SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XII)

>> Monday, April 30, 2007



Setelah puas bergambar di puncak Jabal Musa, kami berenam pun memulakan langkah untuk kembali ke kaki pergunungan tersebut. Kami menggunakan jalan yang berbeza daripada jalan yang kami lalui sewaktu mendaki tadi. Pada waktu siang inilah baru kami dapat menikmati keindahan Jabal Musa dengan lebih jelas berbanding waktu malam tadi. Subhanallah. Cantik tidak terkata. Hakisan angin yang berlaku sejak beribu-ribu tahun dahulu telah menghasilkan pelbagai rupa bentuk batu di pergunungan tersebut yang tersangat unik & memukau pandangan. Kawasan pergunungan ini sebenarnya kering-kontang & hanya terdapat batu-batu & juga beberapa tumbuhan-tumbuhan kecil. Tumbuhan-tumbuhan tersebut menurut kata Ustaz Azhari adalah tumbuhan-tumbuhan herba yang amat berkhasiat. Beliau memetik beberapa batang untuk dibawa pulang ke Kaherah.


Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Tumbuhan-tumbuhan herba di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Di kawasan Jabal Musa ini juga terdapat sebuah gerai yang menjual beberapa ketul batu yang aneh. Pada permukaan batu-batu tersebut terukir daun-daun halus. Menurut kata penjual batu tersebut, batu-batu itu merupakan kesan tinggalan peristiwa Allah s.w.t menghancurkan gunung tersebut di hadapan Nabi Musa a.s ketika baginda meminta Allah s.w.t menunjukkan zat-Nya. Tumbuhan-tumbuhan yang ada di Jabal Musa pada waktu itu turut menjadi takut sehingga kesemuanya masuk ke dalam batu-batu yang berdekatan. Wallahu 'alam.


Seketul batu yang aneh di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Setelah hampir 2½ menuruni Jabal Musa, kami akhirnya tiba di kaki pergunungan tersebut. Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah memudahkan perjalanan kami & tidak memberi apa-apa masalah kepada kami sepanjang kami mendaki & menuruni Jabal Musa tersebut. Setibanya kami di kaki pergunungan ini, kami singgah sebentar di sebuah monasteri yang bernama Saint Catherine's Monastery. Monasteri tersebut dibina sewaktu Mesir di bawah Empayar Byzantine. Maharaja Byzantine yang bernama Justinian I yang turut bertanggungjawab membina Hagia Sofia di Constantinople telah mengarahkan pembinaan monasteri tersebut di sini antara tahun 527 & tahun 565. Monasteri ini dibina menutupi Chapel of the Burning Bush yang merupakan tempat di mana Nabi Musa a.s dikatakan melihat pohon hijau yang terbakar di mana baginda mendengar satu suara yang merupakan wahyu daripada Allah s.w.t kepada baginda. Pohon hijau tersebut masih lagi ada di sini sehingga kini.

Kawasan monasteri ini merupakan kawasan suci kepada ketiga-tiga agama wahyu iaitu Yahudi, Kristian & Islam. Sebuah masjid dikatakan pernah dibina di dalam monasteri ini. Namun, tidak ada bukti yang kukuh bagi pernyataan tersebut. Di dalam Saint Catherine’s Monastery ini terdapat sebuah perpustakaan yang menyimpan koleksi manuskrip yang ke-2 terbanyak di dunia selepas Vatican Library di Vatican City. Manuskrip-manuskrip tersebut ditulis di dalam bahasa Greek, Koptik, Arab, Armenia, Hebrew & Syriak.


Saint Catherine's Monastery di kaki Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



'Burning Bush' di dalam Saint Catherine's Monastery di kaki Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas melawat monasteri tersebut, kami pun terus menuju ke van kami yang baru sahaja tiba. Setelah masuk ke dalam van tersebut, kami pun meneruskan perjalanan kami. Berdekatan dengan kaki pergunungan Jabal Musa, terdapat sebuah makam yang dipercayai sebagai makam Nabi Harun a.s. Nabi Harun a.s adalah abang kepada Nabi Musa a.s yang sama-sama berjuang membimbing kaum Bani Israel ke jalan Allah s.w.t & melarikan diri daripada cengkaman Firaun. Kami hanya bergambar dari jauh sahaja kerana kesuntukan masa.


Makam Nabi Harun a.s di Semenanjung Sinai, Mesir



Makam Nabi Harun a.s di Semenanjung Sinai, Mesir

Destinasi kami yang seterusnya ialah sebuah lereng bukit di mana terdapat sebuah batu yang berbentuk agak pelik. Ianya terletak tidak jauh dari kaki Jabal Musa. Batu tersebut berbentuk seperti seekor lembu. Menurut kata penduduk tempatan, batu tersebut mempunyai sangkut-paut dengan lembu samiri yang pernah disembah oleh kaum Bani Israel sewaktu Nabi Musa a.s meninggalkan mereka selama 40 hari untuk bermunajat kepada Allah di Jabal Musa. Sepanjang peninggalan Nabi Musa a.s untuk bermunajat di Jabal Musa, Nabi Harun a.s telah diberikan amanah untuk mengawasi & memimpin kaum Bani Israel daripada melakukan kemungkaran, apa lagi menyekutukan Allah s.w.t dengan benda lain.

Walau bagaimanapun, sepanjang pemergian Nabi Musa a.s, berlaku satu ujian besar terhadap kaum Bani Israel. Nabi Musa a.s pada mulanya berjanji untuk meninggalkan mereka selama 30 hari sahaja. Akan tetapi, disebabkan kesalahannya yang ingin melihat zat Allah s.w.t, baginda terpaksa menambah 10 hari lagi untuk menebus dosanya, menjadikannya 40 hari. Kaum Bani Israel kemudiannya merasakan bahawa Nabi Musa a.s telah meninggalkan mereka. Sebilangan daripada mereka kemudiannya menyekutukan Allah s.w.t dengan menyembah patung anak lembu yang diperbuat daripada emas oleh Samiri. Mereka menyembah patung lembu itu selepas terpedaya dengan sihir Samiri yang menjadikan patung tersebut boleh berkata-kata. Nabi Harun a.s telah mengingatkan mereka bahawa kelakuan mereka itu adalah dosa besar. Namun, segala nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan.

Selepas bermunajat selama 40 hari, Nabi Musa a.s kembali kepada kaumnya dan baginda amat terkejut melihat perbuatan mereka menyembah patung lembu tersebut. Nabi Musa a.s bukan sahaja marah kepada kaumnya, malah juga kepada Nabi Harun a.s. Nabi Musa a.s menarik kepala dan janggut Nabi Harun a.s. Selepas itu, baginda mendapatkan Samiri, lalu menghalaunya bersama pengikut-pengikutnya. Patung lembu itu dibakar, kemudian dihanyutkan ke dalam laut oleh baginda.

Ada yang mengatakan bahawa pancaran dari patung lembu emas yang diperbuat oleh Samiri itu terpancar ke lereng bukit & membentuk seolah-olah seperti seekor lembu, seperti apa yang dilihat sekarang ini di lereng bukit tersebut. Nama Samiri ini juga sebenarnya menimbulkan persoalan, sama ada ianya merujuk kepada nama seorang manusia ataupun nama sekelompok manusia daripada kaum Bani Israel. Wallahu 'alam. Kisah tentang lembu Samiri tersebut ada diceritakan di dalam Al-Quran. Berikut adalah antara petikan ayat-ayat tersebut:

'(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa, "Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri." Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata, "Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?" Mereka menjawab, "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga 'Samiri' mencampakkan apa yang dibawanya." Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata, "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!" Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telah pun berkata kepada mereka sebelum itu, "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku." Mereka menjawab, "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami." (Sekembalinya), Nabi Musa berkata, "Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat, daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?" Nabi Harun menjawab, "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: 'Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!'"

(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya, "Apa pula halmu, wahai Samiri?" Ia menjawab, "Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku." Nabi Musa berkata kepada Samiri, "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: 'Jangan sentuh daku', dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap."' (Surah Taha: Ayat 85-97)


Kagum sungguh kami melihat batu yang berbentuk seperti patung lembu tersebut. Mungkin begitulah rupanya bentuk lembu yang diperbuat oleh Samiri laknatullah.


Gambaran patung anak lembu emas Samiri



Batu yang berbentuk lembu, Semenanjung Sinai, Mesir



Batu yang berbentuk lembu, Semenanjung Sinai, Mesir



Batu yang berbentuk lembu, Semenanjung Sinai, Mesir

Bersambung...

2 buah komen:

Anonymous Sunday, December 14, 2008 at 9:58:00 AM GMT+8  

Ketahuilah lokasi sebenar Mt Sinai ialah di Jebel El Lawz Daerah Midyan Arab Saudi.
Kebenarannya terbukti terserlah .
Sila kunjungi http://arkdiscovery.com dan lihat video bukti pencarian Mt Sinai yg sebenarnya.

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 2:19:00 PM GMT+8  

http://technologiesuae.com/#2938 xanax dosage muscle spasm - xanax small white pills

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP