BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XIX) - RoMaNia

>> Tuesday, February 02, 2010



Hari 9: 19 MEI 2008

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku bangun untuk menunaikan solat Subuh. Aku cuba memulas kepala pili air di dalam bilik air. Aku berasa teramat lega apabila air sejuk sudah mulai ada. Selesai sahaja solat Subuh & membersihkan diri, barulah aku berasa segar & bersedia untuk memulakan pengembaraan aku di negara Romania ini.

Romania adalah negara rantau Balkan keempat yang aku jejaki selepas Croatia, Bosnia & Herzegovina & Slovenia. Ia adalah negara yang terbesar di rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Hungary & Serbia di bahagian barat, Ukraine & Moldova di bahagian timur laut & Bulgaria di bahagian selatan. Bahagian timurnya pula adalah persisiran pantai Laut Hitam. Romania adalah salah satu negara anggota Kesatuan Eropah.


Peta kedudukan Romania dalam Eropah


Peta negara Romania


Bendera Romania

Negara ini mempunyai jumlah penduduk seramai 21,500,000 orang. 90% daripadanya adalah daripada bangsa Romania. Penduduk minoriti yang teramai di negara ini pula adalah daripada bangsa Hungary & Roma (Gypsy). Negara Romania merupakan negara kedua yang mempunyai paling ramai bilangan penduduk berbangsa Roma, selepas Sepanyol. Orang-orang bangsa Roma ini memberi banyak masalah kepada masyarakat Eropah terutamanya masalah sosial kerana kebanyakan daripada mereka hidup dalam keadaan nomad, iaitu berpindah-randah. Mereka sebenarnya berasal dari utara India. Mereka dikatakan telah dihalau dari sana beratus-ratus tahun dahulu kerana memberi banyak masalah kepada kerajaan yang memerintah di sana pada waktu itu. Mereka ini kemudiannya berhijrah ke Eropah. Kebanyakan daripada mereka bertumpu di rantau Balkan.


Peta penghijrahan orang-orang bangsa Roma (Gypsy)


Orang-orang bangsa Roma (Gypsy)


Orang-orang bangsa Roma (Gypsy)

85% daripada jumlah penduduk Romania adalah penganut ajaran Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah penganut ajaran Kristian Katolik & Kristian Protestant. Bahasa rasmi negara ini adalah Bahasa Romania. Matawang yang digunakan ialah Leu. 1 Euro bersamaan dengan 4.00 Leu. 1 Ringgit pula bersamaan dengan 0.85 Leu. Romania menggunakan sistem pemerintahan Republik. Ketua negaranya ialah Presiden, yang dibantu oleh Perdana Menteri. Antara tarikan utama yang terdapat di negara ini adalah pergunungan Carpathia, Delta Sungai Danube, iaitu sungai yang terpanjang di benua Eropah & lagenda Drakula.

Menurut sejarah, sebuah kerajaan yang bernama kerajaan Dacia telah wujud di bumi Romania sekitar kurun pertama Sebelum Masihi & ia mencapai kegemilangannya sekitar tahun 82 SM. Kerajaan ini menjadi pencabar kepada Empayar Rom. Akhirnya, selepas beberapa siri peperangan, kerajaan Dacia telah tewas & bumi Romania jatuh ke tangan Empayar Rom. Pada waktu inilah lahirnya Bahasa Romania yang seakan-akan sama seperti Bahasa Latin. Walau bagaimanapun, sekitar kurun ke-3, Empayar Rom mula menerima serangan daripada orang-orang Visigoth dari Eropah Utara. Wilayah Romania akhirnya terpaksa dilepaskan oleh empayar tersebut pada tahun 271 M, menjadikannya sebagai wilayah pertama yang terpaksa dilepaskan. Bumi Romania ini kemudiannya diserang pula oleh bangsa-bangsa lain seperti Huns, Avar, Bulgar & banyak lagi. Ini menyebabkan berlakunya percampuran budaya di sini.

Sewaktu Zaman Pertengahan Eropah, orang-orang Romania hidup di dalam 3 buah wilayah, iaitu Wallachia, Transylvania & Moldavia. Pada kurun ke-11, Transylvania menjadi sebahagian daripada kerajaan Hungary. Kemudian, pada tahun 1571, kerajaan Transylvania telah dibentuk. Kerajaan ini kemudiannya diletakkan di bawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyah yang telah berjaya menewaskan kerajaan Hungary & mengambil alih Transylvania. Pada masa yang sama, Wallachia & Moldavia telah bersatu menentang pencerobohan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, usaha pertahanan mereka gagal. Kedua-dua wilayah ini turut mengalami nasib yang sama seperti Transylvania. Walaupun ketiga-tiga wilayah tersebut berada di bawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyah, kuasa autonomi masih dimiliki oleh penduduk tempatan di setiap wilayah.


Pembahagian wilayah di dalam Romania

Pada tahun 1699, Transylvania jatuh ke tangan Empayar Austria selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam peperangan dengan Empayar Austria. Walau bagaimanapun, Moldavia & Wallachia masih tetap berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Sewaktu Transylvania berada di bawah pemerintahan Empayar Austria-Hungary & sewaktu Moldavia & Wallachia berada di bawah naungan Empayar Turki Uthmaniyah, orang-orang Romania dianggap sebagai golongan kelas kedua. Hal inilah yang kemudiannya mencetuskan revolusi pada tahun 1848. Walau bagaimanapun, revolusi tersebut menemui kegagalan. Beberapa tahun kemudian, Wallachia & Moldavia bersatu kembali menentang Empayar Turki Uthmaniyah & akhirnya, usaha mereka membuahkan hasil. Mereka berjaya membebaskan tanahair mereka daripada naungan Empayar Turki Uthmaniyah. Penyatuan kedua-dua wilayah ini kemudiannya membentuk negara Romania yang diiktiraf pada tahun 1878. Walau bagaimapun, Transylvania pada waktu itu masih lagi berada di bawah jajahan Empayar Austria-Hungary.

Sewaktu Perang Dunia Pertama, kerajaan Romania pada mulanya mengisytiharkan keneutralannya. Walau bagaimanapun, atas desakan negara-negara lain, ia akhirnya telah bersatu dengan Kuasa Berikat bagi menentang Empayar Austria-Hungary & sekutu-sekutunya. Empayar Austria-Hungary & sekutu-sekutunya akhirnya mengalami kekalahan. Dengan tertewasnya Empayar Austria-Hungary dalam perang tersebut, wilayah Transylvania kemudiannya disatukan dengan wilayah Wallachia & Moldavia, membentuk kerajaan Romania yang baru pada tahun 1918.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang berlaku antara tahun 1942 hingga 1945, pengaruh Komunis mula bertapak di hati penduduk Romania. Dalam sebuah pilihanraya yang diadakan tidak berapa lama selepas tamatnya perang, Parti Komunis telah memenangi 80% daripada jumlah kerusi parlimen Romania. Raja Romania pada waktu itu yang bernama Michael telah diminta turun dari takhta & keluar dari Romania buat selama-lamanya. Sistem beraja Romania kemudiannya digantikan dengan sistem Republik yang berhaluan Komunis yang dibentuk pada tahun 1947. Kerajaan Republik tersebut diletakkan di bawah pemerhatian Soviet Union sehingga tahun 1950-an.

Dari tahun 1947 hingga tahun 1965, rakyat Romania hidup dalam penderitaan kerana kekejaman Presidennya. Penderitaan tersebut berakhir pada tahun 1965, apabila Romania mulai diperintah oleh Presiden baru yang bernama Nicolae Ceausescu yang tidak begitu mengikut telunjuk Soviet Union. Walau bagaimanapun, polisi-polisi barunya akhirnya telah melingkupkan ekonomi Romania. Hal ini kemudiannya telah mencetuskan Revolusi Romania pada tahun 1989. Nicolae Ceausescu telah ditangkap & dihukum bunuh pada Hari Krismas tahun tersebut. Selepas itu, secara rasminya tamatlah pengaruh Komunis di negara Romania. Dari tahun tersebut sehingga ke hari ini, Romania ditadbir oleh pemimpin-pemimpin berhaluan Demokratik.


Nicolae Ceausescu

Bersambung...

7 buah komen:

mohdandmeriam Tuesday, February 2, 2010 at 3:49:00 PM GMT+8  

salam ASP. satu tulisan yg very informative.mak cik suka baca.

Ayah Zain Wednesday, February 3, 2010 at 12:11:00 AM GMT+8  

Salam Jhazkitaro

Syabas, satu maklumat yang amat berharga dengan seni yang begitu artisktik

jejaka anggun Wednesday, February 3, 2010 at 2:46:00 AM GMT+8  

gypsy tuh pengemis eh? kat italy keje diorg jadik beggars. sian

rezeki Wednesday, February 3, 2010 at 8:56:00 AM GMT+8  

salam jhaz

lihat gambar org gypsy tu, teringat cerita koboi dulu yg banyak memaparkan ttg kehidupan nomad mereka

JHaZKiTaRo Thursday, February 4, 2010 at 9:03:00 AM GMT+8  

maiyah:
thanx.. singgah2 laa slalu

mohdandmeriam:
thanx makcik.. slalu2 laa singgah sini ye

Ayah Zain:
wsalam.. thanx very much.. :)

jejaka anggun:
aaah.. most of the time, keje diaorg adalah mengemis.. kat ireland ni pun ade jugak.. mmg tensen jugak laa..

rezeki:
wsalam.. hahaha.. ye ke.. taktau pulak dlm citer koboi pun ade org2 gypsy ni..

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 1:22:00 PM GMT+8  

order alprazolam no prescription xanax generic identification - lisinopril xanax drug interactions

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP