BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG VI) - BoSNia & HeRZeGoViNa I

>> Tuesday, October 13, 2009



Hari 2: 12 MEI 2008

Selepas bangun dari tidur, aku pun terus mandi & bersiap-siap. Setelah semuanya sudah beres, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Mostar yang terletak di dalam negara Bosnia & Herzegovina. Bosnia & Herzegovina adalah negara kedua di rantau Balkan yang aku jejaki, selepas Croatia. Negara yang berbentuk segitiga ini disempadani oleh Croatia di bahagian utara, barat & selatan, Serbia di bahagian timur & Montenegro di bahagian tenggara. Negara ini hampir dikelilingi oleh daratan. Kawasan pantainya cuma berjarak 26 kilometer sahaja, iaitu di bahagian selatannya yang menghadap Laut Adriatik. Bentuk muka buminya pula adalah bergunung-ganang di bahagian tengah & selatan, berbukit-bukau di bahagian barat laut & tanah rata di bahagian timur laut.


Peta kedudukan Bosnia & Herzegovina dalam benua Eropah


Peta Bosnia & Herzegovina


Bendera Bosnia & Herzegovina

Negara Bosnia & Herzegovina ini sebenarnya adalah gabungan daripada 2 buah wilayah utama iaitu wilayah Bosnia yang terletak di bahagian utara yang lebih cenderung kepada iklim kebenuaan & wilayah Herzegovina di bahagian selatan yang lebih cenderung kepada iklim Mediterranean. Saiz wilayah Bosnia adalah lebih besar berbanding saiz wilayah Herzegovina.


Peta pembahagian Wilayah Bosnia & Herzegovina

Penduduk negara Bosnia & Herzegovina yang seramai 4,000,000 orang terdiri daripada 3 kaum etnik utama, iaitu Bosniak, Serb & Croat. Kaum etnik Bosniak yang beragama Islam adalah kaum etnik yang terbesar di sini yang mewakili 48% daripada jumlah penduduk. Kaum etnik Serb yang mewakili 38% daripada jumlah penduduk pula adalah kaum etnik kedua terbesar. Kaum etnik Serb mengamalkan ajaran Kristian Orthodox. Sementara itu, kaum etnik Croat pula adalah kaum etnik ketiga terbesar & mengamalkan ajaran Kristian Katolik. Ia mewakili 14% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini. Ketiga-tiga kaum etnik ini sering bertelagah sesama sendiri kerana seringkali terdapat ketidaksefahaman.


Peta demografi penduduk Bosnia & Herzegovina mengikut kaum etnik

Di dalam negara Bosnia & Herzegovina ini juga sebenarnya terdapat 2 buah entiti kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan Bosnia & Herzegovina & kerajaan Republika Srpska. Kerajaan Persekutuan Bosnia & Herzegovina adalah entiti kerajaan yang dianggotai oleh penduduk-penduduk kaum etnik Bosniak & Croat sebagai kaum majoriti & penduduk kaum etnik Serb sebagai kaum minoriti yang menetap di dalam kawasan kerajaan persekutuan. Ibu kotanya adalah Sarajevo, sama seperti ibu kota negara Bosnia & Herzegovina. Ketua kerajaan persekutuan ini adalah seorang Presiden yang dibantu oleh seorang Perdana Menteri. Sementara itu, kerajaan Republika Srpska pula adalah entiti kerajaan yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Serb sebagai kaum majoriti & penduduk kaum etnik Bosniak & Croat sebagai kaum etnik minoriti yang menetap di dalam kawasan kerajaan republik tersebut. Ibu kotanya adalah Banja Luka. Ketua kerajaan republik ini adalah seorang Presiden & dibantu oleh seorang Perdana Menteri.


Peta pembahagian entiti kerajaan Persekutuan Bosnia & Herzegovina & Republika Srpska

Terdapat 3 bahasa utama yang digunakan di dalam negara ini, iaitu Bahasa Bosnia, Bahasa Serbia & Bahasa Croatia. Penggunaan Bahasa Inggeris agak terhad, menyebabkan aku menghadapi sedikit masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk negara ini. Matawang yang digunakan adalah Marka. 1.00 Euro bersamaan dengan 2.00 Marka. Sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.40 Marka.

Kawasan Bosnia & Herzegovina telah menjadi penempatan manusia sejak Zaman Neolitik lagi. Kawasan ini kemudiannya dihuni oleh orang-orang Illyria. Pertempuran antara orang-orang Illyria & tentera Empayar Rom mulai berlaku pada tahun 229SM. Empayar Rom akhirnya berjaya menjadikan kawasan ini sebagai tanah jajahannya pada tahun 9 Masihi. Selepas kejatuhan Empayar Rom pada kurun ke-5, kawasan Bosnia & Herzegovina jatuh ke tangan orang-orang Alan & Hun. Ia kemudiannya berjaya ditawan oleh Empayar Byzantine sewaktu pemerintahan Maharaja Byzantine yang bernama Justinian. Tidak berapa lama selepas itu, berlaku penghijrahan besar-besaran orang-orang Slav dari Ukraine ke sini akibat ketegangan yang berlaku di Ukraine. Mereka seterusnya berjaya dikristiankan oleh mubaligh-mubaligh Kristian yang diutuskan kepada mereka. Mereka inilah yang kemudiannya melahirkan kaum-kaum etnik Croat, Serb & Bosniak.

Pada awal kurun ke-15, Empayar Turki Uthmaniyah mulai meluaskan tanah jajahannya ke rantau Balkan. Disebabkan ketidakstabilan politik yang berlaku di Bosnia & Herzegovina, ia akhirnya berjaya ditawan oleh empayar tersebut. Bosnia ditawan pada tahun 1463, sementara Herzegovina pula ditawan pada tahun 1482. Penawanan Bosnia & Herzegovina oleh Empayar Turki Uthmaniyah membuka lembaran baru dalam sejarah Bosnia & Herzegovina. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Jumlah penganut baru Islam juga semakin bertambah dari sehari ke sehari. Walaupun Islam menjadi agama rasmi empayar tersebut, penduduk tempatan yang beragama Kristian tetap tidak diabaikan hak-hak mereka. Mereka bebas mengamalkan ajaran agama mereka, tidak kira sama ada yang bermazhab Katolik ataupun Orthodox. Mereka yang memeluk agama Islam pula digolongkan dalam kaum etnik yang diberi nama kaum etnik 'Bosniak'.

Sepanjang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di Bosnia & Herzegovina, pelbagai infrastruktur telah dibina mengikut citarasa senibina Turki & senibina tempatan. Beratus-ratus buah masjid dibina. Begitu juga dengan bangunan-bangunan yang lain seperti jambatan, sekolah, hospital & sebagainya. Islam sememangnya telah banyak membawa perubahan di bumi Bosnia & Herzegovina.

Walau bagaimanapun, mulai akhir kurun ke-17, telah berlaku siri pemberontakan di rantau Balkan yang inginkan kebebasan daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Pemberontakan tersebut turut melibatkan Bosnia & Herzegovina. Akhirnya, Empayar Turki Uthmaniyah terpaksa bersetuju menyerahkan tanah jajahan Bosnia & Herzegovina kepada Empayar Austria-Hungary dalam satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1878. Dengan ini, tamatlah sudah era pemerintahan Turki Uthmaniyah di bumi Bosnia & Herzegovina setelah lebih kurang 400 tahun ia memerintah di bumi itu.

Bersambung...

2 buah komen:

Unknown Wednesday, October 14, 2009 at 3:34:00 PM GMT+8  

salam.
hi jhaz, actl sy nk taip 'pemandangan di tepi pantai' tetiba secara x sengaja terbuka blog awak ni..heheh rasa seronok tgk kawan2 berayu kat oversea..(mm..tp awk bkn kwn saye..)since habis blajr kt usm dlm architecture sy xsmbung study mcm kwn2 yg lain..ader yg smbug master..phd..ader yg amek skim lect usm la..kbnyakkan semua smbug blajar la..tgll 2,3 kerat je yg ambik keputusan nk jd akitek (tittle 'Ar'.) termasuk la saya..eh..eh..berbalik kes tgk kwn2 beraye kt oversea..sy smpt usha2 blog awk ni,just raftly je la..lame gak awk study 7 thn.dah tu..amek medic lak tuh..u r 2nd person yg i kenal yg nk jd doctor.kwn i also graduate from dublin..skrg dh jd dokter dh pun kt hosp sbrg jaya penang..tringin gk nk p oversea..insyaallah bila dpt 'ar' 1st place yg ader salji2 ni,mesti la nk g australia..dekat sket..heheh(save bajet)..hopefully awk msih ada disana, so bleh jd tourist guide sy..
ok..nice blog, n gud luck for ur coming exam.
wsalam..

ismaliza (malie)
Architect - penang

Unknown Wednesday, October 14, 2009 at 4:14:00 PM GMT+8  

arghh..sory2..this is 2nd time i ingt ireland kt australia..wakakaka..ok..ireland kat u.k kan..hahahha..dah kn gelak ngn budak2 office..
lets join with facebook..add me ismaliza ismail

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP