BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXI) - BuCHaReST I

>> Saturday, February 06, 2010



Hari 10: 20 MEI 2008

Selepas menunaikan solat Subuh & membersihkan diri, aku pun terus keluar untuk memulakan pengembaraan di kota Bucharest. Bucharest adalah ibu kota & bandar terbesar di Romania. Bandar ini terletak di pinggiran Sungai Dambovita, di dalam wilayah Wallachia. Penduduknya berjumlah 1,900,000 orang.


Peta kedudukan Bucharest di dalam Romania

Menurut sejarah, kota ini pernah menjadi kediaman Vlad Tepes yang turut dikenali dengan nama Dracula yang merupakan pemerintah kerajaan Wallachia sekitar pertengahan kurun ke-15. Bandar ini kemudiannya berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Sewaktu Bucharest berada di bawah naungan empayar tersebut, terdapat beberapa percubaan daripada Empayar Austria & Empayar Russia untuk menawan kota ini, tetapi usaha mereka tidak menemui kejayaan. Walau bagaimanapun, Bucharest akhirnya berjaya ditawan oleh Empayar Russia pada tahun 1828. Namun, pada tahun 1857, Empayar Austria pula berjaya mengambil alih pemerintahannya.

Selepas penyatuan Moldavia & Wallachia membentuk kerajaan Romania pada tahun 1878, Bucharest dijadikan ibu kota kerajaan ini. Mulai dari saat itulah, Bucharest mula membangun dengan begitu rancak sekali sehingga ia mendapat gelaran ‘Paris of the East’. Dari tahun 1916 hingga 1918, iaitu sewaktu Perang Dunia Pertama, Bucharest jatuh ke tangan pemerintahan Empayar Jerman. Selepas kekalahan Empayar Jerman dalam perang tersebut, Bucharest dikembalikan kepada Romania. Perang Dunia Kedua yang berlaku dari tahun 1941 hingga 1945 juga turut memberi impak kepada bandar ini.

Sewaktu pemerintahan Presiden Nicolae Ceausescu, kebanyakan bangunan lama yang bersejarah di kota Bucharest telah diruntuhkannya & diganti dengan bangunan-bangunan yang bercirikan senibina Komunis. Ini adalah antara penyebab utama tercetusnya Revolusi Romania yang berlaku pada tahun 1989, bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Nicolae Ceausescu.

Aku mengelilingi kota Bucharest dengan menaiki metro. Jaringan metro di kota ini adalah antara jaringan metro yang terbesar di benua Eropah. Arcul de Triumf adalah lokasi pertama yang aku jejaki di bandar ini. Ia merupakan antara mercu tanda utama Bucharest. Lokasinya dari stesen metro terdekat agak jauh jaraknya. Lebih kurang 2 kilometer. Aku terpaksa berjalan kaki sejauh itu untuk ke monumen tersebut. Sesampainya aku di situ, aku agak kecewa kerana ianya sedang dalam proses pembaikan. Walau apapun, aku tetap bergambar dengannya. Arcul de Triumf ini mempunyai bentuk seakan-akan Arc de Triumph yang terdapat di Paris, Perancis. Cuma saiznya mungkin lebih kecil berbanding yang di Paris.

Arcul de Triumf yang asal pada mulanya diperbuat daripada kayu. Ia dibina selepas pembentukan negara Romania hasil daripada penyatuan wilayah Wallachia & Moldavia yang berjaya mendapat kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Kemudian, pada tahun 1922, selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, monumen baru telah dibina bagi menggantikan monumen yang diperbuat daripada kayu itu. Pada tahun 1936, monumen yang dibina pada tahun 1922 itu digantikan pula dengan yang lebih baru yang kekal sehingga ke hari ini. Arcul de Triumf ini mempunyai ketinggian setinggi 27 meter.


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania


Arcul de Triumf, Bucharest, Romania

Seterusnya, aku meneruskan langkah ke Museum of the Romanian Peasant, muzium yang mempamerkan koleksi tekstil, ikon, seramik & banyak lagi artifak yang berkaitan dengan kehidupan hamba-hamba abdi di Romania pada zaman dahulu. Ianya adalah antara muzium yang terkenal di benua Eropah & pernah menerima anugerah ‘Museum of the Year’ pada tahun 1996. Muzium ini diasaskan pada tahun 1930-an. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania, muzium ini dijadikan muzium yang mewakili kerajaan Komunis. Hanya selepas kejatuhan Presiden Nicolae Ceausescu pada tahun 1990, barulah muzium ini dibuka semula kepada orang ramai. Aku hanya bergambar di bahagian luar muzium ini. Tidak berminat pula aku untuk masuk ke dalamnya.


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania


Museum of the Romanian Peasant, Bucharest, Romania

Selepas itu, aku menuju ke destinasi yang seterusnya, iaitu Union Square (Piata Unirii) yang merupakan antara dataran yang terbesar di Bucharest. Dataran ini terbahagi kepada 2 bahagian yang dipisahkan oleh sebatang jalan raya yang bernama Unirii Boulevard. Jalan raya tersebut dibina sewaktu era pemerintahan Komunis di Romania & diberi nama Boulevard of the Victory of Socialism. Hanya selepas Revolusi Romania 1989, barulah namanya ditukar ke Unirii Boulevard.

Dataran ini merupakan hab yang penting bagi sistem pengangkutan awam di Bucharest. Di sini terdapat stesen metro, tempat menunggu bas & juga stesen tram. Di sekelilingnya juga terdapat banyak bangunan yang menarik. Antaranya ialah Unirea Shopping Center yang merupakan pusat membeli-belah moden yang pertama di Bucharest & Hanul lui Manuc yang merupakan sebuah hotel yang ternama di kota ini. Di tengah-tengah dataran ini pula terdapat taman kecil berserta air pancut yang unik. Kawasan Union Square ini sememangnya cantik & sesuai untuk aktiviti riadah.


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Union Square, Bucharest, Romania


Unirii Boulevard, Bucharest, Romania

Bersambung...

9 buah komen:

matahari Saturday, February 6, 2010 at 5:09:00 PM GMT+8  

Selalu beli kasut bucherry di Bandung...agaknya brand dari Rumania kut.

sonata anak kancil Saturday, February 6, 2010 at 7:36:00 PM GMT+8  

cantiknya pemandangan....penuhkan ruang dengan menziarah di tempat orang....

mama ju, Sunday, February 7, 2010 at 12:29:00 AM GMT+8  

Salam Anakanda...

Bestnya tengok gambar dan dpt belajar sejarah lagi..

Hai cikgu Sonata jumpa kita disini ..he.he

Ayah Zain Sunday, February 7, 2010 at 2:14:00 PM GMT+8  

Salam anakanda,

jauh berjalanluas pandangan. Cantik sungguh pemandangan yang dipaparkan

JHaZKiTaRo Monday, February 8, 2010 at 9:04:00 AM GMT+8  

matahari:
hahaha.. mungkin jugak laa

TeacherNunu:
Hmm.. mcm mana bahasa org Romania?? cube cari kat YouTube kalau nak dengar.. hih

sonata anak kancil:
thanxx... insyaAllah

mama ju:
wsalam mama ju.. selalu2 laa datang sini ye

Ayah Zain:
wsalam Ayah Zain... subhanallah.. Semua tu adalah ciptaan Allah SWT

Baby Yaya Tuesday, February 9, 2010 at 11:38:00 PM GMT+8  

salam abang.
cantik gambar-gambar yang dipaparkan.
Abang nampak tembam kat sini..
yg paling best lagu nilah bang..memang best!!

nur eye Saturday, February 13, 2010 at 5:26:00 PM GMT+8  

Saya dapat salam dari Dublin.Terima kasih ya.sebagai sifu geografi auntie mengagumi pemandang yang cantik di bumi Dublin. No wonder anak auntie nak ke Dublin Oktober nanti.Dia fulltime photograher. Agaknya boleh jumpa anak di sana.

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 12:38:00 PM GMT+8  

buy xanax cover xanax drug test - get over xanax withdrawal

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP