SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG II)

>> Tuesday, April 03, 2007



Hari 2: 2 OGOS 2006

Setibanya aku di Lapangan Terbang Kaherah, aku dikenakan untuk membayar visa sewaktu aku hendak melepasi kaunter imigresen, sedangkan aku hanya akan berada di Mesir untuk jangka masa 2 minggu sahaja. Pembayaran visa Mesir bagi warganegara Malaysia sebenarnya hanya dikenakan jikalau kita menetap di sini lebih daripada 2 minggu. Aku malas hendak bergaduh. Maka, aku pun membayar setem visa tersebut yang tidaklah semahal mana. Selepas melepasi kaunter imigresen tersebut, aku terlihat Johan, Ahmad & seorang lelaki Melayu yang tidak dikenali sedang menunggu aku. Hahaha. Aku berasa sangat lega apabila dapat melihat wajah-wajah mereka. Aku takutkan kelewatan penerbangan aku akan menyebabkan mereka terus pulang. Aku sepatutnya tiba di lapangan terbang tersebut pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan Mesir. Tetapi, disebabkan masalah cuaca di Budapest, aku tiba di sini pada pukul 5.15 pagi. 1¾ jam lewat.

Aku kemudiannya bersalam-salaman dengan mereka bertiga & menceritakan punca kelewatan aku. Acab tidak dapat datang bersama kerana dia mempunyai kelas bahasa Arab pada pagi ini. Lelaki Melayu yang tidak aku kenali itu rupa-rupanya adalah seorang pelajar Malaysia yang sedang belajar di salah sebuah universiti di Kaherah. Namanya ialah Faisal. Baik & peramah orangnya.

Setelah menunaikan solat Subuh di surau, kami berempat menahan teksi. Faisal yang amat fasih berbahasa Arab itu berbincang & tawar-menawar harga tambang dengan pemandu teksi tersebut. Setelah mencapai kata sepakat, kami pun masuk ke dalamnya. Destinasi kami adalah Rumah Perlis di mana aku akan ditempatkan. Acab, Johan & Ahmad pula menetap di Rumah Malaysia Abbasiyah yang terletak agak jauh dari Rumah Perlis. Aku diletakkan di Rumah Perlis kerana sekuriti di Rumah Malaysia Abbasiyah agak ketat. Mereka bertiga pun menumpang di sana secara senyap-senyap. Di Rumah Perlis, kebebasan aku agak terjamin. Hahaha. Di Kaherah ini sebenarnya terdapat 14 buah Rumah Malaysia. Rumah Malaysia yang terbesar & yang menjadi pusat kepada Rumah-Rumah Malaysia yang lain ialah Rumah Malaysia Abbasiyah. Rumah-Rumah Malaysia yang lain masing-masing diberi nama mengikut negeri-negeri di Malaysia. Contohnya, Rumah Perlis yang menjadi destinasi kami sekarang ini.

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke Rumah Perlis, aku perhatikan suasana yang amat berbeza daripada suasana bumi Eropah yang telah aku jejaki sebelum ini. Terlampau banyak perbezaannya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Setibanya kami di Rumah Perlis yang merupakan sebuah bangunan flat 5 tingkat, aku dibawa ke sebuah bilik yang menempatkan tetamu-tetamu luar. Kebetulan pada waktu ini terdapat 2 orang pelajar Malaysia dari United Kingdom yang sedang menumpang berteduh di sini. Mereka ialah Nabil yang kini belajar di University of Sheffield & Hasbullah atau nama gelarannya Yeop yang kini belajar di University of Manchester. Kedua-dua mereka adalah pelajar kursus kejuruteraan. Nabil akan pulang semula ke United Kingdom pada waktu petang nanti. Oleh itu, cuma Yeop & aku sahaja yang akan tinggal di dalam bilik itu.

Aku kemudiannya membaringkan diri kerana penat. Begitu juga dengan Johan, Ahmad & Faisal. Apabila waktu tengah hari sudah tiba, aku diajak oleh Yeop & beberapa orang penghuni Rumah Perlis untuk makan tengah hari di sebuah restoran Melayu yang terdapat di tingkat bawah bangunan flat tersebut. Murah sekali harga makanan-makanan yang dijual. Aku berasa tersangat gembira. Hahaha. Aku juga berkesempatan untuk berkenalan dengan beberapa orang penghuni rumah tersebut, termasuk mereka yang bekerja di restoran itu. Kesemua mereka baik-baik belaka orangya & amat peramah. Pelajar yang ditugaskan menjadi ketua kepada penghuni-penghuni Rumah Perlis ialah Nazim atau digelar Ustaz Nazim. Penguasaan bahasa Arabnya tersangatlah hebat.

Selepas makan tengah hari, aku kembali ke bilik aku. Sedang aku berehat-rehat, tiba-tiba Acab datang memberi kunjungan. Kelasnya baru sahaja tamat. Kami pun berbual panjang di dalam bilik tumpangan aku tersebut. Sudah lebih sebulan aku tidak berjumpa dengan ahli rumah aku di Dublin itu. Aku sebenarnya sudah pun bersms dengan Ustaz Arif, tuan punya agensi pelancongan yang akan aku ikuti. Kami sudah membuat temu janji pada pukul 4.00 petang nanti di restoran Rumah Perlis. Selepas menunggu beberapa lama, akhirnya Ustaz Arif pun tiba. Aku & Acab berbincang dengannya tentang rangka perjalanan yang telah pun dibuat olehnya. Kami memintanya membuat beberapa perubahan memandangkan Acab, Johan & Ahmad pun turut ingin mengikuti trip yang dikelolakan olehnya. Sebelum ini, cuma aku & Tok Wan sahaja yang akan mengikutinya. Setelah habis berbincang, Ustaz Arif pun pulang ke rumahnya.

Acab kemudiannya membawa aku ke Rumah Malaysia Abbasiyah dengan menaiki bas. Aku hanya bergantung kepadanya sahaja memandangkan aku tidak tahu-menahu langsung tentang selok-belok kota Kaherah. Aku baru sahaja tiba di sini pada hari ini, sedangkan dia sudah berada di sini lebih daripada sebulan lamanya. Hahaha. Setibanya kami di Rumah Malaysia Abbasiyah, aku berkenalan dengan beberapa orang pelajar Malaysia yang tinggal di sini. Rumah Malaysia Abbasiyah ini sebenarnya menempatkan lebih daripada seribu orang pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa buah universiti di sekitar kota ini. Antara pelajar-pelajar yang aku sempat berkenalan adalah Zuhdi, kawan kepada Acab. Aku tidak ingat akan nama pelajar-pelajar yang lain. Kami rancak berbual sehingga waktu Maghrib.

Apabila azan berkumandang, kami semua bergerak menuju ke surau yang terdapat di sini. Setelah selesai solat Maghrib, aku diajak untuk mengikuti ceramah yang diberi oleh seorang penceramah yang agak terkenal. Aku tidak ingat akan namanya. Akan tetapi, ceramah yang diberinya tersangat menarik. Ianya berkenaan dengan hal ehwal semasa negara-negara Islam di Timur Tengah. Kusyuk aku mendengar ceramah beliau yang mengambil masa lebih daripada 2 jam lamanya.

Selepas selesai ceramah, Acab membawa aku ke bilik kawannya yang lain iaitu Faizal. Orangnya kecil, tapi bersuara lantang. Hahahah. Kemudian, kami ke bilik rakan-rakan yang lain pula. Tok Wan akan tiba di Lapangan Terbang Kaherah pada malam ini. Oleh itu, aku terpaksa berjaga agar tidak tertidur. Aku, Acab & Faizal akan ke lapangan terbang tersebut pada pukul 3.00 pagi nanti untuk menjemput Tok Wan di sana.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP