BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXIII) - BuLGaRia

>> Friday, February 12, 2010



Hari 11: 21 MEI 2008

Lebih kurang pukul 6.05 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Sofia. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku perhatikan kesemua papan tanda yang terdapat di dalamnya ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Cuma ada beberapa papan tanda sahaja yang dipadankan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang menggunakan huruf-huruf Rumi. Negara Bulgaria, sama seperti Russia, Serbia, Montenegro, Macedonia & beberapa buah lagi negara Eropah Timur & juga Asia Tengah menggunakan huruf-huruf Cyrillic dalam sistem tulisan bahasa mereka. Bulgaria adalah negara pertama yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic yang aku jejaki. Mujurlah aku sudah pun belajar mengenali huruf-huruf Cyrillic sebelum aku tiba di Bulgaria. Ianya tidaklah sesusah mana. Tulisan Cyrillic ini sebenarnya lahir di bumi Bulgaria pada akhir kurun ke-9.


Peta menunjukkan negara-negara yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic


Huruf-huruf Cyrillic dipadankan dengan sebutannya dengan menggunakan huruf-huruf Rumi


Contoh papan tanda berhuruf Cyrillic

Aku kemudiannya melangkah keluar dari stesen keretapi itu untuk mencari lokasi hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Seperti yang aku jangkakan, kesemua nama jalan di bandar Sofia ini ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Cyrillic. Pelancong-pelancong yang tidak tahu membaca dengan menggunakan huruf-huruf tersebut, pasti akan menghadapi masalah besar. Aku sekali lagi berasa bersyukur kerana telah belajar mengenali huruf-huruf tersebut. Aku akhirnya berjaya menjumpai hostel yang aku cari walaupun lokasinya agak tersorok. Pemilik hostel tersebut adalah seorang yang agak peramah. Aku memberitahunya bahawa aku adalah pelajar perubatan di Dublin. Dia kemudian dengan gembiranya memberitahu aku bahawa ayahnya adalah seorang doktor. Akan tetapi, ayahnya telah lama bersara. Seketika kemudian, ayahnya tiba-tiba sahaja muncul. Aku berkesempatan untuk berbual-bual dengan orang tua itu yang sama peramah seperti anaknya.

Selepas berbual-bual, aku dibawa ke bilik tumpangan aku. Aku kemudiannya berehat-rehat sebentar untuk menghilangkan penat. Setelah hilang penat, aku pun membersihkan diri & bersiap-siap untuk keluar. Apabila sudah bersedia, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Sofia, Bulgaria.

Bulgaria adalah negara ke-5 yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan ini. Negara ini disempadani oleh Romania di bahagian utara yang dipisahkan oleh Sungai Danube, Serbia & Macedonia di bahagian barat & Greece & Turki di bahagian selatan. Bahagian timur negara ini pula adalah persisiran pantai Laut Hitam. Bulgaria adalah salah sebuah negara anggota Kesatuan Eropah. Penduduk negara ini berjumlah 7,600,000 orang. 84% daripadanya adalah daripada bangsa Bulgaria yang menganut ajaran Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah bangsa Turki yang beragama Islam, bangsa Roma (Gypsy) & bangsa-bangsa minoriti yang lain. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Bulgaria yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic. Bulgaria mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Matawang yang digunakan ialah Lev. 1.00 Euro bersamaan dengan 2.00 Lev. Sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.40 Lev.


Peta kedudukan Bulgaria di dalam Eropah


Peta Bulgaria


Bendera Bulgaria

Menurut sejarah, orang-orang bangsa Thracia adalah antara penghuni terawal di bumi Bulgaria. Mereka disatukan pada tahun 500SM di bawah pemerintahan kerajaan Odrysian yang kemudiannya bernaung di bawah Empayar Macedonia yang dipimpin oleh Philip II of Macedon & anaknya, Alexander The Great. Pada tahun 188 SM, tentera Empayar Rom telah mencerobohi tanah orang-orang Thracia di Bulgaria. Empayar tersebut akhirnya berjaya menawan bumi Bulgaria pada tahun 45 M. Percampuran kebudayaan Thracia & Rom kemudiannya mulai berlaku sejak itu. Pada kurun ke-4, orang-orang Thracia di Bulgaria ini memeluk agama Kristian, sejajar dengan pemerintah & seluruh rakyat Empayar Rom.

Orang-orang bangsa Slav dari Asia Tengah mulai berhijrah secara beramai-ramai ke bumi Bulgaria pada kurun ke-6. Mereka kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Bulgar. Empayar Bulgaria Pertama ditubuhkan oleh mereka pada tahun 632. Ibu kotanya bertukar-tukar. Terdapat 4 buah bandar yang pernah dijadikan ibu kota empayar tersebut, iaitu Pliska, Preslav, Skopje & Ohrid. Sekitar tahun 717 & 718, Empayar Bulgaria Pertama telah membantu jirannya, Empayar Byzantine untuk mengalahkan tentera Arab yang cuba menawan Constantinople & usaha mereka menemui kejayaan.

Mulai tahun 864, rakyat Empayar Bulgaria Pertama telah mula menganuti agama Kristian Orthodox sewaktu di bawah pemerintahan Boris I. Huruf-huruf Cyrillic juga mula diperkenalkan sewaktu era pemerintahannya. Empayar tersebut kemudiannya menjadi salah sebuah empayar terhebat di benua Eropah sekitar kurun ke-9 & 10. Walau bagaimanapun, empayar ini terpaksa berebut dengan Empayar Byzantine untuk menguasai wilayah-wilayah jajahan di rantau Balkan. Empayar Bulgaria Pertama seterusnya mengecapi puncak kegemilangannya sewaktu di bawah pemerintahan Simeon The Great. Namun, empayar ini lama-kelamaan mula menjadi lemah akibat peperangan dengan Croatia & juga pencerobohan orang-orang Magyar. Akhirnya, Empayar Bulgaria Pertama ini runtuh pada tahun 971. Empayar Byzantine mengambil peluang yang ada dengan menawan kesemua wilayah jajahan Empayar Bulgaria Pertama. Sejak dari tahun itu, Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine.


Peta Empayar Bulgaria Pertama

Pemerintahan Empayar Byzantine di bumi Bulgaria berakhir pada tahun 1185, apabila Empayar Bulgaria Kedua berjaya dibentuk. Maharajanya yang pertama ialah Peter IV. Ibu kotanya pula ialah Veliko Ternovo. Sejak dari penubuhannya, empayar ini semakin hari menjadi semakin kuat. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1257, Empayar Bulgaria Kedua ini menjadi semakin lemah akibat serangan dari orang-orang Tatar, Byzantine, Hungary & Turki Uthmaniyah. Ia juga mengalami masalah konflik dalaman. Akhirnya, pada tahun 1393, ibu kotanya iaitu Veliko Ternovo telah berjaya ditawan oleh tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Secara tidak langsung, seluruh tanah Bulgaria juga jatuh ke tangan empayar tersebut. Sejak dari tahun itulah ramai penduduk Bulgaria mula memeluk agama Islam.


Peta Empayar Bulgaria Kedua

Pada tahun 1876, setelah hampir 500 tahun Bulgaria berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, berlaku satu rusuhan besar yang memperjuangkan kemerdekaan Bulgaria. Rusuhan tersebut bagaimanapun berjaya dipatahkan. Namun, pada tahun 1908, Bulgaria akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan penuh daripada Empayar Turki Uthmaniyah dengan bantuan daripada Empayar Russia & Romania. Ferdinand I merupakan raja yang memerintah wilayah Bulgaria pada waktu itu. Baginda ditabalkan sebagai Raja Bulgaria yang pertama selepas kemerdekaan Bulgaria daripada Empayar Turki Uthmaniyah.

Bulgaria seterusnya menyertai beberapa siri peperangan seperti Perang Balkan, Perang Dunia Pertama & Perang Dunia Kedua. Sewaktu Perang Dunia Pertama & Kedua, Bulgaria bersekutu dengan Jerman & mengalami kekalahan dalam kedua-dua perang tersebut. Pada tahun 1944, Soviet Union telah menceroboh Bulgaria. Seterusnya, pada tahun 1946, Republik Bulgaria yang berhaluan Komunis telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, republik berhaluan Komunis itu akhirnya menemui kehancuran pada tahun 1989, sama seperti negara-negara Komunis di Eropah Timur yang lain, termasuklah Soviet Union sendiri yang merupakan pengasasnya. Seterusnya, barulah Republik Bulgaria seperti yang wujud pada hari ini ditubuhkan.

Bersambung...

5 buah komen:

iBu...gUru Friday, February 12, 2010 at 1:55:00 PM GMT+8  

salam,
banyak info yg boleh dikongsi.terima kasih. x sabar nak tunggu en3 seterusnya

mama ju, Friday, February 12, 2010 at 2:04:00 PM GMT+8  

Salam
Mamaju dah baca N3 pertama 2004 tu..ke eropah...menarik.Mama memang check kat atlas...tapik springlah...lama juga nak menghabiskan satu N3..

Memang hebatlah.

Dah baca buku Ibn Batuta? Mama nak kata ni Ibn Batuta Malaysia!

Nanti ada masa mama sambung baca lagi..

Syukurlah kalau nanti ia diterbitkan..tentu terasa lebih ummp bila dibukukan. Harap dpt promasi lebih.

Sekarang tgh berehat kat malaysia ke?

Jmpa lagi.Tkasih.

mohdandmeriam Friday, February 12, 2010 at 8:52:00 PM GMT+8  

salam jhaz. sungguh bertuah kerana dapat merantau kesegenap benua eropah ni. terima kasih juga kerana sudi berkongsi pengalaman jhaz.

Chit Ana Saturday, February 13, 2010 at 2:07:00 AM GMT+8  

salam saudara

bile nak dibuku psl pengalaman travel ni?leh ana rujuk nati ;)

JHaZKiTaRo Saturday, February 13, 2010 at 8:11:00 AM GMT+8  

iBu...gURu:
wsalam.. insyaAllah i'll keep updating.. selamat membaca.. :)

mama ju:
wsalam.. waaah.. hebat betul mama ju.. sanggup baca entry2 yg lama2.. haha.. thanx.. rasa terharu pulak.. ibnu battuta Malaysia?? hahaha.. rasenye mcm tak layak je.. ntah2 ade lagi org yg lagi layak.. :) insyaAllah my first book akan diterbitkan bulan depan.. jgn lupe beli ye.. dan teruskan membaca my blog.. :) skarang ni saya tgh study utk final exam di Dublin.. doa2kan

mohdandmeriam:
wsalam.. alhamdulillah.. semua tu rezeki drp Allah.. insyaAllah saya akan cuba berkongsi segala pengalaman saya dgn pembaca.. :)

Chit Ana:
wsalam.. insyaAllah first buku (TUrki) akan keluar next month.. jgn lupe beli.. :)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP