SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG IX)

>> Friday, April 20, 2007



Hari 6: 6 OGOS 2006

Hari ini adalah hari ulangtahun aku yang ke-24. Tak sangka pula aku akan meraikan hari ulangtahun yang ke-24 di Kaherah. Hahaha. Aku tidak memberitahu sesiapa kerana tidak ingin menyusahkan mereka. Pada hari ini, aku & Tok Wan hanya menghabiskan masa kami di dalam bilik sambil membaca buku-buku kepunyaan Yeop yang terdapat di dalam bilik tumpangan kami. Pada waktu malam nanti, kami akan bergerak menuju ke Semenanjung Sinai dengan menaiki van yang sudah pun ditempah oleh Ustaz Arif. Acab, Johan & Ahmad akan ikut bersama.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam, kami berlima pun menunggu ketibaan van seperti yang dijanjikan oleh Ustaz Arif di luar Rumah Perlis. Tidak berapa lama selepas menunggu, van tersebut pun akhirnya tiba. Van itu dipandu oleh seorang lelaki tempatan. Bersama-sama dengannya adalah seorang lelaki Melayu yang bernama Azhari. Kami memanggilnya Ustaz Azhari. Beliau akan menjadi pemandu pelancong kami di Semenanjung Sinai nanti, sementara lelaki tempatan tersebut pula ditugaskan untuk memandu van itu. Ustaz Azhari ini berasal dari Kedah. Beliau sebenarnya sudah bertahun-tahun tinggal di Mesir & telah berkahwin dengan wanita tempatan. Beliau adalah bapa kepada 3 orang anak & kini tinggal di Rumah Malaysia Abbasiyah. Beliau bekerja di restoran Rumah Malaysia tersebut. Tidak berapa lama selepas ketibaan van tersebut, kami semua pun terus bergerak menuju ke Semenanjung Sinai. Perjalanan ke sana dari Kaherah mengambil masa lebih kurang 6 jam lamanya. Kami semua banyak menghabiskan masa di dalam van tersebut dengan tidur sahaja memandangkan kami tidak dapat melihat apa-apa di luar kerana gelap.


Sebelum bertolak ke Semenanjung Sinai di hadapan Rumah Perlis, Kaherah, Mesir

Hari 7: 7 OGOS 2006

Sedar-sedar sahaja dari tidur lebih kurang pada pukul 5.30 pagi, kami sudah pun berada di Semenanjung Sinai. Di sekeliling kami hanya terdapat padang pasir yang luas beserta gunung-ganang yang kering-kontang & jarang sekali kelihatan pohon-pohon yang menghijau. Yang ada cuma semak-samun yang tidak seberapa. Indah & tenang sungguh suasana sebegini. Inilah rupanya keadaan padang pasir yang jarang sekali dapat aku nikmati. Subhanallah.


Pemandangan luar dari dalam van di Semenanjung Sinai, Mesir



Pemandangan luar dari dalam van di Semenanjung Sinai, Mesir



Pemandangan luar dari dalam van di Semenanjung Sinai, Mesir



Pemandangan luar dari dalam van di Semenanjung Sinai, Mesir

Tidak berapa lama kemudian, kami berhenti di suatu kawasan di mana terdapat sebuah surau kecil di situ. Kami menunaikan solat Subuh sementara matahari belum memancarkan sinarnya. Selepas selesai solat Subuh, kami meneruskan perjalanan kami menerokai Semenanjung Sinai.

Semenanjung Sinai adalah sebuah semenanjung yang berbentuk segitiga yang terletak di antara negara Mesir & Palestin/Israel. Ianya adalah kepunyaan negara Mesir. Semenanjung ini terletak di antara 2 buah laut iaitu Laut Mediterranean di bahagian utaranya & Laut Merah di bahagian selatannya & 2 buah teluk iaitu Teluk Suez di bahagian barat & Teluk Aqabah di bahagian timur. Hampir seluruh Semenanjung Sinai ini dilitupi oleh padang pasir & gunung-gunung berbatu sahaja. Lebih kurang 5000 tahun dahulu, kawasan ini adalah kawasan perlombongan batu permata fairuz yang penting bagi Empayar Mesir. Kemudiannya, dari tahun 1260 ke tahun 1518, semenanjung ini dikuasai pula oleh kerajaan Mamluk. Namun, selepas kekalahan mereka kepada tentera Turki Uthmaniyah yang pada waktu itu diperintah oleh Sultan yang bernama Selim I, Semenanjung Sinai jatuh ke tangan empayar tersebut & ianya terus diletakkan di bawah pentadbiran wiruzai Turki Uthmaniyah di Mesir, iaitu keturunan Pasha sehinggalah ke awal kurun ke-20. Pada tahun 1906, pentadbiran semenanjung ini jatuh pula ke tangan United Kingdom. United Kingdom kemudiannya menandakan sempadan antara Mesir & Palestin. Sempadan tersebut masih kekal hingga ke hari ini.


Kedudukan Semenanjung Sinai di Mesir



Peta Semenanjung Sinai

Pada tahun 1948, tentera Mesir telah berarak menuju ke sempadan negara Israel yang telah dibentuk oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menempatkan bangsa-bangsa Yahudi yang bebas. Ini telah mencetuskan Perang Arab-Israel pada tahun tersebut. Setahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1949, Perjanjian Armistice telah ditandatangani antara Israel, Mesir, Jordan, Lubnan & Syria & ini telah menamatkan Perang Arab-Israel. Dalam perjanjian tersebut, Semenanjung Sinai & juga Semenanjung Gaza diletakkan di bawah pentadbiran Mesir. Kemudiannya, pada tahun 1956, Mesir telah mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Israel di Eilat. Ini telah menyebabkan serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Sinai dengan bantuan United Kingdom & Perancis & mereka berjaya menawan keseluruhan semenanjung tersebut dalam jangka masa beberapa hari. Beberapa bulan kemudian, tentera Israel telah berundur dari sini atas desakan Amerika Syarikat & Soviet Union. Semenanjung Sinai kemudiannya diletakkan di bawah pentadbiran Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada tahun 1967, tentera Mesir telah berarak ke Semenanjung Sinai untuk merampasnya kembali & mengarahkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berundur. Israel kemudiannya telah memulakan Perang Enam Hari dengan Mesir & tentera Mesir berjaya dikalahkan. Israel kemudiannya mengambil alih pentadbiran keseluruhan semenanjung ini & Terusan Suez yang jatuh ke tangan Israel pada waktu itu terus ditutup.

Pada bulan Oktober 1973, tercetus pula satu lagi peperangan antara Mesir & Israel yang digelar Perang Oktober. Dalam peperangan ini, tentera Mesir akhirnya berjaya menewaskan tentera Israel & Semenanjung Sinai beserta Terusan Suez berjaya dikembalikan kepada Mesir. Terusan Suez yang telah ditutup untuk sekian lama, akhirnya dibuka kembali. Pada tahun 1979, Perjanjian Damai Mesir-Israel telah ditandatangani. Dalam perjanjian tersebut, Israel telah mengiktiraf Semenanjung Sinai sebagai hak milik kerajaan Mesir. Kerajaan Mesir pula telah mengiktiraf kedaulatan kerajaan Israel. Mesir merupakan negara Arab pertama yang mengiktiraf negara haram tersebut. Kemudiannya, ia disusuli pula oleh negara Jordan pada tahun 1994.

Daripada sejarah Semenanjung Sinai ini, kita dapat bayangkan betapa berharganya tanah semenanjung tersebut sehingga menjadi rebutan antara negara Mesir & Israel. Menurut sejarah, di sinilah terletaknya sebuah kawasan pergunungan yang diberi nama Jabal Musa yang merupakan lokasi di mana Nabi Musa a.s & kaum Bani Israel berlegar-legar selepas mereka berjaya melarikan diri dari kekejaman Firaun di Mesir. Di sini jugalah dipercayai kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP