BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XX) - BRaSoV & DRaCuLa's CaSTLe

>> Thursday, February 04, 2010



Selepas keluar sahaja dari hostel di Bucharest, aku terus menuju ke stesen keretapi untuk menaiki keretapi ke Brasov, sebuah bandar kecil yang terletak agak jauh dari Bucharest. Aku akan menghabiskan masa aku pada hari ini di Brasov & sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengannya, iaitu Bran. Kota Bucharest pula akan aku jelajahi pada keesokan harinya memandangkan aku mempunyai masa 2 hari di Romania. Kota Brasov & Bran yang akan aku jejaki ini terletak di dalam wilayah Transylvania yang amat terkenal dengan lagenda Drakula. Watak Drakula ini terdapat di dalam novel seram berjudul ‘Dracula’ yang diterbitkan pada tahun 1897. Novel ini adalah hasil karya penulis novel terkenal dari Ireland yang bernama Bram Stoker. Hasil karyanya ini telah mendapat sambutan yang amat hebat & telah berulangkali diadaptasikan ke dalam bentuk filem.


Peta kedudukan Bucharest, Brasov & Bran di dalam Romania

Keretapi ke Brasov yang aku naiki bertolak pada pukul 7.30 pagi. Perjalanan dari Bucharest ke Brasov memakan masa selama 2¾ jam. Aku menggunakan tiket pas Interrail. Keretapi yang aku naiki ini melalui pergunungan Carpathia, pergunungan yang memisahkan wilayah Transylvania dengan Wallachia. Pemandangan di sini teramatlah cantik. Subhanallah.


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania

Lebih kurang pukul 10.15 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Brasov. Sesampainya aku di stesen keretapi tersebut, aku menaiki teksi pula untuk ke stesen bas yang terletak agak jauh dari stesen keretapi itu. Tujuan aku ke stesen bas tersebut adalah untuk menaiki bas dari situ untuk ke Bran Castle yang terletak di Bran. Bran adalah sebuah pekan yang kecil & tidak dihubungkan dengan perkhidmatan keretapi. Disebabkan itulah aku terpaksa menaiki bas untuk ke sana. Sewaktu dalam perjalanan dari stesen keretapi ke stesen bas yang dimaksudkan, aku & pemandu teksi berbual-bual tentang keadaan cuaca Brasov yang pada waktu itu sedang menerima hujan yang agak lebat. Pemandu teksi itu kemudiannya menawarkan diri untuk membawa aku terus ke Bran. Akan tetapi, bayaran yang dikenakannya agak mahal. Oleh itu, aku terpaksa menolak tawarannya dengan cara yang baik.

Setibanya aku di stesen bas Brasov dengan menaiki teksi, aku menunggu pula ketibaan bas untuk ke Bran. Tidak berapa lama kemudian, bas yang aku nantikan pun tiba. Aku lantas terus menaikinya. Aku meminta pemandu bas supaya membuat pengumuman apabila bas sudah tiba berhampiran Bran Castle. Mujurlah pemandu bas itu memahami Bahasa Inggeris. Perjalanan dengan menaiki bas tersebut melalui kawasan bukit-bukau yang cantik. Dari jauh, aku dapat melihat sebuah gunung yang diselaputi salji di pergunungan Carpathia. Cantik sekali.


Panorama kawasan pergunungan Carpathia, Romania

Apabila sudah tiba di kawasan Bran Castle, pemandu bas itu pun membuat pengumuman. Aku lantas terus turun dari bas & mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, aku berjalan kaki menuju ke pintu masuk perkarangan Bran Castle. Untuk ke istana tersebut, pelancong-pelancong perlu mendaki bukit yang agak curam kerana istana itu terletak di atas puncak bukit. Setibanya aku di istana itu selepas penat lelah mendaki bukit, istana itu rupa-rupanya masih ditutup & akan dibuka sejam lagi. Geram pula rasanya. Aku kemudiannya turun semula untuk ke kedai-kedai cenderahati yang terdapat di kaki bukit tersebut. Setelah menghabiskan masa hampir sejam membeli beberapa buah cenderahati, aku pun kembali semula mendaki bukit untuk ke Bran Castle tadi. Mujurlah ianya sudah pun dibuka.

Bran Castle adalah antara monumen penting & mercu tanda utama negara Romania. Istana ini terletak betul-betul di garis sempadan wilayah Transylvania & Wallachia. Ia juga turut dikenali sebagai Dracula’s Castle. Ianya adalah salah satu daripada beberapa buah istana yang dikaitkan dengan lagenda Dracula. Akan tetapi, Bran Castle ini adalah yang paling terkenal sekali kerana nama istana inilah yang disebut di dalam novel Dracula, hasil karya Bram Stoker. Walau bagaimanapun, Bram Stoker dikatakan sebenarnya tidak mengetahui langsung tentang sejarah sebenar Bran Castle ini. Istana ini hanya dijadikan lokasi fiksyennya sahaja. Putera Wallachia yang kejam yang bernama Vlad Tepes (Vlad III) yang turut digelar dengan nama Dracula juga dikatakan tidak pernah tinggal di istana ini. Oleh itu, kaitan antara Drakula & Bran Castle ini hanyalah fiksyen rekaan Bram Stoker semata-mata di dalam novelnya. Namun, populariti novel tersebut akhirnya secara tidak langsung turut menaikkan nama istana ini.


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Di dalam Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Panorama Transylvania dari Bran Castle (Dracula's Castle), Bran, Romania


Bram Stoker


Drakula


Vlad Tepes

Bran Castle dikatakan dibina pada tahun 1377 & digunakan sebagai kubu pertahanan untuk menghalang pencerobohan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Kemudiannya, mulai tahun 1920, istana ini dijadikan kediaman diraja Romania. Ia menjadi kediaman utama Permaisuri Romania pada waktu itu yang bernama Marie. Selepas itu, istana ini diwariskan kepada puteri mereka, iaitu Ileana. Apabila Romania jatuh ke tangan pemerintahan Komunis, istana ini dirampas oleh pihak pemerintah & keluarga diraja diusir keluar dari Romania pada tahun 1948.


Permaisuri Marie

Pada tahun 2006, kerajaan Romania telah mengembalikan semula hak milik Bran Castle kepada waris Puteri Ileana yang bernama Dominic von Habsburg, seorang arkitek yang kini menetap di Amerika Syarikat. Setahun kemudian, Dominic von Habsburg telah memulakan perlelongan istana tersebut dengan harga asas 40 Juta Dolar. Kerajaan Romania bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang dikatakan salah di sisi undang-undang Romania. Isu tersebut sehingga kini masih lagi dibincangkan. Buat masa sekarang, Bran Castle ini dijadikan muzium yang mempamerkan khazanah-khazanah tinggalan Permaisuri Marie.

Selepas menghabiskan masa hampir sejam di dalam Bran Castle, aku berjalan kembali ke tempat menunggu bas yang terdapat di luar perkarangan istana tersebut untuk kembali semula ke stesen bas Brasov. Tidak berapa selepas menunggu, bas pun tiba & aku terus masuk ke dalamnya. Setibanya aku di stesen bas Brasov, aku menaiki teksi pula untuk ke pusat bandarnya. Seperti yang telah aku katakan, Brasov adalah sebuah bandar kecil yang terletak di dalam wilayah Transylvania. Bandar ini terletak di tengah-tengah negara Romania & dikelilingi oleh pergunungan Carpathia. Penduduknya berjumlah 280,000 orang.

Antara tahun 1141 & 1162, iaitu sewaktu Brasov di bawah jajahan kerajaan Hungary, Raja Hungary telah mempelawa orang-orang dari Jerman untuk membangunkan Brasov. Kubu pertahanan kemudiannya dibina di sekeliling kota ini. Bandar ini seterusnya didominasi oleh orang-orang Jerman sehinggakan orang-orang Romania sendiri dipinggirkan. Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, iaitu apabila Romania mula menjadi negara Komunis, kebanyakan orang-orang Jerman ini berhijrah kembali ke Jerman Barat, tempat asal mereka. Pada masa kini, orang-orang Jerman hanya menjadi penduduk minoriti di sini.

Lokasi pertama di Brasov yang aku kunjungi ialah Council Square, sebuah dataran kecil yang merupakan kawasan tumpuan utama penduduk tempatan. Kawasan ini dahulunya merupakan sebuah medan pasar yang mula dibuka pada tahun 1520. Ia kemudiannya digunakan sebagai tempat untuk menghukum pesalah-pesalah. Ahli-ahli sihir juga dikatakan turut dibakar di sini pada zaman dahulu. Bangunan di sekeliling dataran ini kaya dengan sejarah masing-masing. Salah satu daripadanya ialah Council House yang dibina pada tahun 1420. Bangunan ini pada waktu dahulu digunakan sebagai penjara untuk menyiksa banduan-banduan.


Council Square & Council House, Brasov, Romania

Tempat seterusnya yang aku jejaki ialah Black Church, gereja mazhab Lutheran yang dibina oleh komuniti Jerman yang menetap di sini pada zaman dahulu. Ianya siap dibina pada tahun 1477 & mendapat namanya selepas kebakaran yang berlaku di gereja ini pada tahun 1689, iaitu sewaktu pencerobohan tentera Empayar Austria ke sini dalam peperangannya dengan Empayar Turki Uthmaniyah.


Black Church, Brasov, Romania

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar bandar Brasov ini. Aku singgah di sebuah kedai menjual selipar untuk membeli selipar baru kerana selipar yang aku pakai sudah pun haus. Kemudian, aku singgah di restoran MacDonald’s untuk makan tengah hari. Selepas makan, aku menyambung bersiar-siar di bandar Brasov. Apabila sudah puas, aku menaiki teksi untuk ke stesen keretapi Brasov.


Sebuah bangunan unik di Brasov, Romania

Keretapi ke Bucharest yang aku naiki bertolak pada pukul 5.10 petang. Perjalanan ke Bucharest dari Brasov mengambil masa selama 3¼ jam. Lebih kurang pukul 8.30 malam, aku pun tiba di stesen keretapi Bucharest. Setibanya aku di situ, aku terus kembali semula ke hostel aku. Selepas mandi & solat, aku pun terus melelapkan mata kepenatan.

Bersambung...

9 buah komen:

chekdenoor Thursday, February 4, 2010 at 9:32:00 AM GMT+8  

Salam,

Waduh...canteknyer permandangan tu...... tak dapat g ...tengok photo pun dah teruja.......

Jauh berjalan, luas pandangan......

Sekarang ni cuti ker

rezeki Thursday, February 4, 2010 at 10:29:00 AM GMT+8  

salam jhaz

sungguh indah bumi ciptaan Allah

jhaz, kalu dulu drakula ada kat romania je , tapi sekarang nk jumpa drakula, kat malaysia pun dan byk
drakula penghisap darah he he he

drakula yg terdiri dari peniaga2 yg suka hisap darah pelanggan
ngeh ngeh

mohdandmeriam Thursday, February 4, 2010 at 4:49:00 PM GMT+8  

salam jhaz. cantiknya romania esp. castle yg dikelilingi hutan tu.
kenapa jhaz lagu dalam blog ni tersangkut2 tak macam dalam blog lain/ comp. mak cik yg begitu.

iBu...gUru Thursday, February 4, 2010 at 9:22:00 PM GMT+8  

salam jhaz,
bertuahnya dpt menikmati indahnya ciptaanNya yg tiada tandingnya...........
salam dari org kampung PB

Diarihatiku1976 Friday, February 5, 2010 at 7:40:00 AM GMT+8  

Waduh...canteknyer permandangan tu...... tak dapat g ...tengok photo pun dah teruja.......

[s][u][e][h][a][n][n] Friday, February 5, 2010 at 9:31:00 AM GMT+8  

tgk dari jauh jer permandangan yang sangat cantik tu....

salam ziarah :)

sweetkakayau Friday, February 5, 2010 at 12:46:00 PM GMT+8  

cantiknya pemandangan .. gain more knowledge when reading your blog..

anon suria Saturday, February 6, 2010 at 12:01:00 AM GMT+8  

wah..awak suka jenjalan jugak. sy blm sampai tmpt ni. nice for sharing! good info for me.....

JHaZKiTaRo Saturday, February 6, 2010 at 9:25:00 AM GMT+8  

chekdenoor:
wsalam.. :) romania mmg cantik.. skarang ni tgh ada klas..

rezeki:
wsalam.. yup.. bumi ciptaan Allah mmg sangat indah.. hahaha.. tu laa pasal.. drakula kat msia tu lagi menakutkan kot.. hihih

mohdandmeriam:
wsalam.. :) yup.. castle tu mmg cantik sgt.. oow.. maybe lambat sikit kot nak loading.. kat msia internet kan agak slow.. hihi

iBu..Guru:
wsalam.. alhamdulillah.. laa.. org PB jugak kaa?? hihih

Diarihatiku1976:
:) slalu2 laa singgah sini ye

suehann:
:) thanx sbb sudi singgah.. jemput2 laa dtg lagi

sweetkakayau:
:) thanx.. sila2 laa singgah lagi ke sini

anon suria:
nanti2 ada rezeki n masa, pegi laa lawat romania.. hih..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP