina antara tahun 1421 & 1882, ia adalah gereja yang terpenting di Manchester. Ia pernah dibom oleh tentera Nazi Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua & oleh tentera IRA pada tahun 1996.


St Ann’s Church, Manchester, UK


Ruang dalam St Ann’s Church, Manchester, UK


Manchester Cathedral, Manchester, UK

Kemudian, aku menuju ke kompleks membeli-belah bernama Manchester Arndale yang terletak di Market Street. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1970-an & merupakan cawangan Arndale Centres yang terbesar di United Kingdom pada dekad tersebut. Bangunan setinggi 3 tingkat ini mempunyai lebih kurang 210 buah kedai di dalamnya. Kompleks membeli-belah ini juga turut dibom oleh tentera IRA pada tahun 1996. Aku tidak membeli apa-apa di sini. Sekadar ingin melihat-lihat sahaja.


Manchester Arndale, Manchester, UK


Manchester Arndale, Manchester, UK

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Piccadilly Gardens yang terletak betul-betul di tengah kota Manchester. Selama bertahun-tahun kawasan ini menjadi hab utama sistem pengangkutan awam di Manchester seperti bas & tram. Stesen keretapi juga terletak tidak jauh dari sini. Di sekeliling taman ini terdapat beberapa bangunan pencakar langit yang terkenal seperti Piccadilly Plaza, Thistle Hotel & Brittania Hotel. Terdapat juga beberapa ukiran patung orang-orang ternama di sini seperti James Watt & Duke of Wellington. Piccadilly Gardens seringkali dipenuhi oleh orang ramai yang lalu-lalang & tidak kurang juga yang beriadah bersama rakan-rakan & keluarga. Ia juga menjadi tempat tumpuan burung-burung merpati.


Piccadilly Gardens, Manchester, UK


Piccadilly Gardens, Manchester, UK


Piccadilly Gardens, Manchester, UK

Selepas bergambar di Piccadilly Gardens, aku terus ke kawasan University of Manchester pula yang dibentuk pada tahun 2004 selepas percantuman Victoria University of Manchester yang diasaskan pada tahun 1851 & UMIST yang diasaskan pada tahun 1824. Universiti ini menampung seramai lebih daripada 60,000 orang pelajar termasuklah pelajar Malaysia yang mengambil bidang perubatan & kejuruteraan. Ramai rakan aku pernah belajar di sini. University of Manchester adalah university yang ketiga terbesar di United Kingdom dari segi jumlah pelajar selepas Oxford & Cambridge. Ia juga adalah antara universiti-universiti di negara tersebut yang menjadi rebutan oleh pelajar-pelajar tempatan mahupun luar.


University of Manchester, Manchester, UK

Selepas bergambar dengan nama universiti itu, aku meneruskan pengembaraan aku ke Old Trafford Stadium, stadium yang amat terkenal di seluruh pelusuk dunia. Inilah stadium yang menjadi ‘rumah’ kepada kelab bola sepak Manchester United. Walaupun aku bukanlah peminat kelab itu, aku sengaja ke stadium itu supaya rakan-rakan aku yang meminati kelab tersebut akan berasa cemburu dengan aku. Hahaha.

Aku ke stadium tersebut dengan menaiki tram. Sewaktu aku menaiki tram, secara tiba-tiba tram ini berhenti. Mujurlah aku tidak mengalami apa-apa kecederaan. Terdapat sedikit masalah teknikal. Tidak berapa lama kemudian, tram itu pun menyambung perjalanannya. Beberapa ketika kemudian, aku pun turun di stesen yang paling hampir dengan Old Trafford Stadium. Jauh juga aku perlu berjalan dari stesen tersebut untuk ke stadium itu. Lebih kurang 20 minit.

Aku sebenarnya telah pun menempah pakej tour stadium tersebut. Tour aku akan bermula pada pukul 3.15 petang. Aku tiba di stadium itu 15 minit sebelum tour bermula. Tidak berapa lama kemudian, aku pun dipanggil untuk mengikuti tour tersebut. Kumpulan tour itu disertai oleh lebih kurang 10 orang. Kami dibawa mengelilingi stadium tersebut sambil diberi penerangan oleh ketua tour tersebut. Boleh dikatakan semua tempat & bilik di dalam stadium itu kami masuk. Antaranya ialah bilik persalinan & juga kawasan tempat duduk. Tercapai juga hajat aku untuk masuk ke dalam Old Trafford Stadium. Aku tidak sempat untuk masuk ke dalam stadiuim ini sewaktu aku pertama kali di Manchester 6 tahun lepas kerana kesuntukan masa. Mujurlah kali ini aku mempunyai kesempatan masa untuk masuk ke dalamnya.

Old Trafford Stadium ini mula dibuka pada tahun 1910 yang menelan belanja sebanyak £90,000 untuk membinanya. Dengan keupayaannya yang boleh menampung sebanyak 76,212 penonton, stadium ini adalah stadium bola sepak yang kedua terbesar di United Kingdom selepas Wembley Stadium di London. Stadium ini turut digelar 'Theatre of Dreams' oleh bekas pemain kelab Manchester United yang bernama Bobby Charlton. Stadium ini seringkali digunakan untuk perlawanan bola sepak seperti FA Cup, World Cup 1966, Euro Cup 1996 & EUFA Champions League 2003. Stadium ini juga turut digunakan untuk perlawanan ragbi seperti Rugby League World Cup 2000.

Selepas puas dengan tour yang mengambil masa hampir sejam itu, aku ke kedai cenderahati pula untuk membeli sesuatu untuk dibawa pulang. Selepas itu, aku keluar untuk bergambar berlatarbelakangkan stadium itu. Gambar tersebut sudah pastinya membuatkan rakan-rakan aku di Malaysia cemburu. Hahaha. Selepas itu, aku pun berjalan kembali ke stesen tram. Selepas beberapa minit menunggu, tram yang dinantikan pun tiba & aku terus masuk ke dalamya.


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Bilik persalinan di ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Bilik persalinan di ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK


Ruang dalam Old Trafford Stadium, Manchester, UK

Apabila tiba di pusat bandar Manchester, aku berjalan pulang ke hostel untuk berehat-rehat & menunaikan solat. Muaz tiada dalam bilik. Mungkin dia sedang seronok menjelajahi kota Manchester ini seorang diri. Apabila waktu Maghrib sudah hampir, aku pun keluar untuk mencari makanan untuk berbuka puasa. Aku ke restoran halal yang menjual kebab. Aku berbuka puasa di situ. Kemudian, aku mengambil angin malam di Manchester. Apabila malam sudah larut, aku pun kembali semula ke hostel. Muaz waktu itu sudah pun berada di dalam hostel. Selepas mandi & solat, kami pun terus melelapkan mata.

Bersambung...

Read more...

MaNCHeSTeR & LiVeRPooL (BHG I) - PRoLoG & MaNCHeSTeR I

>> Wednesday, April 28, 2010



SAMBUNGAN DARIPADA TRAVELOG ICELAND: BUMI VIKING

Hari 1: 1 SEPTEMBER 2008

Setibanya aku & Muaz di Lapangan Terbang Heathrow, London pada pukul 9.45 malam dari Iceland, kami terus melalui kaunter imigresen & seterusnya mengambil semula beg-beg kami. Kami kemudiannya bergegas untuk ke stesen bas Victoria yang terletak jauh di pusat bandar London. Kami akan menaiki bas dari stesen bas tersebut untuk ke Manchester. Kami telah pun menempah tiket melalui internet. Bas tersebut dijadualkan bertolak pada pukul 11.30 malam.

Kami berdua sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada pukul 8.10 malam. Namun, disebabkan kelewatan yang berlaku di Lapangan Terbang Keflavik, Iceland, kami tiba lewat 1½ jam. Proses imigresen & pengambilan beg sahaja sudah memakan masa 30 minit. Oleh itu, kami cuma tinggal 1¼ jam sahaja lagi untuk ke stesen bas Victoria dari lapangan terbang tersebut sebelum jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Sesudah dikira-kira, kami telah mencapai kata putus bahawa kami tidak akan sempat untuk tiba di stesen bas tersebut sebelum pukul 11.30 malam sekiranya kami menggunakan perkhidmatan Underground. Oleh itu, kami tiada pilihan lain selain menaiki teksi sahaja. Itu sahajalah cara pengangkutan yang paling laju yang ada. Kami lantas terus menahan sebuah teksi & meminta pemandunya membawa kami ke stesen bas Victoria. Walaupun tambangnya mahal, kami lebih rela daripada terkandas di London.

Kami tiba di stesen bas Victoria tepat pukul 11.15 malam. Kami masih ada 15 minit untuk mengejar bas ke Manchester. Alhamdulillah. Sedang kami berlari-lari ke tempat menunggu bas tersebut, kami sempat membeli bekalan makanan untuk dimakan di dalam bas. Lapar sungguh rasanya. Selepas itu, kami cepat-cepat masuk ke dalam bas. Tidak berapa lama selepas itu, bas pun mulai bergerak meninggalkan London menuju ke Manchester. Lega rasanya kerana kami sempat mengejar bas tersebut. Syukur kepada Allah SWT. Perjalanan ke Manchester dari London memakan masa lebih kurang 6¼ jam.

Hari 2: 2 SEPTEMBER 2008

Aku & Muaz tiba di stesen bas Manchester Central lebih kurang pukul 5.45 pagi. Kami sebenarnya perlu ke Lapangan Terbang Manchester untuk menjemput Hadi, rakan serumah kami yang juga merupakan pelajar Tahun Pertama Perubatan di Royal College of Surgeons, sama seperti Muaz. Dia dijangka akan tiba di lapangan tersebut tidak lama lagi. Dia akan menyertai kami untuk berjalan-jalan di Manchester & Liverpool. Walau bagaimanapun, kami akhirnya mengambil keputusan untuk terus ke hostel dahulu untuk berehat-rehat. Kami akan ke lapangan terbang itu sesudah membersihkan diri & sebagainya.

Hostel yang kami tempah tidak susah untuk dicari. Selepas mendaftar masuk, kami pun berehat-rehat. Tidak berapa lama kemudian, aku mendapat sms daripada Hadi. Dia menyatakan yang dia terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyertai kami berjalan-jalan di Manchester & Liverpool. Budak bertuah. Saat-saat terakhir baru dia hendak memberitahu aku. Mujurlah aku belum berangkat ke lapangan terbang. Aku kemudiannya mandi & bersiap-siap. Muaz sedang lena tidur. Aku mengajaknya untuk bergerak memulakan pengembaraan kami. Akan tetapi, dia berkata dia hendak tidur dahulu. Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk bergerak berasingan.

Ini sebenarnya adalah kali kedua aku memijakkan kaki di bumi Manchester setelah hampir 6 tahun lamanya. Kali pertama aku ke sini adalah sewaktu Musim Sejuk tahun 2002. Aku ke sini seorang diri pada waktu itu untuk melawat sahabat-sahabat aku yang belajar di sini. Manchester adalah tempat di luar pulau Ireland yang pertama aku kunjungi. Di bumi inilah aku memulakan pengembaraan aku yang kini sudah pun mencecah 44 buah negara. Di sinilah aku mengenali & belajar erti pengembaraan. Hahaha. Sememangnya bumi Manchester berada di tempat yang istimewa dalam jiwa aku. Disebabkan itulah aku teringin untuk kembali ke sini semula untuk mengutip nostalgia-nostalgia lama.


Peta kedudukan Manchester dalam England, UK

Lokasi pertama di Manchester yang aku kunjungi ialah Chinatown. Ianya adalah Chinatown yang kedua terbesar di United Kingdom & yang ketiga terbesar di benua Eropah. Ianya mula dibuka pada tahun 1987. Di sini bukan sahaja terdapat kedai-kedai kepunyaan bangsa Cina dari negara China, malah dari Malaysia, Singapura & Thailand pun ada.


Chinatown, Manchester, UK


Chinatown, Manchester, UK

Seterusnya, aku menuju ke bangunan Manchester Art Gallery untuk bergambar di hadapannya. Bangunan ini dahulunya merupakan bangunan Royal Manchester Institution yang dibina pada tahun 1824. Ia kini berfungsi sebagai galeri yang mempamerkan koleksi lukisan-lukisan yang terkenal. Selepas itu, aku ke Manchester Town Hall yang menempatkan majlis perbandaran bandar ini. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1877 & terletak berhampiran Albert Square. Pada bangunan tersebut terdapat menara jam setinggi 85 meter. Di hadapan bangunan tersebut pula terdapat 12 buah ukiran patung orang-orang yang terkenal di England. Antaranya ialah Henry III, Elizabeth I & St George.


Manchester Art Gallery, Manchester, UK


Manchester Town Hall, Manchester, UK


Manchester Town Hall, Manchester, UK

Aku kemudiannya berjalan menuju ke Manchester Central Library yang berbentuk bulatan. Lokasinya berhampiran dengan Manchester Town Hall. Di hadapannya ialah St Peter’s Square. Ianya adalah ibu pejabat kepada Manchester Library & Information Service. Bangunan yang berbentuk seakan-akan seperti bangunan Pantheon di Rome ini dibina antara tahun 1930 & 1934. Di dalam bangunan ini juga terdapat beberapa dewan seperti Great Hall & Shakespeare Hall. Library Theatre juga terdapat di dalamnya.


Manchester Central Library, Manchester, UK


St Peter’s Square, Manchester, UK

Destinasi seterusnya ialah Manchester Central yang pernah dikenali dengan nama G-Mex & Manchester International Convention Centre. Ia adalah pusat pameran & konferens yang dibina di bangunan bekas stesen keretapi Manchester. Ia dibina antara tahun 1875 hingga 1880 sebagai stesen keretapi. Ia kemudiannya ditutup pada tahun 1969. Selepas itu, kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan pada tahun 1982 untuk menukarkan fungsinya kepada fungsinya sekarang ini. Pelbagai acara sukan pernah diadakan di sini. Antaranya ialah acara sukan gimnastik, angkat berat, judo & gusti Sukan Komanwel di Manchester tahun 2002.


Manchester Central, Manchester, UK

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP