SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG X)

>> Tuesday, April 24, 2007



Tempat pertama di Semenanjung Sinai yang kami kunjungi ialah Taba’. Kami tiba di sini lebih kurang pada pukul 8.30 pagi. Taba’ terletak di sempadan Mesir & Israel. Ia terletak di pinggiran Teluk Aqabah. Di sinilah terletaknya kompleks imigresen yang tersibuk antara Mesir & Israel. Taba’ yang terletak di sempadan 2 buah negara tersebut turut menjadi mangsa kepada peperangan yang berlaku antara kedua-dua buah negara itu sebelum ini. Namun, ia akhirnya diberikan kepada kerajaan Mesir selepas perjanjian damai antara kedua-dua negara tersebut dimeterai pada tahun 1979.

Kawasan Taba’ ini juga merupakan sebuah kawasan rekreasi yang popular. Terdapat beberapa buah hotel mewah & sebuah padang golf di sini yang sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari Israel. Mereka kini diberi kebenaran untuk menetap di sini tanpa visa untuk jangkamasa 48 jam. Pada bulan Oktober 2004, telah berlaku sebuah malapetaka di mana Hotel Hilton di sini telah dibom. Seramai 34 orang terkorban & majoritinya adalah pelancong-pelancong dari Israel. Kami mengambil kesempatan yang ada ini untuk bergambar di hadapan kompleks imigresen Mesir-Israel itu. Bukan mudah untuk melihat negara haram Israel dari dekat.


Peta kedudukan Taba' di Semenanjung Sinai, Mesir



Pelancong-pelancong Israel di kompleks imigresen Mesir-Israel di Taba', Semenanjung Sinai, Mesir



Kompleks imigresen Mesir-Israel di Taba', Semenanjung Sinai, Mesir



Hotel Hilton di Taba', Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas bergambar, kami pun meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya. Tidak jauh dari kompleks imigresen tersebut, terletak sebuah pulau yang diberi nama Pulau Firaun. Pulau ini terletak di kawasan yang strategik di mana lalu lintas kapal antara tanah Arab di bahagian timur & tanah Mesir di bahagian barat dapat dikawal. Ia dahulunya adalah pusat kawalan lalu lintas kapal yang penting sewaktu zaman kegemilangan Empayar Byzantine. Sebuah gereja yang dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Byzantine yang bernama Justinian VI masih lagi terdapat di sini sehingga ke hari ini.

Sewaktu era permulaan penyebaran Islam pada kurun ke-7, pulau Firaun ini mulai menjadi tempat persinggahan penduduk-penduduk Islam dari Afrika yang ingin ke Mekah untuk menunaikan Haji. Pulau ini kemudiannya diambil alih pemerintahannya oleh tentera Salib yang mula bertapak di Palestin & Syria pada tahun 1099 apabila Kerajaan Jerusalem ditubuhkan pada tahun tersebut. Pada kurun ke-12, mereka membina sebuah kubu di atas Pulau Firaun dengan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada orang-orang Islam yang singgah di sini sewaktu dalam perjalanan ke Mekah. Kubu tersebut diberi nama Ile de Graye. Pada tahun 1170, Salahuddin Al-Ayyubi akhirnya berjaya menawan pulau tersebut dengan mengalahkan tentera Salib & kubu tersebut telah diubahsuai olehnya.

Di seberang pulau tersebut yang terletak tengah-tengah Teluk Aqabah, negara Jordan dapat dilihat dengan jelas. Kawasan di sekeliling Pulau Firaun kini amat terkenal di kalangan pelancong-pelancong kerana batu-batu karangnya yang sangat cantik & mengagumkan. Air laut di sekelilingnya juga tersangat jernih. Untuk ke pulau tersebut, pelancong-pelancong perlu menaiki feri. Disebabkan ketibaan kami terlampau awal, kami tidak dapat ke pulau tersebut kerana perkhidmatan feri hanya akan mula beroperasi lebih kurang pukul 10.00 pagi nanti. Oleh itu, kami hanya bergambar berlatarbelakangkan pulau tersebut sahaja.


Berlatarbelakangkan Pulau Firaun & negara Jordan di Taba', Semenanjung Sinai, Mesir



Berhampiran Pulau Firaun di Taba', Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas bergambar dengan Pulau Firaun, kami terus bergerak menuju ke Dahab. Kami tiba di situ lebih kurang pada pukul 11.00 pagi. Dahab adalah sebuah pekan kecil yang terletak di bahagian tenggara Semenanjung Sinai. Di sini terdapat sebuah pantai yang terletak di pinggiran Teluk Aqabah. Di seberang teluk ini, negara Arab Saudi dapat dilihat dengan jelas. Pantai Dahab sangat terkenal dengan aktiviti ‘SCUBA diving’ & ‘snorkelling’. Di sini juga terdapat berpuluh-puluh buah restoran makanan laut. Namun, sewaktu kedatangan kami ke sini, jumlah pelancong tidaklah begitu ramai. Ini kerana pantai ini baru sahaja mengalami suatu mala petaka iaitu pengeboman yang berlaku pada bulan April yang lalu. Hampir 23 orang telah terkorban & 80 orang lagi tercedera dalam kejadian pengeboman tersebut. Patutlah keadaan di sini agak sunyi & tidak ramai orang pada waktu ini.


Peta kedudukan Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Berlatarbelakangkan negara Arab Saudi di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir

Setibanya kami di pantai Dahab, Ustaz Azhari telah menempah 3 buah bilik untuk kami berehat-rehat sebelum memulakan perjalanan kami ke Jabal Musa pada waktu malam nanti. Selepas meletakkan barang-barang kami di dalam bilik masing-masing, kami berlima termasuk Ustaz Azhari bersiar-siar di sepanjang pantai tersebut sambil bermain dengan beberapa ekor tapak sulaiman yang agak aneh bentuknya. Belum pernah kami melihat tapak sulaiman yang berbentuk sedemikian rupa. Kemudiannya, kami singgah di sebuah restoran makanan laut untuk makan tengah hari. Selesa sungguh cuaca pada hari ini di pantai Dahab.


Pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Bermain dengan tapak sulaiman di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Beberapa ekor tapak sulaiman di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Seekor tapak sulaiman di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Makan tengah hari di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas makan, kami kembali ke bilik masing-masing untuk melelapkan mata. Aku berkongsi bilik dengan Ustaz Azhari. Pemandu van kami yang berbangsa tempatan itu pula berehat-rehat di sebuah khemah kayu di luar. Kemudiannya, selepas solat jamak Zohor & Asar, aku, Tok Wan, Acab, Johan & Ahmad terus berjalan menuju kembali ke tepi pantai untuk bermandi-manda. Hahaha. Gembira sungguh kami kerana dapat mandi air laut. Bukan selalu dapat mandi di air laut Teluk Aqabah. Kami menghabiskan masa hampir 2 jam dengan bermandi-manda. Apabila sudah puas, kami pun kembali ke bilik masing-masing.


Mandi-manda di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Mandi-manda di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak, kami bersiar-siar di tepi pantai Dahab untuk menghirup udara malam Teluk Aqabah. Waktu malam di sini agak panas & kering. Aku benar-benar berasa tidak selesa. Selepas bersiar-siar, kami kembali semula ke bilik kami. Kami berehat-rehat sementara menunggu pukul 12.00 tengah malam di mana kami akan bertolak menuju ke Jabal Musa.


Waktu malam di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Waktu malam di pantai Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir



Berehat-rehat sementara menunggu masa untuk bertolak ke Jabal Musa, Dahab, Semenanjung Sinai, Mesir

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP