BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXVI) - iNTeRMiSSioN

>> Thursday, February 18, 2010



Hari 12: 22 MEI 2008

Selepas solat Subuh & membersihkan diri, aku pun keluar dari hostel yang aku tumpangi seawal pukul 8.00 pagi. Aku terus menuju ke stesen bas Sofia untuk menanti ketibaan bas ke Skopje, Macedonia. Tidak lama kemudian, bas yang dinantikan pun tiba. Aku lalu terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, bas itu pun mulai bergerak meninggalkan Sofia menuju ke Skopje. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 6 jam lamanya. Aku memilih untuk menaiki bas kerana perkhidmatan keretapi dari Sofia ke Skopje agak jarang. Mujurlah harga tiket bas tidak terlampau mahal.

Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan Macedonia, aku pun tiba di stesen bas Skopje. Sesampainya aku di stesen bas tersebut, aku tercari-cari mesin ATM kerana aku perlu mengeluarkan wang dalam matawang negara Macedonia. Setelah penat mencari, aku akhirnya berjaya menjumpainya. Aku pun terus memasukkan kad ATM aku ke dalam mesin tersebut. Belum sempat aku menaip nombor pin aku, skrin mesin ATM tersebut tiba-tiba terpadam. Aku terus menjadi panik. Aku menekan-nekan butang ‘cancel’ untuk mengeluarkan semula kad ATM aku, tetapi tiada apa yang berlaku. Aku menjadi semakin cemas. Itu sahajalah sumber kewangan yang aku ada. Tanpa kad ATM itu, bagaimana hendak aku keluarkan wang sepanjang aku berada di perantauan ini? Pengembaraan aku di bumi Balkan masih lagi tinggal beberapa hari. Walau bagaimanapun, aku masih mempunyai kad kredit. Aku boleh sahaja mengeluarkan wang dengan menggunakan kad kredit tersebut. Cuma penggunaannya akan dikenakan caj tambahan.

Aku kemudiannya terus berlari ke sebuah bilik pejabat berdekatan di mana terdapat seorang pekerja wanita di dalamnya. Aku cuba memberitahunya tentang masalah yang aku hadapi & aku cuba meminta pertolongannya. Wanita yang sedang dalam keadaan mood yang tidak begitu baik itu kemudiannya menyuruh aku pergi ke bank di pusat bandar untuk membuat laporan. Aku lantas memberitahunya bahawa ini adalah pertama kali aku tiba di Skopje & aku tidak tahu selok-belok bandar ini. Wanita itu kemudiannya dengan nada suara yang tinggi mengulangi arahannya menyuruh aku pergi mencari bank di pusat bandar. Aku dikatakan seolah-olah membuang masanya.

Aku tidak tahu lagi bagaimana untuk memberi respon. Wanita itu benar-benar tidak memahami situasi yang sedang aku alami. Aku agak terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Rasa seperti hendak menangis pun ada. Aku benar-benar cemas. Bagaimana aku hendak mengambil semula kad ATM aku yang tersangkut di dalam mesin ATM itu? Aku benar-benar buntu. Aku harapkan apa yang sedang berlaku ini hanya sekadar sebuah mimpi ngeri. Namun, ianya adalah kenyataan pahit yang perlu aku terima. Yang termampu aku lakukan pada waktu itu hanyalah berdoa kepada Allah SWT agar aku diberi petunjuk oleh-Nya.

Secara tiba-tiba, muncul seorang lelaki tempatan berusia 40-an di pejabat itu yang kelihatan seperti bekerja sebagai tukang sapu di stesen bas tersebut. Dia bertanyakan kepada wanita itu apa yang sedang berlaku. Wanita itu pun menceritakan tentang hal yang berlaku dalam bahasa mereka. Lelaki itu kemudiannya menarik tangan aku ke mesin ATM tadi. Dia kemudian menekan butang ‘cancel’ itu selama lebih kurang seminit. Setelah itu, dengan tidak semena-mena, kad ATM aku yang tersangkut itu pun keluar. Ya Allah. Adakah lelaki itu malaikat yang diutuskan oleh-Mu? Aku bersyukur sangat-sangat. Tiada kalimah lain yang mampu aku ucapkan selain Alhamdulillah.

Lelaki itu kemudiannya membawa aku ke sebuah mesin ATM berdekatan & cuba menerangkan kepada aku bahawa mesin ATM tersebut berfungsi dengan baik. Walaupun Bahasa Inggerisnya tidak begitu fasih, aku tetap boleh memahami apa yang cuba dikatakannya. Aku lalu mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepadanya. Syukur kepada Allah SWT kerana telah mengutuskan lelaki itu untuk membantu aku. Mungkin ini adalah ujian kecil daripada-Nya untuk melihat sejauh mana kesabaran aku. Wallahu ‘alam. Apa-apa pun, aku benar-benar bersyukur kerana aku telah mendapat semula kad ATM aku.

Selepas mengeluarkan wang, aku pun terus berjalan mencari lokasi hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Aku menggunakan peta yang terdapat di dalam buku tersebut. Sedang aku berusaha untuk mencari hostel itu, secara tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat sekali. Ini adalah pertama kali aku merasai hujan sepanjang aku berada di rantau Balkan. Aku lantas terus berlari ke sebatang pokok untuk berteduh di bawahnya. Hujan turun semakin lebat. Pokok tempat aku berlindung sudah tidak mampu lagi menahan titisan air hujan daripada membasahi aku. Aku kemudiannya mendapat idea untuk berteduh di bawah kolong sebuah rumah berdekatan dengan pokok itu. Hahaha. Mujurlah tuan rumah tidak perasan akan kehadiran aku. Agak lama juga aku berteduh di situ, sementara menanti hujan reda. Akhirnya, setelah hampir 20 minit menunggu, hujan pun mulai reda. Aku pun kemudiannya meneruskan perjalanan mencari hostel tersebut. Baju, seluar & beg aku basah sedikit akibat terkena air hujan. Tidak selesa rasanya.

Hampir 20 minit lamanya aku tercari-cari hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku itu. Namun, ianya masih belum dijumpai. Adakah aku tersalah membaca peta? Aku berulang-alik melalui sebatang jalan raya untuk mencari lokasi hostel itu. Hampir semua orang yang lalu-lalang di situ aku tegur untuk bertanyakan tentang lokasi hostel itu. Namun, kesemuanya memberi jawapan yang menghampakan. Aku akhirnya berputus asa. Aku lantas terus menahan sebuah teksi yang lalu di jalan raya tersebut. Kemudian, aku menunjukkan alamat hostel itu kepada pemandunya. Pemandu teksi itu berkata bahawa hostel itu terletak tidak jauh dari situ. Aku yang sedang dalam kepenatan hanya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke hostel itu. Aku tidak terdaya lagi untuk berjalan. Dan aku tidak kisah berapa tambang yang akan dikenakannya. Aku cuma hendak tiba di hostel itu sahaja.

Lebih kurang 5 minit kemudian, aku pun tiba di hostel yang dimaksudkan. Rupa-rupanya, memang dekat seperti yang dikatakan oleh pemandu teksi itu tadi. Cuma ianya agak tersorok. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi tadi & bertanya akan tambang yang dikenakannya. Ianya tidaklah terlampau mahal. Tetapi, malangnya aku tidak mempunyai wang kecil. Akhirnya, aku terpaksa membayarnya dengan wang Euro. Mujurlah dia bersetuju untuk menerimanya. Selepas itu, aku terus masuk ke dalam hostel tersebut. Nasib aku seperti jatuh ditimpa tangga. Satu demi satu masalah datang menimpa diri aku. Kali ini, aku diberitahu oleh pemilik hostel itu yang hostel itu sudah pun penuh. Ya Allah. Hebat sekali ujian-ujian yang diberi oleh-Mu kepada hamba-Mu di bumi Skopje ini. Baru sahaja aku menjejakkan kaki di kota ini, sudah bermacam-macam masalah yang timbul.

Walau bagaimanapun, pemilik hostel itu kemudiannya memberitahu aku bahawa dia mempunyai kenalan yang juga merupakan seorang pemilik hostel. Hostel kepunyaan kenalannya itu besar kemungkinan masih terdapat kekosongan. Dia bertanya sama ada aku bersetuju jikalau dia hendak menghantar aku ke hostel tersebut. Aku dengan serta-merta bersetuju tanpa berfikir panjang. Ya Allah. Aku bersyukur sangat-sangat. Tidak berapa lama selepas itu, datang sebuah teksi untuk membawa aku ke hostel yang dimaksudkan itu. Lebih kurang 10 minit perjalanan, aku pun tiba di hostel tersebut. Pemilik hostel itu datang menjemput aku & membayar tambang teksi itu dengan menggunakan wangnya sendiri. Selepas itu, dia membawa aku masuk ke dalam hostelnya untuk mendaftar masuk. Kemudian, aku dibawa ke bilik aku. Bilik tersebut agak besar & selesa. Lengkap dengan peti televisyen, bilik air & sebagainya.

Aku berehat-rehat dahulu di dalam bilik hostel yang aku tumpangi sebelum keluar untuk menjelajahi kota Skopje. Penat sungguh rasanya selepas melalui banyak sungguh dugaan sejak aku mula-mula menjejakkan kaki di stesen bas tadi sehinggalah aku tiba di hostel ini. Walau apa pun, aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah membantu aku menyelesaikan setiap masalah yang menimpa. Benarlah kata orang. Jikalau niat kita baik, Allah SWT akan membantu memudahkan segalanya buat kita.

Selepas membersihkan diri, solat & sebagainya, aku pun keluar untuk memulakan ekspedisi aku. Aku menaiki teksi ke pusat bandar kerana aku sendiri tidak pasti di mana lokasi hostel yang aku tumpangi ini. Ianya tidak terdapat di dalam buku panduan aku. Setibanya di pusat bandar, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Skopje, Macedonia ini.

Bersambung...

12 buah komen:

maslinamansor Thursday, February 18, 2010 at 10:47:00 AM GMT+8  

Alhamdulilah, nasib baik ada orang yang sudi menolong...

masMZ Thursday, February 18, 2010 at 2:29:00 PM GMT+8  

dugaan-dugaan kecil untuk mengingatkan kita padaNya...

mama ju, Thursday, February 18, 2010 at 6:44:00 PM GMT+8  

Salam Kitaro!

Mula2 suspen betul..berdebar pulak mujur 'malaikat 'dtg... lepas tu sedih dan terharu...gitu agaknya merantau sendirian di negara berbahasa asing . Bersedia menghadapi rintangan.Apa2pun syabas kerana semangat.

Mama tak habis lagi baca kisah2 lama...mana pegi kawan2 dulu tu..tak minat lagi atau dah berangkat balik kg?

Jumpa lagi...wasalam.

mama ju, Thursday, February 18, 2010 at 6:45:00 PM GMT+8  

terima ksh mama dah link lirik tu.
Barulah paham......

anon suria Friday, February 19, 2010 at 12:17:00 AM GMT+8  

huh tak dapat bayangkan kad atm kena telan kat negara orang. panik panik...

anwar azhari Friday, February 19, 2010 at 6:19:00 AM GMT+8  

owhh.. kalau kad kene telan,
kene tekan butang cancel dlm lebeh kurg sminit rupanya..

cool~

Ieza Friday, February 19, 2010 at 7:59:00 AM GMT+8  

salam kenal..jauh berjalan luas pandangan kn..dn setiap dugaan pasti ada hikmahnya..walaupn nampak perit ia pasti menjadi pengalaman yg indah untuk dikenang suatu hari nnti..

Teroris Cinta Friday, February 19, 2010 at 9:36:00 AM GMT+8  

wah jadi ingiri nech...jadi pgn deket, mau dung dicurahkan pengalamannya....salam kenal.Terosic Cinta, ditunggu follow backnya yach...

mohdandmeriam Friday, February 19, 2010 at 6:37:00 PM GMT+8  

salam jhaz. takut dan sedih perasaan mak cik membaca n3 ni.kuatkan semangat dan selalulah mengingatiNya kerana bila berada dalam keadaan begini Dia sajalah yng akan membantu kita.semoga jhaz selamat dalam pengembaraan ni.

JHaZKiTaRo Saturday, February 20, 2010 at 8:23:00 AM GMT+8  

sonata anak kancil:
thanx.. :)

maslinamansor:
itu laa.. lega sangat. Alhamdulillah..

mazMZ:
betul2..

Alimaz-Kembara Terasing:
:) setuju2..

mama ju:
wsalam... itu laa rasanya travel sorang2.. semua masalah perlu diselesaikan sendiri.. mujurlah Allah SWT memudahkan segala2nya.. kawan2 lama semua dah balik Msia..

anon suria:
hahah.. mmg panik yg teramat sangat.. ye laa.. kalau takde kad tu, mcm mana nak keluarkan duit..

anwar azhari:
hahaha.. itu laa.. maybe itu tricknya utk ATM machine kat Macedonia..

Ieza:
salam kenal.. betul tu.. setuju sangat2..

Teroris cinta:
insyaAllah

mohdandmeriam:
wsalam.. huhuh.. kalau makcik takut, saye lagi takut waktu kad tu tersangkut.. waktu tu ingat kat Allah je.. tak ingat lain2 dah.. mujurlah semuanya selamat..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP