SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG VII)

>> Sunday, April 15, 2007



Hari 5: 5 OGOS 2006

Pada awal pagi hari ini, aku, Tok Wan, Johan & Ahmad menunggu kedatangan kereta di hadapan Rumah Perlis seperti yang dijanjikan oleh Ustaz Arif, tuan punya agensi pelancongan Al-Syafie Travel yang menguruskan jadual perjalanan kami mengelilingi bumi Mesir. Kami akan ke Iskandariah dengan menaiki kereta tersebut pada hari ini. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya kereta yang dijanjikan pun tiba. Pemandu kereta tersebut bernama Nasir. Kami memanggilnya Ustaz Nasir. Beliau berasal dari Pattani, Thailand. Beliaulah yang akan menjadi pemandu pelancong kami di Iskandariah pada hari ini. Ustaz Arif pun turut ada sekali. Tetapi, dia tidak akan mengikuti kami ke Iskandariah kerana dia ada hal penting.

Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami pun bertolak meninggalkan Rumah Perlis. Sebelum meneruskan perjalanan ke Iskandariah, kami singgah dahulu di kawasan asrama Rumah Selangor untuk bersarapan pagi. Selepas itu, barulah kami terus bertolak menuju ke Iskandariah dengan menaiki kereta yang dipandu oleh Ustaz Nasir tersebut. Perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah memakan masa hampir 3 jam lamanya.

Iskandariah atau namanya dalam bahasa Inggeris, Alexandria adalah bandar ke-2 terbesar di Mesir & merupakan bandar pelabuhan yang terbesar di negara ini. Iskandariah terletak di pinggiran Laut Mediterranean iaitu di bahagian utara Mesir. Nama Iskandariah atau Alexandria adalah bersempena dengan nama pengasasnya iaitu Alexander the Great atau namanya dalam bahasa Arab, Iskandar Zulkarnain yang merupakan Raja Macedonia pada waktu itu. Ada yang mengatakan bahawa beliau mengesakan Allah s.w.t & ada yang mengatakan bahawa beliau mengaku dirinya adalah tuhan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Alexander the Great & Iskandar Zulkarnain adalah 2 orang yang berlainan. Wallahu ‘alam. Akan tetapi, nama Zulkarnain ada disebut di dalam Al-Quran yang mungkin merujuk kepada Iskandar Zulkarnain. Berikut adalah petikan ayat-ayat Al-Quran tersebut:

'Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah, "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya." Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya), "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka." Ia berkata, "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati."

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata, "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" Dia menjawab, "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata, "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia, "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain, "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar." Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.' (Surah Al-Kahfi: Ayat 83-99)


Iskandariah telah diasaskan pada tahun 334 SM oleh Alexander selepas kejayaan beliau menawan seluruh tanah Greece. Bandar ini diasaskan bertujuan untuk menghubungkan Greece dengan Sungai Nil yang merupakan kawasan pertanian yang sangat subur pada waktu itu. Beberapa bulan selepas pengasasan Iskandariah, Alexander telah meninggalkan bandar ini & menuju ke Timur untuk menawan Empayar Parsi yang pada waktu itu di bawah pemerintahan Maharaja yang bernama Darius III. Dia kemudiannya tidak kembali semula ke bandar ini buat selama-lamanya. Tugas pentadbiran Iskandariah diserahkan kepada wizurainya yang bernama Cleomenes.

Alexander akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Babylon pada tahun 323 SM, sewaktu usianya baru hendak mencecah 33 tahun. Ada yang mengatakan bahawa beliau dijangkiti suatu penyakit yang aneh. Wallahu ‘alam. Pada waktu itu, Alexander telah membentuk salah sebuah empayar yang terluas dalam sejarah dunia. Selepas kematian beliau, pemerintahan wilayah Mesir diambil alih oleh Ptolemy I & Iskandariah dijadikan pusat pentadbirannya. Beliau mengebumikan mayat Alexander di Iskandariah & makamnya kemudian menjadi tumpuan utama pelancong ke sini termasuklah Julius Caesar, Maharaja Rom yang pertama. Namun, pada masa kini, makam tersebut tidak diketahui lokasinya. Ianya dikatakan dilihat buat kali terakhir pada kurun ke-4. Kisah tentang riwayat hidup Alexander the Great ini ada diceritakan dalam filem 'Alexander' yang dilakonkan oleh Colin Farrell.


Peta kedudukan Iskandariah/Alexandria di dalam Mesir



Wajah gambaran Alexander the Great



Empayar Alexander the Great



Filem Alexander

Sewaktu era kegemilangan Empayar Greek, Iskandariah adalah bandar yang terbesar di dunia pada waktu itu. Percampuran budaya Greek & Mesir menjadikan Iskandariah sebagai bandar yang unik. Namun, ia kemudiannya diletakkan di bawah naungan Empayar Rom tidak berapa lama selepas empayar ini diasaskan & Iskandariah menjadi bandar ke-2 terbesar & terkaya dalam empayar tersebut selepas kota Rom. Selepas kematian Cleopatra sebagai pemerintah Mesir, Iskandariah diletakkan secara rasminya di bawah Empayar Rom sewaktu pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Augustus. Selepas Empayar Rom dikristiankan pada kurun ke-4, Iskandariah menjadi pusat utama pergerakan agama Kristian di bumi Mesir.

Pada tahun 616, Iskandariah telah ditawan oleh Empayar Parsi sewaktu empayar tersebut di bawah pemerintahan Raja yang bernama Khosrau II. Beberapa tahun selepas itu, ia ditawan pula oleh Empayar Rom Timur atau Byzantine sewaktu empayar itu di bawah pemerintahan Maharaja yang bernama Heraclius. Peristiwa peperangan antara Empayar Byzantine & Empayar Parsi yang berlaku sewaktu era dakwah Rasulullah s.a.w ini ada diceritakan di dalam Al-Quran, di mana Allah s.w.t telah meramalkan bahawa tentera Rom Timur atau Byzantine akan berjaya mengalahkan semula tentera Parsi selepas kekalahan mereka kepada tentera Parsi. Ayat-ayatnya berbunyi begini:

'Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan pula lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun; kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom mengalahkan Parsi) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah; Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.' (Surah Ar-Rum: Ayat 2-5)

Pada tahun 641, Iskandariah ditawan pula oleh tentera Islam di bawah pimpinan Amr ibn Al-‘As. Empayar Byzantine yang berpusat di Constantinople (Istanbul) pada waktu itu tidak dapat mempertahankan Iskandariah kerana Maharajanya iaitu Heraclius telah meninggal dunia & penggantinya iaitu Constantine III baru berusia 12 tahun sewaktu ia dilantik menjadi maharaja empayar tersebut. Pelbagai kerosakan telah berlaku sewaktu tentera Islam berusaha untuk menawan kota Iskandariah. Walau bagaimanapun, usaha untuk memperbaiki keadaan bandar ini telah diusahakan secara besar-besaran antara tahun 1810 & 1850 oleh Muhammad Ali Pasha, iaitu wizurai Empayar Turki Uthmaniyah di Mesir.

Iskandariah telah menjadi pusat pentadbiran Mesir selama beratus-ratus tahun lamanya. Namun, selepas kewujudan bandar Kaherah yang kemudiannya dijadikan pusat pentadbiran Mesir yang baru selepas Mesir terletak di bawah naungan kerajaan Islam, fungsi Iskandariah sebagai pusat pentadbiran Mesir telah berakhir. Kepentingannya menjadi semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Namun, ianya kini kembali bangun menjadi bandar yang penting di Mesir. Iskandariah kini adalah bandar ke-2 terpenting di negara ini kerana pelabuhannya yang menjadi pusat komersil & pengangkutan yang utama di negara ini.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP