SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XI)

>> Saturday, April 28, 2007



Hari 8: 8 OGOS 2006

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malam, kami semua pun bersiap sedia untuk bertolak ke Jabal Musa. Van yang dipandu oleh lelaki tempatan tersebut mulai bergerak pada pukul 12.30 tengah malam. Perjalanan ke Jabal Musa dari Dahab mengambil masa lebih kurang sejam. Setibanya kami di kaki Jabal Musa pada lebih kurang pukul 1.30 pagi, kami pun bersiap sedia di samping memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti pendakian kami. Setelah semua orang sudah bersedia, kami berlima termasuk Ustaz Azhari pun terus memulakan ekspedisi kami mendaki Jabal Musa. Pemandu van tersebut tidak ikut bersama. Dia akan menjemput semula kami di kaki Jabal Musa pada waktu tengah hari nanti.

Kami berenam memulakan pendakian kami lebih kurang pada pukul 1.45 pagi. Kesemua pendaki dikehendaki mendaki pergunungan tersebut pada waktu malam kerana pada waktu siang, suasana di sini teramat panas & tidak sesuai untuk aktiviti pendakian. Agak ramai juga pendaki-pendaki lain yang turut mendaki bersama-sama kami. Kami berlima bergerak berpandukan Ustaz Azhari kerana beliau mempunyai pengalaman mendaki Jabal Musa lebih daripada 5 kali. Kami bernasib baik kerana bulan sedang mengambang penuh pada malam ini. Oleh itu, kami tidak memerlukan lampu suluh untuk menyuluh laluan kami.

Aku & Tok Wan menerima cabaran yang paling getir sekali kerana kami berdua hanya memakai sandal sahaja sedangkan mereka yang lain memakai kasut yang bersesuaian untuk mendaki gunung. Hahaha. Walau apapun, kami berdua tetap akan membuktikan bahawa kami tetap akan berjaya sampai ke puncak Jabal Musa walaupun hanya dengan memakai sandal. Pendakian kami untuk tiba di puncak Jabal Musa dijangka akan mengambil masa selama 2½ jam. Selain daripada berjalan kaki, ada juga sesetengah pendaki yang menaiki unta separuh jalan. Pendakian Jabal Musa ini sesungguhnya tersangatlah memenatkan.


Dalam pendakian ke puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Dalam pendakian ke puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Dalam pendakian ke puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Dalam pendakian ke puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Dalam pendakian ke puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Jabal Musa ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Gunung Catherine yang merupakan gunung yang tertinggi di Mesir. Jabal Musa dikatakan merupakan tempat di mana Nabi Musa a.s & kaum Bani Israel bermukim selepas mereka berjaya melarikan diri daripada kekejaman Firaun & juga tempat di mana Nabi Musa a.s menerima kitab Taurat daripada Allah s.w.t. Jabal Musa juga turut dikenali dengan nama Gunung Tur. Gunung Tur ini telah disebut beberapa kali oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran. Berikut adalah antara petikan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut nama gunung tersebut:

'Demi Gunung Tur.' (Surah At-Tur: Ayat 1)

'Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tur ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).' (Surah Al-Qasas: Ayat 46)


Peta kedudukan Jabal Musa di Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas Nabi Musa a.s & kaum Bani Israel berjaya melarikan diri daripada kekejaman Firaun, mereka berhenti seketika di kawasan pergunungan Jabal Musa. Kemudian, Nabi Musa a.s meninggalkan kaumnya selama beberapa hari untuk bermunajat kepada Allah s.w.t. Baginda dikatakan telah bermunajat selama 40 hari, 40 malam & telah berpuasa sepanjang tempoh tersebut. Sewaktu bermunajat inilah baginda memohon kepada Allah s.w.t supaya menunjukkan zat-Nya. Allah s.w.t kemudian mengarahkan Nabi Musa a.s supaya melihat di suatu sudut bukit. Lalu kemudian, bukit tersebut tiba-tiba hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya. Baginda kemudiannya terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu pengsan. Apabila baginda sudah kembali sedar, baginda bertasbih memuji Allah s.w.t & memohon ampun atas kesalahannya. Allah s.w.t kemudiannya menurunkan kitab Taurat kepada baginda. Peristiwa ini ada diceritakan di dalam Al-Quran seperti di bawah:

'Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata, "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu." Allah berfirman, "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku"; Setelah Tuhannya 'Tajalla' (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) 'Tajalli-Nya' menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan.

Setelah ia sedar semula, berkatalah ia, "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku). Allah berfirman, "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur." Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka.' (Surah Al-A'raf: Ayat 143-145)


Setelah 2½ jam kami berenam tercungap-cungap mendaki Jabal Musa yang kering-kontang ini, kami akhirnya tiba jua di puncaknya. Pada waktu ini, jam sudah pun menunjukkan pukul 4.15 pagi. Keadaan suhu di atas puncak pergunungan tersebut agak sejuk sebenarnya. Aku berasa menyesal kerana tidak membawa pakaian yang tebal-tebal sedikit. Setibanya kami di sini, kami terus masuk ke dalam sebuah lubang kecil yang dipercayai sebagai lubang di mana Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah s.w.t. Aku seolah-olah tidak percaya bahawa aku sekarang berada di tempat di mana Nabi Allah tersebut dikatakan pernah bermunajat. Inilah antara pengalaman yang paling berharga dalam hidup aku sebagai hamba Allah yang Maha Esa. Kami membaca sedikit doa untuk baginda & juga memohon kesejahteraan kepada diri kami.


Lubang di mana Nabi Musa a.s bermunajat di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di dalam lubang di mana Nabi Musa a.s bermunajat di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Selepas itu, kami keluar dari lubang ini & berehat-rehat di bahagian luarnya. Cuaca menjadi semakin sejuk. Aku seperti tidak sabar untuk menunggu matahari memancarkan cahayanya yang bakal menghadiahkan habanya kepadaku. Terdapat beberapa orang kanak-kanak & remaja-remaja kaum Badwi yang membuat bisnes menyewakan selimut kepada para pelancong di atas puncak pergunungan tersebut. Bisnes mereka teramatlah laku. Aku tidak bercadang untuk menyewanya memandangkan aku masih lagi boleh bertahan. Harap-harapnya. Hahaha.

Kebanyakan pelancong yang mendaki Jabal Musa ini hanya bertujuan untuk melihat matahari terbit & pada pendapat aku mereka langsung tidak mengetahui akan kewujudan lubang kecil tersebut. Aku merasakan bahawa usaha mereka untuk mendaki pergunungan tersebut seperti tidak memadai dengan hasil yang bakal mereka perolehi. Sebelum matahari terbit, kami menunaikan solat Subuh dengan bertayamum.

Setelah hampir 2 jam menunggu dalam kesejukan, akhirnya mentari pun mula memancarkan sinar habanya. Suasana di sekeliling puncak Jabal Musa kelihatan kuning keemasan. Begitu indah sekali panorama tersebut. Subhanallah. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kami kemudiannya menghabiskan masa hampir 2 jam lamanya bergambar di atas puncak pergunungan tersebut. Kami seolah-olah tidak mahu beredar dari sini kerana suasananya teramat memukau minda. Di kawasan puncak Jabal Musa ini sebenarnya terdapat sebuah masjid kecil yang hanya boleh mengisi beberapa orang jemaah sahaja. Terdapat juga sebuah gereja kecil Greek Ortodox yang dibina pada tahun 1934 di atas tapak sebuah gereja yang telah dibina pada kurun ke-16.


Matahari terbit di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Matahari terbit di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Matahari terbit di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Lubang di mana Nabi Musa a.s bermunajat di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di dalam lubang di mana Nabi Musa a.s bermunajat di Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir



Di puncak Jabal Musa, Semenanjung Sinai, Mesir

Bersambung...

1 buah komen:

Anonymous Saturday, December 13, 2008 at 1:07:00 PM GMT+8  

Salamun alaikum
Sebenarnya Jabal Musa Yang anda lawati itu bukan lah lokasi nya yang sebenar, kita ni sudah tertipu oleh pihak-pihak dulu yg tak percaya.
Untuk pengetahuan anda lokasi sebenarnya ialah di Jabal El Lawz, Arab Saudi ( Daerah Midyan)- bukti kesan peninggalan terlalu menakjubkan
for more info rujuk http://arkdiscovery.com

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP